Sunday, November 25, 2012
K’jaan takut pemerhati luar sebab p’raya Malaysia kotor..!!
Saturday, February 4, 2012
Najib, Mahathir jalin hubungan dengan Israel sekian lama- AMK
KUALA LUMPUR 3 Feb: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan Umno lainnya bersikap talam dua muka berhubung dasar luar negara dengan menjalinkan hubungan dengan Israel sejak sekian lama.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas kenyataan semborono pemimpin Umno, termasuk bekas presidennya, Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ketua pembangkang itu menyokong Israel.
Dokumen EU menunjukkan Malaysia di kedudukan ke 15 menjalin hubungan dagang dengan Israel
Menurut Shamsul, Malaysia menduduki tangga ke 15 sebagai rakan dagang utama dengan Israel pada 2010, melalui dokumen rasmi yang didedahkan oleh Kesatuan Eropah (EU), selain kapal Israel dibenarkan berlabuh di perairan Malaysia.
“Pendedahan dokumen yang menyatakan Malaysia menduduki tangga ke 15 sebagai ‘The Major Trade Partner 2010′ dengan rejim Israel membuktikan sikap sebenar hipokrasi Umno.
“Namun di dalam negara, mereka (pemimpin Umno) cuba menyatakan Malaysia tiada hubungan langsung dengan Israel, samada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya.
Selain itu, katanya, Najib melantik syarikat perunding komunikasi Israel, Apco Worldwide untuk menaikkan imej kerajaan dengan membayar sebanyak RM77 juta setahun kepada syarikat zionis itu.
Manakala Mahathir pula mengakui pernah membayar seorang pelobi Zionis, Jack Abramoff bagi menemui bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush.
“Najib mengupah Apco dan Dr Mahathir pula membayar pelobi zionis jutaan ringgit, ini semua mengukuhkan lagi sikap bermuka-muka Umno yang mempercayai kepakaran Israel berbanding keupayaan rakyat Malaysia sendiri.
“Sebab itu fitnah Umno bersama media kawalannya kononnya Anwar menyokong Israel jelas menggambarkan sikap hipokrit dan bertujuan cuba mengalih isu sebenar,” jelas beliau kepada keadilandaily.com
Sebelum ini, pentadbiran Najib membayar RM77 juta setahun kepada Apco Wordwide, untuk tujuan perundingan komunikasi selain mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.
Pendedahan itu pada Mac tahun lalu menyebabkan Anwar dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat hampir setengah tahun.
Selain Apco, pentadbiran Najib turut mengupah syarikat komunikasi, FBC media yang terlibat dalam kempen menyokong serangan tentera Israel terhadap konvoi misi bantuan Mavi Marmara ke Gaza, Mei 2010.
FBC yang dibayar kerajaan Malaysia RM94 juta turut memuji tindakan Israel menghentikan misi bantuan kemanusian kapal Mavi Marmara ke Gaza, yang menyaksikan beberapa orang terkorban.
—Keadilan Daily
Tuesday, January 3, 2012
Sudah-sudah la tu KJ ajak orang berdebat... bila di ajaknya banyak songeh alasah kamu berikan..!!
Beliau membuat kenyataan itu ekoran Khairy sehingga kini masih berdiam diri berhubung cabaran debat mengenai isu salahguna dana oleh National Feedlot Corporation (NFC).
“(Kepada Khairy) cukup-cukuplah cabar orang. Sebelum ini dia yang paling garang.
“Sekarang kredibiliti dia untuk mencabar orang dah terhakis. Kalau dia ada maruah henti-hentilah cabar orang,” kata beliau.
Bagaimanapun katanya, rakyat yang marah berhubung skandal itu, kini menerima mesej jelas bahawa Umno gemar mempertahankan pimpinannya yang melakukan salahguna kuasa.
“Mesej kepada rakyat dah jelas…Umno gemar bersekongkol dan membela mereka yang bersalah.
“Dia (Khairy) tahu dan lihat kemarahan rakyat memuncak,” katanya kepada keadilandaily.
Khairy sebelum ini beria-ia mempertahankan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Ekoran itu, Rafizi pada 18 November lalu mencadangkan agar debat berhubung isu itu diadakan pada 12 Disember dan memberi tempoh sebulan untuk Khairy menjawabnya.
Namun debat itu terpaksa dibatalkan selepas Khairy dilapor tidak dapat hadir pada tarikh itu, dan ingin menetapkan tarikh baru yang dipersetujui bersama.
Justeru Rafizi mencadangkan agar debat skandal NFC itu diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) yang juga Ibu Pejabat Umno.
Beliau turut meminta Khairy memberikan satu tarikh menjelang 12 Disember sebelum jam 12.00 tengahari, namun sehingga kini tiada sebarang respon dari Ahli Parlimen Rembau itu.
http://www.keadilandaily.com/debat-nfc-rafizi-nasihat-khairy-berhenti-cabar-orang/
Monday, December 26, 2011
Nama saja MENTERI AGAMA.. tapi perbuatan Menjelekkan! ada Rumah Mewah boleh.. nak bayar peguam guna duit ZAKAT
Kuala Lumpur 26 Dis: Menteri hal ehwal Agama, Datuk Seri Jamil Baharom mampu memiliki rumah mewah tetapi menggunakan wang zakat untuk membayar kos guaman peribadi, kata Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Saifullah Mohd Zulkifli.“Mengapa perlu guna wang zakat, sebagai menteri saya berkeyakinan Datuk Seri Jamil mampu membayar kos guaman itu guna wang sendiri tanpa perlu mengusik walau sesen pun wang zakat.
