Showing posts with label Libya. Show all posts
Showing posts with label Libya. Show all posts

Wednesday, March 23, 2011

Serang Libya: Jemput penyamun untuk halau perompak?

http:\\www.drazmanibrahim.com

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjqdPzCmRSx4Tqm0ilm3qGPoRI_cCaArxw9Y8XAnHYZ3vLNmtsvV7ndKqAuj0gAYydfBVvbpxpZw8v6GPjJjlhPd812cwIHbOAsooELBiii8Vq6seWob3ZVt3TfBFnsVzi2OVi9TYi8PvI/s1600/2011-02-27_muramar_ghadafi.jpg

Artikel saya di Harakahdaily dan beberapa laman web serta blog termasuk Buletin Online dan Cina Islam bertajuk ‘Serang Libya Cetus Banyak Persoalan’ mengundang banyak komen dan respon. Ada yang memahami dengan baik maksud yang ingin saya utarakan tetapi ada yang agak melulu menghentam kononnya saya menyokong Gaddafi untuk melakukan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri! Nauuzubillah...

Menguatkan lagi hujah mereka, dikemukakan kepada saya data-data yang memang telah saya sedia ketahui tentang bilangan rakyat awam yang menjadi mangsa keganasan regim Gaddafi. Terima kasih atas segala maklumat tambahan.

Dengan menghargai segala komen yang diberikan terutamanya yang bersifat kontra dan negatif, sukacita saya menjelaskan tiada sekelumit pun dari maksud artikel berkenaan bermaksud untuk menyokong regim Gaddafi samada secara langsung atau tersembunyi. Tiada keraguan lagi Gaddafi wajib pergi. Malah As Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa kepada mana-mana tentera yang berpeluang untuk melepaskan tembakan ke arah Gaddafi, mereka perlu melakukannya.

Kekejaman Gaddafi sepanjang 42 tahun pemerintahan memerlukan helaian panjang untuk disenaraikan terutamanya jenayah berkaitan hak asasi manusia, penderaan kepada para penentang, pembunuhan oposisi, tahanan tanpa bicara, penggelapan kekayaan hasil minyak negara, penafian hak bersuara dan pelbagai lagi. Ramai pemimpin penentang yang hilang begitu sahaja tanpa dikesan. ‘Freedom of Press index’ pernah menamakan Libya sebagai negara paling tertutup di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.

Apa yang menjadi persoalan pokok, setelah hampir seluruh dunia sepakati bahawa Gaddafi wajib pergi, dan rakyat sendiri telah bangun atas nama jihad untuk memerangi regim Gaddafi serta kekuasaan Gaddafi sendiri seolah-olah bagai telur dihujung tanduk dengan bandar demi bandar jatuh ke tangan pejuang (saya sama sekali tidak bersetuju dengan istilah pemberontak), tiba-tiba kuasa barat dengan diketuai AS disertai Francis, Britain dan beberapa negara lain berlagak wira dengan lesen kononnya melaksanakan resolusi PBB bagi menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya, mereka menghalalkan tindakan menghujani bumi Libya dengan ratusan ‘Tomahawk’.

Walaupun mereka mengatakan yang menjadi tumpuan serangan adalah sasaran-sasaran ketenteraan tetapi dengan tegas saya katakan: “Ini satu pembohongan!”

Istilah sasaran ketenteraan ini agak sinonim sepanjang 6 tahun saya menetap di Iraq ketika era pasca perang teluk dari 1993-1999. Dengan alasan untuk menguatkuasakan sekatan ekonomi PBB dan zon larangan terbang ke atas Iraq, bukan sedikit serangan udara yang dilancarkan sepanjang tempoh itu samada melalui pengkalannya di Arab Saudi, Bahrain, Kuwait atau Turki serta kapal perangnya di rantau Teluk Parsi. Targetnya, sasaran ketenteraan Saddam!

Tanpa menafikan kecanggihan teknologi yang mereka miliki dalam masa yang sama kita tidak melupakan permusuhan sepanjang zaman dunia kristian terhadap dunia Islam, agak mustahil serangan yang dilancarkan dari jarak hampir beribu kilometer mampu tepat ke sasaran tanpa tersasar ke penempatan awam. Dengan mata saya sendiri, saya menyaksikan semua kekajaman ini dan dengan dua tangan ini, dalam keadaan serba kekurangan, saya pernah merawat beberapa penduduk awam yang tercedera parah ekoran serangan AS ketika menjalani latihan praktikal tahun akhir di Saddam Medical City, Baghdad. Mangsa terbunuh dan tercedera dalam serangan yang kononya disasarkan ke sasaran ketenteraan. Siapa penjenayahnya? Ketika itu George W. Bush.

Apatah lagi kalau kita mengaitkan serangan ini kebencian dunia barat dan kristian terhadap dunia Islam dan Ummat Islam. Musuh dunia kristian bukan hanya setakat tentera malah seluruh ummat Islam kecuali mereka yang sedia masuk ke lubang biawak bersama mereka. Untuk rekod, Saddam dan Gaddafi adalah penganut ideologi sosialis, ajaran yang memusuhi Islam.

Kalau boleh kita istilahkan, Saddam dan Gaddafi adalah perompak, bolehkah diundang penyamun (AS dan sekutunya) untuk menghalau perompak? Apakah ada penyamun berhati mulia yang akan berlalu begitu sahaja setelah perompak dikalahkan? Tentunya penyamun adalah gerombolan yang lebih ganas dan sadis, menjarah tanpa belas kasihan, merampas dan membunuh tanpa perikemanusian.

Lihatlah apa yang berlaku di Iraq sekarang. Amankah Iraq setelah regim Saddam menjadi sejarah? Teringat kata-kata seorang pensyarah saya di Universiti Baghdad dahulu. “Adanya Saddam adalah bala bagi rakyat Iraq, tetapi perginya Saddam dan hadirnya AS akan menjadi bala yang lebih besar.” Saya tidak begitu memahami ungkapan ini sehinggalah selepas penjajahan AS di bumi Iraq tahun 2003 lalu sehingga sekarang masih rakus tanpa pernah kenyang mengaut kekayaan bumi Ummat Islam.

Berbalik kepada krisis di bumi Libya, sekali lagi kita senada, Gaddafi wajib pergi tapi bukan dengan camputangan barat yang hadir dengan telunjuk lurus kelingking berkait. Liga Arab yang mewakili 23 negara Arab Islam dan OIC mesti membuktikan kredibiliti dan keupayaan mereka menyelesaikan masalah ummat dan serantau. Ummat Islam di Libya wajib diselamatkan tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih. Cubaan penjajahan era moden oleh kuasa barat mesti ditentang sehebatnya.

Liga Arab yang sebelum ini menyokong pembentukan Zon Larangan Terbang di Libya kini dilihat mula berubah nada setelah menyaksikan kemusnahan hebat ekoran serangan AS dan sekutunnya ini. Imej mayat-mayat orang awam yang terbakar bukan sahaja menyebabkan Liga Arab berubah fikiran malah turut menyebabkan Cina dan Rusia menyuarakan kekesalan terhadap keganasan AS dan sekutunya. Selain Cina dan Rusia, Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga keras menyuarakan bantahan. Tapi di mana suara keras pemimpin Negara Islam? Kalau alasan serangan adalah untuk menghalang pembunuhan rakyat awam oleh regim Gaddafi, bagaimana pula dengan rakyat awam yang terkorban angkara Tomahawk? Apakah dengan resolusi PBB, pembunuhan tidak dianggap jenayah?

Saturday, March 19, 2011

Video : US lancarkan 112 peluru berpandu ke atas Libya



http://www.ndtv.com

Kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya dan pegawai pertahanan Amerika berkata, serangan itu dipercayai mengakibatkan kerosakan besar.

Dalam serangan tersebut, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya, lapor AP.

Para pegawai pertahanan Amerika berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan serangan tersebut, tetapi berasaskan kepada ketepatan sasaran peluru yang dilancarkan, mereka merasakan ia mengakibatkan kerosakan teruk ke atas pertahanan udara Libya.

Pegawai berkenaan tidak mahu disebut namanya kerana misi serangan tersebut masih berterusan.

Ketika mengumumkan misi serangan tersebut ketika melawat Brazil, Presiden Barack Obama berkata beliau keberatan mengambil langkah ketenteraan tetapi yakin ianya perlu untuk menyelamatkan nyawa orang awam.

Obama mengulangi bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika memasuki Libya.

"Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka," katanya di Brasilia.

Setakat ini, Amerika dilihat menghadkan peranannya dalam campurtangan di Libya, dengan fokus pertamanya untuk melumpuhkan pertahanan udara Libya, dan kemudian menyerahkan kepada negara-negara Eropah dan mungkin negara-negara Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di atas ruang udara negara Afrika Utara.

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan bahawa serangan peluru berpandu itu adalah permulaan kempen yang dikenali sebagai 'Operation Odyssey Dawn'.

Katanya, matlamatnya ialah untuk menghalang tentera Muammar Gadhafi daripada melakukan lebih banyak keganasan ke atas orang awam - terutama di dalam dan di sekitar kubu pemberontak di Benghazi -- dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan Libya untuk mencabar zon larangan terbang.

Saturday, February 26, 2011

Asia Tenggara lubuk harta Gaddafi


MUAMMAR GADDAFI


TRIPOLI - Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara.

Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion).

Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun.

Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara.

Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.

"Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya," kata sumber itu.

Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion).


SEBUAH banglo berharga AS$16.1 juta dolar (RM49 juta) milik anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam (gambar kecil) di London.


Agensi tersebut dikawal oleh Gaddafi.

Menurut mereka, Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak.

Antaranya, kata mereka, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan.

Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka.

"Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan. Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya," kata sumber itu.

"Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah," tambahnya.

Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir.

Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara.

Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di Lon don.

Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England.

"Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali," lapor sebuah stesen radio Belanda.

Kelmarin, Gaddafi dilapor mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London.

Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu.

Pemindahan wang tersebut berlaku pada minggu lalu.

Lima minggu lalu, percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London.

Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya.

"Saya berkata tidak kerana secara peribadi, saya keberatan terbabit dengan diktator yang kejam (Gaddafi)," katanya.

Semalam, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing.

Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS.

Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.


GADDAFI memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya. Keadaan sebuah lorong di sebuah kota Libya semalam.


Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya.

Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima".

Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya.

Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu.

Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara.

Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya."

Semalam, Gaddafi mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.

Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli.

Juga semalam, askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli.

Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.

Setakat semalam, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah.

Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu. - Agensi

Perkembangan Kebangkitan Rakyat di Libya

Tahukah anda? Libya kini bergolak apabila rakyat mengadakan tunjuk perasaan mendesak Muammar Gaddafi meletak jawatan tetapi pemimpin veteran itu bertindak balas dengan menentang gerakan antikerajaan menggunakan kuasa tentera sehingga mengorbankan lebih 1,000 orang setakat ini.


Kebangkitan ini adalah tempias daripada gerakan revolusi di Tunisia, Mesir dan kini kebangkitan ini semakin hebat di Libya. Muammar Gadaffi sudah memerintah Libya selama 42 tahun dan lebih lama lagi daripada Hosni Mubarak dan sekarang nampaknya lebih kejam daripada Hosni Mubarak. Ingtkan Hosni Mubarak dah cukup kejam. Rupenya ada lagi. Begitulah dalam hidup kita, kadang2 kita rase kita ni dah jahat, rupenya ada lagi yang lebih jahat dan apabila kita rase kita ni dah baik, rupenya ada lagi yang lebih baik daripada kita.. Jadi sejahat mana pun kita, belum terlambat untuk kita bertaubat dan jika kita baik, maka bersyukurlah dengan nikmat pinjaman Allah itu.


