Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Thursday, January 24, 2013

Kerajaan Negeri layan hangpa macam nie jee.. Itu la sokong lagi UMNO tuu sampai reput..!!!

'Mana rumah dijanjikan'
SITI NOOR SEPEE
24 Januari 2013
'Mana rumah dijanjikan'
Mohd Noh bersama isteri dan anaknya menunjukkan notis yang 
diterima supaya mengosongkan kediaman akibat gagal membayar tunggakan.
 
KANGKAR PULAI – Bekas penghuni rumah rakyat SEDC Tampoi, dekat sini menuntut janji  kerajaan negeri yang didakwa masih belum tertunai selepas penantian 12 tahun untuk memiliki kediaman sendiri di tapak sama.

Seorang pesara, Mohd Noh Osman, 69, mendakwa dalam perjanjian itu penduduk hanya perlu tinggal di rumah transit di  Rumah Pangsa Kangkar Pulai, sementara menunggu rumah teres kos rendah disiapkan.

Katanya, berdasarkan perjanjian secara lisan itu, penduduk perlu tinggal dirumah pangsa  dengan caj sewaan RM100 sebulan dalam tempoh tiga tahun iaitu bermula tahun 2001.

“Selepas semua penghuni setuju pindah tiada sebarang pampasan diberikan namun kami akur kerana pihak bertanggungjawab berjanji menggantikan kediaman baru secara percuma.

“Namun, kami dikejutkan dengan pembinaan projek kompleks sebuah agensi penguatkuasaan awam dan pusat membeli-belah, sedangkan mereka janji bina kediaman kami ditapak asal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Noh mendakwa berasa tertipu dan kecewa  selepas tiga tahun menanti  lalu enggan melunaskan caj sewaan kediamannya itu.

“Saya enggan menjelaskan bayaran kerana pihak bertanggungjawab seolah-olah mempermainkan penduduk dan dianggap sengaja menabur janji kosong asalkan kami semua bersetuju untuk berpindah daripada kediaman lama.

“Sehingga kini, caj sewaan kediaman kami yang tidak dijelaskan sejak sembilan tahun lalu telah tertunggak sebanyak RM11,000. Keputusan ini adalah disebabkan pihak bertanggungjawab berjanji dalam masa tiga tahun sahaja kami perlu menyewa di rumah transit,” katanya.

Katanya, pada 2 Januari lalu, satu notis dikeluarkan mengarahkan Mohd Noh mengosongkan kediamannya disebabkan gagal menjelaskan tungakan bayaran sewa.

Mengakui teraniaya, Mohd Noh tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak bertanggungjawab masih gagal membina kediaman mereka di tempat asal atau di kawasan lain yang dianggap sesuai.

Jalan terakhir, dia menuntut pihak bertanggungjawab memberikan status hak milik bagi rumah transit itu, atau semakan kehakiman terpaksa dilakukan bagi menuntut keadilan.

Tuesday, January 15, 2013

[GEMPAR] Rupa-rupanya MELAYU JOHOR paling MISKIN & MELAYU KELANTAN paling KAYA di atas muka bumi MALAYSIA nie..!!!

 Melayu Johor paling miskin di Malaysia kerana faktor kos hidup, kata DPMM


Syed Ali berkata kos hidup di Johor yang semakin meningkat adalah punca 
orang Melayu di negeri tersebut paling miskin.
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Orang Melayu di Johor adalah orang Melayu paling miskin di Malaysia, kerana kos hidup meningkat kerana orang asing yang semakin ramai datang ke Iskandar Malaysia, kata presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Alattas.
Menurut Syed Ali, 80 peratus dari tanah di Iskandar Malaysia dimiliki orang asing menyebabkan Melayu di Johor kian terpinggir.

“Pada tahun 1800, Melayu Johor adalah paling kaya di negara ini, tetapi kini yang paling miskin, kerana kedatangan orang asing yang membeli tanah di sini, kita tidak lagi mampu untuk menampung kos hidup, terutamanya di Johor Bahru.

“Pembangunan Iskandar ini memundurkan dan meminggirkan orang Melayu dari segi ekonomi, dalam kes tanah dipunyai oleh bukan Melayu, terutamanya bangsa asing,” kata Syed Ali dalam sidang media di ibu pejabat DPMM hari ini.

DPMM juga menggesa kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula projek Iskandar Malaysia, dengan memperuntukkan 30 peratus projek di Nusajaya kepada orang Melayu.

“Dalam resolusi Kongres Ekonomi Melayu Zon Selatan yang berlangsung pada 6 Januari lalu, kedudukan orang Melayu di Johor jauh ketinggalan dari segi perbezaan ekonomi.

“Orang Melayu di Kelantan lebih kaya di Johor kerana setiap ringgitnya lebih bernilai, umpamanya mereka boleh beli rumah banglo RM200,000 sedangkan di Johor RM1.5 juta,” katanya lagi.

Iskandar Malaysia, berkeluasan 221,634 hektar, meliputi keseluruhan daerah Johor Baharu, Mukim Jeram Batu, Mukim Sungai Karang, Mukim Serdat dan Pulau Kukup di dalam Mukim Ayer Masin, yang kesemuanya terletak dalam daerah Pontian.

Sejak pelancarannya pada November 2006, koridor ekonomi itu telah menerima banyak kepentingan asing, bukan sahaja dari Singapura yang berjiran, malah dari Timur Tengah dan United Kingdom.

Kerajaan telah menyenaraikan enam sektor yang disasarkan yang berasaskan perkhidmatan di dalam industri kreatif, pendidikan, khidmat nasihat kewangan dan perundingan, penjagaan kesihatan, logistik dan pelancongan bagi Iskandar Malaysia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau gembira bahawa pelaburan di Iskandar Malaysia telah melepasi sasaran RM100 bilion dalam tempoh enam tahun dan sebahagian besar daripada jumlah itu diperolehi baru-baru ini.  

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/melayu-johor-paling-miskin-di-malaysia-kerana-faktor-kos-hidup-kata-dpmm/

Wednesday, October 17, 2012

Salahuddin: Johor penting bagi PR tawan Putrajaya

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
SHAH ALAM –  Hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini mungkin satu misi yang mustahil sekiranya tiada “perubahan landskap politik di Johor”, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Anak kelahiran Kampung Serkat, Johor ini juga berkata, negeri ‘deposit tetap’ Barisan Nasional seperti Sabah dan Sarawak juga harus diterokai parti pembangkang jika mahu menjejakkan kaki ke Putrajaya.

“Mereka cukup selesa di tiga negeri itu,” ujar Salahuddin dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Salahuddin sebelum ini mengumumkan akan bertanding di tanah kelahirannya setelah dua kali bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian iaitu 2004 dan 2008.

Baru-baru ini beliau memberitahu akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada pilihan raya kali ini.

Menurut Salahuddin, berdasarkan pemerhatiannya, suasana politik di negeri itu kini sudah berubah dan ia memberi sinar harapan kepada pembangkang.

“.... saya sudah faham dengan senario politik di sana kerana saya orang sana dan memulakan kerjaya saya di sana sejak 30 tahun lalu.

“Jadi apabila ada perubahan politik, saya nampak sinar yang sangat cerah untuk berlaku. Jadi penting bagi saya menjanjikan sesuatu kepada politik khususnya kepada rakyat Johor

“Tanpa ada satu perubahan landskap politik di Johor itu saya rasa sukar untuk PR melangkah ke Putrajaya,” ujar beliau.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Rakyat berjaya melebarkan sayap ke beberapa negeri seperti Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang di samping mempertahankan Kelantan.

Perak kemudiannya jatuh semula ke tangan Barisan Nasional pada 2009.

Friday, August 31, 2012

Mana rakyat Johor yang dok maki NIZAR tuu tak rasa nak mintak maaf kwpada dia semula..???

Untuk Rakyat Johor yg terlalu Marah hingga turun berdemo,membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan bahawa Mantan MB Perak Dato Sri Nizar tidak dibenarkan untuk menjejak kaki ke negeri Johor kerana menghina Sultan Kamu....Mungkin Allah nak tunjukkan kebenarannya......

Nah!!!!! Baru2 ini Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd membayar gantirugi kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman yang difailkan ke atas penerbit akhbar tersebut pada Julai lalu.


Mohammad Nizar mendakwa, Utusan pada 31 Mei menerbitkan menerbitkan pernyataan fitnah berhubung kenyataannya berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.Mohammad Nizar mendakwa pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan Sultan Johor khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.

Mengenai pampasan yang akan diterima Nizar pendaftar mahkamah Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan Mohammad Nizar memfailkan taksiran bagi ganti rugi berkenaan untuk tuntutan daripada Utusan, katanya.

Adakah anda setuju dengan saya jika saya katakan Utusan sudah tidak layak untuk menjadi media informasi rakyat tapi layak menjadi media fitnah rakyat ?Adakah demo yang dianjurkan di Negeri Johor oleh sekutu2 UMNO BN UNTUK MEMBANTAH perhinaan terhadap Sultan mereka adalah mereka yang termakan dengan fitnah ini?Alangkah ruginya hasil dari fitnah ini penduduk difelda2 dan orang asal diangkut dengan bas kononnya membantah kebiadapan Nizar? Apa kata anda tentang isu ini? [Abusiraj Almuner]

Monday, July 9, 2012

Umno-BN Johor di ambang kejatuhan!

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Johor disebut-sebut antara negeri yang 'bolah sahaja' jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan paling lewat sebelum April 2013.

Mengapa Johor boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat?Faktor paling besar yang boleh sahaja menjadi penyebab Umno-BN di sana boleh tersungkur ialah komposisi Dun yang memiliki pengundi yang 'marginal' (campuran) adalah faktor terbesar yang boleh menyumbang ke arah itu.

Johor memiliki lebih 60 peratus kawasan Dun yang bersifat marginal pengundinya dimana antara 30 ke 40 peratus pengundi bukan Melayu dan selebihnya antara 50 ke 60 peratus Melayu.

Melihat kepada perkembangan sokongan semasa bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat, Johor merupakan negeri yang agak kritikal kepada Umno-BN.

Meskipun beberapa pemimpin Umno Johor dan pusat menafikan andaian itu, namun mereka tidak boleh terlepas daripada hakikat sokongan rakyat yang mula teralih kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Paling dibimbangi Umno-BN ialah kawasan-kawasan Dun dan Parlimen di Bandar serta pinggir bandar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang, Gelang Patah, Pulai, Bakri, Segamat dan Kluang yang memiliki peratusan pengundi Cina yang tinggi khasnya.

Sebagai contoh di Parlimen Pulai yang dimenangi Dato' Nur Jazlan Mohammad (anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohammad Rahmat), peratuskan pengundi Cinanya melebihi 40 peratus, boleh sahaja menyumbang kepada kejatuhan BN.

Meskipun pada pilihan raya umum 2008 lalu, Johor masih menjadi 'kubu kuat Umno', dengan pergerakan undi kaum cina hanya sekitar 40 ke 45 peratus keseluruhannnya, namun kini 'mood' sokongan sudah berbeza.

Seperti kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat, ketika PRU 2008, pengundi Cina di Johor masih lagi berhati-hati dan tidak terlalu menzahirkan kemarahan mereka terhadap Umno-BN.

Pada PRU 2008, pembangkang hanya menang satu kerusi Parlimen di Bakri melalui Er Teck Hwa, kerana pergerakan undi Cina yang kurang memberansangkan.

Sementara PAS menang di dua kerusi Dun iaitu di Maharani dan Sungai Abong selain DAP di 4 kerusi iaitu Bentayan, Mengkibol, Skudai, Senai.

Bagi pilihan raya umum ke 13, mood pengundi Cina di Johor tidak lagi sama seperti pilihan raya 2008.

Mood itu beralih kerana sikap rasis Umno-BN dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mirip kepada Umno-BN seperti Perkasa dan Jati.

Di seluruh Malaysia, fenomena kemarahan orang Cina terhadap Umno ini disedari rakyat, malah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak yang mencanangkan liberalismepun gagal untuk mengekang kemarahan pengundi Cina.