“Buktinya, beliau mampu pula selenggara rumah mewahnya seperti yang didedahkan sebelum ini,” katanya kepada Keadilandaily.com
Menurutnya, jika seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam tidak amanah, apatah lagi membabitkan menteri lain seperti skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Kalau sampai tahap wang zakat pun diseleweng menteri agama Umno, jadi apa nak hairan kalau wang (projek) lembu RM250 juta turut diseleweng syarikat keluarga Ketua Wanita Umno,” soalnya.
Laporan Audit Negara 2010 baru-baru ini mengesahkan RM63,650 dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman Jamil Khir danKos guaman itu bersabit kes tuntutan qazaf ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain sebagai responden.
Meskipun dikembalikan semula, namun tindakan menggunakan wang zakat itu dikecam keras pelbagai pihak, sedangkan pada masa sama Jamil Khir mampu mempamerkan kehidupan mewah beliau.
Suara Keadilan September lalu menyiarkan gambar kediaman mewah Jamil Khir yang baru diubahsuai dan dianggarkan menelan kos jutaan ringgit di Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor.
Pimpinan KEADILAN turut mempersoalkan bagaimana menteri yang baru dilantik tiga tahun oleh Perdana Menteri itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa singkat. -KD
Sunday, December 25, 2011
Pendakwaan terhadap Khir Toyo adalah wayang- Haniza
KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo merupakan wayang yang akan berakhir dengan pembebasan beliau, kata Timbalan Speaker Dewan undangan Negeri Selangor, Haniza Talha.
Haniza mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni daripada tuduhan bersubahat dengan Khir, berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 Shah Alam empat tahun lalu.
“Seperti kes melibatkan (Tan Sri) Eric Chia dan Perwaja, akhirnya dibebaskan. Jadi, jangan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia yang memerhatikan perjalanan kes ini.
“Dalam masa sama, mereka tuduh pihak lain merasuah dengan bukti yang tak wujud,” katanya merujuk tuduhan yang dilempar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2009 kerana menderma 46 ekor lembu kepada fakir miskin.
Haniza yang juga Adun Taman Medan berkata, meskipun Khir tidak boleh dijatuhkan hukuman sebelum diputuskan mahkamah, namun beliau meragui kewibawaan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap berat sebelah.
Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Saifullah Zulkifli berkata, perbicaraan terhadap Khir yang menyalahguna kuasanya sebagai penjawat awam untuk meluluskan pembelian hartanah, tidak lebih sekadar gimik politik.
“Adakah prosedur pembelian hartanah dipatuhi? Apakah Khir tidak menyalahguna kapasitinya sebagai Menteri Besar untuk mendapat hartanah mewah di lokasi strategik?,” soalnya.
Katanya, siasatan terhadap Khir Toyo tidak seharusnya menjurus kepada transaksi pembelian tanah tersebut, bahkan sumber perolehan kewangan juga perlu didedahkan.
“Persoalan timbul ialah sumber kewangan mana yang diperolehi Khir untuk membeli tanah tersebut? Kita juga ingin tahu, apakah sumber kewangan itu menggunakan dana rakyat Selangor?” soal Saifullah.
Disebabkan itu, katanya, selepas Pakatan mentadbir Selangor, maklumat yang sebelum ini dianggap sulit kini boleh diakses orang ramai melalui Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Zahrah Kechik suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam.
Ia diterima daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14926
KALAU MACAM NIE NAK PANGGIL APA LAGI..
WAYANGLAH NAMANYA....
Keputusan bersalah Khir Toyo bukan tanda kerajaan serius tangani rasuah
SHAH ALAM 23 Dis: Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara setahun kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo belum menandakan kerajaan dan pejabat peguam negara serius menangani rasuah.
Ini kerana, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Sivarasa Rasiah, keputusan sebenar hanya akan diketahui apabila kes itu dibawa ke peringkat mahkamah rayuan.
“Kalau kes ini menang di mahkamah rayuan, tidak ada gunanya juga. Kalau mahu melihat peguam negara serius atau tidak untuk menentang rasuah, kita perlu menunggu kes ini diputuskan di mahkamah rayuan,” katanya kepada Keadilandaily.
Menurutnya lagi, dalam kes rasuah pembelian tanah membabitkan Adun Sungai Panjang itu, mahkamah juga sepatutnya mendakwa kes-kes lain, termasuk dakwaan pemberian lot tanah yang diberikan Khir Toyo kepada kroninya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini kepada Khir, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.
Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari.
Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati wujud kes prima facie ke atas pemimpin Umno itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24765
Friday, December 23, 2011
Bakal Calon BN Jerai didapati seleweng wang zakat MAIWP
Perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom menggunakan wang zakat, mengkhianati golongan asnaf yang sepatutnya menerima agihan wang berkenaan, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim.Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan wang zakat berjumlah RM63,650 digunakan Jamil dan dua lain bagi menghalang kes qazaf yang di failkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wang zakat itu dibayar kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.
“Seleweng wang zakat ini bukti Menteri Umno dan dua yang lain menyalahgunakan kuasa mereka dan saya tegaskan firma guaman yang menerima wang zakat itu tidak termasuk dalam senarai yang sepatutnya menerima zakat,” katanya.
Lapan golongan yang layak itu hanyalah fakir, miskin, Amil (mereka yang dilantik memungut zakat), Muallaf (Seseorang yang memeluk Islam, Riqab (orang yang tidak mempunyai kebebasan), Gharimin (penghutang muslim), Fisabillillah (pejuang Islam) dan Ibnus Sabil (musafir).
Katanya lagi, Jamil yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, sememangnya berniat menggunakan wang zakat demi kepentingan mereka dan tahu firma guaman yang dilantik itu tidak termasuk golongan yang layak menerima zakat.
Wang itu katanya, hanya dibayar semula selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima geran RM700,000 pada Jun 2010.
“Apabila Datuk Jamil guna wang zakat dan akan bayar balik seperti mana didedahkan dalam surat jawapan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu, maknanya mereka tahu bahawa guna wang zakat itu salah.
“Kalau sudah tahu, mengapa guna juga wang itu dan kita yakin kalau kita tidak dedah penyelewengan ini, belum tentu wang zakat itu dapat balik,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.
Thursday, November 3, 2011
Noh Omar Bohong... Orang pie haram tak buka pintu pon..!!

Rombongan itu yang dianjurkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Adun Sikamat, Aminuddin Harun disertai kira-kira 30 orang termasuk wartawan dan aktivis NGO, Jingga 13.
Rombongan itu tiba di pusat fidlot itu yang dimiliki National Fidlot Corporation (NFC) pada kira-kira jam 12.40 tengahari namun dihalang pihak keselamatan yang enggan membuka pintu pagar utama.
Rafizi Ramli cuba berunding dengan pengawal keselamatan dan menjelaskan bahawa KEADILAN sendiri telah menghantar surat rasmi kepada pihak (NFC).
Malah, kata Rafizi, Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sendiri sebelum ini pernah menegaskan yang pintu pusat fidlot itu akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk dilawati sebagai bukti ketelusan kerajaan dalam penganugerahan projek itu.
“Ini kemudahan kerajaan. Bukan milik swasta,” kata Rafizi merujuk kepada RM250 juta yang dilaburkan kerajaan BN kepada NFC yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Kita datang berdasarkan jemputan daripada Menteri Pertanian. (Beliau kata), sesiapa yang mahu datang, beliau akan buka pintu,” kata Rafizi lagi.
Pengawal keselamatan yang menjaga pagar kemudiannya berkata beliau menerima arahan daripada majikannya yang mengarahkan agar tidak menerima sesiapa untuk melawat hari ini.
Rafizi kemudiannya cuba berunding agar NFC membenarkan wartawan untuk masuk dan meninjau kawasan ternakan lembu seluas 5 ribu ekar dan didakwa menternak sehingga 1500 ekor lembu pada satu-satu masa itu.
Beliau juga meminta pengawal keselamatan itu memanggil mana-mana pegawai NFC untuk berunding namun kedua-dua permintaan itu tidak dihiraukan.
Malah, pengawal keselamatan itu juga mengugut untuk memanggil polis jika rombongan itu tidak bersurai dalam masa 10 minit.
Namun anehnya, di dalam pagar NFC sendiri kelihatan 3 orang lelaki yang kelihatan seperti polis Cawangan Khas membuat rakaman video ke atas rombongan terbabit.
NFC mencuri tumpuan orang ramai apabila ia diketahui diterajui Agro Science Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil.
Ia diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM250 juta melalui RMK 9 namun sehingga ke hari ini gagal memenuhi keperluan pasaran sebanyak 40 peratus yang sepatutnya dipenuhi.
Sehingga ke hari ini, sebanyak RM141 juta telah diberikan kepada Agro Science dengan RM6 juta dalam bentuk geran dan RM135 juta lagi dalam bentuk pinjaman kadar rendah sebanyak 2 peratus setahun.
Menurut Rafizi, persoalan utama sekarang adalah Agro Science diberikan kadar pinjaman yang sangat rendah oleh kerajaan namun ia gagal melaksanakan tugas utamanya malah ada ura-ura daging lembu yang dihasilkan digunakan untuk memenuhi keperluan restoran mewah keluarga Shahrizat.
Justeru, Rafizi menuntut Shahrizat tampil menjelaskan perkara itu serta membersihkan namanya jika benar NFC dan Agro Science tiada apa-apa untuk disorokkan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22576
Monday, October 10, 2011
Mana dia Laporan Audit Negara..Jika tak reti buat kerja baik tutup jee..!!!
"
Antaranya Bangunan Majlis Agama Islam Melaka yang terjual kepada taukeh Cina seperti laporan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/10/bangunan-majlis-agama-islam-melaka.html
Belanjawan 2012 dibentang tanpa laporan Ketua Audit Negara – Anwar
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober lalu dibentang tanpa meneliti laporan Ketua Audit Negara. sepertimana kebiasaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan tersebut juga dibentang tanpa meneliti laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara. “Belum pernah berlaku laporan Ketua Audit Negara belum dibentangkan sebelum belanjawan dibentangkan.
“Adakah ini untuk mengelakkan Yang Berhormat (Ahli-ahli Parlimen) membahaskan laporan Ketua Audit Negara itu?” soal Anwar ketika membahaskan belanjawan 2012 di parlimen hari ini.
Menurut Anwar, peruntukan sebanyak RM232.8 bilion juga terlalu membazir ketika negara kini mengalami defisit perbelanjaan untuk 14 tahun berturut-turut. Justeru itu, beliau mencabar Belanjawan 2012 diunjur semula kepada RM220 bilion sahaja seperti Belanjawan Kesejahteraan untuk Semua yang dibentang PakatanRakyat 4 Oktober lalu.