Seramai 131 rakyat Malaysia yang terperangkap di Libya berjaya dipindahkan ke Tunis, Tunisia pada pukul 12 tengah hari semalam berikutan ancaman keselamatan yang semakin memuncak di negara bergolak itu.

Alangkah lagi malangnya, Muammar Gadaffi ni siap suruh bedil lagi rakyat dia yang menuntut keadilan. Inikah pemimpin yang kita cari? Gaddafi sudah memerintah selama hampir 42 tahun dan beliau berkuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.


Dahulunya kebangkitan rakyat di Tunisia dan merebak ke Mesir. Sekarang di Libya, selepas ini? Ayuh kita kongsi perkembangan revolusi dan kebangkitan rakyat supaya kita sama-sama tahu bahawa dunia kini semakin di akhir zaman, Islam mula bangkit dan petanda-petanda akhir zaman semakin jelas dan bertambah-tambah. Hayatilah dan fahamilah isu kebangkitan ini supaya kita tidak menjadi golongan yang rugi.

Kongsilah dengan rakan-rakan, nak copy paste dari ini pun amiklah. Moga kita dapat sedar yang Islam semakin bangkit, tinggal diri kita je dah bangkit ke belum dalam melawan diri sendiri?
  • http://tenangsudey.blogspot.com/2011/02/perkembangan-kebangkitan-rakyat-di.html

Thursday, February 24, 2011

Semoga Libya mendengaq teguran Najib ini..TAPI....!!!!

Yang dok tegoq tu pon 2x5 nak kira camna....???

Pemimpin Libya tak harus guna kekerasan, kata Najib-MalaysiaKini

Pemimpin Libya Muammar Gaddafi tidak sepatutnya menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang menunjuk perasaan di jalanan sehingga menyebabkan pertumpahan darah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada AFP di Istanbul, Turki.

NONE"Kami berpendapat beliau tidak seharusnya menggunakan kekerasan,” kata Najib, semalam yang berada di Turki untuk lawatan rasmi.

"Apa yang penting bagi kami ialah mengambil kepentingan aspirasi rakyat... Sistem itu harus sah dan harus berdasarkan atas sokongan orang ramai,” katanya.

Rakyat negara-negara Arab dan di utara benua Afrika telah memberi “petunjuk jelas yang mereka mahukan perubahaan dan pembaharuan” dan kerajaan patut mendengar tuntutan itu, kata Najib.

NONE"Pembaharuan perlembagaan dan politik yang berkesan sepatutnya dapat memenuhi harapan dan aspirasi rakyat, khususnya golongan muda,” kata perdana menteri lagi.

Menurutnya perubahaan di rantau itu sepatutnya dijalankan secara aman dan meminta kedua-dua pihak - penunjuk perasaan dan juga kerajaan agar tidak menggunakan kekerasan.

Najib juga berkata beliau tidak bimbang bahawa rakyat Malaysia akan mengambil risiko dan melakukan perkara yang sama seperti di negara-negara Arab.

NONEDakwanya, pilihan raya di negara ini “agak bebas dan adil” manakala sokongan terhadap kerajaan semakin meningkat.

Malaysia baru-baru ini juga membuat perancangan bagi memindahkan kira-kira 190 rakyatnya di Libya.

Satu tunjuk perasaan besar-besaran juga dijadualkan di kedutaan Libya di Kuala Lumpur esok yang dianjurkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat bagi menyuarkan sokongan kepada rakyat negara itu.

NONEKeganasan yang tercetus di Libya didakwa sudah meragut lebih 1,000 nyawa dengan 600 orang daripada mereka di ibu negara, Tripoli.

Selasa lalu, kerajaan Libya buat pertama kali mendedahkan bahawa 300 rakyatnya terbunuh dalam tunjuk perasaan yang tercetus lebih seminggu lalu. Namun Persekutuan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi (IFHR) semalam menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 640 orang yang telah terkorban.


Wednesday, February 23, 2011

1,000 orang terbunuh di Tripoli..Menteri Dalam Negeri letak Jawatan!

Menteri Dalam Negeri letak Jawatan!

Pertempuran meletus antara penunjuk perasaan pro-demokrasi
dan pasukan kerajaan selepas ribuan tentera dikerahkan di bandar
barat laut Sabratha.

Menteri Dalam Negeri Libya Abdel Fatah Yunes mengatakan pada hari Selasa bahawa dia mengundurkan diri dan meminta angkatan bersenjata untuk bergabung dengan rakyat menentang Gaddafi.

"Saya mengumumkan pengunduran diri saya dari semua tugas saya sebagai respon Revolusi Februari 17," katanya.

Sejumlah pegawai peringkat tinggi Libya, termasuk menteri, diplomat dan pegawai tentera, telah meninggalkan rejim dan mengumumkan sokongan mereka bagi pemberontakan.

Sementara itu, pertempuran sengit meletus antara demonstran pro-demokrasi dan pasukan kerajaan di bandar barat laut Libya Sabratha.

Pada hari Selasa, ribuan tentera Libya dikerahkan ke Sabratha, 65 kilometer sebelah barat Tripoli, sementara pemberontakan terhadap Muammar Gaddafi semakin mendapat semangat, disebalik penentangan besar-besaran terhadap demonstran pro-demokrasi.
Tidak ada laporan segera tentang kematian.

Sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh di Tripoli pada hari Isnin oleh serangan udara yang dilakukan oleh tentera Libya dalam satu langkah terdesak bertujuan untuk menumpaskan pemberontakan , menurut beberapa laporan.

Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia berkata seramai 400 orang telah terbunuh sejak awal pemberontakan pada tarikh 15 Februari.

Demonstrasi pro-demokrasi, yang mendapat inspirasi revolusi yang menggulingkan penguasa lama di negara jiran Mesir dan Tunisia, telah menelan Libya sejak minggu lalu, dengan ribuan orang turun ke jalan di bandar timur Benghazi dan menyeru pengusiran Muammar Gaddaf yang berusia 68 tahun.

Gaddafi, yang berkuasa 41 tahun yang lalu dalam rampasan kuasa tentera tak berdarah, menyampaikan ucapan televisyen pada hari Selasa di mana ia bersumpah untuk berperang pada "titisan darah terakhir" dan menyeru pendukungnya untuk turun ke jalan menghadapi demonstran .

Tuesday, February 22, 2011

Gaddafi arah bedil penduduk di Libya


GAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Al-Arabiya semalammenunjukkan
Muammar Gaddafi memegang payungdi kediamannya di Libya.

TRIPOLI - Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi menggunakan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang untuk memerangi tunjuk perasaan rakyat yang menentang pemerintahannya, kata beberapa saksi semalam.

Tindakan tersebut dilakukan selepas pemimpin berkenaan yang memerintah Libya selama 40 tahun menafikan beliau meninggalkan negara itu dengan berlepas ke Venezuela.

Imej beliau muncul di televisyen selepas terdapat spekulasi beliau telah melarikan diri ke Venezuela.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez mempunyai hubungan rapat dengan Gaddafi.

Gaddafi turut berucap di televisyen bahawa beliau akan berjuang sehingga mati menentang para penunjuk perasaan.

Sementara itu, kawasan timur Libya sudah jatuh ditangan para penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur kerana tidak puas hati dengan pemerintahannya.

Menurut beberapa askar kepada agensi berita Reuters, bandar Tobruk di timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan.

Para penduduk Tobruk juga menyatakan bandar berkenaan sudah berada dalam tangan para penunjuk perasaan sejak tiga hari lalu.

Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak penentangan rakyat terhadap Gaddafi tercetus seminggu lalu.

Gaddafi sudah memerintah selama hampir 42 tahun dan beliau berkuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Agensi

Fatwa Ulamak: Bunuh Pemimpin Kamu!!

Ada orang kata ulamak ini terbahagi tiga golongan:
i) Ulamak parti
ii) Ulamak kerajaan
iii)Ulamak Allah

Ulamak nombor (i) dan (ii) ini memang tak boleh pakai sangat pendapat mereka. Pendapat mereka selalu dibayangi pendapat boss tempat mereka cari makan dan bernaung. Sebab tu lah banyak perkara yang nampak hitam ulamak jenis (i) dan (ii) ni kata putih dan banyak pula perkara putih mereka fatwakan hitam kerana mereka ada kepentingan ketika berfatwa.

Ulamak nombor (iii) pula tak ramai. Ulamak jenis ini hanya berjuang untuk menegakkan hukum Allah dan mereka tak dipengaruhi mana-mana aliran politik. Imam Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi adalah antara mereka dalam golongan ini yang banyak kali masuk keluar penjara kerana berani mengkritik pemerintahan negara mereka yang tak mengikut hukum Allah.

Semasa Mesir memetrai perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1978, ada ulamak Mesir yang mengeluarkan fatwa bahawa rakyat Mesir dibenarkan membunuh Presiden Anwar Sadat kerana dia mengkhianati Islam apabila menandatangani perjanjian damai dengan Israel. Dan pada bulan Oktober 1981, sekumpulan askar Mesir yang terlibat dalam perarakan hari kebangsaan Mesir menyambut fatwa ulamak mereka dengan menembak mati Presiden Anwar Sadat.


IOL pic feb22 libya muammar gaddafi generic
Muammar Gaddafi: Dia banyak berjasa membangunkan Libya,
tapi rakyat dah meluat sebab dah terlalu lama berkuasa...

Malam tadi JR tersintak apabila ulamak tersohor dunia Islam, Yusuf al-Qardawi mengeluarkan fatwa yang sungguh berani: askar Libya harus membunuh presiden mereka Muammar Gaddafi. Pada masa ini pemberontakan rakyat menentang pemimpin korup dan kronisme sedang melanda dunia Arab. Bermula dengan pemberontakan rakyat di Tunisia, Mesir, Sudan, Algeria dan Bahrain, kini kempen menentang pemerintah yang telah puluhan tahun berkuasa merebak pula ke Libya. Rakyat Libya nampaknya kini sudah boring dan meluat sangat tengok muka Muammar Gaddafi dan regim parti yang memerintah negara itu sejak 41 tahun yang lalu.Walaupun Gaddafi dan partinya banyak berjasa membangunkan Libya sejak 41 tahun lalu, tetapi rakyat Libya sudah muak dengan dasar regim Gaddafi.

“Mana-mana tentera Libya yang berpeluang meledakkan peluru ke tubuh Gaddafi dipersilakan melakukan perkara itu" kata Qardawi dalam siaran televisyen Al Jazeera. Qardawi, 85 tahun, adalah ulamak Mesir yang mempunyai pengikut yang ramai termasuk di Malaysia kerana fatwa-fatwanya yang sangat berani dan berterus terang.

Mujur juga fatwa Qardawi ni setahu JR cuma untuk pemimpin dan regim parti yang telah puluhan tahun memerintah Libya saja. Jika fatwanya juga meliputi semua negara Islam, tentulah pemimpin dan golongan parti yang telah memerintah puluhan tahun di banyak negara Islam tak senang tidur kerana esok mereka mungkin akan dibunuh seperti yang pernah berlaku kepada Presiden Anwar Sadat.

Monday, February 21, 2011

Libya dikuasai penunjuk perasaan


GAMBAR yang disiarkan di laman Facebook semalam menunjukkan
penunjuk perasaan mengibarkan bendera di bandar Benghazi, Libya.

PARIS - Beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) semalam.

Badan itu turut menyatakan jumlah kematian sejak protes bermula adalah sekitar 100 hingga 400 orang.

"Banyak bandar terutama di wilayah pantai barat telah dikuasai. Anggota-anggota tentera juga turut serta dalam kebangkitan menentang Gaddafi," kata Ketua IFHR, Souhayr Belhassen.

Dia yang berpangkalan di Paris sebelum ini menyatakan bilangan yang terkorban ialah 233 orang.

Maklumat tersebut kebanyakannya diperoleh daripada organisasi hak asasi manusia Libya.

Sementara itu, para penunjuk perasaan membakar bangunan pemerintah dan menceroboh sebuah stesen televisyen kerana marah disebabkan anak Gaddafi, Saif al-Islam memberi amaran negara ini akan terjerumus ke kancah perang saudara dan dilimpahi darah.

"Libya kini berada dalam persimpangan. Jika kita tidak bersetuju hari ini mengenai pembaharuan, sungai berdarah akan mengalir melalui Libya," katanya dalam satu ucapan menerusi televisyen.

"Kita akan memegang senjata. Kita akan berjuang sehingga ke peluru yang terakhir. Kita akan memusnahkan elemen-elemen hasutan.

"Jika semua orang bersenjata, ia akan menjadi perang saudara. Kita akan saling berbunuhan sesama sendiri. Libya bukan Mesir. Ia (Libya) bukan Tunisia," tambahnya.

Beberapa jam selepas kenyataan itu, para penunjuk perasaan di bandar Tripoli menceroboh pejabat stesen televisyen dan bangunan pemerintah.

Gaddafi memerintah Libya selepas beliau melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintahnya, Raja Idris mendapatkan rawatan di luar negara pada 1 September 1969. - Agensi



"Memorandum ke Kedutaan Libya"

KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
21 Februari 2011
"Memorandum ke Kedutaan Libya"
http://newsbeatline.com/wp-content/uploads/2010/05/libya-tourism.jpg

1. Kebangkitan rakyat yang meletus di negara - negara Arab mutaakhir ini yang telah pun menumbangkan regim pemerintahan Tunisia dan Mesir, kini semarak kebangkitan itu terus menjalar deras seperti lahar yang sedang menuruni lurah dari puncak gunung berapi.

2. Suara dan himpunan kebangkitan rakyat itu telah melintasi sempadan Yemen, Bahrain dan Libya. Suatu kebangkitan yang saya sifatkan sebagai "time bomb" setelah mereka selama ini mendekam penuh sengsara dan derita berada di bawah sistem pemerintahan separa diktator.

3. Malangnya, kerajaan Bahrain dan Libya menggunakan kekerasan dalam menangani kebangkitan rakyat dengan menggunakan pihak keselamatan untuk menembak rakyat dan orang ramai yang menyertai rally kebangkitan rakyat tersebut. Sehingga kini saya difahamkan telah ratusan orang ramai yang terdiri dari masyarakat awam yang tidak bersenjata menyertai himpunan kebangkitan itu ditembak mati.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras - kerasnya cara kerajaan Bahrain dan Libya menangani kebangkitan rakyat tanpa senjata dengan kekejaman yang menumpahkan darah dan nyawa rakyat mereka sendiri. Sebaliknya regim yang telah berkuasa dan memerintah sewajarnya mendengar suara rakyat mereka dan bertindak sewajar tanpa pertumpahan darah sekalipun mereka terpaksa berkorban meninggalkan takhta.

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Antarabangsa DPP Malaysia akan menyerahkan memorundum membantah kekejaman yang telah mengorbankan rakyat tanpa senjata ke kedutaan Libya pada hari Selasa ini [ 22 hb Feb 2011 ] jam 11 am.


Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat