Showing posts with label Mahdzir Khalid. Show all posts
Showing posts with label Mahdzir Khalid. Show all posts

Friday, July 20, 2012

Bekas MB Kedah - Zaman saya dulu cek lebih RM1juta kena ada tandatangan oleh pengerusi

Saham FGV: MB Kedah cuba 'lepas diri', kata Mahdzir


Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan pembabitan dalam isu pembelian saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) hanya untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, sebagai menteri besar, Azizan yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pasti tahu mengenai pembelian 500,000 unit saham FGV itu.

"Saya pernah menjadi menteri besar dan pengerusi PKNK. Setiap cek melebihi RM1 juta yang dikeluarkan oleh PKNK mesti ditandatangani oleh salah seorangnya ialah pengerusi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata dalam kes FGV yang harga sahamnya RM4.55 seunit itu, PKNK perlu mengeluarkan cek bernilai RM2.275 juta.

"Cek untuk tujuan itu mesti ditandatangani oleh Azizan dan saya hairan kenapa dia berbohong kepada rakyat dengan mengatakan ‘terlepas’ dari pengetahuannya," katanya.

Mahdzir berkata sikap Azizan itu amat dikesali kerana sering mengambil pendekatan 'melepaskan diri' dan enggan bertanggungjawab terhadap mana-mana isu yang tidak berpihak kepadanya.

"Isu ini sebenarnya bukan ‘terlepas’ tetapi ‘melepaskan’," katanya.

Baru-baru ini, PKNK telah membeli 500,000 unit saham FGV pada harga RM4.55 seunit walaupun pakatan pembangkang menolak keras penyenaraiannya di bursa saham.

Azizan ketika ditanya mengenai pembelian saham itu, dilapor berkata ia 'terlepas' daripada pengetahuannya dan menyifatkannya sebagai amalan biasa kerana PKNK memang diberi hak untuk membeli mana-mana saham yang difikirkan mampu menjana keuntungan.

PKNK kemudian diarah menjual kembali saham terbabit.


- Bernama

Tuesday, May 15, 2012

Ketua Pembangkang Kedah… ‘kata dulang, paku serpih’

ALOR SETAR – “Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Mungkin itu peribahasa yang sesuai digambarkan kepada Ketua Pembangakang, YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid yang mendakwa Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH) alami krisis kewangan.

Dalam dakwaan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu mendakwa INSANIAH yang merupakan kolej universiti milik kerajaan negeri gagal menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), potongan zakat dan ansuran bank bagi perumahan dan kenderaan walaupun gaji pekerja dipotong setiap bulan untuk tujuan itu.

Menjelas dakwaan tersebut, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, semasa Mahdzir Khalid menjadi Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), hutang kepada KWSP sebanyak RM838,983 hingga kes ini dibawa ke mahkamah.

“Bayaran PERKESO bukan hari ini minta, hari ini bayar, KWSP kita buat potongan, tetapi bukan macam beli petai tepi jalan.

“Isu lambat bayar ini bukan perkara baru, malah semasa saya ambil alih KFA, hutang ratusan ribu kepada KWSP, dan sebahagian lembaga pengarah didakwa di mahkamah, maka kerajaan (sekarang) yang kena tanggung rugi dan terpaksa bayar, semasa tu Mahdzir Khalid jadi Pengerusi KFA, INSANIAH tak sampai kes ke mahkamah lagi,” jelas beliau.

Menerusi laporan Harian Metro bertarikh 1 November 2008, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mendedahkan KFA mengetuai senarai sembilan persatuan bola sepak negeri yang gagal menjelaskan tunggakan caruman KWSP.

Sementara itu, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan sempat menyindir kerajaan persekutuan yang masih berhutang dengan kerajaan negeri sebanyak RM216.5 juta.

Thursday, May 10, 2012

Mahdzir Khalid: Kuin tidak patut naikkan yuran

10 Mei 2012

ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang dimiliki kerajaan Kedah, tidak sepatutnya menaikkan yuran pengajian tetapi memberikan pendidikan percuma kerana itu merupakan janji pakatan pembangkang.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan Kedah juga sepatutnya memberi biasiswa kepada pelajar melalui Lembaga Biasiswa Negeri Kedah, seperti yang dicanang pakatan pembangkang ketika berjanji memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau juga berkata sebelum menaikkan yuran Kuin, kerajaan negeri pimpinan PAS itu sepatutnya melihat dahulu kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

"Institusi pengajian tinggi swasta lain memang yuran agak tinggi tetapi mereka memberikan perkhidmatan yang selesa kepada para pelajar seperti keselesaan asrama, tempat pengajian, gelanggang sukan dan rekreasi.

