Showing posts with label KEDA. Show all posts
Showing posts with label KEDA. Show all posts

Sunday, July 15, 2012

Untungnya Kedah bila Kjaan Pusat bagi RM4juta untuk bina dan repair rumah... jadi tunggu lagi..duit rakyat tuu..!!

Keda terima peruntukan tambahan perumahan RM4 juta

15 Julai 2012
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) menerima peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta daripada kerajaan pusat bagi pembinaan dan pembaikan rumah golongan miskin.

Pengerusi Keda Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata peruntukan berkenaan diluluskan baru-baru ini, berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai bagi mendapatkan dua jenis bantuan tersebut.

Beliau berkata dengan peruntukan tambahan itu, Keda mempunyai bajet RM12.3 juta bagi dua projek berkenaan tahun ini, iaitu pertambahan daripada peruntukan asal sebanyak RM8.3 juta.

"Daripada peruntukan RM12.3 juta berkenaan, agensi itu dapat membina 206 rumah baru dan membaik pulih sejumlah 378 unit rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Cemerlang Keda di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah menyatakan komitmen agensi berkenaan untuk terus membantu penduduk miskin di negeri ini mendapat rumah yang selesa.
  
Katanya permohonan yang diterima setiap tahun adalah tinggi dan senarai menunggu agak ramai.

"Saya meminta pemohon supaya bersabar dan sentiasa menyemak dengan Keda tentang status permohonan mereka. Setiap permohonan akan diproses dan dikaji terlebih dahulu sama ada memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.   

Ahmad Bashah juga meminta pekerja Keda yang berjumlah 427 orang supaya terus gigih bekerja dalam membantu masyarakat serta sentiasa mencari idea baru dalam membangunkan rakyat Kedah.

"Sebagai agensi pembangunan wilayah yang sangat penting di Kedah, Keda perlu mencari dan memikir bagaimana untuk terus membangunkan Kedah menerusi pelbagai program seperti keusahawanan, jaringan jalan raya, membasmi kemiskinan dan pendidikan," katanya.  -- Bernama

Friday, August 5, 2011

Adakah kami tidak layak mohon rumah KEDA?

Masih tunggu bantuan rumah

PADANG PELIANG – Adakah kami tidak layak? Itulah pertanyaan sebuah keluarga di Kampung Baru dekat sini mengenai permohonan bantuan rumah yang dimohon keluarga itu lebih 11 tahun.

Norma Mat Isa, 45, berkata, sudah banyak surat permohonan dihantar kepada pelbagai pihak antaranya pejabat daerah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan UMNO bahagian namun, sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

“Selama 23 tahun saya menumpang di rumah bapa saudara yang serba kekurangan memandangkan bapa saudara saya menetap di Kuala Lumpur namun, saya bimbang akan kehilangan tempat tinggal jika bapa saudara saya pulang untuk menetap di sini.

“Tambahan pula bumbung rumah ini banyak bocor dan saya tidak mampu untuk membaikinya berikutan menghadapi masalah kewangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia sudah beberapa kali bertanya mengenai status permohonan itu kepada pemimpin kampung kawasan itu namun, dimaklumkan pihak berkenaan masih belum menerima sebarang peruntukkan.

“Saya tidak berpuas hati mengenai permohonan rumah ini memandangkan saya sudah lama memohon bantuan itu namun, orang lain yang baru memohon sudah memperolehnya.

“Saya hairan pelbagai alasan yang diberikan pihak berkenaan kepada saya setiap kali ditanya mengenai permohonan itu sedangkan sudah banyak gambar rumah ini yang diambil pelbagai pihak,” katanya.

Norma berkata, permohonan terbaru dibuat pada 17 April lalu melalui permohonan kepada pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan kerana dia tidak tahu cara untuk memohon rumah.

Sementara itu, Norma yang baru menjalani pembedahan payu daranya terpaksa bekerja sebagai pembantu sebuah kedai runcit memandangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Suami saya kadangkala melakukan kerja memotong rumput, meracun ketika musim padi dan turun ke sungai menangkap ikan serta pendapatan yang diperoleh hanya RM20 sehari.

“Gaji saya di kedai runcit itu hanya RM2.50 sejam namun, saya tidak mampu bekerja dalam tempoh masa yang lama kerana baru menjalani pembedahan,” katanya.

Walaupun mereka mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah itu RM170 sebulan namun, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

Berikutan itu, mereka sekeluarga mohon supaya pihak berkenaan segera meluluskan permohonan rumah itu.

Wednesday, June 8, 2011

Sudah lebih 5 kali sejak 1996 lagi, namun sehingga kini masih lagi tiada sebarang jawapan dari KEDA

Putus asa mohon bantuan rumah

PENDANG – Seorang pemohon bantuan rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) berputus asa untuk terus memohon kepada pihak berkenaan kerana sehingga kini masih lagi tidak berjaya.

Mohd Fazli Abdul Kadir, 35, berkata, dia mengemukakan permohonan rumah kepada pihak berkenaan sudah melebihi lima kali sejak 1996 lagi, namun sehingga kini masih lagi tiada sebarang jawapan.

Menurutnya, dia sudah kecewa untuk terus mengharapkan bantuan rumah daripada pihak berkenaan kerana setiap kali permohonan dihantar, tetapi tiada apa-apa jawapan dan tindakan daripada pihak berkenaan.

“Saya menumpang di rumah mertua di Kampung Pokok Tai bersama lima anak sejak sekian lama menyebabkan saya memohon bantuan daripada pihak berkenaan beberapa kali, namun saya sudah kecewa untuk terus memohon bantuan itu.

“Dari isteri saya masih ada sehinggalah kini isteri saya sudah meninggal dunia impian untuk memiliki rumah sendiri masih lagi tidak kesampaian, namun selepas isteri saya tiada saya sudah berputus asa untuk memohon bantuan rumah lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fazli berkata, dia dan isterinya begitu mengharapkan bantuan rumah daripada pihak berkenaan, namun impian mereka tidak kesampaian apabila isterinya pergi meninggalkannya pada tahun lalu selepas melahirkan anak bongsunya.

“Setiap kali borang permohonan bantuan rumah keluar saya pasti tidak melepaskan peluang mengisi permohonan itu, namun tidak pernah berjaya dan saya tidak tahu di mana silapnya permohonan saya itu.

“Saya menghantar terus permohonan itu kepada pejabat Keda, namun permohonan itu hanya diam sahaja dan sepatutnya pihak berkenaan harus memaklumkan kepada pemohon supaya mereka tidak terus menaruh harapan memiliki rumah,” katanya.

Tuesday, May 10, 2011

Penjawat awam saman Keda


ALOR SETAR - Seorang penjawat awam memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, kerana mendakwa Keda gagal mengesahkan jawatannya dalam perkhidmatan.

Nur Dini Mohd Noh, 33, selaku plaintif memfailkan writ saman dan menamakan Keda sebagai defendan.

Berdasarkan tuntutannya, plaintif adalah seorang kakitangan Keda yang menyandang jawatan Juruaudit Gred W41, beliau ditawarkan Pelantikan Jawatan Tetap sebagai Juruaudit Gred W41 pada 16 November 2006 dengan gaji permulaan RM2,039.72 dan berada bawah Skim Perkhidmatan Tetap serta berpencen.

Nur Dini turut mendakwa menerima surat arahan pertukaran bertarikh 16 Julai 2008, daripada Unit Dalam kepada Unit Kutipan Hasil, berkuat kuasa 20 Julai 2008.

Plaintif menerima satu lagi surat bertarikh 12 November 2009 berhubung tarikh lanjutan tempoh percubaan, bermula 16 November 2009 sehingga 15 November 2010 serta tidak akan mendapat pergerakan gaji tahunan, kerana tidak mendapat perakuan Ketua Jabatan.

Nur Dini menerusi pengacaranya, menyampaikan notis bertarikh 8 Disember 2010 kepada Pengurus Pentadbiran dan Pengurus Sumber Manusia, Ahmad Hilmi Talib, bagi mengetahui status pengiktirafan dan perakuan Ketua Jabatan.

Sebaliknya surat balas daripada Keda bertarikh 26 Disember 2010 menyatakan Nur Dini tidak dapat disahkan ke dalam jawatan kerana tidak mendapat perakuan dan sokongan Ketua Jabatan, malah defendan gagal memberikan alasan munasabah mengapa plaintif tidak mendapat perakuan dan sokongan Ketua Jabatan.

Plaintif dalam writ samannya antara lain menuntut pengiktirafan ke jawatan tetap sebagai Juruaudit Gred W41 yang sepatutnya diperoleh pada 9 September 2008, pembatalan arahan bertulis daripada Ketua Jabatan berkaitan pergerakan gaji tahunan yang disekat, pelarasan gaji bermula tahun pergerakan gaji terhenti, serta ganti rugi am dan ganti rugi teladan RM50,000.

Saturday, April 16, 2011

Putus asa mohon rumah Keda

PENDANG – Sebuah keluarga di Kampung Sukamari di sini kecewa dan berputus asa memohon bantuan rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) kerana tidak pernah berjaya walaupun beberapa kali permohonan dibuat kepada pihak berkenaan.

Pemohon, Abu Seman Abdullah, 57, berkata, dia menghantar permohonan bantuan rumah daripada pihak berkenaan lebih lima kali sejak 2001 namun, sehingga kini pihak berkenaan belum menghantar sebarang surat maklum balas mengenai status permohonannya itu.

“Saya menghantar surat dan menghadiri kursus dan temu duga mendapatkan bantuan itu, namun sehingga kini tidak berjaya walaupun pihak berkenaan mengetahui kehidupan saya bersama keluarga yang begitu daif di rumah kecil di kampung ini.

“Pihak berkenaan hanya memaklumkan akan memperoleh bantuan rumah Keda di Bukit Jenun, namun sehingga kini tiada apa-apa sedangkan perumahan di kawasan itu sudah lama dihuni pemiliknya,” katanya.

Menurutnya, dia banyak kali membuat permohonan kepada pihak berkenaan memandangkan rumah yang didudukinya bersama isteri, tiga anak dan seorang adik ipar kurang upaya (OKU) usang dan kecil.

“Permohonan juga dibuat kerana tidak sanggup berdepan masalah banjir setiap kali hujan memandangkan kawasan rumah itu dikelilingi sungai.

“Rumah itu lebih tiga kali dilanda banjir setiap tahun ketika musim hujan sehingga menyebabkan kami (keluarga) terpaksa berpindah dan menjalani kehidupan dalam rumah itu. Meredah air paras pinggang merupakan perkara biasa bagi kami,” katanya.

Isterinya, Rojah Said, 57, berkata, ketika tahun 80an pihak berkenaan memintanya merobohkan rumah itu untuk mendapatkan bantuan rumah Keda namun, dia enggan melakukan sedemikian memandangkan rumah kecil itu merupakan rumah pusaka milik tujuh beradik.

“Kami tidak berani merobohkan rumah itu untuk mendapatkan rumah Keda walaupun rumah itu kecil tetapi ia rumah pusaka lagipun kami bimbang jika rumah itu dirobohkan kami gagal mendapat rumah dan tiada tempat lain dapat diduduki.

“Rumah ini tidak mampu menampung jumlah ahli keluarga yang ramai sehinggakan saya terpaksa meminta suami membina pangkin dalam rumah itu untuk kemudahan terutamanya ketika banjir,” katanya.

Menurutnya, bekalan elektrik rumah itu tidak mampu dipasang memandangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya memperoleh sumber pendapatan kadang kala hanya RM300 sahaja sebagai tukang membaiki rumah.

Sunday, April 3, 2011

Tukang kebun tunggu jawapan KEDA

PENDANG – Seorang tukang kebun masih lagi menunggu jawapan permohonan rumah Lembaga Kemajuan Kedah (Keda) yang dimohonnya kepada pihak terbabit memandangkan tidak sanggup untuk terus berhadapan masalah banjir yang sering melanda rumahnya di Kampung Batu Hampar dekat sini.

Sinar Harian difahamkan sebuah keluarga ini tidak sanggup untuk terus berpindah-randah setiap kali kawasan itu dilanda banjir memandangkan kedudukan rumahnya itu berhampiran kawasan Sungai Pendang.

Md Nor Hamid, 61, bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah terpaksa menjalani hidup serba kekurangan di rumah itu memandangkan permohonan rumah Keda masih lagi belum mendapat jawapan.

“Saya sudah membuat permohonan rumah sejak 2008 lagi dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Safian, namun sehingga kini saya masih lagi belum mendapat maklum balas mengenai permohonan yang dikemukakan itu.

“Selepas membuat permohonan itu, sehingga kini masih lagi tiada apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan dan mereka tidak berkunjung ke rumah saya bagi menyiasat kehidupan keluarga saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia terpaksa menjalani kehidupan di rumah kecil itu bersama 10 ahli keluarganya dan sering resah terutamanya pada musim hujan memandangkan air sungai sering naik.

“Lebih lima kali rumah ini ditenggelami air setiap setahun menyebabkan kami terpaksa berpindah dan sering juga berhadapan banjir kecil.

“Ketika banjir kecil saya terpaksa meredah air untuk ke pekan bagi membeli keperluan makanan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Ramlah Sahaba, 51, berkata, dia menetap di rumah itu lebih 20 tahun, namun tidak mampu untuk membaikinya memandangkan gaji suaminya sebanyak RM500 sebulan hanya mencukupi untuk keperluan makan sahaja.

Menurutnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang ada juga menawarkan bantuan untuk membaiki rumah itu, namun dia menolak memandangkan tanah rumah itu adalah tanah rizab yang ditumpang sementara sahaja.

“Apabila kawasan rumah sering dilanda banjir menyebabkan tiang dan kedudukan rumah ini menjadi tidak stabil menyebabkan kami bimbang dan berharap supaya jawapan permohonan itu diketahui dengan segera.

“Selain keadaan rumah daif, kami sekeluarga juga tidak pernah merasakan kemudahan bekalan air paip seperti penduduk lain memandangkan suami tidak mampu membiayai kos pemasangan air paip yang begitu tinggi seperti yang diminta pihak berkenaan,” katanya.

Ramlah berkata, dia hanya mengharapkan bekalan air perigi sahaja dan ia menimbulkan masalah apabila kawasan itu sering dilanda banjir menyebabkan keadaan air itu menjadi semakin keruh.

Selain itu, Sinar Harian difahamkan juga Md Nor pernah memohon bantuan bulanan daripada JKM memandangkan dia tidak mampu lagi melakukan kerja disebabkan menghidap pelbagai penyakit, namun gagal.

Wednesday, February 23, 2011

Baguih KEDA..buat banyak-banyak lagik..

Keda bina 900 rumah keluarga miskin


AHMAD Bashah Md. Hanipah (kanan) bersama William Toh (tiga dari kiri) meletakkan bata sebagai simbolik perasmian majlis pecah tanah program bantuan rumah di Desa Keda Nagalilit, Padang Serai, baru-baru ini.

PADANG SERAI 23 Feb. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan membina 900 unit rumah melibatkan peruntukan RM2.9 juta untuk membantu golongan miskin dan memerlukan di negeri ini, sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pembinaan rumah tersebut melibatkan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) dan Skim Program Kesejahteraan Rakyat (SPKK) serta sumbangan badan korporat.

Katanya, usaha berkenaan diambil bagi memastikan kadar kemiskinan di negeri itu dapat diturunkan ke tahap minimum di samping memastikan rakyat menikmati kualiti hidup lebih baik pada masa akan datang.

"Kita telah menyasarkan untuk menurunkan paras kemiskinan di kalangan rakyat negeri ini ke tahap lebih rendah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Antara usaha yang diambil ialah membantu meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi skim pemilikan rumah serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi membina 20 unit rumah bernilai RM660,000 sumbangan Yayasan British American Tobacco (BAT) Malaysia di bawah program SPKK, di Desa Keda Nagalilit, dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Keda, Datuk Mohd. Arpan Shari; Pengerusi Yayasan BAT, Willam Toh dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud.

Menurut Ahmad Bashah, Keda akan memberikan keutamaan kepada penduduk di luar bandar terutama di kalangan kurang mampu atau mendiami rumah yang uzur untuk memiliki rumah sendiri.

"Selain itu, kita juga boleh mempertimbangkan bantuan pembinaan rumah baru kepada penduduk memiliki tanah sama ada sendiri ataupun atas kebenaran keluarga," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memuji kesungguhan pihak swasta seperti Yayasan BAT yang bersama- sama membantu kerajaan membela nasib rakyat termiskin.