Pengundi India pula tidak banyak berubah,Pada PRU-12, sokongan kaum India kepada pembangkang agak tinggi, meskipun sekitar tahun 2010 hingga 2011 mula beralih semula kepada Umno-MIC, namun kata Suhaizan situasi terkini memperlihatkan pengundi India masih bernisbah 50-50.

Ia belum ditambah lagi dengan perpecahan yang sedang berlaku di beberapa bahagian Umno di Johor selain kemelut Pemuda Umno Johor mengenai ketidakpercayaan terhadap Ketua Pemudanya.

Hanya orang Melayu menjadi harapan Umno di Johor dengan sokongannya juga sukar untuk diagak mana-mana pihak samada Pakatan rakyat mahupun BN.

Namun begitu, terdapat perubahan orang Melayu terutama di kalangan generasi muda dan pengundi Bandar dan kemenangan PAS di Sungai Abong dan Maharani adalah bukti orang Melayu berubah.

Purata undi Melayu kepada PR masih di antara 10 hingga 35 peratus, dan kata Suhaizan ianya dijangka meningkat menjelang PRU-13 kepada 40 peratus.

Mungkin telahan Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat Zon Permas, Syed Osman Syed Abdullah boleh menjadi indikator bahawa Johor mampu melakar perubahan dimana sokongan pengundi Cina kepada PR hari ini boleh berada pada tahap 80 peratus khususnya di kawasan bandar.

Bagi kawasan yang ditandingi beliau pada PRU-12 sebelum ini, Dun Permas, Syed Osman hanya kalah sekitar tidak sampai 3000 undi tatkala sokongan pengundi Cina hanya pada 30 peratus pada ketika itu.

Sekiranya melihat kepada mood sekarang, Syed Osman mungkin sahaja boleh menang di Permas jika dipilih PAS untuk mewakili parti dalam PRU-13 kerana pengundi Cina mula menunjukkan sokongan yang meningkat mendadak.

Bagi kerusi DUN , Umno-BN cukup berada di dalam kedudukan bahaya di kira-kira 30 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen yang mengandungi pengundi Melayu di bawah 50 peratus.

Jika tsunami deras melanda Johor pada PRU-13, pastinya sudah banyak membantu PR menuju Nusajaya (pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor) dan menambah kekuatan untuk ke Putrajaya.

Sunday, June 17, 2012

Apa nak jadi dengan orang Johor nie...!!!

BIAR GAMBAR-GAMBAR BERBICARA... BUKTI JOHOR BUKAN LAGI KUBU PALING KUAT UMNO DALAM DUNIA...SEKITAR CERAMAH PAS DI SAGIL, MUAR, JOHOR SEBAGAI BUKTINYA.




Istilah UMNO kubu paling kuat dalam dunia dan deposit tetap untuk setiap pilihanraya boleh dipertikaikan kini.


Lihat saja gambar-gambar sebagai paparan mencuit minda.


Ceramah Perdana PAS di Sagil,  Muar, Johor malam tadi 16hb Jun 2012.


Gelaran pemimpin kudis terhadap YB Ir Nizar Jamaluddin langsung tidak menguncupkan sokongan rakyat kepada PAS/PR.


Rakyat sudah bertekad..maukan perubahan menyeluruh.

Insya'Allah negeri Johor bakal memiliki Menteri Besar yang baru.

http://omakkau.blogspot.com/

Tuesday, June 12, 2012

Johor negeri kaya, rakyat tanggung hutang

JOHOR BAHRU, 13 JUN: Barisan Nasional Johor bangga dengan wilayah pembangunan Iskandar tetapi negeri kini mempunyai jumlah hutang mencecah RM1.38 billion sejak RM700 juta hutang dikumpulkan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor.

Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau berkata, jumlah hutang terkumpul itu memalukan negeri Johor yang dibanggakan sebagai kubu kuat UMNO-BN.

Menurutnya lagi, sebahagian besar dari jumlah tersebut telah digunakan untuk membangunkan infrastruktur air.

“Buat masa ini, Syarikat Air Johor (SAJ) iaitu syarikat berkaitan kerajaan atau GLC yang dipertanggungjwabkan menguruskan air untuk negeri telah mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dari 49 peratus ke 29 peratus.

“Pada masa yang sama, tarif air untuk Johor juga telah meningkat beberapa kali hampir tiga kali dari Pulau Pinang dan merupakan tarif paling tinggi dalam negara,” katanya kepada Roketkini.


Walau pun kerajaan Johor mendapat mendapat hasil yang baik dari air, beliau mempersoalkan mengapa negeri yang dikuasai UMNO-BN itu masih gagal membayar hutang berkaitan.

Dr Boo yang juga ADUN Skudai,  mendedahkan bahawa kini SAJ telah pun diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang merupakan agensi bekalan air Kerajaan Persekutuan.

“Pengurusan sumber air merupakan salah satu dari bidang kuasa negeri yang mana kerajaan negeri mempunyai kedaulatan ke atasnya. Bagaimana pun penyerahan ini menunjukkan perluasan kuasa pusat yang semakin kuat. Ini seolah-olah mengkhianati kepercayaan rakyat,” tambahnya.


Selain itu, Dr. Boo menjelaskan, pengurusan kewangan Johor di bawah kerajaan UMNO-BN juga lemah berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat yang hanya diberikan peruntukan tahunan yang kecil.

Beliau memberikan contoh perbandingan di mana kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya meningkatkan rizab tunai negeri dari Mac 2008 sehingga 2010 dari sekitar RM400 juta kepada RM918 juta pada tahun 2010.

“Tetapi bagi negeri Johor, rizab tunai kerajaan negeri telah jatuh dari RM100 juta kepada RM38 juta sahaja dari tahun 2007 sehingga 2010. Di manakah akauntabiliti kerajaan negeri menguruskan kewangan?” soalnya. – Roketkini.com

Alaa Puad...tak yah a dok kenen-kenen UMNO tuu..mai la joint kami semula..!!!

Pemuda tawar Puad Zarkashi sertai PAS semula
 
JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor menyifatkan Dr Puad Zarkashi menyindir Umno Johor apabila berkata PAS Johor rugi besar kerana perpecahan dalam DAP.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, perpecahan Umno Johor terlalu ketara dan Puad perlu fikir kembali dan sewajarnya meninggalkan parti itu dan menyertai semula PAS yang pernah disertainya sebelum  ini.

"PAS Johor tidak menjadi pilihan rakyat Johor semasa Dr Puad Zarkashi berada dalam PAS dahulu. Sekarang PAS Johor sudah jauh berubah.

"Saya kira sudah sampai masanya Dr Puad Zarkashi bersama pimpinan PAS Johor dan PR menubuhkan kerajaan yang jauh lebih bersih dan berkemampuan memerintah Johor selepas pilihanraya ke-13," kata Suhaizan dalam satu kenyataan medianya har ini.

Puad, ahli Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini mendakwa PAS Johor rugi kerana DAP sedang berpecah di negeri itu.

Bagi Suhaizan, ia hanya kenyataan sindiran kepada Umno yang rata-rata berpecah di negeri itu.

Pemuda PAS Johor berpandangan bahawa Dr Puad Zarkashi sedang memukul anak untuk sindir menantu, kata Suhaizan.

Perpecahan yang serius bukan berlaku dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebaliknya berlaku dalam kepimpinan UMNO di Johor sendiri.

Dr Puad Zarkashi kononnya memukul PAS dan DAP tetapi hakikat sebenarnya sedang memukul UMNO Johor, dakwa beliau.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS itu, pepecahan dalam UMNO  Johor berlaku di semua peringkat daripada sayap-sayap, cawangan, bahagian dan negeri.

Pemuda UMNO Johor kelihatan tidak bermaya untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13, katanya.

Ketua Pemuda UMNO Johor Baharu dan Tebrau lebih menampil dibandingkan dengan Ketua Pemuda UMNO Johor. Perkara ini berlaku akibat daripada masalah dalaman Pemuda UMNO Johor sendiri.

UMNO Johor sudah 6 tahun tidak mengadakan konvensyennya, tambah beliau.

Kali terakhir konvensyen di adakan adalah pada 5 November 2006. Pada kovensyen tersebut Dr Puad Zarkashi (gambar) dengan lantang membantah Pembelajaran dan Pengajaran Sains Dan Mathematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Mengikut sumber dalaman, UMNO Johor tidak lagi membuat konvenysen adalah kerana Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman tidak dapat menjawab pelbagai masalah yang berlaku di Negeri Johor khusunya yang berlaku diperingkat bahagian-bahagian UMNO Johor.

Perpecahan UMNO di peringkat bahagian tertentu sangat serius sehingga sukar untuk kepimpinan UMNO meletakkan calon dalam pilihanraya umum akan datang, tambah beliau.

Sebagai contoh pertembungan klasik, yang semua orang UMNO mengetahuinya, berlaku dalam UMNO Bahagian Pulai di antara Ketua Bahagian UMNO Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Adun Kempas Datuk Osman Sapian.
"Pertembungan ini sangat serius sehingga menyukarkan UMNO meletakkan calon Parlimen Pulai dan DUN Kempas," dakwa Suhaizan.

Menurutnya, calon Menteri Besar Johor daripada Barisan Nasional (BN) juga menghadapi masalah.

Datuk Abdul Ghani besar kemungkinan tidak akan menjadi Menteri Besar Johor selepas pilihanraya umum akan datang.

Ini kerana UMNO Johor perlukan penyegaran dengan kempimpinan yang baru.

Kekosongan ini telah menyebabkan berlakunya lobi melobi antara bakal calon-calon Menteri Besar Johor.
Proses lobi melobi ini telah menyebabkan perpecahan UMNO Johor.
"Berita ini kebanyakkan rakyat Johor memahaminya," dakwa beliau.

Kesan kepada perpecahan UMNO Johor ini, dakwa beliau, telah menyebabkan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Ghani terpaksa membuat lawatan disetiap bahagian UMNO di Johor lebih daripada sekali untuk membuat persiapan pilihanraya umum akan datang.

Presiden UMNO dan Timbalannya kerap membuat lawatan ke Johor sehingga lebih tiga kali dalam tempoh satu bulan.

Lawatan-lawatan politik seumpama ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya umum sebelum ini di negeri Johor.

"Salah satu punca kenapa Datuk Seri Mohd Najib Razak  masih belum membubarkan parlimen adalah berpunca daripada ketidakyakinan Presiden UMNO mengekalkan kemenangan di Johor seperti sebelum ini," katanya.

Terdapat sembilan kerusi parlimen BN yang panas di Johor. Semakin hari semangkin banyak bilangan parlimen yang panas kepada BN di Johor.

Walaubagaimana pun, kata Suhaizan, keperihatinan Dr Puad Zarkashi terhadap PAS yang mahu menubuhkan kerajaan bersama PR di Johor adalah sesuatu yang membanggakan.

Ini memberi gambaran bahawa dalam hati Dr Puad Zarkashi sudah ada sinar cahaya PAS, sebuah parti yang pernah dianggotainya suatu masa dahulu.

Tuesday, June 5, 2012

Pakatan lapang dada terima 'layanan' BN

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menegaskan pihaknya tidak akan berundur atau berputus asa dalam usaha mereka menawan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) walaupun pelbagai isu negatif dikaitkan oleh perikatan saingan mereka, Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataan disiarkan Sinar Harian hari ini, dua pemimpin Umno dengan nada menyindir berkata pembangkang dialu-alukan untuk menyerang Johor.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bagaimanapun mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya mereka bersiap sedia untuk menghadapi keadaan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."

"Itu saja yang saya boleh kata. Mereka nak serang, seranglah... kita tak boleh larang. Tetapi saya yakin, rakyat Johor tak akan beri ruang kepada pembangkang. Tak mungkin mereka dapat terima parti yang pemimpinnya secara terang-terangan menghina sultan mereka," katanya.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, PR hanya mampu berangan-angan untuk merampas Johor sedangkan pemimpin parti telah mencetuskan pelbagai masalah di negeri tersebut dengan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin DAP, Johor sebagai negeri yang banyak jenayah dan maslah sosial.

Mengulas kenyatataan kedua-dua mereka itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, PR akan meneruskan perjuangan dan memberi yang terbaik untuk rakyat dalam menghadapi PRU akan datang walaupun isu terbaru sedang digembar-gemburkan pada masa sekarang.

"Kami tidak akan mengaku kalah, kami akan berjuang dan menghadapi situasi itu.

"Jika Khairy mengalu-alukan, kami terima dengan lapang dada tetapi jangan sifatkan kami sebagai penghasut seperti yang berlaku di negeri Pahang baru-baru ini," kata Fuziah.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, masyarakat tidak akan hilang kepercayaan disebabkan perkara itu, sebaliknya masyarakat akan menilai dari segi gerak kerja yang ditunjukkan oleh mereka pada masa sekarang.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, walaupun Johor adalah kubu kuat Umno tetapi mereka tidak akan menyerah kalah dan pelbagai usaha dibuat untuk raih undi.

"Johor adalah kubu kuat Umno tapi kita belum tahu, rakyat akan memilih siapa untuk memipin mereka.

"Kami akan berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih undi di sana," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub enggan mengulas kenyataan itu ketika dihubungi Sinar Harian.

"Isu itu buat masa sekarang, saya tak ada komen," katanya.

Monday, April 2, 2012

Anak Muda Johor dah tak fobia dengan bendera bulan...

Perubahan Anak Muda Yang Menakutkan Umno BN


MERSING - Rata-rata beranggapan bahawa antara tanda-tanda awal UMNO bakal kecundang di negeri Johor adalah apabila sokongan kepada pembangkang semakin terserlah seperti dalam gambar di atas.
Seorang juru gambar pro pembangkang Dhamam dalam ulasannya di facebook rasminya menyebut anak muda yang bermain bola sudah tidak menunjukkan kebencian dan rasa canggung dengan bendera 'purnama' nyata memberi keyakinan bahawa PAS sudah tidak asing buat mereka.

"Sewaktu pulang dari mesyuarat di Teluk Gorek, Mersing...aku melalui sebuah padang bola...kelihatan anak2 muda sedang bermain bola....tidak takut tidak gentar dengan bendera 'purnama'..... #UNTUK MAKLUMAN: Ini di Mersing, Johor....bukan Negeri Kelantan! :)," katanya lagi.

Difahamkan, bendera itu dipasang di kedua pintu gol sebuah padang bola sepak berhampiran persimpangan jalan ke Teluk Gorek dan Tanjung Resang, Mersing. Lokasi berkenaan juga merupakan tempat pelancongan kerana didapati banyak chalet-chalet didirikan disekitarnya.
Sementara itu, Dhamam turut menambah dengan katanya media massa sering mengadu domba dengan menonjolkan sesuatu yang negatif ke atas parti pembangkang, namun bila melihatkan situasi sebegini membayangkan bahawa anak muda kini tidak termakan dengan dakyah yang dilemparkan UMNO.

"Imej PAS sangat buruk di gambarkan media2 UMNO/BN...setiap hari di momokkan dengan pelbagai tuduhan supaya orang benci pada PAS tapi melihat pada situasi ini orang muda tak percaya....kalau mereka percaya segala yg media UMNo/BN gambarkan...usahkan bendara pas...dengar nama PAS pun mereka akan benci.... :)," katanya lagi.

Dalam pada itu, gelombang perubahan semakin kuat melanda bukan sahaja di Johor tapi di seluruh dunia, bagaimanapun persoalan tetap timbul disebalik paparan gambar berkenaan salah satu daerah negeri UMNO paling kuat dalam dunia, mengapa begitu daif sekali keadaan padangnya.

Tambahan pula, tiang golnya seperti menanti masa untuk rebah ke bumi.Bukankah negeri yang diperintah UMNO keadaannya semuanya indah dan hebat?.

Barangkali bendera yang bersama dengan anak muda yang bermain bola itu adalah jawapan yang tepat bagaimana kegagalan dan kepincangan UMNO BN dalam mengurus tadbir negara ini. ~tranungkite

Sunday, April 1, 2012

Episod malang rakyat Johor bakal berakhir

Oleh Mohd Rashidi Hassan

Johor memang kubu kuat Umno. Bak kata orang, kalau letak tunggul kayu yang pakai lambang dacing pun, sudah tentu Barisan Nasional akan menang.Tetapi itu dahulu. Itu cerita lama. 

Rakyat Johor sudah semakin 'celik mata' sekarang, zaman menjadi 'pak angguk' Umno-BN sudah tamat.

Johor bukan lagi 'stok politik' Umno-BN. Kata orang Johor, 'Dek kerana ketaksuban mereka menyokong Umno-BN lah yang menyebabkan, Umno-BN 'beraja di mata bertakhta di hati', membuat apa sahaja untuk kepentingan mereka.

Sejak akhir-akhir ini, kedangkalan Umno-BN Johor semakin tersingkap. PAS Johor ada banyak isu untuk memecahkan tembok penguasaan Umno.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, tidak jemu-jemu bangkit memperjuangkan hak rakyat, khususnya nasib orang-orang Melayu di Johor.

Kata Suhaizan, rakyat Johor 'macam api dalam sekam', tidak nampak dari atas, tetapi di bawah tanah, panasnya cukup membara.
Buat masa ini, ada dua isu besar yang diperjuangkan Ketua Pemuda PAS Johor itu.

Iaitu, pertama: Projek Terbengkalai Taman Desa Kempas melibatkan tanah kerajaan negeri Johor.

Kedua, isu setinggan Kempas tidak mendapat sebarang pampasan.

Pembeli-pembeli rumah Taman Desa Kempas, Tampoi sangat kecewa dengan pemaju perumahan Maju Delima yang gagal dalam pembinaan rumah di taman ini.

Projek perumahan Taman Desa Kempas telah mula dibangunkan pada tahun 2001 dan sepatutnya siap pada tahun 2004.

Malangnya sehingga tahun 2011 rumah mereka yang berada di fasa ke tiga, empat dan lima masih gagal disiapkan.

Fasa-fasa ini meliputi dua jenis rumah iaitu pangsapuri yang berharga RM88 ribu hingga RM100 ribu dan flat kos rendah yang berharga sekitar RM22 ribu. Rumah pangsapuri hanya siap 80 peratus dan rumah kos rendah hanya siap sekitar 40 peratus sahaja.

Mereka banyak kali mengadakan pertemuan dengan pemaju tetapi malangnya setiap janji yang diberikan tidak ditunaikan oleh mereka.

Pada 2 November 2011, pihak mereka berjumpa dengan wakil Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.

Pertemuan ini diaturkan oleh Pusat Aduan Rakyat Kempas yang dipengerusikan oleh Suhaizan.

Permasalahan ini juga sudah diajukan kepada Adun Kempas, Dato' Othman Bin Sapian tetapi setakat ini belum nampak sebarang perubahan kepada projek yang dimaksudkan.

Mereka terpaksa bertemu dengan pelbagai pihak untuk mengadu masalah yang mereka hadapi.

Mereka terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang untuk mempastikan projek ini dapat disiapkan dengan kadar segera.

Rakyat terpaksa membayar setiap bulan bayaran bulanan. Oleh kerana rumah mereka belum siap maka mereka terpaksa menyewa rumah di kawasan sekitar.

Maka, mereka yang tertindas ini, terpaksa membuat dua bayaran sekali gus iaitu bayaran bulanan rumah Taman Desa Kempas dan sewa rumah yang kami diami sekarang.

Perkara ini sangat membebankan mereka sekeluarga. Jika tiada sebarang perubahan terhadap projek ini maka sebahagian daripada mereka akan tetap berpindah ke taman ini pada tahun ini.

Mereka dalam keadaan terpaksa. Mereka juga akan membuat siri-siri tunjuk perasaan di kawasan ini bagi mendesak semua pihak menyegerakan projek ini.

Masalah ini juga sudah diajukan kepada Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Chor Chee Heung dan senaskah dokumen telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak, semasa lawatan beliau ke Johor baru-baru ini. Malangnya sampai hari ini projek ini gagal disiapkan.

Projek tersebut merupakan kerjasama antara Maju Delima Sdn Bhd dengan kerajaan Negeri Johor. Kegagalan projek ini membuktikan gagalnya kerajaan negeri Johor mencari rakan kongsi yang baik untuk rakyat. Kerajaan Johor gagal menguruskan tanahnya untuk kepentingan rakyat.

Menyedari kegagalan berterusan kerajaan negeri Johor menyelesaikan masalah rakyat, maka PAS Johor mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu Dialog Masalah Tanah Rakyat Negeri Johor akan diadakan pada Sabtu 31 Mac 2012, pada jam 2 -5 petang di Hotel Good Hope, Skudai.

Rakyat yang menjadi mangsa isu tanah di Johor dijemput hadir. Tujuan dialog adalah untuk merangka suatu tindakan untuk pihak kerajaan melaksanakan tuntutan mereka. Hadir sama dalam dialog ini adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Sasterawan Negara, Dato, A Samad Said.

Motif program harus diperjelaskan, iaitu PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat bertekad, untuk menghentikan episod malang yang melanda rakyat Johor sekian lama

Saturday, February 11, 2012

Rupa-Rupanya Johor tengah dok kalut sampai Najib kena ngadap Sultan...

Pertemuan PM-Sultan: Pengganti MB jadi agenda

Spekulasi bertiup kencang mengenai pertemuan empat mata yang dijadualkan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, di istana baginda di Johor Baharu, hari ini.

Najib akan hadir bagi upacara ulang tahun ke-15 sambutan pembangunan Danga Bay yang terletak di sepanjang beberapa hektar pantai yang menghadap Selat Tebrau.

Sambutan dijadualkan bermula pada jam 3.30 petang dan selepas itu, Najib akan ke istana Bukit Serene, Johor Baharu untuk mesyuarat dengan baginda yang dijangka bermula pada jam 5.30 petang.

NONEBaginda juga dijadual akan mencemar duli dengan sambutan ulang tahun itu dengan melancarkan yayasan kebajikan yang berkaitan dengan projekDanga Bay itu. Justeru, pertemuan baginda dengan perdana menteri menimbulkan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi apabila aturcara seterusnya bagi Najib adalah bagi menyaksikan perarakan Chingay di pusat bandar yang hanya bermula pada jam 8.30 malam.

Sehubungan itu, masa pertemuan yang panjang itu dipercayai akan berkisar tentang perbincangan isu-isu politik berbanding perkara sosial. Antaranya sama ada Datuk Ghani Othman yang telah berkhidmat selama empat penggal akan terus dikekalkan sebagai Menteri Besar jika BN yang diramalkan akan terus berkuasa selepas pilihan raya akan datang.

Najib dikatakan mahu Ghani supaya terus berkhidmat tetapi menteri besar itu dalam kiasan pada ucapannya semasa perayaan Thaipusam, baru-baru ini memberi bayangan bahawa beliau mahu berundur dan telah juga mengenal-pasti calon yang paling layak mengambil tempatnya.

NONESebelum ini, Ghani (kanan) telah berulang-kali berkata bahawa ahli parlimen Johor Baharu Datuk Seri Shahrir Abdul Samad patut diberikan peranan lebih luas dalam hierarki Umno negeri itu berdasarkan integriti dan keupayaannya.

Ini dilihat sesetengah pihak sebagai petanda jelas bahawa Ghani bersetuju mengundurkan diri supaya Shahrir dilantik sebagai penggantinya.

Namun bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga bekas menteri besar Johor, beliau bersedia melepas Ghani tetapi bukannya digantikan oleh Shahrir, yang dianggap bukan penyokong setianya.

Dalam perkiraan politik Umno Johor yang rumit, mana-mana calon yang mahu menggantikan Ghani, kecuali Shahrir mesti bergabung dengan Muhyiddin bagi menghidupkan sebarang peluang bagi mendapatkan kedudukan itu.

Selain itu, perkenan Sultan Johor juga penting sebelum keputusan pilihan muktamad dibuat. Baginda dikatakan juga bersetuju supaya calon baru dilantik sebagai menteri besar yang baru.

Sejarah membuktikan pilihan menteri besar di Johor cukup rumit. Putrajaya sedar pilihan yang tidak diperkenan oleh Istana Bukit Serene mungkin membawa padah dan menimbulkan pelbagai masalah lain.

NONEPercaturan memilih menteri besar baru semakin kusut apabila pada masa yang sama timbul ura-ura bahawa jawatan nombor satu dalam Umno yang kini diduduki oleh Najib sedang diintai oleh Muhyiddin.

Ramai penganalisis politik berpendapat jika Umno gagal merampas semula majoriti dua pertiga di parlimen dan juga beberapa negeri yang tewas pada pilihan raya umum 2008, maka Muhyiddin dijangka mencabar ketuannya itu. Lebih-lebih lagi pemilihan parti mesti diadakan selepas pilihan raya umum.

[Baca berita penuh]


Terence Netto menganggap dirinya sebagai wartawan bebas.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Friday, December 23, 2011

AWAS..!!! Johor sudah bukan Fix Deposit kepada UMNO...

Johor bukan kubu Umno lagi

Oleh SAFAR JUMAAT

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiUlZQUwH2BHg8o8EQ7FX-pwwroTUXoUqqO1-0bgSAw8-w1dxb8WOg-VX0bD4Emjg_VNoR3m9GRX0u2wMjofyxJkMrGcxHLEfVXiQFlRDtLkx3Jn7yk9zmo_ofvpMnLy-Dbl55_6XXjKvA/s740/bendera.gifBAGI orang Umno dan penyokong BN, Johor adalah negeri di mana Umno boleh menjanjikan “simpanan tetap” kepada mereka, namun keadaan politik kini, dengan perubahan kepada kekuatan pembangkang yang semakin ketara, sudah ada yang demam tak kebah.

Dalam pilihan raya umum sebelum 2008, PAS dapat satu kerusi percuma di Dun Senggarang apabila calon BN melakukan kesilapan mengisi borang pencalonan

Dr Ramli Mohd Kari merupakan pencetus kepada “mengambangnya bulan purnama” di Johor dan apabila sampai tarikh Pilihan Raya Umum ke 12, Mac 2008, PAS memenangi dua kerusi Dun, iaitu Maharani dan (Dr Mohamad Taslim) dan Sungai Abong (Dr Sheikh Ibrahim Ismail).

Hari ini, KeADILan Johor dipimpin oleh seorang bekas menteri kabinet, Dato’ Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ahli Parlimen Bakri.

Beliau pernah menjadi Naib Presiden MCA dan merupakan antara calon MCA suatu ketika dahulu yang cukup kuat sokongannya daripada pelbagai lapisan masyarakat di Bakri.

Isu paling besar di Johor sekarang ialah soal penggantian Menteri Besar (MB), Dato’ Abdul Ghani Othman yang sudah empat penggal menjadi MB.

Selepas dua penggal menjadi MB, namanya dikatakan mahu digugurkan. Antara nama yang disebut menggantikannya ketika itu ialah Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin.

Namun, Abdul Ghani dikekalkan atas kehendak pihak atasan dan akhirnya sekali lagi Abdul Ghani disebut-sebut mahu ditukar namun ia tidak berjaya.

Ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung di PWTC barubaru ini (29 November-3 Disember 2011), pelbagai risalah mengecam dan memalukan Mohamad Khaled tersebar di PWTC.

Ada pihak mendakwa ini adalah kerja-kerja mereka yang mahu mengetepikan Mohamad Khaled dari disebut sebagai bakal MB Johor selepas ini dan dalam masa yang sama, beberapa bahagian dikatakan bermasalah besar kerana perebutan menjadi calon.

Walaupun sejarah tertulis mengatakan Umno dilahirkan di Johor, namun orang Melayu Johor sudah mula berubah angin. Jika tidak, mustahil undi mereka boleh berpihak kepada pembangkang, iaitu kepada DAP, PAS dan kini KeADILan.

Dari segi sejarahnya, DAP memang pernah menang di Johor, iaitu di Kluang dan kini Bakri. DAP juga pernah menang kerusi Dun Maharani beberapa kali selain dari Bekok dan Jementah. Parti Melayu Semangat 46 (S46) juga pernah menang kerusi Dun Parit Bakar dan dakwaan mengatakan Johor merupakan kubu Umno dan benteng BN adalah silap.

Dari apa yang berlaku sekarang, membuktikan bahawa Johor kali ini akan berdepan dengan pelbagai masalah selain isu rasuah beberapa orang wakil rakyat BN. Hubungan tidak mesra antara Abdul Ghani dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh juga akan menjadikan krisis yang melanda Umno akan menjadi semakin ketara.

Dalam PRU12 yang lalu, Abdul Ghani khabarnya tidak mahu menamakan calon yang Muhyiddin setuju bertanding di Dun Jorak menggantikan Dato’ Samad Ariffin. Ketika nama Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pagoh disenaraikan tetapi akhirnya Muhyiddin menukarkan kepada Dato’ Dr Shahruddin Md Salleh.

Kali ini, menjadi satu masalah besar jika BN di Johor mahu menggugurkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar di Kota Tinggi dan bekas Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Azalina Othman Said di Penggerang, kerana pengaruh mereka yang semakin mencengkam di kawasankawasan tersebut.

Apakah BN Johor mampu mengetepikan Dato’ Sharir Abd Samad di Parlimen Johor Bahru kerana sudah terlalu lama di situ?

Jika bukan Abdul Ghani menjadi Menteri Besar, jika BN memenangi semula pilihan raya Dun Johor kali ini, siapakah yang layak menggantikannya?

Adakah bakal pengganti Abdul Ghani masih merupakan proksi Abdul Ghani atau, pengganti MB ini mestilah atas pilihan Muhyiddin?

Ada tiga Timbalan Menteri dari Johor yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Ketiga-tiga disebut-sebut bakal menjadi MB Johor selepas Abdul Ghani. Siapakah yang bernasib baik antara Dr Puad Zarkashi, Dato’ Razali Ibrahim dan Dato’ Dr Abd Latif Ahmad?

Biasanya orang Muar yang akan menjadi Menteri Besar jika dilihat sejarah sebelum ini seperti Tan Sri Othman Saat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Ghani sendiri, kecuali Dato’ Abdul Ajib Ahmad.

Jika faktor Ajib diambil kira, Dr Abd Latif akan mendapat tempat Abdul Ghani kerana Ajib merupakan wakil rakyat Mersing ketika menjadi MB Johor. Dr Abd Latif adalah Ketua Umno Bahagian Mersing. Jika orang Muar, nampaknya Razalilah bakal menggantikan Abdul Ghani.

Itu cerita lama. Cerita sekarang sudah banyak berubah. Dulu, Umno dan BN merupakan parti dominan. Letak songkok pun boleh menang jika mewakili BN. Tetapi keadaan itu sudah berubah sekarang.

Umno Johor terkial-kial mencari sokongan sekarang kerana pengundi sudah tahu membuat pilihan. Jika dulu, Umnolah yang orang Melayu kenal di Johor tetapi kini mereka sudah berani mengundi PAS dalam pilihan raya.

Jika dulu hanya Kluang sahaja merupakan kawasan DAP tetapi sejak kebelakangan ini, sudah banyak tempat yang DAP boleh menang dan beberapa kerusi, walaupun DAP kalah tetapi undi yang dikutip cukup memberangsangkan.

Dengan apa yang berlaku dalam MCA dan Gerakan sekarang, peluang DAP menambah kerusi di Dun Johor dan peluang PAS menambah kemenangan amatlah cerah. Usah terkejut jika Pakatan Rakyat memerintah Johor selepas PRU13 akan datang dengan apa yang berlaku sekarang.

Pengundi Cina dan India sebenarnya belum mahu kembali menyokong BN kerana mereka sudah lama memberi BN peluang berkuasa.

Apa lagi janji baru yang BN di Johor mahu taburkan untuk menyembunyikan masalah yang sedang mereka hadapi sekarang? Khabarnya di Muar, khidmat Ahli Parlimennya, Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan sudah mula dipertikaikan.

Begitu juga ceritanya di Parit Sulong, Dato’ Noraini Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Menteri dikatakan tidak akan dikekalkan sebagai Ahli Parlimen.

Pertelingkahan antara Adun Kempas, Osman Safian dengan Dato’ Nur Jazlan Mohamed di Bahagian Pulai masih tidak berkesudahan.

Betulkah Dato’ Dr Wee Ka Siong tidak berani mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam yang diwakilinya kerana sokongan orang-orang Melayu terhadap keceloparannya menjadi topik perbualan sekarang.

Hishammuddin Hussein juga dikatakan bermasalah di Parlimen Sembrong dan mahu dipindahkan semula ke Tenggara.

Siapakah calon MCA yang bakal diketengahkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bakri kali ini selepas ketiadaan Chua Jui Meng? Ada banyak persoalan yang berlegar dan menghambat kekuatan BN yang selama ini dianggap kukuh dan bentang di Johor...

Monday, November 28, 2011

PR ajak rakyat Johor buat perubahan...

Anwar ajak rakyat berubah
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 28, 2011
Anwar ajak rakyat berubah

AYER BALOI - Kesesakan hampir dua kilometer sepanjang jalan menuju ke Kampung Parit Keroma Ayer Baloi, di sini tidak sedikitpun menghalang orang ramai menghadiri ceramah Umum Pakatan Rakyat (PR) yang julung kali diadakan di daerah ini.

Malah, sejak awal lagi bermula pada jam 8.30 malam, hampir 2,000 hadir bagi mendengar ceramah yang disampaikan pemimpin utama parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan golongan muda perlu mengambil contoh kebangkitan di Mesir untuk membawa perubahan di negara ini.

Katanya, perubahan sangat diperlukan bagi memastikan golongan tersebut tidak terpinggir dalam mendapat pekerjaan biarpun banyak universiti dan institusi pengajian ditubuhkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pontian. Saiful Amri A Suloh berkata sokongan dari generasi muda terutama golongan belia terhadap ceramah ini adalah paling ramai diterima dan jelas kelihatan apabila separuh daripada golongan itu hadir.

“Biarpun pada mulanya jalan sesak berikutan sekatan jalan raya berhampiran dengan kawasan ceramah diadakan namun bilangan yang hadir tetap ramai.

“Seawal jam 8.30 malam lagi, orang ramai sudah mula membanjiri kawasan perkarangan lokasi ceramah di salah sebuah rumah penyokong Pas di Kampung Parit Keroma, meskipun hujan renyai,” katanya pada majlis itu serentak dengan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Pontian, di Parit Keroma, di sini, malam semalam.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Chua Jui Meng; Exco Selangor, Yaakob Sapari dan Badrul Hisham Shaharudin atau ‘Cikgu Bad”

Katanya, perancangan selama tiga minggu diperlukan untuk mengadakan majlis dan memastikan keadaan aman dan terkawal serta memperoleh permit.

“Sudah lama kita merancang untuk diadakan majlis yang memberi peluang kepada penduduk bertemu dengan pemimpin teratas parti,

“Justeru, sempena dengan Kongres PKR yang diadakan di Pulai Spring Resort, Skudai, kita menjemput sendiri pemimpin utama parti hadir memberi ceramah,” katanya.

Katanya, dianggarkan seramai 200 orang sudah menyertai jentera itu dan bilangannya dijangka meningkat.

“PR akan menggunakan pengalaman mengadakan ceramah umum ini sebagai permulaan untuk mengadakan ceramah yang seterusnya di Pontian,” katanya.

Friday, August 19, 2011

Kesian Rakyat Johor.. makan ayam yang amat diragui status halal dan kesuciannya

Johor dibanjiri ayam disembelih tak sempurna



KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.

JOHOR BAHRU - Percaya atau tidak, beratus-ratus peniaga di negeri ini kini menjual kira-kira 60,000 ekor ayam segar yang amat diragui status halal dan kesuciannya setiap hari.

Jumlah tersebut meliputi 30 peratus daripada bekalan ayam di negeri itu setiap hari yang berjumlah 200,000 ekor.

Masalah tersebut berpunca daripada sikap segelintir pengusaha pusat penyembelihan yang menjalankan kerja-kerja penyembelihan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, pihaknya bimbang pengusaha kecil kini semakin berani untuk mengaut keuntungan berikutan permintaan yang tinggi daripada umat Islam berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAIJ,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Bahru di Pontian awal pagi semalam.

Dalam serbuan dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi itu, JAIJ mendapati premis terbabit tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.



KEADAAN pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas, Pontian, Johor yang menjijikkan.

Turut membimbangkan JAIJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

Menurutnya, JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal namun mereka tidak mematuhinya.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata, JAIJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm