Showing posts with label Merdeka Review. Show all posts
Showing posts with label Merdeka Review. Show all posts

Thursday, July 26, 2012

Kambing hitam di pinggan Hishamuddin Hussein

Oleh Lim Hong Siang
 
Saya masih ingat ketika Hishamuddin Rais dibebaskan dari tahanan ISA pada tahun 2003. Aktivis Reformasi ini mengakui dirinya menangis setelah diseksa sepanjang penahanan. Bukan kerana seksaan itu, tetapi dirinya gagal membayangkan bagaimana seseorang manusia boleh memperlakukan seksaan sedemikian terhadap seorang lagi manusia.

Minggu lalu Gerakan Mansuhkan ISA bersama Lawyers For Liberty menganjurkan forum berjudul ISA: Penyeksaan yang sempurna. Seksaan itu bukan sahaja dalam bentuk fizikal dan mental terhadap tahanan, tetapi orang di sekeliling tahanan. Kebetulan saya melawat seorang bekas tahanan ISA baru-baru ini, Eow Bung Pow, aktivis mahasiswa yang ditangkap pada Mac 1975, dan dibebaskan pada Februari 1977. 

Eow Bung Pow tidak mengisahkan penderitaannya, cuma berkongsi satu cerita yang mungkin pada sesetengah orang, bukannya sesuatu yang "besar sangat". Menurut Eow, pada zaman itu, sememangnya beberapa tarikh dipilih khas untuk pembebasan tahanan ISA, misalnya pada Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Maklumlah, tiada telefon bimbit pada zaman itu. Beliau dibebaskan, kemudian pulang ke rumahnya di Kedah dengan teksi. Setibanya di rumah, pemandu teksi yang tidak dikenalinya itu, enggan menerima tambang daripadanya, kerana tahu beliau keluar dari Kamunting. 


Ibu bapanya tidak menjangkakan pembebasannya. Namun dengan tangkas ibunya pergi ke dapur dan menghidangkan semangkuk sup sirip ikan untuknya - makanan yang mahal dan hanya dimakan seorang semangkuk setahun sekali pada Tahun Baru Cina ketika itu. Rupa-rupanya kedua-dua orang tuanya masih menyimpan harapan bahawa beliau akan dibebaskan - meskipun pernah dihampakan pada tahun sebelumnya. 

Sesungguhnya penantian tanpa penghujung menjadi penyeksaan yang zalim buat ahli keluarga tahanan. Dalam penantian itu orang tua yang uzur mungkin kembali ke pangkuan Allah. Tahanan hanya diberi peluang untuk menjenguk mayat arwah, dan kemudian membawa kerinduan itu bersama dirinya ke dalam sel. Cuma, anak siapa yang tidak mahu menemani ibu bapanya sebelum terlewat? Ibu bapa mana yang tidak mahu memegang tangan dan menatap wajah anaknya, sebelum mereka meninggal dunia? 

Kita semua manusia biasa. Saya masih ingat bagaimana seorang bekas tahanan menahan sebak mengisahkan pengalamannya dalam forum itu. Dalam pertemuan pertama bersama anaknya yang berusia dua tahun ketika beliau ditahan, mereka dibenarkan bertemu bersemuka. Kali kedua dan yang seterusnya, mereka dipisahkan dengan kaca. Pada kali terakhir mereka bertemu, mereka dibenarkan bersemuka semula. Namun anaknya meraba-raba, memegang sesuatu bagai wujud kaca di depannya... 

Saya manusia biasa. Jikalau ditanya sama ada saya takut kepada serangan pengganas, jawapannya semestinya. Saya tidak mahu diri saya, mahupun saudara mara, sahabat handai saya yang tidak berdosa dibom oleh pengganas. Namun saya perlu menerima hakikat bahawa risiko ini sentiasa wujud. Kalau tidak di KLCC Malaysia pun, saya berdepan dengan risiko diletupkan ketika melancong di Pulau Bali, di Hatyai dan sebagainya. 

Namun apakah hanya kerana saya tidak mahu berdepan dengan risiko tersebut, maka mereka yang "disyaki" sebagai pengganas itu, wajar ditahan tanpa dibicarakan? Padahal ISA tidak mencegah diri kita daripada diletupkan. Altantuya Shariibuu diletupkan tatkala ISA masih wujud. Sehingga hari ini hakim masih tidak terjawab apakah motif dua orang tertuduh membunuh 1 wanita Mongolia yang tidak dikenali mereka sebelum itu. 

Berbalik kepada isu, sememangnya setiap warga mahu hidup aman dan selamat. Namun keinginan tersebut tidak boleh menghalalkan pencabulan hak asasi seseorang manusia yang belum diketahui bersalah atau tidak. Tahanan dan keluarga tahanan, memiliki hak untuk hidup aman dan selamat seperti kita. Saya masih ingat bagaimana isteri bekas tahanan ISA, Norlaila Othman ketika berhempas pulas memperjuangkan pembebasan suaminya. Beliau yang kebuntuan akhirnya "ambush" Abdullah Ahmad Badawi dalam satu aktiviti FELDA. Lelaki yang menangisi pemergian isterinya Endon Mahmood ini sekadar melafazkan "Insyaallah" ketika bersemuka dengan rayuan seorang isteri yang dipisahkan daripada suaminya. Saya tidak pasti nilai air mata itu berbeza antara seorang Perdana Menteri dengan seorang suri rumah tangga. Tapi saya berasa jijik apabila kebahagian satu keluarga dihancurkan kerana kerajaan mahu jaga imej "memerangi pengganas". Persoalan saya, jika benar Mat Sah (suami Norlaila) yang ditangkap itu pengganas, apakah anda rasa rayuan itu sekadar dikemukakan dalam bentuk memorandum, dan bukan bahan letupan seperti C4? 

Saya menjadi seram apabila Hishammuddin Hussein tanpa segan silu menyatakan dirinya memilih lamb chop tatkala tahanan ISA mogok lapar menuntut hak asasi mereka. Lebih-lebih lagi tahanan ini adalah "kambing hitam" dalam pinggannya, ketika beliau memenuhi nafsu kuasanya. Cuma saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ibu bapa dan anak tahanan sedang menunggu anak dan ayah mereka di rumah. Keluarga mereka mungkin tidak pasti sama ada tahanan itu benar terlibat dalam aktiviti pengganasan, tapi seperkara yang 1Malaysia boleh kesahkan, iaitu tiada seorang pun daripada 45 tahanan ISA menghunus keris untuk mengancam ketenteraman Malaysia! 

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Monday, July 16, 2012

Rock, pengaruh artis dan ketakutan pemerintah

Oleh Ronasina

blue rock roll design picture and wallpaper
Di mana-mana dalam dunia ini tidak dapat dinafikan, golongan artis atau selebriti dunia hiburan sangat berpengaruh dan sering menjadi ikutan orang ramai khususnya anak-anak muda. Berbagai jolokan untuk mereka seperti "role model", "trendsetter" atau ikon yang bisa memberi impak kepada dunia. Kerenah atau aksi mereka menjadi ikutan. Jika mereka menceburi politik mudah sahaja mereka menang bertanding. Bayangkan Ronald Reagan, seorang pelakon cerita-cerita koboi boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat. Begitu juga penggusti Jesse Ventura ataupun si "Terminator" Arnold Scwarzenegger boleh menjadi gabenor. Di Filipina artis bernama Joseph Estrada juga pernah menjadi orang nombor satu.

Inilah ketakutan yang sering menghantui ahli politik. Bintang Hollywood seperti Mel Gibson, Al Pacino atau Robert DeNiro mudah sahaja membelasah pentadbiran Rumah Putih jika dasar yang dijalankan tidak dipersetujui dan peminat mereka menyambut dan menyokong pandangan idola pujaan mereka. Selebriti seperti Michael Douglas, Angelina Jolie dan Edward Norton dipilih menjadi duta pelbagai kempen seperti kempen keamanan, alam sekitar atau sayangi haiwan. Pengaruh mereka diperlukan untuk menarik orang ramai.lDi Malaysia fenomena artis menyokong parti pembangkang semakin hebat sekarang ini tetapi tidak dapat dinafikan kebanyakan artis yang berhijrah ini sudah kurang popular dan telah melepasi usia. Yang baharu-baharu masih mahu cari makan, tidak boleh lawan. 
 
 Bayangkan apa akan berlaku jika artis yang sedang meletup, berpengaruh dan menjadi ikon hari ini tiba-tiba melaungkan slogan "Reformasi"? Saya teringat ketika muzik rock menjadi anutan anak muda Malaysia pertengahan 1980-an dahulu. Mereka lantang memperjuangkan lanun cetak rompak yang begitu berleluasa sekali. Barangkali pihak yang terbabit dengan sindiket cetak rompak (mungkin orang yang berpengaruh terlibat dengan kegiatan ini seperti yang digambarkan di dalam filem Kembara Seniman Jalanan) berasa tergugat maka muzik rock telah diharamkan. Alasan kambinghitamnya ialah rock membawa budaya negatif seperti dadah, seks bebas dan alkohol. Peraturan diketatkan seperti berambut panjang tidak dibenarkan muncul di dalam program televisyen. Apa kena mengena rambut dengan muzik? Tetapi itulah sang kuasawan. Taringnya tajam menggigit mangsa yang lemah. Peraturan ini bagaimanapun gagal memadamkan api muzik rock dan pengaruhnya. Album kumpulan rock terus laku dan mereka menyampaikan mesej perjuangan yang keras melawan kerenah birokrasi ini. Lagu "Keadilan" nyanyian kumpulan Lefthanded yang liriknya ditulis S.Amin Shahab lantang memprotes:-

" Bukankah kita ini punya akal dan hati
bisa ambil juga beri pendapat sendiri
Jangan ikut sesuka hati kelak engkau susah sendiri"

Begitu juga lagu Belenggu Irama nyanyian kumpulan Wings yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman (hari ini ahli PAS) menyuarakan tidak puas hati dengan bait-bait seperti:-
"Perintahmu adalah belenggu
Menggenggamku dengan kuasamu
Membuat aku menjadi layu
Dalam suasana yang masih baru"

Peristiwa yang tidak boleh dilupakan malah boleh dikatakan sebuah malapetaka buat insan seni apabila Kementerian Penerangan dengan menterinya ketika itu menyiarkan secara langsung acara memotong rambut dua rockers terkenal- Amy Search dan Awie Wings. Inilah ibu segala penghinaan oleh kuasawan yang mahu memberi peringatan agar artis-artis jangan lawan mereka. Sebenarnya ia bermula apabila seorang pengarah filem komedi mempersoalkan lambakan drama dari Hong Kong memenuhi slot di RTM dan juga sebuah syarikat produksi milik kroni menguasai stesen televisyen milik kerajaan. Selepas membangkitkan isu itu pengarah filem komedi ini tidak membuat susulan tetapi disambung perjuangannya oleh pengarah filem berani Nasir Jani. Dalam sebuah rancangan "talk show" di TV3 Nasir Jani yang disiarkan secara langsung ketika itu, beliau telah mencarut dan mengangkat jari hantu sehingga menggemparkan Malaysia dan membawa kesan pemberhentian serta-merta program tersebut. Nasir Jani terus dikenakan tekanan seperti disabitkan dengan masalah dadah, ajaran sesat dan sakit mental. Suatu ketika Nasir Jani hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T bertulis kata-kata kesat kepada Mahathir-Perdana Menteri ketika itu. Nasir Jani juga pernah membaling batu pejabat FINAS kerana memprotes. Imej seniman tersebut cuba dikotorkan untuk menyorok kerja keji mereka. Taktik inilah yang selalu digunakan seterusnya beberapa tahun kemudian seperti Kumpulan Militan Malaysia yang dikatakan mahu berperang dengan pembesar negara dan juga kumpulan Black Metal mengamalkan ilmu hitam yang menyesatkan akidah. Sebelum itu, jangan lupa pula imej buruk dilemparkan terhadap PAS di dalam peristiwa Memali termasuk juga penyelewengan ajaran di dalam gerakan Al Arqam. Melalui media genggaman pemerintah, semuanya boleh dilakukan untuk menghalalkan kebusukan mereka.

Baca seterusnya di http://merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13244

Thursday, June 28, 2012

Tak Kena Kat Anak Hangpa Takpa Laa...Jika Kena Macam kami baru hangpa rasa..!!!

ISA: "Kali ini anak saya, esok lusa anak siapa?"

"Kali ini mungkin anak saya Fadzullah yang kena (ISA), esok lusa tidak tahu siapa pula yang kena."  Kenyataan seperti ini sering didengar dari ahli keluarga tahanan ISA yang berani ke hadapan memprotes penahanan ahli keluarga mereka di bawah akta Zalim ISA.

Pada jam 11 pagi ini, 40 orang aktivis bersama dengan Gerakan Mansuhkan ISA berkumpul di hadapan bangunan parlimen bersama ahli keluarga tahanan ISA bagi mendesak kerajaan membebaskan segera ke semua 45 orang tahanan ISA yang masih merengkuk di dalam Kem Tahanan Kamunting.

Turut bersama di dalam perhimpunan PROTES Desak Bebas Tahanan ISA 45 ialah Haji Abdul Razak ayah kepada Fadzullah, salah seorang tahanan ISA yang masuk tahun kedua berada di Kem Tahanan Kamunting.  Fadzullah adalah antara tahanan ISA yang telah melancarkan mogok lapar masuk hari kelapan pada hari ini.  Mengikut maklumat dari pihak peguam yang telah menziarahi mereka, Fadzullah dan dua orang yang lainnya hanya minum sedikit dan langsung tidak menjamah sebarang makanan.
Abdul Razak memaklumkan bahawa kali terakhir mereka menziarahi Fadzullah di Kem Tahanan Kamunting tiga minggu yang lepas Fadzullah kelihatan termengah-mengah dan mengadu sakit perut.  Namun ketika itu beliau mengaku yang beliau sudah menghentikan mogok lapar kerana pihak Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan lawatan bersama pihak SUHAKAM dan berjanji akan mendengar segala aduan mereka.

Mogok Lapar fasa kedua dilancarkan semula oleh tahanan ISA apabila pengaduan mereka tidak diendahkan dan mereka masih terus-terusan ditahan walaupun ISA sudah dimansuhkan.  Menteri Dalam Negeri tetap tidak memberikan sedikitpun perhatian kepada desakan mereka.

Menurut Khairunniza Md Akhir, isteri Mustawan Ahbab juga seorang tahanan ISA di Kamunting, tiga orang tahanan ISA yang telah melancarkan mogok lapar sudah kelihatan lemah.  Pihak Kem Kamunting telah mengambil tindakan mengasingkan mereka dari semua tahanan yang lain atau dipanggil sebagai "solitary confinement".  Tujuan utama tindakan ini ialah agar tindakan mereka tidak diikut sama oleh tahanan yang lainnya.

Namun semangat perjuangan tahanan ISA yang dizalimi ini tidak dapat dibendung walau mereka telah diasingkan.  Maklumat terkini yang diterima oleh Gerakan Mansuhkan ISA, kini sejumlah tujuh orang tahanan telah melancarkan mogok lapar dengan tiga orang dari mereka sudah memasuki hari kelapan mogok lapar.

Gerakan Mansuhkan ISA dan para aktivis memandang serius akan perkara ini dan mahu pihak Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri melalui Menteri Dalam Negeri melihat perkara ini dengan lebih serius dan menjawab segala persoalan yang timbul khususnya tentang dakwaan penderaan dan kezaliman yang didakwa dilakukan ke atas tahanan ISA ketika mereka ditahan selama 60 hari di Pusat Tahanan Reman Polis sebelum dihantar ke Kamunting.

Dakwaan penderaan dan penyeksaan ini ditulis sendiri oleh tahanan ISA dan berjaya dibolos keluar dari Kem Tahanan Kamunting.

Antara pengakuan mereka melalui nota bertulis tangan ialah dibogel, digantung terbalik dan dibelasah dengan objek tumpul selain didera di bahagian sulit dengan minyak panas dan puntung rokok.  Tahanan juga dilumur dengan pes cili dan dicabut bulu kemaluan dan dipaksa ketuk ketampi dalam keadaan berbogel dalam tempoh sehingga 60 hari.

Desakan dari Gerakan Mansuhkan ISA yang mewakili 82 pertubuhan NGO dan parti politik pada perhimpunan yang diadakan ialah:

1. Mendesak pihak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri untuk segera membebaskan 45 orang tahanan ISA yang masih dipenjara di Kem Tahanan Kamunting.
2. Mendesak Menteri Dalam Negeri untuk menjelaskan isu penderaan terhadap tahanan ISA yang telah didedahkan oleh tahanan sendiri.

Turut bersama di dalam perhimpunan Desak Bebas 45 orang Tahanan ISA ini ialah beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Tian Chua, Nurul Izzah dan Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz Omar (gambar kanan, paling kanan), beliau kecewa dengan sikap Menteri Dalam Negeri yang masih mahu mempertahankan undang-undang zalim ini.  "Unsur-unsur ISA masih wujud.  Kelihatan tiada ruang kebebasan untuk rakyat. Penderaan dan penyeksaan terhadap tahanan ISA masih ada.  Tahanan dibogel dan dipukul masih berterusan hingga kini."

Nurul Izzah pula mempersoalkan tentang transformasi yang sering disebut-sebut di era pemerintahan Najib Razak, namun masih ada penderaan dan penyeksaan ke atas tahanan ISA.  "Perdana Menteri, Najib Razak mesti jawab, mesti memberi jawapan kepada isu mogok lapar yang diadakan."

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berjanji akan terus membangkitkan persoalan ini di sidang parlimen dan membahaskan isu tentang penderaan dan penyeksaan ke atas tahanan ISA.

Malangnya pihak kerajaan masih mahu berselindung apabila hari ini Speaker Dewan Rakyat telah menolak usul yang diajukan dengan alasan ianya melibatkan keselamatan negara dan bersifat kerahsiaan dan tidak logik untuk dibahaskan.  Sekali lagi alasan keselamatan negara digunakan bagi menutup kesalahan pihak yang berwajib yang menyiksa tahanan ISA.

Gerakan Mansuhkan ISA bertekad untuk meneruskan bantahan bagi mendesak ke semua tahanan ISA dibebaskan segera.  Tiada apa yang harus dilengahkan lagi sekiranya sudah pasti mereka akan dibebaskan apabila tempuh tahanan mereka tamat. Ini bermakna mereka bukanlah menjadi ancaman kepada keselamatan negara atau sesiapa sahaja.

Kenapa sehingga tahanan yang mogok lapar sanggup hingga meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan kalau tidak kerana kezaliman yang dikenakan ke atas mereka ditahan tanpa dibicarakan, dinafikan hak untuk hidup sebagai manusia bebas.  Maka satu saat mereka dipenjarakan juga adalah sesuatu yang zalim.  Mereka mempertahankan prinsip bahawa mereka tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahan ke atas mereka dan mereka wajib dibebaskan segera.
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara.

Wednesday, June 20, 2012

"Aset lenyap": Satu lagi ugutan Najib?

Ugutan!  Ugutan!  Lebih ugutan!

Adakah ini jalan penyelesaian Perdana Menteri, Najib Razak untuk memastikan UMNO/Barisan Nasional kekal berkuasa dalam pilihanraya akan datang dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia?

Ucapan perasmian Najib (gambar kiri) dalam Majlis Mesyuarat Tahunan Ke-66 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia mengesahkan lagi kecaman beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan Oktober 2010. 

Dalam amaran Najib kepada komuniti peniaga Cina pada pagi ini, segala aset dan kekayaan mereka mungkin "lenyap" sekiranya tiada "kestabilan politik", rakyat Malaysia diingatkan dengan laungan beliau yang berbaur "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, Putrajaya mesti dipertahankan".
Biar Najib menjelaskan pendirian beliau - adakah beliau mengugut dan mengancam bahawa sekiranya UMNO/Barisan Nasional tumpas dalam pilihanraya umum akan datang,"aset dan kekayaan" komuniti peniaga Cina akan "lenyap" dan adakah ini disebabkan oleh laungan beliau "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, Putrajaya mesti dipertahankan".

Baru-baru ini, rakyat Malaysia sudah mula mendengar pelbagai kenyataan dari pemimpin UMNO walaupun bukan daripada pihak Presiden UMNO mahupun Naib Presiden UMNO dengan memberi jaminan bahawa akan ada peralihan kuasa secara aman sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya umum yang akan datang dan UMNO dan BN akan menghormati keinginan rakyat yang diekspresikan melalui peti undi dalam pilihanraya umumyang akan datang.

Najib yang telah kembali menggunakan ugutan dan sebagai senjatanya membuka persoalan baru berhubung dengan kenyataan dan jaminan pemimpin UMNO yang bukan berpangkat tinggi bahawa UMNO/BN akan memberi jaminan peralihan kuasa secara aman sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya yang akan datang.

Najib mesti menjelaskan mengapa kekalahan UMNO/BN dalam pilihanraya yang akan datang di mana "aset dan kekayaan" komuniti peniaga Cina mungkin akan "lenyap", dan jika UMNO/BN benar-benar komited untuk menerima keputusan peralihan kuasa jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya yang akan datang?

Ataupun, adakah Najib mengumumkan kepada semua bahawa beliau tidak akan menerima keputusan pilihanraya ke-13 yang mungkin memperlihatkan Pakatan Rakyat sebagai "favourite" dan yang beliau belum bersedia untuk memberi komitmen penuh bagi pihak UMNO/BN untuk memastikan peralihan kuasa secara aman sekiranya PR diberi mandat untuk mentadbir dalam keputusan pilihanraya yang akan datang.

*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan?

 
10 persoalan di sebalik Laporan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai projek loji pemprosesan nadir bumi Lynas. (Sila rujuk sini untuk laporan penuh PSC.)

1. Surat jaminan hanya terhad kepada dua tahun

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan rakyat, bahawa syarikat Lynas telah menandatangani surat "UNDERTAKING" untuk bersetuju mengeluarkan residu dari Malaysia, dan dipulangkan ke Australia - seandainya projek pengkitaran semula residu gagal, dan lokasi fasiliti pelupusan kekal tidak dapat dikenalpasti di Malaysia.


Namun, dua surat yang dilampirkan (Lampiran IV) dalam Laporan Jawatankuasa, masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, tercatat, "Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan ini bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal."

Surat "UNDERTAKING" ini tidak menjamin bahawa Lynas perlu mengeluarkan residu dari Malaysia setelah memperolehi lesen rasmi (untuk operasi 20 tahun).  TOL hanya membenarkan operasi untuk tempoh dua tahun.  Melainkan Lynas membuat permohonan TOL berulang-kali, dan AELB membenarkan Lynas beroperasi dengan TOL* - jika tidak, Lynas hanya akan mengeluarkan residu dari Malaysia dalam dua tahun pertama selepas beroperasi.

2. Syarat yang ketat untuk membina kilang di Australia

Pada muka surat ke-37 Lampiran 1 - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM, AELB respon kepada persoalan yang diajukan beberapa orang penduduk Kuantan - mengapa Lynas tidak membina kilangnya di Australia, sebaliknya di Malaysia.  AELB memaklumkan bahawa satu lagi syarikat pemprosesan nadir bumi Arafura Resources akan membina loji pemprosesan nadir buminya di Australia Selatan.

Jawapan ini seolah-olah menyampaikan satu mesej, bahawa loji pemprosesan nadir bumi padahalnya boleh dibina di Australia, cuma Lynas tidak memilih untuk membina lojinya di Australia.  Namun, seandainya prosedur permohonan Arafura Resources untuk membina loji nadir bumi di Australia diteliti, maka kita akan mendapati ia bagai langit dengan bumi - untuk bandingkan Arafura Resources dengan Lynas.

Arafura Resources mendukung ketelusan dalam operasi sebermulanya.  Dalam prosedur permohonan lesennya, Arafura Resources dengan jelas menyenaraikan langkah-langkahnya, dialog bersama penduduk tempatan, menunjukkan Laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) kepada penduduk tempatan.

Mungkin AELB lupa bahawa ketika Lynas memohon lesennya di Malaysia, penduduk tempatan langsung tidak mengetahui apa-apa.  Malah, laporan EIA dan RIA (Penilaian Kesan Radiologi) oleh Lynas hanya diumumkan apabila berdepan dengan tekanan masyarakat.  Itupun pembinaanya telah siap untuk lebih 50%.

3. Ada bezanya pembinaan kilang asal di Australia

PSC telah menghantar satu rombongan, yang terdiri daripada wakil AELB dan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk mengadakan lawatan saintifik rasmi ke agensi-agensi penguatkuasa Western Australia bagi menentusahkan semua dokumen, permit dan lesen yang dikemukakan oleh Lynas (M) Sdn Bhd bagi permohonan mendapatkan Lesen Kendalian Sementara (TOL) dan dokumen-dokumen berkenaan telah mendapat kelulusan daripada agensi yang berkaitan di Western Australia.

Setelah bertemu dengan kerajaan Western Australia, wakil Malaysia memetik maklumat yang dibekalkan pegawai Western Australia untuk menyanggah dakwaan badan anti-Lynas, bahawa Lynas datang ke Malaysia kerana tidak dibenarkan membina loji di Australia.  Dalam Lampiran VI, LAPORAN LAWATAN TEKNIKAL RASMI KE AGENSI PENGUATKUASA DI WESTERN AUSTRALIA, menunjukkan bahawa EPA (Environmental Protection Authority) Australia pada Mac 1988 telah melanjutkan lesen sebuah syarikat, Ashton Rare Earth Pty Ltd, yang melombong di Mt Weld dan membina loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar, kawasan perindustrian Australia.

Syarikat Lynas telah mengambil alih Ashton Rare Earth Pty Ltd pada tahun 2003, dan mengalihkan hartanya ke bawah syarikat Lynas, termasuk lesen loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar.  Syarikat Lynas di Malaysia juga menunjukkan kepada media pada 19 April 2012, bahawa syarikatnya dilanjutkan permitnya oleh kerajaan Australia, sebagai bukti bahawa syarikatnya dibenarkan membina loji di Australia.  EPA juga mengesahkan bahawa operasi loji berkenaan tidak memerlukan laporan EIA selanjutnya.  Laporan EIA yang baru hanya diperlukan apabila loji yang baru membawa impak yang besar terhadap alam sekitar.

Secara luarannya, maklumat feedback yang dikemukakan oleh delegasi AELB kepada PSC ini menunjukkan bahawa kerajaan Australia telah memberi lampu hijau kepada Lynas untuk membina loji di Australia.  Namun PSC seolah-olah tidak faham bahawa pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, adalah berbeza dengan projek pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Australia oleh Ashton Rare Earth Pty Ltd pada ketika itu.  Loji Ashton Rare Earth Pty Ltd menggunakan cara pengurusan residu strategi kawalan penuh, iaitu air buangan loji akan disejatkan sepenuhnya, dan kemudian sisa yang tinggal akan dikebumikan di Mt Weld.  Tetapi, loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia bakal menghasilkan 500 tan air buangan setiap jam untuk disalurkan ke Laut China Selatan.

Anggota Stop Lynas Coalition, Soo Jin Hou telah menganalisa secara mendalam perbezaan antara operasi Lynas dengan Ashton Rare Earth Pty Ltd di Australia.  Artikel yang ditulisnya pada tahun 2011 telah disiarkan di Free Malaysia Today.

4. Pembohongan

Laporan mendakwa bahawa Lynas adalah sebuah kilang kimia yang selamat.  Maklumat yang diserahkan oleh Lynas kepada PSC mendakwa lojinya adalah Atmospheric pressure, Ambient temperature, Not easily flammable. (Lampiran II "Salient Points on Lynas Advance Material Plant")  Namun Lynas tidak menyatakan peringkat paling penting dalam operasi lojinya, iaitu cracking - menggunakan Rotary Kiln untuk membakar batu nadir bumi selama 2.5 jam di bawah suhu 650 darjah celsius.  Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap sebagai extreme temperature.  Pembohongan Lynas bahawa lojinya beroperasi dalam "ambient temperature", sekali lagi menunjukkan masalah integritinya.

5. Lesen diberikan sebelum EIA diluluskan

PSC tidak menyiasat sama ada pembinaan loji Lynas di Malaysia telah melanggar undang-undang yang ditetapkan negara kita.  Dalam Laporan PSC (mukasurat 7), "Lynas kemudiannya telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang MITI untuk menghasilkan nadir bumi oksida dan karbonat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan berkuat kuasa pada 22 Januari 2008 yang tertakluk kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 di bawah kawalan AELB dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah kawalan JAS.  Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa projek LAMP telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) daripada JAS Negeri Pahang pada 15 Februari 2008."

Dengan kata lain, PSC sudah maklum bahawa lesen pengilang Lynas telah diluluskan tiga minggu sebelum laporan EIA diluluskan.  Mengapa PSC tidak mempertikaikan sama ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mematuhi prosedur yang ditetapkan?  Dalam keadaan di mana kesan terhadap alam sekitar belum dikenalpasti, apakah alasan untuk MITI membenarkan pembinaan loji Lynas di Malaysia? (Bahagian pertama, bersambung)

*Ketua Pengarah AELB Abdul Aziz Raja Adnan pernah mendakwa bahawa Lynas boleh memohon TOL berulang-kali, untuk melanjutkan tempoh operasinya.  Namun, proses permohonan agak menelan masa dan kosnya amat tinggi. Rujuk: http://www.merdekareview.com/news_v2.php?n=23968

**Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Sunday, June 10, 2012

Pembentukan Rejim Kawalan Media Baru dan Evolusi Dunia Siber di Malaysia

 Akta Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012 diluluskan Dewan Rakyat pada April dan Dewan Negara pada Mei lalu, tetapi bukan berkuatkuasa pada 1 Jun 2012 seperti yang dilaporkan dalam media.  Yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2012 ialah Akta Keterangan (Pindaan) 2012 yang telah diwartakan pada 9 Februari 2012.<1>  Walau bagaimanapun, Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 yang kini menjadi tumpuan pelbagai pihak khususnya warga siber memang perlu dihalusi kesannya apabila pindaan akta tersebut berkuatkuasa nanti.
 
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah meneliti pindaan berkaitan dan ingin merumuskan bahawa, pindaan akta tersebut bakal membentuk rejim kawalan media baharu yang sekiranya berkesan akan menyekat kebebasan bersuara rakyat dan hak rakyat mendekati maklumat dalam ruang siber.  Pindaan akta ini tidak menghalang penyalahgunaaan dan tidak melindungi privasi pengguna internet. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk terus melindungi Kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada kritikan dan tuduhan ketika jumlah pengguna siber semakin meningkat menyebabkan kuasa siber semakin berkembang serta mengancam kelangsungan hayat kekuasaannya.
 
Pada 31 Mei 2012, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) telah melancarkan satu kempen bernama “Rakyat bantah Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012”.  Setakat 7 Jun, terdapat 2,100 orang telah menandatangani sebagai tanda menyokong kempen tersebut.<2>
 
Prinsip Keadilan Diterbalikkan
 
Di bawah semangat dan prinsip keadilan undang-undang, defendan yang telah dikatakan melakukan kesalahan undang-undang mempunyai beban pembuktian pada pihak pendakwa untuk membuktikan anggapan ketidaksalahan sebelum dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah.  Namun, apabila pindaan terkini Akta Keterangan dikuatkuasakan nanti, defendan dianggap bersalah bahkan pakar computer atau penggodam lebih mudah untuk mengodam akaun seseorang dan menerbitkan apa-apa kenyataan dan apa-apa sahja yang berunsur hasutan di laman web sasarannya lantas meletakkan kesalahan ke atas individu lain dan bukan pengodam tersebut.
 
Malahan, defendan dianggap bersalah melainkan dia mampu membuktikan yang sebaliknya. Maksudnya, beban pembuktian kini beralih daripada pihak pendakwa kepada pihak defendan. Perkembangan semikian merupakan sesuatu yang regresif.  Bukankah transformasi politik sewajarnya membawa kepada perubahan yang progresif dan bukannya regresif?
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengemukakan data bahawa dari 2009 hingga 2011, terdapat sebanyak 625 kes melibatkan orang yang membuat komen lucah atau menyinggung melalui internet atau telefon disiasat oleh pihak berkuasa.  Tetapi hanya 16 dihadapkan ke mahkamah dan hanya tiga disabitkan kesalahan. Oleh itu, SKMM percaya pindaan akta ini akan membawa kesan untuk mengawasi pembuli dan pemburu siber yang sering memberikan mesej berunsurkan ancaman atau kebenciian di Facebook atau Twitter atau mana-mana akaun lain di Internet. <3>
 
Di samping itu, Setiausaha Agung parti DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa bahawa pindaan akta ini "akan memudahkan kerajaan untuk memulakan pendakwaan terhadap ahli-ahli parti pembangkang dan masyarakat sivil".<4>  Lim Guan Eng juga percaya bahawa Kerajaan BN akan mengamalkan "double standard” dalam menjalankan peruntukan-peruntukan undang-undang ini.  Keraguan beliau berasas berikutan beberapa insiden Kerajaan BN melakukan penapisan yang tidak bertempat seperti campur tangan Kerajaan BN dalam penyiaran terus laporan berita BBC melalui Astro dan liputan secara langsung Al-Jazeera berhubung perhimpunan Bersih 3.0.
 
Malaysia tidak mempunyai teknologi penapisan yang diketahui secara aktif menapis kandungan internet atau undang-undang yang bertujuan untuk mengehadkan atau menapis kandungan internet.  Malah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa-apa jua dalam akta itu "hendaklah ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan internet".  Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia juga menjanjikan tiada penapisan internet.  Tetapi pihak berkuasa telah diketahui pernah mengambil langkah-langkah lain, seperti mengeluarkan kandungan-kandungan tertentu, untuk menyekat edaran maklumat-maklumat tertentu.
 
Namun begitu, pindaan akta ini memaksa pengguna rangkaian untuk menapis kata-katanya sendiri, atau memantau mesej daripada orang lain.  Butiran pindaan yang bakal menimbulkan masalah adalah seperti berikut:
 
Seksyen baru 114A
“Presumption of fact in publication
114A. (1) A person whose name, photograph or pseudonym appears on any publication depicting himself as the owner, host, administrator, editor or   sub- editor, or who in any manner facilitates to publish or re-publish the publication is presumed to have published or re-published the contents of the publication unless the contrary is proved.
 (2) A person who is registered with a network service provider as a subscriber of a network service on which any publication originates from is presumed to be the person who published or re-published the publication unless the contrary is proved.
 (3) Any person who has in his custody or control any computer on which  any publication originates from is presumed to have published or re-published the content of the publication unless the contrary is proved.
 (4) For the purpose of this section—
 (a)  “network service” and “network service provider” have the meaning assigned to them in section 6 of the Communications and Multimedia Act 1998; and
 (b) “publication” means a statement or a representation, whether in written, printed, pictorial, film, graphical, acoustic or other form displayed on the screen of a computer.”.
 
Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah.  Secara umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus  membuktikan fakta yang dikatakan sebagai wujud.  Akta ini membawa impak yang besar terhadap aktiviti internet atau dunia siber.  Seksyen baru 114A menunjukan para pengguna internet akan bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan yang dihantar ke internet melalui rangkain atau pun alat peranti mereka. Secara ringkasnya, sekiranya seseorang pengguna menghantar komen pada blog anda, halaman facebook anda, Tweetjack akaun Twitter anda, mahupun dengan 'menumpang' talian WiFi anda, maka anda akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang perkara yang dilakukan dalam perkongsian perkhidmatan internet itu.
 
Akta ini mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru.  Anggapan pertama ialah dalam sebuah penyiaran, jika ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik, hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.
 
Anggapan kedua ialah, jika  terdapat  penyiaran yang dibuat daripada sesuatu perkhidmatan rangkaian Internet, orang yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran. Dan anggapan yang ketiga ialah, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu komputer yang dimiliki atau dijaga oleh seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran. <5>
 
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kenyataan tidak benar atau fitnah yang dimuatkan di internet, sukar untuk diambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana bukan mudah untuk menjejaki individu pertama yang memuatkan kenyataan seumpama itu di internet.  Di bawah Akta yang dipinda, beban pembuktian beralih kepada pemilik komputer atau pemilik akaun supaya pihak berkuasa boleh mendapatkan sumber yang komen fitnah atau hasutan dengan cara yang mudah.<6>
 
Malaysia sebenarnya adalah antara negara pertama di dunia yang memperkenalkan undang-undang siber yang komprehensif seiring dengan perkembangan pesat projek MSC seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997, pindaan Akta Hak Cipta 1997 dan Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007.
 
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998<7> merupakan satu Akta berkenaan undang-undang siber dan dibentuk sebagai satu rangkakerja bagi campurtangan kerajaan Malaysia dalam memantau industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah Akta ini termasuk penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta ini yang membenarkan penapisan Internet. Di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia, Kerajaan BN berikrar tidak akan menapis Internet.
 
Walaupun Nazri menafikan bahawa Akta Keterangan itu adalah satu cara bagi kerajaan untuk mengekang perbezaan pendapat secara online dengan membuat internet lebih sukar atau mengekalkan 'kejahilan' yang digunakan sebagai alasan.<8>Namun, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang sering mempertahankan pendirian tentang “tidak menapis kandungan Internet” sebelum itu juga menggesa kerajaan memikirkan semula bahawa kekurangan kerajaan kawalan ke atas Internet.  <9>
 
Pindaan Regresif dan Represif
 
Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Perkara 10 (1) (a) dengan jelas menyatakan bahawa setiap warganegara berhak untuk bersuara dan menyatakan pandangan secara terbuka. Selain itu, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 juga menyatakan setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara setiap warganegara, terdapat pelbagai undang-undang dan akta yang menyekat rakyat daripada menikmatinya.
 
Juga Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 yang menyatakan bahawa setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran;  hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.
 
Pindaan seperti ini menyekat hak kebebasan bersuara warganegara kerana ia akan mewujudkan keadaan paranoia dalam kalangan rakyat di samping menyekat hak kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.  Contoh gangguan yang akan terjadi akibat langsung pindaan ini adalah seperti kes syarikat Apple yang tidak sengaja mengintip pengguna dari negara Belanda dan data agregat telah dijual kepada pihak polis dalam perlaksanaan meletakkan lokasi perangkap kelajuan kereta. 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini turut menyuarakan pendapat sama dengan Mahathir dan berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial.
 
Namun begitu, pindaan akta ini adalah jelas cara tidak langsung untuk mengawal kandungan dalam internet kerana ia menjadikan laman web dalam internet yang bertanggungjawab bagi komen yang diberikan oleh pembaca.  Ini boleh memaksa laman-laman web dan halaman-halaman facebook untuk menamatkan opsyen komen bagi mengelakkan diri daripada tindakan undang-undang yang regresif, dan jika ini berlaku, ia mempunyai kesan yang besar terhadap sifat interaktif media dalam internet yang digemari oleh para pengguna internet yang meinggalkan komen.
 
Tambahan pula, Malaysia akan tersenarai dalam kategori negara-negara di bawah pengawasan sebagai musuh Internet, iaitu di mana kerajaan autoritatif atau semi-autoritatif telah dengan sistematik berusaha untuk menyekat dan menapis penggunaan dan perkongsian maklumat di internet.
 
Lebih membimbangkan, pindaan bersifat regresif ini bakal membuka ruang kepada rejim kawalan untuk meluaskan dan mengekalkan tindakan represif terhadap kedua-dua dunia siber dan dunia nyata.
 
Pelanggaran Hak Peribadi
 
Pihak yang mementang mempunyai hujah bahawa ramai pembuli dan pemburu siber sering merahsiakan identiti menyebabkan mereka terlepas kerana kekurangan bukti.  Sebab ini, menerbitkan identiti seseorang boleh mengurangkan kejadian negatif seperti perbuatan membuli, perbuatan bersifat perkauman, serta mengurangkan kejadian penyamaran di internet, maka, kerajaan membenarkan penerbitan identiti seseorang itu tanpa kebenarannya dan ini merupakan pelanggaran kepada hak peribadi kepunyaan setiap rakyat. Ini boleh membahayakan keselamatan dan hak peribadi seseorang.
 
Meluluskan Akta Keterangan ini serupa membenarkan perbuatan peribadi terbuka kepada orang ramai.  Menurut mahkamah,  hak peribadi merupakan hak asasi kepada setiap manusia. Ia merupakan hak yang patut dihargai dan dilindungi.<10>
 
Pindaan akta ini mengemukakan persoalan samada rakyat Malaysia merupakan warganegara atau subjek kepada kerajaan.  Jika sekiranya rakyat diiktiraf hak warganegara, maka hak peribadi dilindungi di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan  di mana ia dijanjikan oleh Artikel ini bahawa, kebebasan peribadi setiap orang dalam negara dilindungi. Juga, hak kebebasan bersuara warganegara dilindungi di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.  Pindaan kepada akta ini kelihatan tidak menghiraukan kedua-dua Perkara Perlembagaan Persekutuan negara.
 
Penorobosan yang kerajaan terlepas pandang akibat pindaan akta ini adalah ia boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa kerajaan untuk mengawasi pergerakan mana-mana inidividu yang dirasai oleh mereka sebagai orang yang berkepentingan.  Dan ini merupakan suatu perlanggaran kepada Artikel 12 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 di mana deklarasi tersebut menggariskan bahawa tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau pencerobohan ke atas maruah dan nama baiknya.  Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undag terhadap gangguan atau pencerobohan sedemikian.
 
Pindaan Bersifat Politik
 
Sesungguhnya, pindaan akta ini tidak mempunyai sifat keadilan.  Sebaliknya, ia bersifat politik. Ia mempunyai kelonggaran kepada kerajaan untuk menerbitkan identiti sesiapa sahaja yang tidak sepakat politik dengan kerajaan atau “political dissidents”.  Di mana akta tersebut memberi kuasa kepada pihak Pendakwa Raya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menerbitkan apa-apa sahaja yang didakwa sebagai mempunyai elemen-elemen menghasut.  Lantas, pindaan ini bersifat subjektif dan mudah dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang ingin menjaga kepentingannya walaupun ia terpaksa mengorbankan kepentingan dan hak rakyat sebagai warganegara.
 
Pindaan kepada Akta Keterangan memberi ruang dan peluang untuk berlakunya perulangan sejarah rejim kawalan bersifat represif yang dilihat selama ini.  Di mana akta tersebut digunapakai terhadap mereka yang merupakan kritik kuat terhadap kerajaan, termasuklah pihak pembangkang<11> Pindaan Akta Keterangan ini memberi ruang dan peluang kepada kerajaan menerbitkan identiti mereka yang kritikal kepada kerajaan.
 
Seperti yang dikatakan oleh Jon Fortt, penulis senior di Fortune;  hak peribadi dahulunya bermaksud pengasingan. Kita menutup pintu tandas untuk mendapatkan hak peribadi.  Kita meletakkan kunci pada diari untuk memastikan isi kandungannya kekal peribadi.  Dalam dunia digital hari ini, hak peribadi kini bermaksud pengawalan.  Bagi servis internet, ia bermaksa memberi kuasa untuk memutuskan siapa akan melihat data kita dan bila.  Ia bermaksud memberi kuasa untuk membawa lari data kita dan ia bermaksud memberi kuasa kepada kita untuk membuang data kita.<12>  Tugas kerajaan adalah untuk melindungi hak rakyat tidak diselewengkan oleh mana-mana pihak dan ia juga merupakan tugs kerajaan untuk memastikan tiada pengawasan yang terlampau hingga ia melanggari hak asasi manusia untuk bersuara tanpa merisaukan gangguan yang akan terjadi dari penyuaraan rakyat.
 
Perkembangan Internet di Malaysia
 
Sebelum abad ke-20, rakyat Malaysia mendapat maklumat daripada media  tradisional seperti akhbar, majalah, buku, televisyen, radio serta ceramah.  Namun pada abad ke-20, internet atau alam siber sebagai sumber maklumat menjadi semakin penting untuk mencari maklumat yang berperanan sebagai tempat siber yang demokratik dan bebas. Internet juga bertindak sebagai wadah untuk menggerakkan ketelusan, keterbukaan dan juga sebagai tapak menjana pelbagai jenis pandangan yang melebarkan spektrum ruang publik dan mengizinkan penghasilan budaya demokrasi.
 
Kehadiran Internet mengubah keadaan semasa negara ini.  Internet telah memecahkan dominasi maklumat yang selama ini dikawal oleh Kerajaan BN.  Internet turut menjadi ancaman kepada negara-negara yang mengamalkan sifat kuku besi terhadap populasi negara tersebut.  Perkembangan dunia internet telah mendorong kemunculan media alternatif yang tidak berada dalam cengkaman satu pihak sahaja.  Jika pada satu masa dahulu, rakyat Malaysia hanya menerima maklumat dari sebelah pihak kerana terdapat kongkongan yang ketat terhadap media, sekarang rakyat Malaysia mempunyai pelbagai pilihan sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat dan berita.
 
Penggunaan media di Malaysia masih dianggap baru, ianya muncul sekitar akhir tahun 1990-an.  Peranan media alternatif ini secara  meluas dan signifikan serta ketara dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dengan langganan dial-up yang menjangkau 11.76 juta orang dan daripada situ ia memberi petanda pesatnya peningkatan demokrasi digital di Malaysia. Suatu contohnya ialah laman web berita Malaysiakini yang dilancarkan pada 1999 dan kini diterbitkan dalam empat bahasa, telah menarik lebih 37 juta tatapan setahun, ini merupakan tatapan yang tinggi jika berbanding dengan laman berita media yang lain seperti The Star Online.<13><14> Ini dengan tidak sengaja telah menyebabkan penubuhan laman-laman web berita yang lain tumbuh bagai cendawan selepas hujan dalam negara.
 
Pendekatan berkempen menerusi dunia digital atau perang siber telah menyemarakkan lagi kempen PRU-12 pada tahun 2008 dengan mencatatkan peningkatan pengunjung laman web yang mendadak sepanjang tempoh seminggu selepas penamaan calon. Berkempen menerusi alam siber khususnya laman web, blog politik,  khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan persidangan video menjadi kaedah baru yang menghangatkan suasana berkempen sama ada membabitkan parti atau calon yang bertanding bagi tempoh kempen hinggalah hari pembuangan undi.
 
Kesan penggunaan internet juga mempengaruhi keputusan dan sokongan serta memberi impak yang signifikan dalam PRU-12 terutamanya di kalangan pengundi muda di kawasan bandar dan  ini menjadi salah satu sumber maklumat penting di Malaysia seterusnya bakal mempengaruhi pola pengundian dalam pilihan raya umum akan datang.<15>
 
 
Jadual 1: Jumlah Pengguna Internet di Malaysia
penguna internet.jpg
Sumber: Bank Dunia<16>
 
Berdasarkan laporan bank dunia, jumlah pengguna internet di Malaysia semakin meningkat sehingga mencapai 15,705,762.40 pada tahun 2010. Malaysia juga berada pada kedudukan yang ke 21 sebagai pengguna facebook di dunia. Lebih daripada separuh penduduk Malaysia merupakan pengguna internet aktif.
 
Bilangan pengundi berdaftar di Malaysia pula sekitar 12 juta. Hakikatnya, hampir separuh daripada bilangan pengundi berdaftar di Malaysia adalah pengguna internet dan tidak dapat ditolak kemungkinan bahawa mereka juga terdedah kepada pengaruh politik atas talian. Secara purata, mungkin boleh diandaikan 3/4 daripada bilangan pengundi berdaftar di Malaysia cenderung untuk mengundi berdasarkan kekuatan meklumat yang disebarluaskan oleh media internet.<17>
 
Penutup kata
 
Revolusi Mesir merupakan satu contoh yang baik bahawa dominasi maklumat oleh pemerintahan kuku besi seperti di negara-negara Timur Tengah dapat dipecahkan.  Media sosial, terutamanya Facebook dan Twitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus “Arab Spring” di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut Presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan.  Internet telah menjadi senjata untuk melawan rejim kuku besi Hosni Mubarrak. Facebook, Twitter dan blog menggantikan senjata-senjata tradisional seperti AK-47 dan “Molotov cocktail” bagi memenangkan revolusi di Dataran Tahrir.
 
Di Malaysia juga menyaksikan bagaimana Internet telah merubah lanskap politik negara.  Dalam PRU-12, kebanyakan kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet dimenangi oleh parti pembangkang menyebabkan BN hanya mampu mempertahankan kerusi parlimen Setiawangsa dan Putrajaya di Wilayah Persekutuan.  Perkembangan Internet telah membolehkan Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat secara “online” dan dilihat menjadi faktor BN tewas sewaktu PRU-12.
 
Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 jika dikuatkuasakan sebelum berlangsungnya PRU-13, dapat melengkapkan strategi dan taktik BN untuk mengekalkan kelangsungan hayat kekuasaannya.  PRU-13 dilihat sebagai perang yang boleh menentukan hidup atau mati BN. Bagi Najib, PRU-13 bukan hanya tentang memenangi pilihan raya, bahkan adalah penentu survival BN dan dirinya yang mendepani tuduhan mahkamah perancis berhubung kes Altantuya dan Scorpene.  Oleh itu, pindaan akta ini bakal membawa impak ketika PRU-13.
 
* Kenyataan media oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)


<10> http://foongchengleong.com/tag/malaysia-superinjunctions/
<11> http://cijmalaysia.org/miniportal/2010/09/the-sedition-act-1948/
<12> http://www.bumigemilang.com/?p=6402

Saturday, June 2, 2012

Pakatan perlu menang sekurang-kurang 100 kerusi parlimen Semenanjung untuk tawan Putrajaya

Firman Allah:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)


1. Mukadimah

PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan petunjuk Allah, dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t., insyaAllah.  Sudah tiba masanya BN diundurkan, kerana tempoh masa terlalu panjang sehingga terdedah banyak kesilapan yang memalukan.  Kalau dibiarkan berterusan, menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.

Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut.  Justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.
Dalam menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.

Marilah kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan.  Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan.  Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu.  Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka.  Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt.  Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka.  Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidaklah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki.  Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita.

2. Kandungan


2.1 Allah menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Wahai orang-orang yang beriman!  Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?  Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 – 13)

Allah s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفوز الغظيم) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فتح قريب) di dunia.

Kemenangan akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله) setelah kita mempersiapkan ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak, komited, pimpinan-pimpinan parti yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti yang tepat.

2.2 Menegaskan kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.
Tiada percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):

"Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah".

Memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah: (آل عمران)

104. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.

PAS sedia berdialog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan pendirian PAS yang sentiasa beristiqamah.

Membangunkan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia, malah kepada seluruh alam sejagat.

PAS menyeru kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang dikemukakan:

"Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات) dan saling bekerjasama (التعاون) ke arah kejayaan (الفلاح) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat."

Allah membuat perbandingan dengan firmannya: (البقرة)

200.  Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201.  Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

Model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO dan BN, kerana sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan Bumiputera.

Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah kepada alam sekitar.

2.3 PAS telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

UMNO sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dasar perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di Malaysia.  Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan rakyat yang berteraskan adil kepada semua.

Dengan semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakang al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam.  Hukum-hukum Allah dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.

Apabila Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak dapat dipertahankan.

UMNO juga bertanggungjawab

- Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.

- Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi

- Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.

- Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing.

- Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah.  Antaranya dengan menafikan hak kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Sarawak.

Pemerintahan UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan.  Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun.  Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.
 PAS benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran al-Quran dan al-Sunnah.

2.4 PR juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.
Negara Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara semakin runtuh dengan:
- Terhakisnya semangat federalisme.
- Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja Melayu.
- Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa, sehingga Institusi Kehakiman tidak lagi berwibawa dan hilang keyakinan.
- Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri.
- Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.
- Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah begitu besar.
- Ketika orang lain mengambil contoh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat, BN yang berketuakan UMNO menipu dan merasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan apa sahaja.

Masa depan ekonomi Negara juga semakin suram.

- Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion melebihi 53% KDNK Negara.
- Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.
- Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.
- Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah.

Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan.  Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.

Dasar dan polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air Asia.

Begitulah kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya.

فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة

2.5 Roadmap ke Putrajaya
  PAS menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung Malaysia di samping melipat-gandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.
  PR perlu memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:
- Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008
- Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU ke-12 2008.
- Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia diperintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di samping berusaha menawan negeri Perlis.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3-4 % dengan langkah-langkah berikut:

- Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
- Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.
- Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar. Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut.
- Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepada pengundi-pengundi Muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.

PAS melalui Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

PAS melalui Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan "PAS for All".

Semua ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS.  Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.
 
2.6 Persiapan Ahli-ahli PAS
Firman Allah:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

Berdasarkan ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling sengit.

Para petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.
Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang tidak perlu dan mengutama semangat syura dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

Mempereratkan hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.

3. Penutup
Saya menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita, melaksanakan tugas dengan Istiqamah dan Iltizam, semata-mata mencapai keredhaan Allah.
 الله أكبر ولله الحمد
*Intipati Ucapan Presiden PAS (gambar kiri) Munajat dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, dengan tajuk Himpunan Hijau Menuju Putrajaya. Dipetik dari Harakah Daily.

Friday, May 25, 2012

Gerakan Gantung Kain Kuning: Kembali kepada 8 tuntutan BERSIH

Berita keganasan polis telah mengalih perhatian daripada lapan tuntutan BERSIH 3.0 selepas 28 April 2012.  Lebih-lebih lagi ruang dada media dihiasi dengan berita senaman punggung, gerai burger, pasar malam di depan rumah Ambiga dan sebagainya, ditambah pula isu seperti "Perdana Menteri Bukan Melayu", yang ditonjolkan secara tiba-tiba.

Gerakan Pendidikan Pilihanraya Bunga Matahari atau Sunflower Electoral Education Movement (SEED), satu pertubuhan daripada masyarakat sivil telah melancarkan satu "Gerakan Gantung Kain Kuning (GGKK)", bertujuan untuk menyeru agar rakyat Malaysia kembali kepada matlamat perjuangan asal BERSIH 3.0, iaitu 8 tuntutan yang dikemukakan.

Dalam satu kenyataan media, SEED menyeru agar rakyat menggantung kain kuning dengan tulisan BERSIH ini di tempat-tempat yang menonjol, seperti tingkap ataupun pagar pintu kediaman masing-masing.
Menurut SEED, GGKK memberi makna-makna tertentu.  Pertamanya, ia meneruskan hasrat perjuangan BERSIH, yang tidak terhad pada 28 April 2012.  Menggantung kain kuning di depan rumah secara jelas menyampaikan mesej kepada penguasa, bahawa rakyat akan terus bersuara tidak kira siang ataupun malam, panas mahupun hujan - sehingga tuntutan BERSIH dilaksanakan.

Kedua, menyebarkan mesej secara meluas.  Apabila media arus perdana disekat kebebasannya, hak rakyat untuk mengetahui tercabul.  Bukan sahaja berita keganasan polis tidak dapat dipaparkan secara menyeluruh kepada orang awam, malah tuntutan BERSIH yang berhubungkait dengan masa depan negara telah dipinggirkan.  SEED berharap GGKK mampu mencungkil perhatian lebih ramai terhadap mesej daripada BERSIH.

Ketiga, sebagai penghormatan terhadap golongan yang tertindas.  SEED merakamkan setinggi-setinggi penghormatan kepada peserta dan pengamal media yang dikasari dalam perhimpunan BERSIH 3.0, pada masa yang sama mengiktiraf keberanian dan ketabahan mereka.  GGKK juga sebagai protes terhadap kerajaan yang mensabotaj dan menindas perhimpunan rakyat yang aman.

SEED menegaskan, meskipun pihak berkuasa cuba melabel BERSIH 3.0 sebagai perusuh, menyimpan motif untuk menggulingkan kerajaan, menimbulkan huru-hara, diperkudakan pembangkang dan sebagainya, namun taktik ini gagal menghalang tekad rakyat.  Dari mula hinggalah penghujungnya, hasrat rakyat hanya untuk menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih.

SEED merupakan organisasi rakyat yang menawarkan pendidikan dan latihan pengundi, dengan matlamat untuk melatih sukarelawan menambahbaik pilihanraya, penyebar maklumat pilihanraya, merapatkan jurang antara bandar dan kampung, membolehkan maklumat menyebar ke setiap pelusuk.  Untuk tempahan kain kuning atau maklumat lanjut, sila hubungi En. Pow di talian 012-9419289 atau layari http://facebook.com/GGKKBersih.

Tuesday, May 22, 2012

Menuju ke Putrajaya hanya mimpi kosong?

Sudah tiga minggu perhimpunan BERSIH 3.0 berlalu, sebuah perhimpunan yang menuntut agar Pilihanraya Umum dijalankan dengan bersih dan telus.  Ketakutan pemerintah dengan kebangkitan hampir 300 ribu rakyat memenuhi jalan-jalan dan lorong di ibu kota daripada diketahui umum khususnya pengundi atas pagar segera ditangkis dengan mengalih isu kepada keganasan demonstran yang mencetuskan ketegangan awam.  Media dan segala jentera digunakan bagi menggambarkan betapa jahatnya perhimpunan ini yang kemudiannya dikaitkan pula semua ini adalah agenda rakus Pakatan Rakyat.

Tidak cukup itu, cubaan memperkakaskan Majlis Fatwa pula dilakukan dengan menjatuhkan hukum haram menyertai perhimpunan sebegini.  Heboh-heboh perdebatan di antara pemerintah yang menuduh Pakatan Rakyat cuba menggulingkan kerajaan dengan cara rusuhan dan Pakatan Rakyat pula membalas hujah tersebut berlarutan lamanya.  Paling celaka apabila Anwar Ibrahim dan Azmin Ali tiba-tiba menjadi panas namanya kerana kononnya merekalah penganjur segala bentuk keganasan pada hari itu.  Jawatankuasa penganjur seperti Ambiga pula terus diburukkan imejnya sehingga hari ini dan terus diganggu keselesaan hidup sehingga sampai ke halaman rumahnya.
Saya bukan hendak mengulas tentang kisah semua ini akan tetapi saya berasa gusar apabila semua heboh-heboh ini telah menyebabkan matlamat perjuangan lapan tuntutan BERSIH 3.0 ditunaikan telah tersasar.  Pakatan Rakyat telah membuang masa yang sangat berharga dek kerana sibuk melayan kerenah badut-badut upahan yang membuat cerita lucah, menonggeng dan menfitnah.  Sepatutnya perjuangan menuntut lapan perkara yang digariskan di dalam BERSIH 3.0 ini diteruskan dengan konsisten.  Ditambah pula lagi baru-baru ini tersebar berita yang Pilihanraya Umum akan diadakan pada bulan Jun.

Maka dengarnya parti-parti Pakatan Rakyat sudah mula bermesyuarat untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya tersebut.  Inilah persoalan yang bermain di minda rakyat.  Bagaimana dengan perjuangan BERSIH 3.0?  Mengapa tiba-tiba hendak menyertai PRU sedangkan kerajaan Barisan Nasional dilihat tidak berminat untuk menunaikan lapan tuntutan tersebut?  Apakah Pakatan Rakyat mahu ditipu lagi dan apakah rakyat mahu juga mengundi dalam keadaan sudah terjamin kalah akibat penipuan yang dirancang rapi seperti apa yang telah berlaku pada pilihanraya sebelum ini? 

Seriuskah sebenarnya Pakatan Rakyat hendak menakluki Putrajaya sedangkan perjuangan untuk memastikan pilihanraya adil dan telus pun hangat-hangat tahi ayam?  Itu belum lagi perjuangan yang lain seperti Mansuhkan ISA, perjuangan menentang PPSMI yang sepatutnya dimansuhkan tahun ini tetapi kerana protes yang lesu maka kerajaan masih boleh terus bernafas lega dan menyorokkan masalah ini di bawah karpet.

Yang dipukul teruk dalam perhimpunan BERSIH 3.0 adalah rakyat marhaen, yang ditangkap ISA sekarang juga marhaen yang tidak popular, apakah mereka ini terus dibiarkan?  Ada sesetengah pemerhati politik berpendapat perjuangan politikus hanyalah untuk menjadi Yang Berhormat sebenarnya dan bukanlah hendak memerintah sangat.  Asalkan kedudukan mereka selamat dan boleh cari makan.  Ini tanggapan yang tidak boleh diketepikan dengan begitu mudah kerana inilah yang disangkakan oleh rakyat pada hari ini.

Anak-anak muda dalam parti politik Pakatan Rakyat juga sepatutnya harus terus turun mendekati rakan sebaya mereka menerangkan risalah perjuangan, bukannya berpolitik dan melobi menjadi calon.  Agak mengecewakan juga apabila perjuangan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sebagai protes menentang PTPTN disambut dingin oleh anak-anak muda parti politik disebabkan tidak sebulu.  Kata anak-anak muda parti, mahasiswa ini berlagak dan mengkritik parti.  Seharusnya mereka mencari titik persamaan apatah lagi isu PTPTN ini isu anak muda.  Jika isu anak muda gagal disahut sendiri oleh anak-anak muda di dalam parti politik yang bercita-cita untuk memerintah, makanya apa sebenarnya obor perjuangan anak muda di dalam parti politik?

Itu belum lagi golongan pencinta bahasa, budayawan dan golongan sebagainya yang terawang-awang berjuang dan masih gagal melihat "musuh" sebenar dalam kemelut ini.  Mereka lantang apabila isu bahasa dipinggirkan malah sekumpulan seniman juga pernah membuat persembahan protes menentang rampasan tanah kampung tradisional untuk tujuan pembinaan projek tetapi itu kerana salah seorang daripada seniman tersebut adalah penduduk asal kampung tersebut.  Dalam isu lain mereka membisu pula walhal mereka seharusnya sedar segala mehnah yang timbul pada hari ini baik isu bahasa, pencerobohan tanah, rasuah mahu pun penyelewengan kuasa atau segala bapa kejahatan di atas bumi Malaysia pada hari ini datangnya dari satu musuh sahaja iaitu sebuah kerajaan yang zalim.

Perjuangan mestilah berstrategi dan strategi mestilah ampuh mengepung dari semua sudut agar musuh bersama jenteranya dapat dilumpuhkan.  Strategi juga mestilah bijak dan kreatif.  Kalau kita hayati salah satu tuntutan tersebut ialah mahukan akses media yang bebas dan adil tetapi apa yang kita lihat media tetap terus menfitnah peserta perhimpunan dengan memberikan imej ganas dan jahat.  Jika akhbar dan stesen televisyen kroni percuma itu memanglah tidak dapat dinafikan tapi mengapa membiarkan stesen televisyen berbayar turut juga terlibat menfitnah?

Saya percaya sekurang-kurangnya 10% daripada 300 ribu orang peserta demonstran adalah pelanggan sebuah stesen televisyen berbayar.  Hari ini mereka terus membayar stesen itu untuk terus menfitnah mereka sendiri.  Bayangkan 10% daripada peserta perhimpunan BERSIH 3.0 ini (mungkin lebih daripada itu) memboikot dan menghentikan langganan apakah stesen televisyen berbayar ini tidak rasa tergugat dan akan berfikir lebih daripada sekali untuk melaporkan fakta yang salah pada lain kalinya?  Mengapa ini pun tidak mampu dilakukan?  Apakah susah untuk melakukan ini?  Apa kata buat sahaja yang ini dahulu sebelum melangkah berteriak dengan kuat.  Tidak ketinggalan zaman kita rasanya jika tiada benda-benda seperti itu.  Jangan biarkan musuh ada di dalam rumah kita sendiri.

Semua rakyat Malaysia, seniman dan budayawan, ahli politik, anak muda tidak kira di dalam atau di luar parti jika mahu melihat kerajaan yang zalim ini tumbang haruslah duduk bersama mencari titik persamaan agar Malaysia baru dapat ditegakkan.  Percayalah jika kita bersatu meneriakkan slogan "tunaikan lapan tuntutan" dengan lantang dan konsisten tanpa henti-henti segala tonggeng punggung, jual burger depan rumah orang, mengheret ibu ahli politik masuk televisyen akan gugur dengan sendirinya dan mimpi menakluki Putrajaya akan jelas dan memang nyata akan menjadi realiti!

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.

Tuesday, May 15, 2012

Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

Pengenalan
 
Dalam dunia kewartawanan, berita sering digambarkan sebagai naskhah kasar pertama sejarah.  Media merupakan wahana komunikasi yang menyalurkan sesuatu berita, justeru media juga mentakrifkan catatan asal sesuatu peristiwa sejarah.  Namun, proses kewartawanan yang kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor khususnya kuasa politik sering mengubah catatan asal sehingga berita yang dipaparkan dalam media terpesong daripada kebenaran.
 
Media wujud dalam pelbagai wahana.  Di Malaysia, media cetak dan penyiaran sering dianggap sebagai media tradisional.  Apabila kawalan media yang ketat dikenakan terhadap media tradisional, liputan berita atau siaran sesuatu peristiwa penting lebih merupakan "konstruk kompleks" mengikut acuan rejim kawalan, maka gambaran tertentu dipaparkan, persepsi tertentu ditonjolkan.  Dimensi kebenaran yang tertentu menjadi pilihan, dimensi kebenaran yang lain tersisip dalam kekaburan, kalau bukan kepalsuan.
 
Kini dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), media baharu sedang mencorakkan persekitaran sosio-politik semasa dalam negara dengan begitu rancak.  Kawalan terhadap media tradisional masih berterusan, tetapi rejim kawalan yang bersifat monolitik sedang berhadapan dengan cabaran besar media baharu yang bersifat interaktif dan bergerak pantas berentap dengan media tradisional dalam proses representasi sesuatu peristiwa.
 
Semenjak kewujudan media baharu termasuk portal berita atas talian seperti Malaysiakini, MerdekaReview dan The Malaysian Insider serta media sosial seperti blog dan mikroblog, ketegangan antara rejim pemerintah dengan media baharu dan juga antara media tradisional dengan media baharu tidak pernah reda.  Semasa perhimpunan BERSIH 2007, apabila media tradisional melaporkan angka empat ribu, media baharu melaporkan angka puluhan ribu.  Seterusnya semasa perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0, warga siber mendapat manfaat dari segi perbandingan maklumat ekoran kewujudan media baharu lantas memikirkan tentang kesahihan berita berkaitan.
 
Lahirnya media baharu menjadikan perspektif bahawa "kebenaran menjadi pilihan" begitu menonjol sekali.  Maka perbandingan dapat dilakukan dan representasi media baharu khususnya portal berita atas talian dapat mencabar representasi media tradisional dengan kredibiliti yang setanding jika tidak lebih tinggi kredibilitinya.
 
Kredibiliti representasi sesuatu peristiwa tidak lagi dimonopoli oleh media tradisional, malahan kredibiliti media tradisional semakin terhakis. Contoh klasik ialah Utusan Malaysia yang mengalami kemerosotan sebanyak 31.12 peratus dari segi jumlah edarannya semenjak zaman Reformasi. (sila lihat Jadual 1 Bab 2 buku Membina Bangsa Malaysia penerbitan SIRD). Dalam hal ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berpendapat bahawa "kejatuhan edaran akhbar Utusan Malaysia disumbangkan atas beberapa faktor dan kebanyakannya disebabkan polisi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarang dan Pengarang-pengarang Kanan", antara lain termasuk "laporan berat sebelah" dan "tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia".
 
Empat tahun selepas BERSIH 2007, gerakan BERSIH 2.0 menyaksikan fenomena kemunculan Generasi Facebook ekoran populariti jaringan media sosial dalam kalangan warga siber serta suasana politik yang dinamik dan memberangsangkan pasca 8 Mac 2008.  20 tahun selepas Tim-Berners Lee mengumumkan ciptaannya yakni jaringan seantero dunia yang juga dikenali dengan nama singkatan WWW (World Wide Web), kesan media sosial terhadap politik kebangsaan terserlah apabila Generasi Facebook mengemparkan bumi Malaysia dengan tuntutan
pembaharuan sistem pilihan raya dalam negara.  Semasa kemuncak gerakan BERSIH 2.0, sebahagian besar halaman Facebook diselubungi kekuningan apabila ramai pengguna Facebook memasang lencana BERSIH 2.0 pada gambar profil masing-masing. Begitu juga semasa BERSIH 3.0.
 
Jaminan tiada penapisan Internet
 
Apabila diimbas kembali perkembangan dalam negara kita, mungkin lebih sesuai jikalau tahun 1996 dan bukannya tahun 2000 diambil kira sebagai permulaan abad ke-21 Malaysia.  Tanggal 1 Ogos 1996, Perdana Menteri (PM) ke-4, Dr.Mahathir Mohamad yang kini bergelar Tun Mahathir telah mengumumkan projek mega Koridor Raya Multimedia (MSC) semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia.
 
Ekoran itu, Mahathir mengumumkan suatu Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees) yang mengandungi sepuluh jaminan kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat berstatus MSC dan industri teknologi maklumat di Malaysia.  Antara jaminan penting yang menyediakan kerangka tatakelola dan mewujudkan persekitaran untuk perkembangan industri teknologi maklumat dan media ialah:
• Rang Jaminan ke-6: Menjadi pendahulu serantau dalam perlindungan hakmilik
intelektual dan undang-undang siber.
• Rang Jaminan ke-7: Tiada penapisan Internet.
• Rang Jaminan ke-8: Menyediakan tarif komunikasi yang kompetitif pada peringkat global.
 
Apa yang menarik ialah, atas andaian bahawa pembangunan MSC dapat mentransformasi masyarakat dan "melonjatkan" (leapfrog) pembangunan negara untuk mencapai tahap pembangunan sepenuhnya, sejajar dengan tesis masyarakat maklumat dan Wawasan 2020, paradigma pembangunan yang acap kali melegitimasikan tindakan rejim kawalan kini menjanjikan keterbukaan dari segi penapisan Internet.
 
Seterusnya, jaminan tiada penapisan Internet diketengahkan oleh masyarakat madani sebagai syarat penting pewujudan persekitaran kondusif untuk pengoperasian portal berita atas talian tanpa sekatan politik dalam dunia siber.  Perlu ditekankan di sini bahawa jaminan tiada penapisan Internet hanya diutarakan oleh Mahathir semasa beliau berucap di hadapan para pelabur Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997, lima bulan selepas pengumuman MSC.  Seterusnya, Fasal 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengisytiharkan bahawa "tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet."
 
Jaminan tersebut dapat dilihat sebagai satu-satunya legasi penting Mahathir yang menyumbang secara tidak langsung dan "secara tidak diingini" (unintended) kepada ruang demokrasi dunia siber selepas tercetusnya gerakan massa bergelar Reformasi dua tahun selepas pelancaran MSC.
 
Setahun selepas pelancaran MSC, Malaysia mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 yang bermula dari negara Thailand dan juga melanda negara-negara serantau termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Hong Kong.  Industri ICT berorientasikan MSC yang diagung-agungkan kelihatan lebih signifikan dari segi pembinaan projek mega seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, Putrajaya dan Cyberjaya yang kerja pembinaannya bermula sekitar pertengahan tahun 1990-an.
 
Dalam sebuah kajian ilmiah berkenaan pembangunan MSC, Tim Bunnell menyifatkan projek MSC sebagai suatu usaha penswastaan untuk mengecualikan rakyat terbanyak, sejajar dengan wacana dominan Mahathirisme yang cenderung mengaitkan slogan "Malaysia Boleh" dengan kehebatan pembangunan berorientasikan projek mega.
 
Faktor dorongan perkembangan ICT
 
Sementara pembangunan MSC kelihatan lemah tatkala krisis kewangan 1997/98, gelombang menuntut perubahan bergelar Reformasi memukul kuat politik tanah air lantas mendorong rakyat marhaen menerokai kemungkinan penyebaran maklumat tanpa sekatan menggunakan teknologi Internet.  Justeru, gerakan Reformasi banyak mendorong perkembangan ICT apabila potensi ruang siber dikenalpasti sebagai manifestasi baharu politik partisipasi supaya mobilisasi rakyat terbanyak dapat dicapai sepanjang zaman Reformasi.
 
Pelancaran laman sesawang zaman Reformasi yang pertama - Anwar Online - pada 1 September 1998, disusuli dengan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim keesokan hari, serta perisytiharaan Deklarasi Permatang Pauh olehnya di kampung halaman beliau, Cherok Tok Kun, Permatang Pauh pada 12 September 1998, bukan sahaja menandakan permulaan gelombang gerakan Reformasi 1998, tetapi juga menandakan permulaan masyarakat siber ketika Malaysia melangkah masuk ke abad ke-21 dan mengejar impian masyarakat berpengetahuan.
 
Selepas itu, fenomena media baharu mulai menyerlah selari dengan arus perkembangan industri teknologi maklumat peringkat global dan gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kelahiran sebuah parti baharu bersifat massa - Parti Keadilan Nasional - yang berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak melalui gabungan parti oposisi Barisan Alternatif yang memberikan cabaran kuat kepada Barisan Nasional (BN).  Komponen parti oposisi tatkala itu termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
 
Gelombang pertama fenomena media baharu berkisar sekitar kemunculan laman sesawang pro-Reformasi atau pro-Anwar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bersama-sama dengan penerbitan cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), penerbitan berkala dan tidak berkala lidah rasmi parti oposisi dan masyarakat madani, serta pelancaran Malaysiakini selari dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU Ke-10) pada 20 November 1999.
 
Jika sekiranya gerakan Reformasi 1998 dan PRU Ke-10 pada tahun 1999 dianggap sebagai petanda gelombang pertama fenomena media baharu, gerakan massa sekitar tahun 2007 khususnya gerakan BERSIH dan PRU Ke-12 pada tahun 2008 dapat dilihat sebagai permulaan gelombang kedua fenomena media baharu berikutan populariti media sosial seperti blog, Facebook dan YouTube. (Bahagian pertama, bersambung)
 
Bahagian kedua: Media Baru sebagai ruang awam
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng
pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD
berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk "Media, Teknologi
Maklumat dan Cabaran Semasa".
 
**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.