Showing posts with label MDKP. Show all posts
Showing posts with label MDKP. Show all posts

Friday, October 14, 2011

Majlis Daerah Kubang Pasu Tawar kompaun serendah RM5

Tawar kompaun serendah RM5

KUBANG PASU 12 Okt. - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada lebih 60,000 pemilik kenderaan untuk membayar saman kerana kesalahan trafik yang mencecah RM3 juta sejak 2008.

Ketua Penguat Kuasa Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, kegagalan melunaskan kompaun itu akan menyebabkan mereka disenarai hitam selain disekat dalam semua urusan dan kemudahan berkaitan MDKP.

"Tindakan tegas juga akan diambil termasuk merujuk perkara itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan.

"Kegagalan pemilik kenderaan menjelaskan semua saman trafik yang tertunggak sejak tiga tahun lalu memungkinkan mereka disenarai hitam dan dirujuk kepada JPJ," katanya ketika dihubungi di sini.

Sejak Rabu lalu, MDKP mengadakan Operasi Kompaun dan Kempen Beli Kupon, Satu Kenderaan Satu Kupon yang berakhir semalam.

Sempena operasi itu, MDKP turut menawarkan kompaun serendah RM5 berbanding RM50 kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan berkaitan.

Menurut Zakariya, hampir 1,000 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan meletak kenderaan di kawasan MDKP sepanjang enam hari operasi itu.

"Kaunter bergerak yang dibuka untuk memudahkan orang ramai membayar saman masing-masing akan diteruskan setiap Jumaat dan Sabtu setiap minggu bagi menjayakan operasi pemutihan bayaran kompaun RM10 sehingga 31 Oktober ini.

"Ia juga akan terus dibuka atas permintaan orang awam bermula November sehingga 2012 bagi memudahkan bayaran saman dibuat di kawasan terpilih di sekitar Jitra," katanya.

Tambahnya, operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan 65 hingga 95 peratus pengguna di daerah itu membayar caj meletak kenderaan masing-masing.

Wednesday, May 25, 2011

Bila dah nama SEWA tu maka kenalah BAYAQ.. Jika tak bayaq maka beginilah jadinya..!!

50 lagi premis disita

JITRA - Semua penyewa premis perniagaan milik Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) diminta supaya menjelaskan sendiri bayaran sewa gerai di kaunter MDKP bermula Julai nanti.

Ketua Bahagian Penguat kuasa dan Tunggakan Hasil, Zakariya Ahmad berkata, tindakan itu dibuat bagi mengelak penyewa mencipta pelbagai alasan sebelum ini yang mendakwa bayaran sewa tidak dibuat kerana pihak berkuasa tempatan itu tidak datang mengutip sewa dari mereka.

Menurutnya, selepas ini tiada lagi alasan yang boleh direka-reka oleh penyewa semata-mata mahu mengelak diri daripada membayar tunggakan sewa sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Pihak penguat kuasa tidak lagi akan pergi merayu dari satu premis ke premis lain semata-mata mahu mengutip sewa sebaliknya kita mahu penyewa sendiri datang ke MDKP dan menjelaskan bayaran sewa premis perniagaan masing-masing.

“Trend baru ini dibuat bagi mengelakkan alasan terlalu banyak yang diberikan penyewa premis yang ingkar menjelaskan sewa tunggakan terutamanya ketika kita menjalankan operasi sita,” katanya kepada Sinar Harian selepas Ops Sita yang dijalankan di sekitar Jitra, di sini, semalam.

Dalam operasi itu, hampir 50 lagi premis perniagaan milik majlis di sekitar Jitra termasuk kawasan Medan Selera Jitra, Medan Selera Pekan Jitra 2, Gerai Buah-buahan Pekan Jitra 2 dan medan selera berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jitra telah disita.

Zakariya berkata, nilai tunggakan hutang sewa gerai majlis melibatkan 50 premis berkenaan adalah sebanyak RM50,000.

Menurutnya, nilai tunggakan hutang sewa yang tertinggi melibatkan operasi semalam adalah mencecah sehingga RM2,600 bagi seorang penyewa gerai majlis terbabit.

“Kita tidak akan lagi berkompromi dengan penyewa gerai majlis yang gagal menjelaskan hutang tertunggak kerana sebelum ini tempoh 60 hari selepas notis dikeluarkan telah diberikan kepada mereka.

“Malah pihak majlis juga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya didapati penyewa gagal dan melarikan diri daripada menjelaskan hutang tertunggak masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuesday, March 29, 2011

Berita Kedah FM siarkan fitnah Kerajaan Negeri Kedah...

Tanah itu milik Persekutuan, kenapa salahkan kerajaan Negeri?

BUKIT KAYU HITAM, 39 Mac – Tanah tapak Bazar Kompleks MDKP Bukit Kayu Hitam kini kini sudah berpindahmilik kepada Kerajaan Persekutuan apabila ianya dibeli oleh Pusat untuk dijadikan kawasan Pengkuarantinan Kastam dan Imigresen (CIQ).

Penjelasan itu dibuat oleh Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Encik Basir Ismail ekoran dakwaan yang disiarkan oleh Berita Kedah FM hari ini yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan peniaga di bazar itu mengosongkan premis tanpa menyediakan tempat perniagaan alternatif untuk mereka.

“Atas dasar keprihatinan terhadap peniaga kita telah berbincang dengan para peniaga seterusnya mencadangkan mereka berpindah ke kawasan bebas cukai atau mereka sendiri mengemukakan cadangan kepada pihak majlis tempat yang sesuai untuk mereka berniaga.

“Para peniaga tidak setuju untuk berpindah ke kawasan bebas cukai atas faktor-faktor tertentu dan buat masa ini mereka belum mengemukakan cadangan kepada MDKP di mana tempat mereka fikirkan sesuai untuk dipertimbangkan oleh pihak majlis,” ujarnya.

Basir bagaimanapun memberitahu Warta Darul Aman bahawa, penjelasan terperinci berhubung isu tersebut akan dikeluarkan esok, selepas pihak MDKP bermesyuarat.[WartaKedah]

Friday, March 11, 2011

Peniaga kecewa tindakan MDKP


Sebahagian peniaga di Sungai Korok, Jitra menunjukkan dokumen termasuk
notis sita yang diserahkan kepada mereka pada hari sama premis mereka disita.

KUBANG PASU 11 Mac - Para peniaga di sekitar Sungai Korok di sini, tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) yang mengambil tindakan menyita premis perniagaan mereka tanpa memberi notis amaran terlebih dahulu.

Anggota penguat kuasa MDKP juga didakwa bertindak kasar dan tidak berhemah semasa menyita premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut.

Seorang peniaga makanan, Rokiah Saad, 59 berkata, MDKP menyita kedai makannya yang terletak berhampiran pasar Sungai Korok, Isnin lalu.

"Tiada notis amaran diterima oleh peniaga dan bayaran sewa bulanan saya hanya tertunggak sebulan bernilai RM390.

"Mereka (pegawai MDKP) datang tanpa bercakap apa-apa dan dengan kasar terus menyita gerai saya," katanya ketika ditemui di gerai makannya di Sungai Korok di sini hari ini.

Menurutnya, di kawasan tersebut terdapat hampir 15 lagi gerai peniaga lain yang turut disita oleh MDKP tanpa memberi sebarang notis amaran.

"Sepatutnya mereka memberikan kami notis amaran terlebih dahulu dan kami akan cuba menjelaskan sewa secara beransur-ansur.

"Saya hairan kenapa MDKP mengambil tindakan tersebut kepada kami, sedangkan ada ramai lagi peniaga yang turut mempunyai sewa tertunggak tidak dikenakan sebarang tindakan," ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Norhidayu Salleh, 17, berkata, sewa gerai bihun supnya juga tertunggak sebulan sebanyak RM180 dan ketika pegawai MDKP datang dia bersama ibunya di gerai tersebut.

"Saya terkilan apabila pegawai tersebut tidak menjawab persoalan kami dan terus dengan tindakannya menyita gerai ini," ujarnya.

Sobri Basirun, 45, seorang peniaga barangan elektrik berkata, kedainya juga menerima nasib yang sama seperti peniaga gerai makanan di kawasan tersebut.

"Ketika pegawai MDKP datang masih ada pelanggan di kedai saya dan saya tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu.

"Sewa saya juga hanya sebulan tertunggak namun tiada notis diterima dan saya sangat tidak berpuas hati dengan tindakan MDKP ini," jelasnya.

Sobri berkata, peniaga-peniaga di kawasan tersebut mencadangkan kepada MDKP supaya bayaran sewa gerai-gerai mereka dibayar setiap hari dan bukannya secara bulanan bagi mengelakkan MDKP datang menyita gerai mereka.

"Saya rasa cara ini lebih baik berbanding secara bulanan dan pihak MDKP mesti datang mengutip bayaran sewa harian daripada kami kerana kami mahu pegawai MDKP yang menjalankan tugas bersikap lebih mesra dan berhemah," katanya.