Potongan dan kajian semula itu juga perlu dilakukan kerana belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri dibuat berdasarkan unjuran defisit dan pertumbuhan yang tidak tepat. “Perbelanjaan RM232.8 bilion yang diumumkan (Najib) adalah berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.
“Unjuran defisit pada angka 4.7% ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012,” kata Anwar. Pendapatan negara yang akan tumbuh pada kadar lima hingga enam peratus yang diumumkan Najib juga, kata Anwar, jauh tersasar daripada jangkaan penganalisa ekonomi tempatan dan dunia.
Beliau mengambil contoh RHB Bank dan Malaysian Institute of Economic Research yang menjangkakan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar antara 4.8 ke 5.7 peratus sahaja berdasarkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Anwar dalam perbahasan tersebut juga percaya, Najib sengaja mengelirukan rakyat dengan unjuran pertumbuhan ekonomi tinggi agar Kerajaan Persekutuan boleh menuntut dividen lebih tinggi daripada Petronas.
“Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi daripada Petronas,” kata Anwar
http://www.keadilandaily.com/belanjawan-2012-dibentang-tanpa-laporan-ketua-audit-negara-anwar/
Wednesday, September 14, 2011
Perghhhhh Besaqnya rumah Anak Pak Ngah baharom nie yee..ambik duit mana tak tau..??
AMK mohon penjelasan rumah mewah Datuk Seri Jamil Khir
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir menjelaskan rumah mewahnya yang dianggar menelan jutaan ringgit.
Keraguan timbul apabila menteri yang baru dilantik 3 tahun oleh Perdana Menteri dan hanya memiliki gaji tidak menjangkau RM15,000 itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa yang singkat.
“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya mengulas isu yang didedah oleh akhbar Suara Keadilan semalam.
Khairul berkata ia bukan perkara memeranjatkan kerana menjadi kebiasaan menteri yang ditadbir Kerajaan Barisan Nasional (BN) hidup mewah.
Beliau merujuk kes bekas Menteri Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mencetus kontroversi kerana kos kediamannya dikatakan melebihi kemampuan sebagai menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.
“Rakyat pun tidak terperanjat dengan isu yang sudah dianggap biasa ini. Oleh itu, jika beliau (Jamil) ada sedikit rasa tanggungjawab dengan imej dan kedudukannya, beliau perlu tampil memberi penjelasan.
“Walaupun (dia) Jamil Khir merupakan Menteri Agama namun ia bukanlah jaminan beliau berperangai seperti Menteri-menteri lain”katanya kepada Keadilandaily.
Sebelum ini KEADILAN pernah mempersoalkan kehilangan RM32,000 wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) didakwa membiayai yuran guaman Jamil Khir dan Pengarah Jabatan Islam (JAWI), Datuk Che Mat Ali.
Ia terbongkar melalui kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, beberapa bulan lalu.
Wang zakat tersebut didakwa digunakan bagi menghalang permohonan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Jamil dan Che Mat tidak tergolong dalam kategori yang layak menerima zakat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20287
Thursday, July 28, 2011
Skandal Scorpene: Zahid, Muhyiddin perangkap Najib
Menurut Badrul, kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi sejak awal dilihat memerangkap Perdana Menteri Najib Razak, supaya diheret dalam perbicaraan skandal pembelian kapal selam pertama negara itu.
Beliau mendakwa kem Zahid Hamidi ‘diketuai’ Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin disertai menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu Khairy Jamaluddin.
“Zahid sebagai Naib Presiden sedang ‘bersiap’ untuk menjadi Timbalan Presiden Umno, yang menjadikannya laluan mudah untuk menjawat Timbalan Perdana Menteri,” tambah Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan CheGuBard.
Menurutnya, ramai yang tidak mengetahui secara dalam diam, Zahid membuat serangan bertalu-talu terhadap kepimpinan Najib, ibarat seperti membaling batu dan sembunyi tangan.
“Pimpinan Pakatan Rakyat sering membangkitkan isu mengenai kapal selam yang gagal menyelam. Namun tahukah kita siapa yang mendedah dan mengesahkan maklumat itu? soal CheGuBard.
Menurutnya, ia bermula pada 19 Ogos 2010, apabila Zahid menyelar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kerana ditemu bual akhbar Indonesia, Kompas.
Dalam temubual tersebut, Izzah mendedahkan kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh berfungsi, selain mendakwa aset Tentera Laut Di raja Malaysia itu sebagai usang dan terpakai.
“Apabila diperhalusi, maklumat itu sebenarnya datang dari kenyataan Zahid sendiri. Dalam tidak sedar dia menyerang Najib.
“Tidakkah kita berasa hairan, selepas Najib cuba mendiamkan media dari membicarakan soal kapal selam, tiba-tiba muncul ‘hero’ yang sanggup memberi keterangan di mahkamah Perancis?” soal Badrul merujuk kesediaan Zahid untuk memberi keterangan di mahkamah itu sekiranya dipanggil berbuat demikian.
CheGuBard turut mempersoalkan percanggahan jawapan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin di Parlimen pada 2006 yang menafikan pembayaran komisen kepada syarikat Perimekar oleh kerajaan Malaysia, sebaliknya oleh pihak di Perancis.
“Tetapi kenyataan pihak di Perancis bahawa mereka tidak dibenarkan membuat sebarang bayaran komisen. Apakah Parlimen Malaysia telah ditipu? soalnya.
Akhbar Suara KEADILAN pada Febuari tahun lalu pernah membangkitkan spekulasi hubungan antara Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, termasuk pendedahan mengenai rahsia ketenteraan kepada pihak asing yang didedahkan Zahid pada 4 Febuari.
Namun, Zahid membuat kesimpulan bahawa kes itu selesai dua hari berikutnya. Sebelum itu, Zahid juga membuat pendedahan mengenai enjin pesawat F5E Tentera Udara Di Raja Malaysia berharga RM100 juta yang hilang pada 2007- semuanya berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.
Justeru adalah tidak menghairankan serangan dari kem Muhyiddin dilihat bertalu-talu termasuk terhadap projek Kementerian Kewangan iaitu Bukit Bintang Commercial Centre (BBCC).
Media utama negara melaporkan Muhyiddin mengarahkan UDA Holdings Bhd menyediakan laporan mengenai kedudukan sebenar isu projek tersebut.
Laporan itu dikatakan akan dibentang kepada Kabinet memandangkan telah berlaku polemik antara syarikat itu dengan beberapa pemimpin politik yang mendakwa kononnya UDA tidak ikhlas dalam membantu kontraktor Bumiputera.
“Tapi adakah Rosmah, Najib dan sepupunya Hishamuddin Hussein akan beri laluan mudah? Belum tentu,” kata CheGuBard yang menyeru rakyat Malaysia supaya cekap memerhatikan perkembangan politik tanah air.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14860
Tuesday, July 19, 2011
Biaq Betul..PDRM Guna Gas Pemedih Mata Buatan Israel..!!!!
Sebelumnya pada April 2009, abang Jawaher, Baasem Abu Rahmah juga mati akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu di bahagian dada. Pendedahan itu dilakukan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yang mendakwa syarikat Federal Laboratories berpengkalan di Amerika Syarikat, pernah disaman berikutan penyalahgunaan gas pemedih mata yang sama pada 1992.
Ia menyebabkan syarikat itu terpaksa membayar pampasan kepada 30 keluarga Palestin. Menurut Shuhaimi, beliau tidak terkejut dengan pendedahan itu kerana polis yang diperalatkan Umno akan menggunakan apa sahaja termasuk meniru pendekatan tentera Israel menzalimi rakyat Palestin.
Katanya, ia bukti kelakuan ganas polis terhadap demonstran Bersih pada 9 Julai lalu sememangnya disengajakan untuk mendatangkan kecederaan kepada warga Malaysia yang menuntut reformasi pilihan raya.
Friday, June 24, 2011
Video Sex versi Johari Abdul..!!
Anggota parlimen Sungai Petani MP Johari Abdul hari ini mengeluarkan versi seks video yang disunting kepada media untuk menunjukkan keraguan sekitarnya.
Tindakan itu sebagai respons kepada laporan pakar Amerika Syarikat bahawa lelaki dalam video itu menyerupai Anwar.
Johari (bertali leher), antara yang terawal menonton video itu pada 21 Mac lalu, berkata demikian dalam sidang media bagi menguatkan dakwaannya bahawa lelaki dalam video itu bukan Anwar.
Dalam video itu, beliau bertindak sebagai pengulas yang membangkitkan keraguan demi keraguan.Lelaki X
'Versi video itu akan dimuatnaik ke Youtube selepas jam 4 petang ini. PKR juga akan menjual VCD dalam ceramahnya bermula hari ini.
Versi yang ditayangkan di hadapan 15 wartawan itu menunjukkan perbandingan fizikal antara Anwar dan juga pelaku di dalam video seks tersebut.
Johari mendakwa pelaku video itu - yang dirujuk sebagai lelaki X - berperut boroi, berhidung mancung dan berdada lusuh, manakala Anwar mempunyai hidung agak 'pesek' dan pendek.
Semasa perbandingan hidung dibuat juga, kelihatan gambar Tan Sri Thambi Chik diletakkan di sebelah gambar Anwar, seolah-olah ingin mencadangkan bahawa bekas ketua menteri Melaka itu sebagai lelaki X.
Ditanya pemberita, Johari bagaimanapun menafikan menuduh sesiapa dan sekadar menunjukkan hidung mancung Rahim.
Shamsul: Tuduh Datuk T, ulas Anwar
Menurut Johari, beliau turut membuat satu kajian di Thailand untuk membuktikan kewujudan teknologi yang mampu mengubah wajah individu.
“Saya memilih untuk menjadi P Ramlee. Wajah saya dan allayarham P Ramlee amat berbeza.
"Jurusolek mengambil masa 4 jam dan inilah hasilnya,” katanya sambil menunjukkan wajahnya yang seiras seniman ulung itu.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang mempertikaikan perjalanan mahkamah pagi tadi ketika trio Datuk T didakwa.
“Pertuduhan terhadap tiga orang ini (Datuk T) tetapi ulasan terhadap DSAI (Anwar),” katanya yang juga seorang peguam.
“Saya juga pertikaikan mengapa mereka walaupun telah dijatuhi hukuman dan dikenakan denda tetapi sebelum membayar denda lagi mereka juga telah dilepaskan.
"Itu bercanggah dengan prinsip perjalanan perbicaraan,” katanya lagi.
Tuesday, June 21, 2011
Peguam Perancis Nak Mai..Ada Orang Malaysia Tidoq Tak Lena Nampaknya Nie..
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Jun: Peguam Perancis yang mengendalikan skandal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Mahkamah Perancis, akan tiba di Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Julai ini.
Keadilan Daily melaporkan kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk memberikan maklumat terkini tentang siasatan kes itu.
Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel memaklumkan KeadilanDaily.com sewaktu ditanya tentang perkembangan terkini siasatan skandal Scorpene melibatkan pembayaran ‘komisen’ hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.
Perimekar dimiliki Ombak Laut, syarikat kepunyaan kenalan rapat perdana menteri, Abdul Razak Baginda dengan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah isteri Razak.
Menurut Cynthia, peguam dari Perancis, William Bourdon dijangka berada di Malaysia selama empat hari untuk memberi penerangan kepada Suaram dan juga orang ramai berhubung status terkini siasatan itu.
“Peguam Perancis yang menyiasat skandal Scorpene ini akan tiba lewat bulan Julai sekitar 20 hingga 24 Julai untuk memberi maklumat dan memaklumkan kita tentang perkembangan terbaru siasatan skandal Scorpene di Perancis.
“Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada 21 Julai di Pulau Pinang dan 23 Julai di Kuala Lumpur. Di antara ahli politik yang sudah bersetuju untuk turut serta adalah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua,” kata Cynthia.
Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.
Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.
Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.
Friday, June 17, 2011
Kartun hina Islam: Matlamat politik halalkan cara- Hata Wahari
Beliau berkata, pertimbangan sensitiviti agama, kaum dan gender bukan lagi keutamaan dalam etika kewartawanan mereka, selagi ia bertujuan menjatuh kredibiliti lawan.
“Ini akibatnya apabila keterlaluan meletakkan agenda politik untuk melebihkan tuan politik mereka- Matlamat menghalalkan cara.
“Sama ada editornya beragama Islam atau tidak bukan isu utama. Walhal, mereka tahu perbuatan itu melanggar hukum agama mereka sendiri,” kata Hata yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Hata yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia berkata, ia bukan pertama kali karya seperti itu disiarkan media yang dinaungi Media Prima.
“Ini bukan kali pertama Media Prima melakukannya. Sebelum ini Berita Harian mempersenda rakyat Jepun yang sedang berkabung dan kesedihan dengan karikatur satu watak kartun popular yang sedang lari dari ombak Tsunami. Ini tidak sensitif.
“Bahkan, beberapa tahun dahulu, New Straits Times mengulang siar lakaran Nabi Muhammad yang digambarkan sebagai pengganas.
“Jika Media Prima sensitif, ia takkan membenarkan penyiaran tersebut. Jangan anggap masyarakat bodoh,” tegas Hata.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan nilai sinikal yang dihasilkan oleh sesebuah karya berbeza dengan karya yang membawa tohmahan.
Beliau merujuk kepada kartunis politik popular seperti Zunar yang bijak menyesuaikan hasil karyanya untuk tatapan umum.
“Seperti kartunis Zunar, dia melukiskan watak seseorang yang jelas imejnya- contohnya seperti sanggul Rosmah yang besar. Tetapi untuk karikatur seperti (Utusan) ini, jelas menghina hukum Islam.
Semalam, akhbar milik Umno – Utusan Malaysia menyiarkan karikatur yang menghina Ulama dan memperlekeh hukum Islam.
Karikatur bertajuk ‘Kekeliruan Kes Rogol’ menggambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon, tetapi ditolak oleh watak seorang dengan imej berserban kerana tidak mempunyai empat saksi.
Lakaran kedua pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis dan alatan itu boleh dijadikan bukti. Karikatur bertujuan membawa persepsi seolah golongan agama tidak serius dengar niat mempermain hukum Islam, iaitu persaksian kes zina.
Berikutan itu, bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang bercadang untuk mendakwa pelukis dan editor akhbar berkenaan kerana menghina Islam.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15306
Tuesday, May 31, 2011
Lesap RM52 bilion saham bumiputera, Umno khianat Melayu- Khalid Jaafar
Dari Keadilan Daily
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Khalid Jaafar mengulangi desakan supaya pimpinan Umno memberi penjelasan ke mana hilangnya RM52 bilion saham bumiputra, sebelum bercakap soal membela orang Melayu.
Beliau berkata demikian mengulas isu saham bumiputera berjumlah RM52 bilion yang dilesapkan di Bursa Kuala Lumpur, seperti mana yang didedah Pakatan Rakyat sebelum ini.
Namun sehingga kini, katanya, kerajaan pimpinan Umno masih belum memberi sebarang penjelasan berhubung isu itu.
“Sehingga sekarang masih tiada pemimpin Umno perjelaskan isu saham yang disonglap mereka. Semua orang perlu tahu ke mana perginya sejumlah besar saham tersebut,” kata Khalid ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Menurutnya, saham bumiputera diperuntukan melalui Dasar Ekonomi Baru, cetusan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bagi mengangkat martabat ekonomi di kalangan bumiputera.
Namun katanya, akibat perbuatan Umno yang sanggup mengkhianati orang Melayu sendiri, menyebabkan bangsa itu masih terkebelakang dalam soal ekonomi dan pegangan ekuiti.
“Mereka (Umno) tidak layak bercakap pembelaan orang Melayu, kerana mereka tidak bermoral untuk membela orang Melayu.
“Saham bumiputra sebenarnya rancangan dalam DEB, yang kita tahu DEB itu sendiri dirumuskan untuk mengangkat martabat orang Melayu, tapi apa yang berlaku sebaliknya apabila Umno sendiri yang mengkhianati orang Melayu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak amalan rasuah dan khianat yang dianjurkan Umno punca saham Bumiputra hilang.
“Menteri sendiri mengaku DEB gagal, ini semua kerana rasuah, khianat yang dilakukan Umno. Sebab itu Pakatan Rakyat menolak DEB, tetapi kita pula dituduh pengkhianat,” katanya.
Menurut Khalid, sekiranya siasatan dijalankan, beliau percaya banyak lagi pengkhianatan yang dilakukan Umno kepada orang Melayu dapat didedahkan.
“Siasat dulu ke mana hilangnya saham Bumiputra, saya pasti banyak lagi dapat dibongkarkan kerana mungkin juga ianya bersiri. Tambahan pula jumlah yang dilesapkan itu terlalu besar,” katanya.
Isu saham bumiputera ditimbulkan sejak Mac tahun lalu oleh Pakatan Rakyat. Ia berdasarkan pengakuan perdana menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan saham bumiputera hanya tinggal RM2 bilion dari RM54 bilion yang diperuntukkan.
KEADILAN sejak Febuari lalu mendesak supaya kerajaan merombak satu mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham berkenaan, serta mengumum senarai penerima 1.5 bilion unit saham khas tersebut tahun lalu.
Thursday, May 5, 2011
Pembohongan Eskay Tentang Video Fitnah Semakin Terserlah
Pembohongan Ahli Perniagaan,Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau diminta mengulas kenyataan Eskay semalam yang menafikan menuduh Anwar melakukan zina, ketika ditanya wartawan selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong berhubung sumpah laknat yang dibuatnya minggu lalu.
“Orang seperti Eskay, lama kelamaan kredibiliti akan terserlah dengan kebohongan. Ceritanya tidak konsisten. Kita boleh senaraikan daripada awal. Mula-mula kata tempat (kejadian seks) berlaku di hotel, kemudian di spa dan apartment di Ampang.
“Selain itu, perkara asas dia berbohong pasal jam (Omega) yang dikata dicuri tetapi dalam video jelas ia tidak dicuri dan tidak wujud pula. Pada awal dia kata jam itu adalah bukti yang kuat tetapi kemudian kata tidak ada kena mengena pula.
“Ini salah satu dari rentetan penipuan, kita boleh masukkan senarai-senarai baru. Malah sumpah laknat yang dibuatnya juga satu penipuan. Seperti pepatah Inggeris, orang yang berbohong dengan satu pembohongan akan terus berbohong untuk menutup pembohongan lain yang dilakukannya,” ujar Rafizi kepada Keadilandaily.com.
Rafizi dalam pada itu turut ditanya mengenai ugutan Eskay, kononnya akan mendedahkan ‘perkara baru’ mengenai Anwar.
Menurut Rafizi, sejak dari awal tuduhan yang dibuat Eskay terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak memberi sebarang kesan kepada KEADILAN, kerana rakyat tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan.
“Ia tidak memberi kesan kepada kita, fokus kita jadi kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat yang bersabit tentang menjaga kebajikan rakyat.
“Di pihak KEADILAN, ini perkara biasa apabila kita dilontar fitnah demi fitnah. Tetapi kita tumpu hal ehwal pentadbiran negara dan membanteras rasuah.
“Mereka cipta fitnah baru, kita dah lali. Rakyat sudah muak dan tidak teruja lagi dengan cerita mereka, akhirnya ia makan diri,” ujar beliau yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kenyataan terbaru Eskay itu juga menunjukkannya semakin gelabah dan mula mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari tuduhan yang dibuatnya sebelum ini.
“Mungkin dia takut dikenakan tuduhan qazaf. Tetapi kita akan teruskan dan pastikan dia dikenakan tuduhan qazaf di mahkamah syariah.
” Dia mula cari jalan untuk keluar dari tuduhan menuduh Datuk Seri Anwar berzina,” katanya.
Semalam, Eskay menafikan menuduh Anwar melakukan zina, sebaliknya menyerahkan beban dakwaan itu kepada wartawan yang menonton video itu di Hotel Seri Carcosa Negara pada 21 Mac lalu.
“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya,”
“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” katanya kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan itu, lapor Malaysiakini.
Ketika ditanya mengenai jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada pihak polis, Eskay enggan menjawab mengapa jam Omega itu relevan dengan kesnya berikutan rakaman video itu langsung tidak menunjukkan jam tangan berkenaan.
Sebelum ini, terdapat percanggahan keterangan yang diberikannya dan kenyataan yang dibuat polis. Eskay mendakwa kejadian seks itu berlaku di sebuah hotel melibatkan seorang pelacur warganegara China.
Manakala polis pula berkata video itu dirakam di sebuah kondominium dan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelajar di sebuah kolej di ibu negara.
Tuesday, April 26, 2011
Haram baca Utusan, tegas Dr Haron Din
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran tidak membeli dan membaca Akhbar Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai “haram” dari sudut Islam, tegas ulama terkemuka tanahair, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz.
Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca.
“Islam adalah agama penyatuan, agama perpaduan, agama yang saling hormat menghormati dan agama yang memberi rahmat kepada sekelian alam.
“Islam menegah amalan menyebarkan berita yang tidak baik seperti mengaibkan orang lain. Hukum Syarak menegah segala amalan yang dibawa oleh mulut atau pun media seperti ini,” jelas beliau.
Kenyataan Haron Din itu disiar dalam akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang boleh diperolehi di pasaran mulai hari ini.
Menurut Dr Haron, Al-Quran juga menyatakan “Maka sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita-berita yang keji (menjatuhkan maruah seseorang), maka bagi mereka itu azab siksa di dunia dan di akhirat.
Menurutnya lagi, berdasarkan hukum Fekah yang di sebut dalam kitab Fekah, Manhaji menyatakan, haram ke atas orang Islam menyebarkan berita keji ke atas orang Islam, tidak kira sama ada peritiwa itu benar atau sebaliknya.
“Kalau berita itu palsu ia adalah suatu fitnah jahat yang mengundang bala Allah yang segera. Kalaulah ia benar maka ia membuka ruang fitnah yang mengundang pelbagai keburukan, sedangkan sepatutnya ia menutup perkara tersebut.” jelas beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12261
Sunday, April 24, 2011
Eskay kata ‘hotel dan pelacur’. Polis kata ‘kondo dan pelajar’
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis mengambil masa untuk menyiasat video tersebut.
“Eskay sebut kepada saya (kejadian itu) berlaku di Club House. Itu dia sebut kepada saya. Saya tidak tahu kalau dia sebut hotel kepada media.
“Polis tak perlu pergi jauh-jauh pun. Pergi cari mana-mana club house dulu.
“Tetapi polis kata kondo, mana yang betul. Saya tak nak mengajar polis. Polis sepatutnya mendapatkan ketetapan Eskay dulu, kenapa susah sangat. Kecualilah kalau mereka mahu melindungi sesuatu,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.com.
Johari turut mempersoal kenyataan Polis bahawa pelaku wanita dalam video berkenaan adalah seorang pelajar swasta di ibu negara.
“Eskay kata pelacur, kemudian polis kata student. Yang mana betul ni? Sebab itu saya minta polis supaya siasat dulu, kerana lagi banyak buat statement lagi banyak nampak tembelang mereka,” katanya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Johari adalah satu-satunya ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditunjukkan rakaman video seks itu oleh Trio Datuk T yang terdiri daripada Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim, 21 Mac lalu.
Namun beliau menafikan sekeras-kerasnya pelaku lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan bentuk tubuh dan lenggok pelaku tersebut.
Justeru Johari ketika dihubungi memberi amaran kepada pihak polis supaya tidak bermain politik dan laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta profesional.
“Saya mendesak dan menasihati pihak polis supaya lengkapkan siasatan secara profesional sebelum membuat sebarang kenyataan. Kalau dah kenal pasti individu dalam video itu, tak payah buat kenyataan. Kerja polis adalah siasat secara profesional.
“Polis jangan main politik, polis sepatutnya lanksanakan tanggungjawab dengan profesional. Kerja polis adalah menjaga keselamatan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan orang ramai terhadap polis sangat tinggi, tetapi rakyat di bawah sudah hilang keyakinan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang dikaitkan dalam video berkenaan iaitu seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota, berusia 26 tahun yang juga seorang warga China.
Polis juga menyatakan rakaman itu dikenalpasti dilakukan di sebuah kondominium.
Ia bertentangan sama sekali dengan kenyataan Eskay bahawa wanita berkenaan adalah seorang pelacur warganegara China dan kejadian tersebut berlaku di sebuah hotel di ibu negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12051
Sunday, April 17, 2011
Peratusan undi Pakatan Rakyat meningkat banyak – penganalisis
KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan raya Negeri Sarawak ke-10 menyaksikan jurang sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Rakyat, semakin mengecil, kata penganalisis politik terkenal, Dr Abu Hassan Hasbullah.
Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) itu berkata, ia juga bermakna perubahan besar mula merebak ke Bumi Kenyalang berikutan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) semakin besar.
“Peratusan yang menyokong BN adalah 372,379 pengundi manakala Pakatan Rakyat mendapat 261,666 undi. Ini bermakna peratusan yang mengundi PR semakin meningkat. Jika diukur, beza peratusan hanya 32peratus,” katanya kepada KeadilanDaily, hari ini.
Beliau berpendapat, kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini bakal membentuk masa depan baru bagi proses perubahan jangka panjang negeri itu.
“Jelas, Sarawak akan membentuk masa depan baru dalam tempoh panjang dengan kejayaan PR yang mengungguli kepercayaan politik di bandar dan masyarakat urban,” katanya.
Abu Hassan berkata, Barisan Nasional (BN) tidak lagi akan berasa selesa sekalipun mencatatkan kemenangan dengan dua pertiga majoriti pada pilihan raya itu.
“Walaupun BN menang 55 kerusi, kemenangan itu masih tidak selesa memandangkan kawasan majoriti Cina dan lokasi bandar, mahukan perubahan politik di Sarawak.
“Ini petunjuk jelas berlakunya revolusi masyarakat media baru secara keseluruhannya yang mahukan pembentukan strategi dan perubahan,” katanya.
Beliau menganggap Pakatan Rakyat lebih berjaya dalam pilihan raya itu berikutan kemampuannya menumbang dua pemimpin utama BN, sekali gus menandakan kebangkitan kaum majoriti di negeri itu.
“Kecuali Melayu Melanau, lihat saja kebangkitan Orang Ulu, Dayak dan Iban. Mereka mula sedar proses pembentukan dan perkembangan arus politik di Sarawak,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Media Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya itu.
Beliau percaya kemenangan BN tidak memberi refleksi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kerana situasi politik di Sarawak yang berbeza dengan senario di Semenanjung.
“Perubahan ini untuk masa depan Sarawak, tidak memberikan gambaran kepada PRU ke-13 kerana keadaan politik yang berbeza dengan Semenanjung,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11648