"Mereka (kerajaan Kedah) mencanangkan kemudahan akan lebih selesa di Kuala Ketil. Kampus Kuala Ketil belum pasti lagi pasti, yuran dah dinaikkan walaupun belum berpindah," katanya dalam kenyataan yang diemelkan kepada Bernama di sini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengakui kenaikan yuran itu yang berkuat kuasa Julai ini untuk pengambilan baharu, mewajarkan tindakan mereka dengan menyatakan yuran Kuin rendah sehingga ditegur Kementerian Pengajian Tinggi kerana dasar itu akan menjejaskan pentadbiran Kuin.

Dalam kenyataannya, Mahdzir mendakwa masalah kewangan Kuin berpunca daripada kegagalan anak syarikat yang ditubuhkan institusi itu empat tahun lepas menjana pendapatan sendiri dan bergantung kepada peruntukan tahunan Kuin yang disalur kerajaan negeri.

"Sebenarnya kenaikan yuran Kuin hanya untuk menyalur dana kepada satu fakulti yang langsung tak mendatangkan market value (iaitu Medic (fakulti perubatan))," katanya.

Katanya beliau dimaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi melalui teguran lisan sudah menasihati Kuin supaya tidak membuka kuliah perubatan kerana kos operasinya sangat tinggi, dan berisiko tinggi berbanding dengan program pengajian lain.

"Tetapi Kuin masih berdegil membukanya, hasilnya hanya lapan orang baru mendaftar pada 2 Mei yang lalu. Disebabkan kos pengurusan dan operasi Kuliah Perubatan sangat tinggi, bilangan lapan orang belum boleh menampung gaji Ketua Pegawai Eksekutif Insan Medic seorang sahaja iaitu RM35,000 sebulan. Itu belum termasuk gaji dekan, pensyarah dan felo akademik yang rata-ratanya bergaji belasan dan puluhan ribu sebulan.

"Maka pelajar-pelajar Pengajian Islam terpaksa menjadi korban dikambing hitamkan dengan dinaikkan yuran melebihi dua kali ganda untuk menampung kos operasi kuliah Medic," katanya.

Mahdzir berkata Azizan juga memandang remeh potongan yang tidak dibayar kepada pihak bank yang telah dipotong daripada gaji kakitangan Kuin

"Apabila Kuin memotong gaji staf tapi tak membuat pembayaran kepada bank berkaitan, sudah semestinya staf akan teraniaya. Staf terpaksa menanggung bayaran tambahan seperti kos interest bayaran lewat, kos peguam apabila tindakan hendak diambil bila bayar lewat," katanya.

"Pembayaran tidak dibuat bahkan ditunda berbulan-bulan walaupun gaji dipotong bagi memberi ruang kepada Kuin membayar hutang-hutang lain yang banyak tertunggak, rolling duit hingga hak staf dianiaya," katanya.

Katanya apa yang membimbangkan beliau ialah seorang pengawal pengawal kewangan Insaniah Holdings telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur denda sebanyak RM300,000 atau 12 bulan penjara pada 21 Dis 2006 kerana disabitkan kesalahan terhadap dua pertuduhan melakukan jualan singkat.

"Beliau kini berkhidmat di Insaniah Holdings. Adakah hanya Azizan kata Kuin adalah swasta boleh dibawa masuk seorang yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya. - Bernama

Friday, March 18, 2011

Mahdzir saran Kedah gugur slogan


KUALA NERANG - Slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ yang diguna pakai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) perlu digugurkan kerana kegagalan mereka memenuhi janji manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak perlu menunggu sehingga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bulan depan untuk melengahkan penjelasan kerana Kerajaan Negeri terbukti mengingkari janji manifesto dengan melaksanakan kutipan cukai pintu di pekan-pekan kecil.

Menurutnya, daripada 15 janji manifesto yang dikemukakan sebelum ini, terdapat satu janji Kerajaan Negeri untuk menurunkan mana-mana cukai yang didapati membebankan rakyat, termasuklah cukai tanah dan pintu.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila penduduk kampung yang terletak berdekatan pekan kecil kini berasa terbeban disebabkan terpaksa membayar cukai pintu lebih kurang RM50 hingga RM60 setiap rumah bermula tahun ini.

“Saya hairan Kerajaan Negeri boleh mendakwa hampir 80.7 peratus janji manifesto terlaksana, sedangkan pelaksanaan cukai pintu itu membuktikan mereka memungkiri janji mereka sendiri,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Mahdzir berkata, walaupun pembohongan Kerajaan Negeri berhubung isu pelaksanaan janji manifesto sudah terbukti, beliau bersedia mendengar penjelasan Azizan mengenainya di dalam sidang dewan.

“Sebenarnya, saya sudah pun menyiapkan beberapa soalan berhubung perkara itu untuk dijawab Azizan. Kini tunggu dan lihat apa yang hendak dibuat,” katanya.

Admin - Mana2 exco atau penerangan negeri yg baca artikal nie tolong jawab sat..!!