Showing posts with label MOHD RASHIDI HASSAN. Show all posts
Showing posts with label MOHD RASHIDI HASSAN. Show all posts

Thursday, September 6, 2012

Rumah 'syaitan' yang hampir roboh

Mohd Rashidi Hassan, 06 Sep 2012


Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum masih lagi hangat dinujumkan. Selepas banyak sangkaan meleset, kali ini ramai menjangkakan PRU ke-13 akan diadakan November depan, sebaik Parlimen meluluskan Belanjawan 2013 dan sekembalinya jemaah dari Makkah.

Banyak faktor yang bakal menentukan tarikh PRU. Jika sesiapa pun pada kedudukan Perdana Menteri, beliau harus terlebih dahulu mempertimbangkan kekuatan dalaman organisasinya, sebelum mengambil kira faktor luaran.

Tidak guna hendak 'bertegang urat' dengan parti lawan jika parti sendiri penuh dengan cacamerba dan hampir karam. Inilah yang berlaku kepada Umno sebenarnya. Umno yang tidak pernah menafikan pengakuan bahawa mereka adalah 'syaitan yang dikenali'.

Rupa-rupanya serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Pakatan Rakyat, dilakukan secara terancang, dengan tujuan untuk menutup pekung dalaman Umno yang semakin hari semakin membarah.

Media massa yang dikuasai Umno, ligat dikerah menutup karenah dalaman Umno yang tidak pernah selesai sehingga kini. Sesiapa pun dalam Umno sekarang berasa tidak selamat. Ada banyak faktor yang boleh unjurkan, antaranya:

Pertama, selepas Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sokongan terhadap Umno masih belum pulih sehingga kini, akibat pembongkaran lebih banyak skandal membabitkan pemimpin Umno-BN.

Kedua, kecuali kroni-kroni rapat, setiap orang Menteri dan Menteri Besar, Timbalan Menteri, Exco dan Ketua Umno Bahagian tidak mendapat indikator jelas dari Najib, apakah mereka akan dicalonkan semula sebagai calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Ketiga, akibat daripada ketidak tentuan itu, tambahan pula Najib mempunyai 'winnable candidate' sendiri, di semua negeri dan bahagian Umno, masing-masing bergasak sesama sendiri. Rebut jadi Ketua Bahagian, rebut menjadi calon Menteri Besar, rebut jadi calon Parlimen dan Dun.

Keempat, akibat dari permasalahan ini, penganalisis menjangkakan, wujud ketegangan di antara kedua-dua pimpinan tertinggi Umno iaitu di antara Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umumnya, perselisihan wujud kerana haluan dan pendapat berbeza di antara kedua-duanya, mengenai cara terbaik untuk menyelamatnya Umno daripada terkubur dalam PRU depan.

Dalam diam 'fan' Muhyiddin giat berkempen dalam Facebook, menyebarkan poster di Johor dan dibanyak tempat, bahawa TPM adalah calon terbaik PM bagi menggantikan Najib.

Dilaporkan, bertebaran poster misteri menyokong Muhyiddin menggantikan Najib sebagai PM sebelum PRU, di Johor dan Pulau Pinang.

Umno Johor menafikan bahawa poster itu dicetak mereka dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Imej pada poster itu, bersama dengan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia, telah disebarkan secara meluas di Internet.

Poster itu berbunyi 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM sebelum PRU 13'di bahagian bawah dan 'Selamatkan Barisan Nasional' di atas. Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan 'Terbitan Barisan Nasional Negeri Johor'.

Walaupun Umno Johor menafikan dan memang tidak rasional mendakwa mereka yang mencetak poster tersebut, namun ianya tidak mampu menutup pertelagahan di antara kedua-dua pemimpin mereka.

Muhyiddin mempunyai 'track-record' yang cemerlang, berjaya 'menghalau' Abdullah dari kerusi PM dan Presiden Umno, dengan sokongan kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dengan keceluparan Dr Mahathir membuat pelbagai kenyataan mendahului Najib dalam banyak perkara sebelum ini, apakah ianya bukan indikator bahawa Presiden Umno itu tidak boleh diharap untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat?

Apakah dengan sebab itu kempen menjatuhkan Najib sedang giat dijalankan kumpulan pro Muhyiddin? Kita nantikan episod seterusnya, apakah rumah 'syaitan' akan roboh akibat dimakan anai-anai belaan sendiri? Sama-sama kita saksikan.

Saturday, September 1, 2012

Apabila syaitan hulurkan salam

Mohd Rashidi Hassan, 02 Sep 2012

GAMBAR HIASAN JE NIE
Dalam tempoh seminggu yang lalu, Umno-Barisan Nasional cuba untuk mendapatkan momentum dengan memainkan pelbagai isu bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat, khususnya dalam isu hudud. Sebelum itu, dalam bulan Ramadan mereka memainkan isu air di Selangor.

Sehari dua ini, Umno melalui akhbar Utusan Malaysia miliknya, cuba untuk menghangatkan dalaman PAS, dengan memainkan sokongan ulama PAS terhadap bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Namun, kita percaya kepimpinan dan ahli-ahli PAS cukup matang untuk menilai dan memperhalusi propaganda jahat Umno melalui Utusan, barang dijauhkan kita daripada tempias fitnah mereka.

Apa jua propaganda dan adu domba yang cuba dimainkan Umno, malangnya mereka terperangkap dengan pengakuan mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memperakui bahawa Umno-BN tergolong dalam kelompok 'syaitan yang dikenali.'

Di dalam al-Quran, memang disebut Allah dengan jelas ayat 'hizbus syayatin' atau parti syaitan yang bertentangan dengan 'hizbullah' (parti Allah).

Namun PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat, tidak pernah menuduh Umno-BN syaitan. Kami pun tidak pernah mengakui kami ini malaikat.


Justeru, tuduhan itu tidak datang dari kelompok kami. Mengakui diri sendiri atau parti sendiri sebagai syaitan adalah pengakuan bertulis dan kenyataan memperkukuhkan tulisan, secara sedar oleh Dr Mahathir sendiri.

Habis tinggi pun, ada buku yang mengaitkan Umno-BN sebagai 'Shit' seperti karya Sasterawan, Dato' Shahnon Ahmad dan cerpen 'Maharaja Beruk' tulisan Yahya Ismail.

Pengakuan Dr Mahathir ini, khabarnya amat mengejutkan PM, Dato' Seri Najib Tun Razak dan seluruh anggota Majlis Tertinggi Umno. Malah seluruh ahli Umno terkedu dan terdiam, kerana Dr Mahathir yang disanjungi sebagai 'godfather' mereka, mantan ketua Umno yang paling lama dalam sejarah Malaysia, iaitu lebih 22 tahun, mengakui bahawa mereka adalah parti syaitan.

Dr Mahathir, merupakan faktor dominan yang menindoktrinasi Umno-BN. Kata-kata beliau dianggap sebagai 'keramat' bagi sesetengah anggota Umno yang taksub. Hari ini, Dr Mahathir mengemukakan doktrin syaitan lebih baik daripada malaikat dan syaitan itu adalah Umno-BN. Siapa dalam Umno yang hendak lawan hujah mantan Presiden mereka?

Ada rakan-rakan Umno mengeluh kerana bagi mereka, kenyataan Dr Mahathir 'backfire' kepada Umno-BN dan menjejaskan perancangan Najib untuk membubarkan Parlimen.

Kerana, menurut sumber Jabatan Perdana Menteri, sudah ada cadangan kukuh untuk dibubarkan Parlimen minggu lepas, cukup masa yang diperlukan, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan sebelum umat Islam berangkat menunaikan ibadah haji.

Namun semua perancangan tergendala kerana pada anggapan Najib, Dr Mahathir 'bikin rosak ana punya program'. Ada kemungkinan mantan PM itu sengaja membuat pasal, kerana beliau sendiri yang menggesa Najib, memerintah sampai habis penggal, iaitu hingga Mac depan. Dalam erti kata lain, pada beliau jika dibuat PRU sekarang, BN gelap masa depan.

Tetapi pada orang Umno, bukan soal bubar Parlimen atau tidak, semata-mata. Soalnya, mantan PM itu lebih banyak bercakap dari Najib. Sama ada cakapnya 'lebih celupar' sehingga banyak menjejaskan Umno atau mungkin dia sudah semakin merepek, akibat faktor usia yang agak lanjut.

Apa pun pada kita, Dr Mahathir itu Umno dan kenyataannya refleks kepada pegangan dan masa depan Umno. Banyak usaha yang dibuat Umno untuk menarik PAS berkawan dengannya. Banyak usaha Umno, mengajak PAS meninggalkan Pakatan Rakyat. Sehingga terpacul kenyataan Dr Mahathir, mengajak PAS bekerjasama dengan Umno untuk memperjuangkan isu hudud.

Kita tidak harus mempertikaikan keikhlasan mana-mana pihak untuk bersatu padu dan berkawan untuk kebaikan. Islam sendiri pun mengarahkan kita bersatu padu pada jalan Allah dan jangan sesekali berpecah belah. Malah Islam melarang kita mengetepikan sebarang usaha murni ke arah perpaduan dan silaturrahim.

Namun, dalam konteks politik hari ini, apakah salam persaudaraan dari parti yang mengaku diri mereka sebagai syaitan, wajar kita terima dan pertimbangkan?

Seperti yang tercatat pada sirah Nabi Isa a.s. Walaupun berbalas ucapan salam itu mendapat pahala, baginda enggan menjawab salam, kerana salam itu datangnya dari makhluk yang jahat seperti syaitan.

Justeru, kita bagaimana?

Monday, August 27, 2012

Asas perbezaan sebenar PAS dengan Umno

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Dalam beberapa hari menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri, sehin gga kini, polemik mengenai hukum hudud dibangkitkan semula, sehingga riuh rendah media massa memainkan isu ini.

Adakah di kalangan kita, boleh menerima alasan, bahawa isu mengenai hukum hudud ini dibangkitkan dan digembar-gemburkan media massa yang dikuasai kerajaan Umno-Barisan Nasional, kerana mereka kini sudah sedar dan benar-benar ikhlas, bangkit untuk memperjuangan Islam?

Dan dengan kesedaran ini juga Umno-BN akan bangkit melawan bermati-matian, terhadap semua tentangan golongan bukan Islam terhadap hukum hudud?

Sudah tentu tidak. Tujuan utama media pro Umno-BN membangkitkan isu ini hanya satu sahaja. Iaitu mereka memang mahu memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama yang wujud di antara PAS dan DAP. Oleh sebab itu apabila DAP menentang hudud, mereka akan bangkit dan memaki hamun DAP, tetapi apabila MCA menentang hudud, Umno 'duduk menikus di belakang pintu'.

Jelas kepada kita, Umno-BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP. Kerana Umno tahu, PAS dan DAP merupakan tonggak yang kuat dalam Pakatan Rakyat.

Selama mana PAS dan DAP berpadu, selama itulah Umno-BN takut untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Maka, media massa diarahkan oleh pemimpin Umno-BN untuk berusaha keras dan cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini, dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan di antara kedua-dua pihak.

Agenda setting mereka mudah. Jika pemimpin kedua-dua parti melatah dan bergaduh, mudah mereka 'masuk jarum' untuk mencetuskan perbalahan dan dalam masa yang sama memaparkan imej negatif di kalangan rakyat, bahawa parti-parti Pakatan Rakyat tidak 'sekepala', oleh itu mereka tidak layak diberikan kuasa untuk memerintah. Itu sahaja agenda Umno.

Oleh itu pemimpin PAS dan DAP khususnya, usaha melatah menurut 'agenda setting' yang dibentuk menurut acuan Umno.

Sebelum ini, media pro-Umno memainkan isu DAP kafir harbi kerana menentang hudud dan seolah-olahnya MCA yang bersekongkol dangan Umno adalah kafir zimmi.

Apabila isu ini mendapat tentangan hebat rakyat dan MCA dengan keras mengeluarkan kenyataan menentang hudud, pemimpin Umnpo terdiam. Usaha mereka untuk memainkan sentimen agama dengan menuduh DAP 'jahat' tidak kesampaian kerana rakan baik mereka iaitu MCA, pun sama-sama 'jahat' menentang Islam.

Isu sebenar ini di sini, bukan soal DAP atau MCA. Mereka adalah golongan bukan Islam. Tidak pelik bagi bukan Islam, yang menentang dilaksanakan hukum-hukum Islam.

Isu asasnya di sini adalah kecelaruan tahap kefahaman Islam yang ada pada pemimpin dan orang-orang Umno. Sejak dahulu lagi, direkodkan beratus-ratus kenyataan pemimpin Umno yang berketurunan Melayu, yang beragama Islam, menentang hukum-hukum ciptaan Allah dan mempersenda-sendakan hudud.

Kenyataan dan cercaan itu mereka buat, ketika Umno berada di puncak kuasa, yang terlalu hebat dan gah, sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapa pun.

Maka apakah hari ini, apabila parti mereka sudah jatuh terjelepuk dan hampir terhumban ke lubang gaung, baru mereka hendak sedar dan menerima hukum hudud sebagai hukum yang wajib ditaati, diimani dan dilaksanakan sebagai seorang Islam?

Sifat Umno ini berbeza dengan PAS. PAS konsisten dengan perjuangan Islam sejak dahulu hingga hari ini. Tiada perubahan dalam soal dasar, tiada kompromi dalam melaksanakan kehendak Allah yang termaktub di dalam al-Quran.

PAS hanya mengubah pendekatan dan strateginya, sesuai dengan keperluan politik semasa, selama mana ianya bertepatan dengan garis panduan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Pemahaman dan pegangan Islam inilah yang membezakan PAS dengan Umno. PAS menjadikan politik sebagai platform untuk memperjuangkan Islam, manakala Umno mempergunakan Islam sebagai platform untuk terus berkuasa.

Justeru, tiada jalan lain untuk menyelamatkan Islam, melainkan menurunkan Umno dari tampuk kuasa.

Wednesday, July 11, 2012

Umno menuai berkat daripada kilang arak San Miguel

Mohd Rashidi Hassan

Sudah hampir sepuluh tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada orang kata buang 'dakwat' sahaja kalau hendak menulis atau mengkritik mantan PM ini.

Namun, kadang-kadang kita perlu diimbaskan kembali wajah politik Dr Mahathir, yang sehingga kini, masih mendominasi atau dictate masa depan Umno, khususnya pelbagai gesaan yang beliau lakukan terhadap PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi sehingga hari ini Dr Mahathir masih aktif berpolitik, mengeluarkan kenyataan politik dan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi sasarannya. Nampak jelas mantan Presiden Umno itu sangat berjaki dengan Anwar.

Baru-baru ini beliau terus menyerang Anwar dan menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersara daripada politik.

"Ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu! Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar dalam ceramahnya di Selayang, baru ini.

Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya. Sedangkan selama ini, beliau tidak pernah mengacau dan telah pun memaafkan bekas PM tersebut.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa? Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan pada September 1998.

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang dibutakan dengan fakta. Mereka digelapkan daripada mengetahui kekayaan Dr Mahathir anak-beranak. Kita tidak menuduh beliau kaki rasuah, namun sewaktu beliau masih menjadi PM lagi, anak-anaknya didapati menguasai lebih 160 buah syarikat, mengikut dokumen daripada Pendaftar Syarikat.

Apa yang disebutkan Anwar harus dibongkar. Bagaimana mereka sekeluarga boleh memperolehi kekayaan mencecah puluhan bilion ringgit? Ini tidak harus kita diamkan.

Apa pun, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Beliau juga berjaya mendidik anak-anaknya, supaya berjaya dalam politik dan perniagaan.

Dr Mahathir adalah bapa mithali. Seorang bekas PM yang hebat dan bekas Presiden Umno yang berjaya. Beliau berjaya kerana beliau dan anak-anaknya menguasai konglomerat terbesar.

Bukan sahaja di Malaysia. Khabarnya kekayaan mereka meliputi Filipina sehingga ke Buenos Aires, Argentina. Kita tidak tahu sama ada syarikat yang dikuasai mereka, meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Kyrgyzstan, Kazakhstan dan lain-lain.

Justeru, seluruh anggota dan pemimpin Umno harus mengambil contoh kejayaan Dr Mahathir, anaknya Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz.

Anak sulungnya, Mirzan membuktikan bahawa beliau adalah Bumiputera yang berjaya, hasil didikan Umno. Beliau adalah intipati daripada profesional yang berjaya, hasil doktrin perjuangan kebangsaan Melayu Umno.

Mana tidaknya. Bukan senang orang Melayu hendak berjaya dalam perniagaan. Bukan senang kaum Bumiputera, anak seorang pemimpin Islam boleh menguasai syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Seorang lagi anak Mahathir, Mokhzani, bekas bendahari Pemuda Umno adalah pemilik Kencana Petroleum. Kencana merupakan salah sebuah dari tujuh syarikat yang mendapat lesen menggali minyak daripada Petronas. Bapanya, merupakan Pengerusi Petronas. Ada sumber memberitahu kekayaan Mokhzani, hasil daripada syarikat minyaknya, mencecah RM1.6 bilion.

Anak bongsunya, Dato' Mukhriz, walaupun kerjaya politik tidak seberapa, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pun kalah, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri. Sekarang ini, beliau mencadangkan Mukhriz menjadi antara bakal calon Menteri Besar Kedah. Itu pun jika BN menang, kalau BN melingkup, tiada ada apa hendak dikata lagi.

Bercerita tentang kehebatan Mirzan. Beliau sebelum ini, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.


Walaupun San Miguel turut terbabit dalam beberapa bidang perniagaan lain, tetapi yang jelas penglibatan Mirzan, selaku anak kepada bekas PM, anak bekas Presiden Umno yang beragama Islam, yang partinya mendakwa parti Islam terbesar dalam Malaysia, mencetuskan banyak persoalan.

Hari ini rakyat Malaysia mempersoalkan pula, bagaimana Mirzan melalui San Miguel berjaya menguasai syarikat minyak Esso Malaysia. Esso kemudiannya menukar nama kepada Petron dan Petron diberi kontrak untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

MAS sebelum ini mendakwa mengalami kerugian, kerana terpaksa menanggung kos bahan api yang dibekalkan oleh Petronas, dan Dr Mahathir selaku Pengerusi Petronas.

Esso sudah 'direbranded' sebagai Petron selepas syarikat asal dari Filipina, Petron Corp yang merupakan sebahagian daripada syarikat milik konglomerat San Miguel menjadi pemegang saham terbesar Esso Malaysia dengan pegangan saham sebanyak 73.4 peratus.

Apa yang jelas hari ini, Putrajaya yang dipimpin Najib begitu membisu dengan penguasaan ekonomi yang semakin rancak oleh anak-beranak Dr Mahathir. Yang jelas, mereka semakin mendominasi ekonomi negara. Penuh dengan 'conflict of interest.'

Kita menggesa Putrajaya untuk memberi penjelasan bagaimana syarikat-syarikat yang merupakan aset penting negara, boleh dikuasai oleh entiti asing dengan harga belian di bawah harga pasaran sebenar.

Seperti yang ditegaskan Anwar, Najib harus membuat penjelasan kepada rakyat, mengapa semua urusniaga yang membabitkan Petronas, MAS, Petron dan sebagainya, dilakukan untuk kepentingan Dr Mahathir anak-beranak?

Bagi Dr Mahathir, beliau anak-beranak, boleh tersenyum bangga kerana mereka merupakan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan, dengan nilai syarikat-syarikat besar yang mereka kuasai mencecah puluhan bilion ringgit.

Tetapi bagi rakyat, kami tidak akan berpuas hati. Kami tidak akan meredai harta milik negara diserahkan kepada syarikat kroni pemimpin Umno. Harta rakyat bukan harta yang mudah-mudah hendak dibidak-bidak pemimpin Umno anak-beranak.

Justeru kita menuntut Putrajaya memberi penjelasan segera. Kita juga menuntut Dr Mahathir dipecat daripada Petronas kerana pelbagai kepentingan negara diraih beliau anak-beranak. Negara akan musnah jika pemimpin Umno dibiarkan untuk bebas sebegini.

Kayalah kamu, mewahlah hidup kamu wahai pemimpin Umno! Itulah berkat daripada kilang arak San Miguel! Berkat dari perjuangan kebangsaan, tanpa mengira halal haram. Meminjam kata Najib di Felda tempohari, memang 'haram jadah'!

Sunday, June 10, 2012

Himpunan Hijau langkah gagah PAS ke Putrajaya

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Tiada sebab untuk PAS menoleh kebelakang. Tiada sebab untuk PAS berasa dirinya lemah. Tiada sebab untuk PAS berasa ianya masih belum mendapat sokongan kukuh orang Melayu.

PAS berada dalam pentas politik sudah lama. Berada di tahap yang begitu matang, bukan alasan PAS harus berbangga atau sebaliknya.

Sebagai sebuah parti yang mengasaskan perjuangannya dengan asas Islam, PAS yakin dengan janji Allah. Janji Allah bahawa golongan Islam akan mencapai kemenangan menewaskan golongan yang ingkar.

Kemenangan akhirnya akan berpihak kepada Islam. Justeru, PAS yakin bahawa akidah yang PAS pegang adalah benar, perjuangan yang PAS dukungi badalah benar. Dan PAS yakin bahawa persefahaman yang PAS wujudkan bersama-sama parti rakan dalam Pakatan Rakyat adalah bertepatan dengan Islam.

Ianya berasaskan kepada tahaluf siyasi yang dirangka mengikut kaedah syarak.

PAS yakin bahawa pendekatan PAS dalam persoalan politik selama ini, adalah pendekatan yang benar, pendekatan yang diredhai Allah SWT kerana ianya berasaskan kepada hujah nas dan syarak.

Justeru, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, tidak harus berasa gentar, tidak harus berasa goyah dengan dakwaan bahawa persefahaman kita dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tidak bertepatan dengan kehendak agama.

Himpunan Hijau menuju ke Putrajaya pada 1 Jun 2012 di Stadium Darul Aman, Alor Setar adalah bukti segala-galanya.

Ianya membuktikan bahawa, PAS adalah sebuah parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara. Ianya bukti PAS adalah parti yang kuat dan mendapat sokongan besar rakyat, khususnya dari kalangan orang-orang Melayu.

Himpunan Hijau yang berjaya menghimpunkan ratusan ribu pemimpin, ahli dan penyokong, membuktikan bahawa PAS bukannya parti yang calang-calang untuk di pandang enteng.

Himpunan Hijau merupakan iltizam seluruh kepimpinan dan penyokong PAS, bahawa tekad utama mereka adalah untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Himpunan Hijau membuktikan bahawa PAS berada di dalam gelanggang politik dalam keadaan gagah dan bersedia untuk mengharungi segala rintangan dan badai.

Manakala lawannya Umno-BN, tidak harus menafikan bahawa mereka berasa amat gerun dengan kekuatan PAS, serta kesepaduan Pakatan Rakyat, sehingga ada pemimpin mereka yang mengatakan bahawa PRU ke-13 ini, merupakan penentu hidup mati Umno.

Bagi PAS, orang-orang PAS yang sama tekadnya dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, azam PAS pada PRU ini, tidak dapat tidak adalah untuk menumbangkan Umno-BN.

Tiada istilah hidup buat Umno dalam politik Malaysia. Tiada jalan lain untuk memulihkan demokrasi, memulihara sistem politik, menyelamatkan negara dari kebangkrapan, selain melenyapkan Umno dari tampuk kuasa dalam negara.

Keyakinan rakyat, yang memberi kepercayaan kepada PAS serta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menguasai lima negeri pada PRU 2008, terus subur dan mekar.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa PAS dan Pakatan Rakyat berjaya menjalankan urustadbir negeri dengan baik dan cemerlang, tidak sesekali dapat digoyahkan Umno-BN.

Pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tidak berhenti-henti menyerang Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dianggap sebagai 'riuh murai, tetapi ekor bersepah dengan najis' apabila, negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka jatuh terjelepuk ke lembah kebangkapan.

Dabik dada mereka bahawa merekalah parti pentadbir yang baik sudah tidak kedengaran, ego mereka bahawa mereka pandai mengurus ekonomi negeri dan negara sudah dipadamkan. Yang tinggal bagi Umno-BN, hanyalah politik air liur dan retorik palsu.

Semakin bongkak mereka melaung, semakin banyak salahlaku, penipuan, rasuah, skandal dan penyelewengan pemimpin-pemimpin Umno-BN terbongkar satu persatu.

Manakala negeri-negeri yang dikuasai PAS seperti di Kelantan, sudah menjangkau 22 tahun, sehingga hari ini diisytihar bebas dari rasuah. Selama empat tahun pemerintahan di Kedah, juga bebas rasuah. Samalah seperti di Selangor dan di Pulau Pinang.

Justeru kita amat yakin bahawa fenomena kebangkitan rakyat pada PRU 2008 dan perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah suatu kebenaran, yang bakal memacu kepada perubahan besar dalam negara pada PRU ke 13 nanti.

Ia adalah peluang terbaik rakyat untuk menumbangkan BN dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat, dengan PAS, salah sebuah parti utama yang menunjangi kerajaan baru Malaysia. Hidup Islam! Hidup PAS!

Sunday, April 8, 2012

Bersih 3.0 jawapan kepada penipuan BN

Mohd Rashidi Hassan


Sewaktu di Phnom Penh, Kemboja, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak kononnya berkata, bahawa beliau akan memastikan Pilihan Raya Umum ke-13, berlangsung dengan adil dan demokratik.

Najib juga mengatakan bahawa beliau tidak mahu menang dengan cara yang kotor pada PRU tersebut.

Namun apa pun, kita menyambut baik apa yang diperkatakan kepada PM, mudah-mudahan beliau tidak sekadar 'melepaskan batuk di tangga' atau 'baling batu, sembunyi tangan.'

Malangnya masih ada juak-juak Umno-Barisan Nasional memberi hujah dangkal, kononnya jika pilihan raya tidak demokratik, mana mungkin parti pembangkang boleh menang sehingga menguasai beberapa buah negeri.

Dengan hujah sedangkal ini, rupa-rupanya, masih ada segelintir pemimpin Umno-BN yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa, dengan kuasa rakyat, ia mampu mengatasi segala perancangan dan menghapuskan keegoan mereka.

Kemenangan mereka selama lima dekad sejak merdeka, bukan bermakna pilihan raya diadakan secara adil dan demokratik.

Pilihan raya dijalankan dengan tidak adil. Semua institusi kerajaan dikerahkan untuk bekerja memenangkan BN. SPR, Polis dan media massa terutamanya, berpihak kepada BN.
Tetapi keangkuhan dan keegoaan BN ada hadnya.

Kita mengingatkan pemimpin dan pendukung BN, mereka harus sedar bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar pembangkang yang boleh dianggap remeh kuasanya.

Pakatan Rakyat adalah suatu force yang mewakili kuasa rakyat yang sebenar. Pada PRU ke 12 tahun 2008, Pakatan Rakyat memperolehi lebih 48 peratus undi popular dari kalangan rakyat.

Rakyat yang bangkit dengan penuh kesedaran, memberikan signal kepada BN, bahawa manipulasi mereka selama lima dekad, sudah sampai ke penghujungnya.

Rakyat mahu pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil. Lapan tuntutan yang dikemukakan menerusi Pakatan Rakyat adalah kehendak majoriti rakyat.

Kehendak ini berasaskan kepada hak rakyat untuk memilih parti yang mewakili mereka sebagai kerajaan, dengan pemilihan yang bebas dan adil, tanpa dipengaruhi dengan pelbagai penipuan, penyelewengan dan manipulasi.

Manipulasi daftar pemilih, dengan pertambahan mendadak pengundi di kawasan tertentu, ditambah dengan kenaikan pengundi pos, merupakan suatu tindakan yang tidak boleh diterima rakyat.

Tetapi apabila dibangkitkan isu ini di Parlimen, kerajaan mengatakan ianya adalah di bawah bidang kuasa SPR. Malangnya desakan ini tidak diterima dan tidak dihiraukan SPR.

Mengapa SPR tidak hiraukan tuntutan rakyat? Sudah tentu ada tangan-tangan kotor di dalam SPR yang menjadi seumpama 'hamba yang menyembah tuannya'.

Kita ajukan persoalan, siapakah tuan kepada SPR?  SPR di bawah kuasa siapa, kalau bukan oleh PM yang juga Presiden Umno.

Umno-BN boleh memberikan alasan bahawa SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang hanya dinasihati oleh PM.

Tetapi Umno-BN tidak boleh menipu rakyat, bahawa Pindaan Perlembagaan yang dibuat Parlimen pada tahun 1993, sudah melucutkan kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Justeru, dengan pindaan ini, walaupun ianya dinamakan 'nasihat', tetapi menurut Perlembagaan, ianya adalah keputusan PM yang mesti diterima oleh YDP Agong.

Oleh itu dalam soal pilihan raya ini, SPR bukan badan bebas. Ia tetap tertakluk di bawah kuasa PM. Ini bermakna, ia tidak boleh lari daripada mendengar arahan tuannya. Arahan untuk memenangkan parti tuannya.

Maka oleh itu, kita mencabar PM Najib, jika benar beliau berjanji untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, beliau harus membenarkan suara rakyat untuk didengari.

Suara rakyat adalah kuasa keramat rakyat di bawah panji Bersih 3.0. Jangan sesekali kesampingkan kuasa rakyat yang akan berhimpun di Dataran Merdeka pada jam 2 petang 28 April ini. Hidup rakyat, hancur BN!

Sunday, April 1, 2012

Episod malang rakyat Johor bakal berakhir

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Johor memang kubu kuat Umno. Bak kata orang, kalau letak tunggul kayu yang pakai lambang dacing pun, sudah tentu Barisan Nasional akan menang.Tetapi itu dahulu. Itu cerita lama. 

Rakyat Johor sudah semakin 'celik mata' sekarang, zaman menjadi 'pak angguk' Umno-BN sudah tamat.

Johor bukan lagi 'stok politik' Umno-BN. Kata orang Johor, 'Dek kerana ketaksuban mereka menyokong Umno-BN lah yang menyebabkan, Umno-BN 'beraja di mata bertakhta di hati', membuat apa sahaja untuk kepentingan mereka.

Sejak akhir-akhir ini, kedangkalan Umno-BN Johor semakin tersingkap. PAS Johor ada banyak isu untuk memecahkan tembok penguasaan Umno.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, tidak jemu-jemu bangkit memperjuangkan hak rakyat, khususnya nasib orang-orang Melayu di Johor.

Kata Suhaizan, rakyat Johor 'macam api dalam sekam', tidak nampak dari atas, tetapi di bawah tanah, panasnya cukup membara.
Buat masa ini, ada dua isu besar yang diperjuangkan Ketua Pemuda PAS Johor itu.

Iaitu, pertama: Projek Terbengkalai Taman Desa Kempas melibatkan tanah kerajaan negeri Johor.

Kedua, isu setinggan Kempas tidak mendapat sebarang pampasan.

Pembeli-pembeli rumah Taman Desa Kempas, Tampoi sangat kecewa dengan pemaju perumahan Maju Delima yang gagal dalam pembinaan rumah di taman ini.

Projek perumahan Taman Desa Kempas telah mula dibangunkan pada tahun 2001 dan sepatutnya siap pada tahun 2004.

Malangnya sehingga tahun 2011 rumah mereka yang berada di fasa ke tiga, empat dan lima masih gagal disiapkan.

Fasa-fasa ini meliputi dua jenis rumah iaitu pangsapuri yang berharga RM88 ribu hingga RM100 ribu dan flat kos rendah yang berharga sekitar RM22 ribu. Rumah pangsapuri hanya siap 80 peratus dan rumah kos rendah hanya siap sekitar 40 peratus sahaja.

Mereka banyak kali mengadakan pertemuan dengan pemaju tetapi malangnya setiap janji yang diberikan tidak ditunaikan oleh mereka.

Pada 2 November 2011, pihak mereka berjumpa dengan wakil Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.

Pertemuan ini diaturkan oleh Pusat Aduan Rakyat Kempas yang dipengerusikan oleh Suhaizan.

Permasalahan ini juga sudah diajukan kepada Adun Kempas, Dato' Othman Bin Sapian tetapi setakat ini belum nampak sebarang perubahan kepada projek yang dimaksudkan.

Mereka terpaksa bertemu dengan pelbagai pihak untuk mengadu masalah yang mereka hadapi.

Mereka terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang untuk mempastikan projek ini dapat disiapkan dengan kadar segera.

Rakyat terpaksa membayar setiap bulan bayaran bulanan. Oleh kerana rumah mereka belum siap maka mereka terpaksa menyewa rumah di kawasan sekitar.

Maka, mereka yang tertindas ini, terpaksa membuat dua bayaran sekali gus iaitu bayaran bulanan rumah Taman Desa Kempas dan sewa rumah yang kami diami sekarang.

Perkara ini sangat membebankan mereka sekeluarga. Jika tiada sebarang perubahan terhadap projek ini maka sebahagian daripada mereka akan tetap berpindah ke taman ini pada tahun ini.

Mereka dalam keadaan terpaksa. Mereka juga akan membuat siri-siri tunjuk perasaan di kawasan ini bagi mendesak semua pihak menyegerakan projek ini.

Masalah ini juga sudah diajukan kepada Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Chor Chee Heung dan senaskah dokumen telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak, semasa lawatan beliau ke Johor baru-baru ini. Malangnya sampai hari ini projek ini gagal disiapkan.

Projek tersebut merupakan kerjasama antara Maju Delima Sdn Bhd dengan kerajaan Negeri Johor. Kegagalan projek ini membuktikan gagalnya kerajaan negeri Johor mencari rakan kongsi yang baik untuk rakyat. Kerajaan Johor gagal menguruskan tanahnya untuk kepentingan rakyat.

Menyedari kegagalan berterusan kerajaan negeri Johor menyelesaikan masalah rakyat, maka PAS Johor mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu Dialog Masalah Tanah Rakyat Negeri Johor akan diadakan pada Sabtu 31 Mac 2012, pada jam 2 -5 petang di Hotel Good Hope, Skudai.

Rakyat yang menjadi mangsa isu tanah di Johor dijemput hadir. Tujuan dialog adalah untuk merangka suatu tindakan untuk pihak kerajaan melaksanakan tuntutan mereka. Hadir sama dalam dialog ini adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Sasterawan Negara, Dato, A Samad Said.

Motif program harus diperjelaskan, iaitu PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat bertekad, untuk menghentikan episod malang yang melanda rakyat Johor sekian lama

Wednesday, March 28, 2012

BN akan gunakan kaedah "GELOMBANG BIRU 2004" untuk meranapkan PAKATAN RAKYAT semasa PRU13 nanti...!!!

PRU13: SPR reka 'Formula Terengganu' menangkan BN?

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Pakatan Rakyat mempunyai cukup bukti, bahawa ada dalang dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berusaha merencanakan suatu penipuan besar-besaran, pada senarai pendaftaran pengundi, untuk memenangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Pakatan Rakyat mempercayai, wujudnya persekongkolan pihak tertentu yang ada dalam SPR dengan Umno-BN, bagi membantu mereka mengekalkan kuasa dengan menyekat kebangkitan rakyat yang sudah komited menolak BN.

Ini bertepatan dengan ramalan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang mengatakan BN hanya selamat di tiga buah negeri, iaitu Johor, Melaka dan Pahang. Ini bermakna, Umno-BN sudah tidak selamat di sembilan buah negeri di Semenanjung.

Difahamkan hasil kajian sebuah firma pengkaji bebas yang dibayar BN, mereka menghadapi ancaman besar pada PRU kerana di Semenanjung sahaja, hampir 100 kerusi Parlimen yang bakal memihak kepada Pakatan Rakyat.

Pola kecenderungan rakyat dirakam firma pengkaji bebas turut menunjukkan seluruh agenda transformasi dan rancangan pembaharuan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sehingga kini, masih gagal mempengaruhi rakyat menyokong BN.

Justeru akibat gagal menemukan formula terbaik untuk menyelamatkan 'takhta' kerajaan BN, maka tiada jalan lain dilakukan, selain merancang penipuan besar-besaran, dengan kerjasama pihak tertentu dalam SPR.

Antara formula yang dikemukakan pihak terbabit kepada kelompok atasan dalam Umno ialah, mengekalkan kuasa dalam PRU dengan menggunakan 'Formula Terengganu' pada tahun 2004.

Ia dinamakan 'Formula Terengganu' kerana hasil persekongkolan dengan pihak dalaman SPR, senarai daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR mencatat kenaikan sehingga 17 peratus dalam daftar undi, paling tinggi dalam sejarah demokrasi negara, sehingga menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu tumbang pada PRU 2004.

Pada PRU 2004 undi PAS di Terengganu meningkat di kebanyakan kawasan, tetapi yang peliknya undi untuk Umno-BN meningkat naik dua kali ganda, sehingga ada kawasan pilihan raya, peratusan pengundi yang keluar hampir mencapai 100 peratus.

Dipercayai, formula inilah yang sedang cuba dilaksanakan oleh Umno-BN dengan kerjasama juak-juak mereka dalam SPR.

Penipuan yang terancang ini dikesan Pakatan Rakyat dan didedahkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar beliau di Parlimen, 22 Mac lepas.

Pakatan Rakyat mendapati, sekurang-kurangnya, wujud tiga elemen yang meragukan hasil daripada salahlaku SPR dalam daftar pemilih dan senarai nama-nama baru yang sedang diproses masuk dalam senarai daftar pemilih.

Elemen pertama dikesan berikutan daripada pengumuman SPR pada 31 Januari 2012, bahawa wujud sekitar 40,025 pengundi ragu dan yang disahkan sebagai pengundi ragu, tetapi sehingga kini masih terdapat dalam senarai daftar pemilih SPR.

Elemen kedua adalah wujudnya pengundi berganda pada satu-satu alamat. Pengundi berganda ini mencakupi 354 alamat yang senarai pengundi pada satu-satu alamat itu di antara 100 hingga 1000 orang. Jumlahnya amat besar sehingga mencapai 79,098 pengundi seluruh negara.

Jumlah ini tidak lagi diambil kira senarai berpuluh-puluh pengundi dalam satu alamat. Kita memahami jika satu alamat itu dimaksudkan bagi sebuah rumah panjang atau kampung. Tetapi dalam daftar pemilih SPR, terdapat 100 pengundi pada satu alamat rumah yang berada di kawasan perumahan. Tidakkah ianya meragukan?

Elemen ketiga yang lebih serius ialah dengan pengumuman SPR, bahawa terdapat 240,000 undi pos di kalangan petugas SPR mesti dikategorikan sebagai undi Pos.

Jumlah ini amat mengejutkan Pakatan Rakyat. SPR tidak memerlukan jumlah petugas pos seramai itu dan ianya jelas bakal dimanipulasikan untuk memenangkan BN.

Tiga elemen didedahkan ini, amat jelas akan memberikan impak besar dalam PRU ke-13. Impak besar untuk mengekang kemaraan gelombang rakyat. Impak besar untuk memberikan kemenangan dua pertiga majoriti kepada Umno-BN.

Pakatan Rakyat bangkit menolak cadangan SPR dan usaha terancang pihak tertentu dalam SPR ini kerana, dalam sejarah PRU di Malaysia, undi pos adalah alat Umno-BN mengekalkan kuasa.

Ini merupakan jenayah terancang pihak tertentu kerana, jumlah pengundi ragu dan pengundi pos amat besar. Ia belum ditambah dengan pengundi pos yang sedia ada dari kalangan tentera, polis serta pasangan mereka.

Jenayah ini juga belum diambil kira dengan kemasukan mendadak nama-nama pengundi Selangor yang kebanyakannya menggunakan warga asing yang diberikan kad pengenalan sebagai pengundi.

Dengan latar belakang fakta ini, amat wajar Pakatan Rakyat bersikap prejudis bahawa, ada pihak dalam SPR yang berniat jahat dan berat sebelah untuk memenangkan Umno-BN.

Modus operandi yang sama digunakan dalam 'Formula Terengganu' akan digunakan, pada PRU ke 13 kali ini bagi mengelakkan kekalahan Umno-BN yang sedang terdesak dan nazak.

Kita mendesak SPR menghentikan kerja-kerja jahat ini, kerana ia bakal menimbulkan kekecohan besar pada PRU akan datang.

SPR jangan sesekali mencabul kedaulatan demokrasi. Ia mesti telus dan bersikap adil dalam mengendalikan PRU ke 13.

Rakyat tidak bersedia untuk ditipu buat sekian kalinya oleh SPR yang bertindak sebagai cawangan Umno.

Monday, February 27, 2012

Institusi kehakiman rosak punca imam baling kasut

MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my, 27 Feb 2012

Negara digemparkan dengan keberanian seorang imam, yang membaling sepatunya ke arah Hakim Mahkamah Persekutuan, suatu institusi mahkamah tertinggi dalam negara yang seharusnya dihormati seluruh rakyat.

Imam Houslan Hussin, melempar dua sepatunya satu persatu, hampir mengenai panel tiga orang hakim, iaitu Tan Sri Dato' Zulkifli Ahmad Makinuddin, Dato' Suriadi Halim Omar dan Datin Zaleha Zahari.

"Keputusan hakim tidak menepati keadilan mengakibatkan saya melemparkan sepatu saya kepada hakim, bukan bertujuan menghina mahkamah.

"Keputusan itu menyokong orang-orang dan pentadbir masjid yang menyelewengkan beratus ribu duit Masjid Ar-Rahimah sebagaimana laporan yang telah dihantar kepada ketua polis negara," katanya dalam laporan polisnya.

"Saya hanya seorang imam sahaja. Saya tidak tahu undang-undang ini (prosedur mahkamah) semua," kata Hoslan ketika mengulas mengenai keputusan mahkamah yang menolak permohonan rayuannya.

Apa sahaja rentetan peristiwa yang mendorong seorang Imam bertindak sebegitu nekad bukan menjadi persoalan pokok.

Persoalan pokoknya ialah kredibiliti dan imuniti institusi kehakiman yang sudah tiada ada penghormatannya dari kalangan rakyat.

Imam Houslan hanya seorang individu kerdil. Namun beliau boleh menjadi ikon pencetus reformasi dalam negara. Tidak pernah mahkamah yang sebegitu dihormati diperlakukan sedemikian rupa.

Membaling kasut ke arah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang tinggi darjat kedudukannya, merupakan suatu penghinaan yang memalukan.

Walaupun kita berterima kasih ke atas jiwa besar hakim-hakim tersebut yang tidak mengenakan sebarang hukuman yang boleh disabitkan sebagai contempt of court atau menghina mahkamah, namun jika imam tersebut dikenakan hukuman, nescaya ia akan mengundang situasi yang lebih parah.

Insiden ini seharusnya menyedarkan hakim-hakim. Tugas mereka adalah melindungi serta memelihara kepentingan rakyat dan negara. Bukan menjadi pak turut kepada teraju politik yang dikuasai Umno-Barisan Nasional.

Hakim-hakim yang berkepentingan, membuat rencana keputusan bagi melindungi kepentingan penguasa yang zalim, sememangnya akan diberikan kenaikan pangkat, mendapat laba yang besar.

Namun mereka ini amat hina disisi Allah SWT dan hodoh pada pandangan rakyat jelata.

Dakwaan bahawa hakim-hakim dalam negara tidak bebas dan memihak kepada Umno-BN bukannya datang dari kalangan Pakatan Rakyat. Pengakuan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaidin Abdullah, bahawa wujud campurtangan politik di dalam institusi kehakiman, menunjukkan ianya memang pincang.

Institusi kehakiman pincang kerana kejahatan pemimpin Umno-BN yang mahu kuasa mereka dilindungi dan dijamin.

Insiden membaling kasut oleh Imam Houslan, harus dilihat oleh golongan yang terbabit dalam institusi kehakiman bahawa, ianya merupakan isyarat jelas bahawa rakyat tidak mempercayai anda sekelian.

Golongan hakim, termasuk mereka yang bertugas di bawah Peguam Negara, harus sedar bahawa mereka sedang diadili oleh mahkamah rakyat.

Hari ini memang anda berkuasa di semua institusi mahkamah. Hari ini anda bertugas dengan dedikasi mengikut kehendak pemimpin-pemimpin Umno-BN, kerana anda mahu jaminan pangkat, kedudukan dan wang.

Anda harus sedar bahawa rakyat sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum penguasa zalim Umno-BN dalam mahkamah rakyat yang bakal bersidang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Rakyat sudah membulatkan tekad bersama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-BN. Dengan tumbangnya Umno-BN, segala pillars yang mendukung kekuatannya akan turut sama dimusnahkan.

Penguasa yang zalim, yang didukungi hakim yang tidak adil serta pendakwaraya yang berpihak, akan sama-sama dibakul sampahkan oleh rakyat.

Jeriji penjara untuk anda memenjarakan rakyat yang tidak bersalah, akan menjadi kediaman anda, sebagaimana yang berlaku kepada diktator zalim Mesir, Hosni Mubarak anak-beranak.

Sejarah akan berpihak kepada kebenaran. Maka pada saat itu, bukan sahaja kasut yang dilemparkan ke muka anda, malah segala najis dan kekotoran di tapak kasut akan menjadi hidangan buat golongan yang bersekongkol dengan penguasa yang zalim.

Hidup rakyat, hancur kezaliman. Allahu akbar!

Monday, December 26, 2011

NFC paku terakhir keranda Umno

MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my

Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.

Tiada lain yang menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.

Dengan nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.

Memang pun, soal Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, diam membisu.

Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup' dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu dilontarkan.

Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh SPRM.

Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa dan rasuah.

Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis. Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.

Di sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis 'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.

Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:

"Saya tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah golongan yang harus dielakkan?"

"Pegawai SPRM itu melukiskan kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.

"Maksud YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan Menteri tersebut.

"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir kopinya dan terus berlalu pergi.

Kata-kata beliau tadi walaupun ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.

"Tadi aku berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja luar kafe.

Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.

Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.

Umno sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta itu adalah orang Umno sendiri.

Jika mereka tidak mencantas Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan nepostime.

Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.

Paling mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga Shahrizat tanpa usul periksa.

Bagi kita Pakatan Rakyat, kita menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.

Jika Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak mengapa.

Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak. Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN!