Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

Doktor bukan Tuhan



TAN SRI DR. ROBAAYAH ZAMBAHARI tidak asing lagi dalam bidang rawatan jantung di negara ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN) itu merupakan salah seorang daripada kelompok terawal yang mempelopori penubuhan hospital jantung terkenal itu.

"Dahulu pesakit jantung tidak seramai sekarang. Kini ia menjadi pembunuh No. 1 di banyak negara maju, begitu juga Malaysia," imbas pakar kardiologi berusia 60 tahun itu.

Robaayah menganggap bahagian paling sukar dalam kerjayanya bukan di bilik pembedahan sebaliknya semasa proses perundingan bersama keluarga pesakit.

"Kes melibatkan jantung sentiasa berisiko dengan nyawa menjadi pertaruhan lebih-lebih lagi jika berlaku situasi cemas semasa pesakit dibedah.

"Walaupun saya telah mengendalikan pelbagai kes kritikal melibatkan jantung dan paru-paru, saat perundingan dengan keluarga pesakit adalah yang paling mencabar," beritahu beliau.


Tambah Robaayah, adalah menjadi tanggungjawab seorang pakar untuk menerangkan kepada keluarga pesakit mengenai risiko rawatan yang mungkin dihadapi.

"Mereka yang datang kepada kami membawa harapan yang sangat tinggi. 

"Mereka berharap pesakit yang berjumpa kami akan sembuh, tetapi ada juga kes ahli keluarga yang tidak dapat mengawal perasaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.

Gagal

DUA pegawai perubatan IJN membawa kotak berisi jantung segar. IJN telah melakukan 18 pembedahan pemindahan jantung setakat ini.


"Pada peringkat itu, ada sebilangan ahli keluarga yang pada mulanya bersedia menerima apa sahaja kemungkinan, berubah sikap selepas satu pembedahan yang gagal," ujar beliau sambil memberitahu, satu atau dua peratus pesakit meninggal dunia semasa pembedahan. 

Robaayah berkata, doktor bukan Tuhan.

"Pakar kardiologi dan pembedahan jantung hanya melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit tetapi mereka tidak boleh memberi jaminan pembedahan itu akan berjaya 100 peratus," ujarnya.

Robaayah berkata, kadangkala pesakit mengalami komplikasi lain seperti strok yang bebannya terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka seumur hidup.

Beliau menegaskan, pesakit serangan jantung yang teruk mesti dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan secepat mungkin kerana jika terlambat ia akan menjejaskan organ lain.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan jantung agak menakjubkan. 

Beliau berkata, pesakit yang memiliki jantung yang terlalu lemah kini boleh menukarnya dengan jantung baharu dengan selamat asalkan ada penderma jantung. Kemudahan teknologi turut membolehkan masalah jantung dikesan dengan lebih pantas.

Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru dilakukan sejak tahun 2005. 

Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006. Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan selama dua tahun.

Tersumbat

"Kami berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.

"Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.

"Kini dia sihat dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.

Awal bulan ini, Robaayah memandang serius kesihatan jantung wanita di negara ini kerana satu perempat populasi wanita berusia 56 tahun dan ke atas berisiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular berbanding kanser.

CHEN Winnie (kiri) bersama Tan Geek Koon antara pesakit yang menggunakan jantung mekanikal di IJN.


Di samping itu, wanita yang suka merokok turut berisiko tinggi berdepan sakit jantung.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tahap kesedaran terhadap penyakit jantung adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau mengakui penyakit koronari jantung adalah yang paling membimbangkan. Ia berupaya menyebabkan kematian jika tidak dirawat.

"Biasanya penyakit jenis itu dikaitkan dengan saluran darah tersumbat pada jantung akibat merokok, kegemukan, kurang bersenam, mengambil makanan tidak sihat dan berkolesterol tinggi, darah tinggi dan diabetes.

"Stres turut menjadi punca jantung tersumbat. Di negara lebih maju, mereka berjaya mengurangkan kesan penyakit jantung dengan menggunakan teknologi perubatan terkini.

"Kita juga memiliki kepakaran dan teknologi yang bagus, malangnya pada masa yang sama kes koronari jantung semakin merisaukan," katanya yang pakar melakukan drug elluting stent (DES) bagi merawat penyakit berkaitan saluran darah jantung tersumbat.

Menurut Robaayah, rawatan DES dilakukan menggunakan stent yang berupa tiub jaringan kecil seakan-akan spring dengan diameter antara 2.25 hingga 4 milimeter. Tiub itu dimasukkan ke dalam arteri jantung yang sempit untuk kembali melancarkan peredaran darah.

Nasihat Robaayah, bagi mengelak masalah ini jauhi makanan berkolesterol tinggi seperti susu penuh krim, minyak sapi dan makanan segera.

"Amalkan senaman setiap hari. Makan makanan seimbang dan berkhasiat adalah langkah terbaik menjaga jantung," katanya.

Sejarah IJN bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.

Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.


ROBAAYAH menunjukkan klip Mitral yang digunakan untuk rawatan kebocoran injap jantung di IJN.


Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang. 

Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).

Friday, June 15, 2012

Petua Rawatan Islam Untuk Sakit Kepala

 


1. Baca Surah Al-Fatihah (1kali)

2. Baca Ayatul Kursi (3 kali)

3. Baca Surah Al-Ikhlas (3 kali)

4. Baca Surah Al-Falaq (1kali)

5. Baca Surah An-Nas (1kali)

6. Baca Surah Yaasin ayat ke-58 (3 kali)

7. Baca Selawat atas Nabi SAW (3 kali)

NOTA: Sepanjang membacanya letakkan kedua-dua tapak tangan di kepala, terutamanya pada bahagian yang sakit.

Tuesday, January 3, 2012

Jangan Guna Minyak Masak Lebih Dari Sekali

Oleh P. Aruna

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjyHe7fIYvXL9CSGxbp-MVMrjdVXt1ukp_fRrNXHraDWchLvWiYAQqU_-NSrgXTbHHaafKvVsAybBqoxzenQ8KHvqXLsKvBtnHvMBBemimIOnTqgG7rfwlsrShBNdBTT3es4LlQXGPe8nlU/s1600/jebateja+minyak+masak+tikus+licin+%25282%2529.JPG

PETALING JAYA: Pusat Racun Negara memberi amaran bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali boleh menyebabkan hipertensi, merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Pakar runding Pusat Racun Negara, Dr T.Jayabalan berkata, minyak masak tidak sepatutnya digunakan lebih dari sekali.

"Apabila digunakan berulang kali, tahap kelikatan hidrokarbon di dalam minyak masak meningkat dan menyebabkan salur arteri tersumbat, hipertensi dan merosakkan hati.

"Kebanyakan pengguna tidak membuang minyak yang telah digunakan. Mereka menyimpannya di dalam bekas untuk digunakan sekali lagi sebelum dibuang" katanya ketika dihubungi The Star.

Pertubuhan Kajian dan Pembangunan Kualiti Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Unipeq Sdn Bhd yang menjalankan ujian ke atas 19 jenama minyak masak mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan minyak masak dalam bungkusan 1 kilogram.

"Berdasarkan piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, minyak masak itu tidak sihat," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Siti Noor Baiyah Abdul Malek.

Saturday, November 19, 2011

Bayar cukai jika mahu gemuk

KOLESTEROL yang terkumpul bahagian pinggang menyebabkan obesiti.


DENMARK muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin.

Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes.

Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus.

Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega.

Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu.

Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary.

Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan.

Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.

Adakah cukai lemak relevan dilaksanakan di negara ini?

Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini.

“Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan.

“Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang.

“Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary.

“Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri,” katanya.

Tertinggi


ZENNY SALIHUDIN berjaya menguruskan badannya dalam tempoh enam bulan setelah mengikuti rejim Biggest Loser Asia dan diet khas.


Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif.

Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti.

Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk.

Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen.

Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut.

“Saya gemar makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran.

“Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh.

“Tetapi, para kakitangan saya dulu menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama,” katanya.

Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak.

Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti.

“Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti.

“Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya,” ujarnya.

Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging.

Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak.

“Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan,” katanya.

Dibuang kerja

Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau.

Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk.

Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta.

Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah.

“Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya.

Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang.

Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu.

“Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja.

“Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.

Saturday, July 30, 2011

Penyakit tiga serangkai dilapor terus meningkat

ALOR SETAR-Jumlah bilangan pesakit yang mengidapi penyakit tiga serangkai dilaporkan terus meningkat tanpa mengira usia dipercayai berpunca daripada faktor pemakanan serta kurang mengamalkan senaman.

Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, penyakit tiga serangkai berkenaan adalah kencing manis, darah tinggi serta jantung yang mudah menyerang individu tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk tampil menganjurkan lebih banyak program kesedaran bagi meningkatkan kesihatan di kalangan orang ramai.

“Sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan setiap individu perlu memastikan mereka mengambil bekalan air secukupnya dan memastikan kandungan gula dalam darah memenuhi keperluan.

“Tabiat seperti malas bangun sahur perlu dielakkan kerana keesokan harinya mereka akan terasa cepat letih apabila melakukan aktiviti seharian,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jom Sihat di Menara Alor Setar, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan pengarah urusan Menara Alor Setar, Hariyati Tahir.

Menurutnya, dari segi kesihatan makanan akan dihadam dalam tempoh empat jam manakala segala nutrian makanan akan keluar secara sedikit demi sedikit dan makanan sewaktu berbuka tidak mencukupi untuk memastikan kesegaran badan pada keesokan harinya.

Thursday, July 7, 2011

Hangpa kalau sayang anak tobat dah jgn dok buat benda macam nie...

Anak lemas dalam kereta

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terperangkap hampir tujuh jam dalam kereta milik ibunya di pekarangan sebuah sekolah rendah agama di bandar ini, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, berkata, anaknya, Izzah Athirah, 10, menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama isterinya dan tiga adik-beradik yang lain ke sekolah berkenaan.

“Saya difahamkan Izzah Athirah tidak mahu keluar daripada kereta sebab dia tiada kasut sekolah. Sudah puas dia cari kasut itu di merata-rata tempat tetapi tidak jumpa.

“Allahyarham tinggal sendirian di dalam kereta, sementara isteri yang bertugas sebagai guru di sekolah berkenaan terpaksa bergegas ke kelas bersama tiga anak kami, kira-kira jam 7.30 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (Bahagian Pendidikan Khas dan Swasta) berkata, salah seorang anaknya pergi ke kereta untuk memeriksa :keadaan Izzah Athirah, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, mangsa terus dikejarkan ke hospital selepas dia ditemui dalam :keadaan lemas, dalam kereta yang berkunci dan ditutup semua tingkap namun disahkan meninggal dunia di hospital sama, kira-kira jam 2.15 petang.

“Semasa kejadian, saya berada di sebuah hotel dekat Port Dickson untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2011.

“Saya terus berkejar ke hospital selepas dimaklumkan seorang rakan mengenai kejadian yang menimpa Izzah Athirah,” katanya.

Mohd Khir berkata, pemergian anak kelima daripada lapan beradik itu diterima dengan reda dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yayasan Sofa dekat Rembau, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan telah menerima laporan ibu mangsa berhubung kematian anaknya dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penjaga disyaki cuai dalam penjagaan kanak-kanak.

Tuesday, June 21, 2011

Kebaikan makan pisang


PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.

PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.

“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.

“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.

Khasiat

“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.

Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.

Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.

Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.

Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.

“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.

“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.

Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.

Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.

Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.

Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.

Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.

“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.

“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.

Laris

Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.

Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.

Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.

Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.

“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.

“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.

“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.

“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.

“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.

Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.

“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.

“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.

Thursday, June 2, 2011

Venezuela bans smoking in public

CARACAS, Jun 2: As the UN urges governments to respect the rights of people to inhale clean air a new law that prohibits smoking in public and closed spaces has come into force in Venezuela.

Signs that remind smokers they will have to take their habit somewhere else have been posted on walls in restaurants, stores, supermarkets, buildings, and shopping centers, the Press TV correspondent in Karakas reported on Tuesday.

"We had many customers but because of the new anti-smoking law, there are very few," says a restaurant owner in Venezuela.

According to the World Health Organization, the tobacco epidemic kills nearly 6 million people per year, and the death toll could rise to more than eight million by 2030.

"Another option is to use the elderly as a vulnerable group in order to push full implementation of the law," says Daniela Mendoza from the Figsocial Foundation.

Venezuela joins countries like Colombia, Peru, Mexico, Spain, Germany, France, and Italy which have already taken measures to restrict the use of tobacco.

Although the anti-smoking law has been widely accepted by Venezuelans, some tobacco companies like Biggott have said that the government could have asked them to discuss the regulations to find an alternative solution. Owners of businesses as well are concerned about the high fines they might have to pay if they committed an infraction.

The UN Agency has asked governments of both rich and poor countries to declare all public indoor places smoke-free, by passing laws and actively enforcing measures to ensure that "everyone has a right to breathe clean air, free from tobacco smoke."[press tv]

Sunday, April 24, 2011

Kubang Pasu - Peruntukan dari Kementerian untuk klinik kesihatan daerah tidak cukup

Mohon tambah peruntukan

BANDAR DARULAMAN - Barisan Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kubang Pasu memohon supaya Kementerian Kesihatan menaikkan peruntukan sedia ada bagi membolehkan aktiviti terutamanya untuk masyarakat di kawasan luar bandar dapat dijalankan.

Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kubang Pasu merangkap Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Jitra, Shamsuddin Ahmad berkata, menyedari tanggungjawab dan peranan dalam menyampaikan maklumat serta penerangan kepada masyarakat setempat, itu yang mendesak mereka memohon peruntukan yang disalurkan dapat dipertimbangkan semula.

Menurutnya, peruntukan sedia ada sebanyak RM5,000 kepada setiap klinik kesihatan kini dianggap kurang mencukupi memandangkan pelbagai program yang dirancang untuk masyarakat memakan kos yang tinggi.

“Kita berperanan memberi pendedahan mengenai penjagaan kesihatan yang betul kepada masyarakat justeru pelbagai aktiviti penerangan perlu dijalankan namun dengan peruntukan yang kurang, maka ia mampu membantutkan usaha tersebut,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jitra dan Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kubang Pasu bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum di Darul Aman Golf Century Resort, dekat sini.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, tahap kesedaran masyarakat luar bandar terhadap aspek kesihatan dianggap masih belum memuaskan dan dengan usaha dan peranan yang dimainkan golongan ini mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, sebagai contoh, di Kubang Pasu sendiri baru-baru ini diserang wabak denggi yang serius maka itu peranan ahli panel ini untuk memberi penerangan bagaimana menjaga kawasan persekitaran dan amalan gaya hidup yang sihat.

“Justeru, saya merasakan permohonan mereka supaya menambah peruntukan tersebut perlu dipertimbangkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memudahkan mereka mengadakan program menyalurkan maklumat mengenai penjagaan kesihatan dan kebersihan kawasan sekitar dari masa ke masa dengan lebih efektif,” katanya.

Buat masa ini terdapat sebanyak lapan klinik kesihatan di daerah ini iaitu enam di Parlimen Kubang Pasu dan dua di Parlimen Jerlun.[Sinar Harian]

Monday, April 11, 2011

Jangan sembarangan makan cendawan liar


(Kiri:cendawan liar yang boleh dimakan )schizophyllum Commune atau cendawan sisir,
termitomyces atau cendawan busut,(Kanan:cendawan liar yang beracun ) macrolepiota dan lepiota

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan ladang diminta tidak memakan cendawan yang tumbuh liar di kawasan mereka dengan sewenang-wenangnya terutamanya pada musim hujan ketika ini kerana dibimbangi terkena keracunan.

Menurut Pensyarah Biologi, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Johari Jalinas, terdapat banyak cendawan beracun yang tumbuh selepas hujan tetapi bentuknya sekan-akan cendawan yang boleh dimakan.

Ekoran persamaan itu, katanya, ia sering mengelirukan orang ramai yang gemar memakan cendawan liar dan mereka berisiko terkena keracunan akibat cendawan beracun yang dikutip.

Sehubungan itu, orang ramai perlu mengenali cendawan liar yang boleh dimakan sebelum mengutip dan memakannya kerana perbezaan sesetengah cendawan yang boleh dimakan dengan yang beracun cukup kecil.

“Walaupun cendawan liar itu dikenal pasti boleh dimakan, seseorang itu perlu makan dalam kuantiti sedikit untuk kali pertama.

“Jika terdapat tanda-tanda alergi terhadap cendawan yang dimakan, mangsa harus berjumpa dengan doktor dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Friday, February 25, 2011

Remaja dan alkohol


Penguatkuasaan pihak berkuasa semata-mata tidak dapat membanteras penyalahgunaan alkohol sebaliknya ia perlu mendapat kerjasama masyarakat terutama umat Islam. - Gambar hiasan


MENGAMBIL, menyalahgunakan, ketagihan dan kebergantungan kepada bahan seperti alkohol adalah terma-terma yang digunakan dalam menerangkan tingkah laku pengambilan bahan berkenaan.

Walaubagaimanapun dalam Islam pengambilan bahan terlarang ini adalah haram dan satu dosa besar. Tetapi dalam keadaan ini terdapat sebilangan kalangan remaja yang telah terjebak sama ada pernah ingin cuba-cuba atau sehingga menjadi ketagihan.

Keterlibatan remaja dalam salah laku ini memberi kesan yang mendalam kearah keruntuhan generasi muda Islam yang diharapkan akan menjadi pewaris kelak dan yang dapat mempertahankan kedaulatan amalan cara hidup Islam di muka bumi ini.

Remaja didedahkan dengan penggunaan alkohol ini adalah melalui jaringan sosial (seperti kelab hiburan, acara sambutan perayaan, rakan sebaya, mudah didapati secara terbuka di tempat kerja/awam dan juga tarikan cara hidup).

Keseriusan keterlibatan remaja Islam dalam alkohol walaupun belum sampai kepada ketagihan melampau tetapi sudah ada yang telah mencubanya. Perbuatan ini tidak terbatas kepada remaja bandar mahu pun luar bandar, miskin atau kaya, berpendidikan atau tidak.

Kalangan remaja yang ditemui yang telah mencubanya banyak yang tidak faham dan ada setengahnya pula saja-saja buat tidak faham dengan bertanyakan:

"Minum sikit atau banyak tetapi tidak memabukan jadinya tak salah lah?

"Diminum oleh kanak-kanak bawah umur tu salah tapi kalau dah dewasa tak apa?"

"Sekiranya meminumnya akan membawa kepada mudarat seperti penyakit maka baru salah?

"Minum untuk berikan ketenangan dari masalah dan macam ubatlah tak apa?"

"Masa muda tak apa minum tapi dah tua boleh bertaubat?

"Orang Islam lain pun minum?

"Orang besar-besar atau artis pun minum?"

"Ada jual kat mana-mana, hotel, kedai serbaneka 24 jam dan atas kapal terbang pun free lagi?"

Bahaya kesan penyalahgunaan alkohol

Di antara beberapa bahaya kesan dari penyalahgunaan alkohol dalam kalangan remaja:

l Salah satu daripada dosa besar dan mesti bertaubat.

l Kunci kepada melakukan salah laku jenayah dan maksiat lain.

l Penyakit sosial dan mental (psikologikal).

l Alkohol akan mengurangkan keupayaan minda untuk memberi fokus.

l Remaja yang minum selalunya akan juga mengambil dadah berbeza dengan orang dewasa yang hanya minum

l Remaja yang didedahkan dengan meminumnya di peringkat awal lagi akan menjadi ketagih walaupun bekerja atau melanjutkan pelajaran.

l Ramai remaja yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terlibat daengan dadah atau alkohol atau kedua-duanya.

l Remaja yang minum akan jadi kemurungan dan memberi kesan kepada tindak membunuh diri kelak.

l Remaja yang minum dan mabuk mudah terjebak dalam aktiviti salah laku seksual, seksual tidak selamat, sex party atau mangsa rogol)

l Kesan kepada masalah psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan.

l Mudah terjebak dalam penyalahgunaan jenis-jenis dadah lain

Bagaimana menghalang anak remaja daripada terjebak?

l Komunikasi yang jelas - ibu bapa mesti mendekati anak-anak melalui kemahiran komunikasi yang berkesan.

l Pemantauan aktiviti dan rakan kenalan anak.

l Pembabitan anak dalam aktiviti kokurikulum.

l Mengajar anak-anak kemahiran sosial seperti pengurusan stres, membuat keputusan dan kawalan kendiri.

l Memberi pendidikan terutamanya agama bagi menyediakan anak yang berakhlak dan soleh.

Bagaimana Remaja Terlibat?

l Pertamanya faktor remaja itu sendiri -sejauh mana personaliti, pendidikan, amalan agama dan kemahiran mereka dapat membantu tidak terlibat.

l Ingin cuba-cuba atau eksperimen - Biasanya remaja yang dipengaruhi rakan sebaya, ingin tahu atau suka kepada cabaran 'yang bodoh' dan boleh 'gah' yang dia dah pernah cuba dan rasa hebat diri berbanding dengan rakan lain yang takut memcuba?

l Bersosial - kerana kawan, atau inginkan diterima oleh rakan sebaya lain. Setengahnya melihat sekadar bersosial suka-suka sahaja.

l Penggunaannya sebagai rawatan - seperti mendapati bahawa alkohol dapat membantu menukarkan mod yang positif dan meghilangkan kedukaan, kesunyian, stres dan masalah.

l Ketagihan - merupakan peringkat di mana remaja mendapati bahawa perubahan secara psikologikal dan fisiologikalnya bergantung kepada alkohol.

l Kompulsif - apabila berlaku perubahan pada kefungsian otak terutamanya bahagian yang mengawal emosi dan motivasi sudah bergantungan kepada alkohol.

Kesimpulan

Pengambilan alkohol dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi dan ini adalah satu gejala yang sangat tidak sihat berlaku pada remaja Islam kita.

Oleh kerana faktor individu remaja dan persekitaran sama-sama memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada gejala ini maka perlu difikirkan cara terbaik menjauhkan daripada merosakkan lagi ramai akhlak anak muda kita.

Contohnya, alkohol ini boleh didapati secara terbuka. Tidak kurang juga remaja kita yang bekerja mencari rezeki dengan majikan yang melibatkan dalam penjualan dan juga menyediakan minuman alkohol kepada pelanggan dan ini perlu dihentikan.

Sayangilah anak bangsa kita dan atas kesedaran dan usaha kita ini insya-Allah dapat membangunan golongan muda yang berakhlak dan menjadi khalifah di muka bumi ini.