Showing posts with label NARUTO. Show all posts
Showing posts with label NARUTO. Show all posts

Saturday, June 9, 2012

Kekeliruan tentang status fatwa dalam Sistem Kehakiman Malaysia


 Dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan, status agama islam sebagai agama Persekutuan diletakkan di dalam Fasal 3. Undang-undang utama Malaysia, iaitu Perlembagaan Persekutuan ini diletakkan di Fasal 4. Walaupun tidak dinyatakan di mana-mana bahagian di dalam dokumen Perlembagaan ini bahawa Fasal 3 lebih utama daripada Fasal 4, tetapi perkembangan takrifan terhadap dokumen ini oleh pihak mahkamah telah membuktikan bahawa pemikiran tahun-tahun 1980an dan sebelumnya telah berubah selepas wujudnya pindaan kepada Fasal 121(1A) yang berkuatkuasa pada 10 Jun tahun 1988.

Perubahan ini disebabkan peruntukan Fasal 121(1A) telah memisahkan kuasa Mahkamah Sivil dengan kuasa Mahkamah Syariah. Selain itu, peruntukan ini juga adalah sebagai satu pengikhtirafan kepada status agama Islam kerana sebelum adanya peruntukan ini, Islam sebagai agama persekutuan hanyalah sebagai ‘rituals and ceremonies’ sahaja. Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn PP [1988], Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara pada masa itu dalam memberi penghakimannya berkata walaupun penghakimannya bertentangan dengan perasaan peribadinya, tetapi itulah kenyataannya. Malaysia adalah negara sekular dan Agama Islam tidak lebih daripada urusan peribadi rakyatnya walaupun peruntukan ini membolehkan wang negara dibelanjakan untuk tujuan tersebut.


Selaras dengan pindaan ini, kerajaan-kerajaan negeri telah memperkasakan enakmen-enekmen berkaitan pentadbiran agama Islam dan sekarang ini memperlihatkan status Mahkamah Syariah adalah setaraf dengan Mahkamah Sivil seperti yang diperakui oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Kamariah Ali [2011] dan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy [2007] .

Cumanya, apabila Presiden Bar Council Malaysia, Lim Chee Wee membuat kenyataan 2 hari lepas yang mempertikaikan bahawa pindaan kepada Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, adakah kenyataan beliau ini menghasut seperti mana yang didakwa oleh peguam Mohamad Khairul Azam atau sememangnya pandangan beliau adalah betul?

Dalam enakmen ini, tugas Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah adalah bagi mengeluarkan suatu fatwa terhadap “atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau atas apa-apa isu yang berhubung dengan Hukum Syarak.” Dalam bahasa mudah, tugas Jawatankuasa Fatwa adalah untuk membuat undang-undang berkaitan syarak jika undang-undang tersebut masih belum ada lagi.

Tugas Jawatankuasa Fatwa ini boleh diumpamakan sama dengan Menteri atau mana-mana pihak berkuasa yang dibenarkan untuk membuat undang-undang kecil. Cumanya, apabila pindaan ini menyatakan bahawa fatwa yang dikeluarkan ini tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah, persoalannya adakah ianya selaras dengan konsep pengasingan kuasa?

Dalam sistem perundangan Malaysia, mana-mana mahkamah sivil tidak boleh membicarakan kes-kes berkaitan agama Islam (peruntukan Fasal 121(1A)). Mahkamah Syariah pula tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang dibawa di hadapannya kalau bidangkuasa tersebut tidak diperuntukan di bawah mana-mana enakmen negeri (kes Shaik Zolkaffily Shaik Natar lwn MAIPP [1997]).

Selaras dengan konsep pengasingan kuasa iaitu mahkamah bukanlah forum untuk membuat undang-undang seperti mana yang dinyatakan oleh Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar bin Che Soh, maka jika undang-undang syarak berkaitan sesuatu perkara itu masih belum ada lagi, maka Jawatankuasa Fatwa adalah forum yang terbaik untuk tujuan tersebut.

Namun jika ada pihak-pihak yang tidak berpuasa hati dengan fatwa yang telah dikeluarkan, adakah mahkamah ialah forum yang sesuai untuk menyangkal fatwa tersebut?

Jika kita berpandukan kepada konsep perundangan sivil, jawapannya memanglah YA. Tetapi kita kena faham bahawa konsep perundangan sivil kita, atau lebih dikenali dengan nama common law adalah bersifat evolving dan mahkamah adalah tempat terbaik dalam memberi takrifan terhadap sesuatu undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

Sistem ini adalah berbeza dengan sistem perundangan Islam/Syariah dimana pakar rujuk berkaitan syariah adalah Mufti ataupun para ulama di dalam Jawatankuasa Fatwa. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh YAB Ust Azizan, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan fatwa yang telah dikeluarkan, beliau bolehlah merujuk semula perkara itu kepada Jawatankuasa Fatwa. Adalah tidak logik jika seorang hakim di mahkamah boleh disifatkan lagi arif daripada para alim-ulama yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa.

Perkara ini juga bukanlah sesuatu yang pelik dalam sistem perundangan di Malaysia. Sebagai contoh, dalam isu adat di Negeri Sembilan ataupun isu hukuman Mahkamah Tentera, mahkamah sivil tidak akan masuk campur di dalam mengesahkan atau menolak sebarang keputusan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Ini kerana mahkamah tidak berkuasa untuk berbuat demikian. Kuasa mahkamah sivil hanyalah terhad kepada menentukan sama ada peruntukan yang ada berkaitan dengan perkara tersebut telah dipatuhi sepenuhnya ataupun tidak semasa keputusan tersebut dibuat.

Oleh itu, saya tidak rasa pindaan ini sesuatu yang melanggar prinsip Perlembagaan Malaysia. Kalau melanggar prinsip yang dinyatakan di atas sekalipun, perlu difahami bahawa Fasal 3(2) kepada Perlembagaan Persekutuan membenarkan ianya dilaksanakan oleh Sultan kerana kuasa baginda di dalam hal-ehwal Islam di negeri baginda adalah mutlak. Jika Kebawah Duli Sultan Kedah telah perkenankan pindaan ini, apa yang tidak perpelembagaan lagi?

Untuk Roslinda, saya ingin menyanggah kenyataan saudari! Saya berpendapat, Perlembagaan Malaysia adalah untuk menjamin kelangsungan agama Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Majlis Raja-Raja semasa proses rundingan perlembagaan ini berlangsung dahulu. Oleh itu, bagi kita orang Islam, hukum Allah tetap yang paling tinggi!

Sekarang ini, mana-mana kerajaan negeri berhak sepenuhnya untuk mengutkuasakan undang-undang Islam di negeri mereka. Walaupun Hukum Hudud! Ini kerana pada pendapat saya, peruntukan yang mengatakan mahkamah syariah “tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan” adalah sesuatu yang becanggah dengan Fasal 3(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu “kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya ... segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat;”

Bagi negeri Kelantan, amaran Tun Mahathir sudah tidak releven lagi kerana pengisytiharan Darurat telahpun ditamatkan oleh Kerajaan Malaysia pada hujung tahun lepas.

Bagi saya, kenyataan Presiden Bar Council Malaysia adalah satu kekhilafan mengenai pemahaman legal pluralism di Malaysia. Seharusnya beliau menyahut seruan peguam Mohamad Khairul Azam dan meminta maaf kepada kerajaan Negeri Kedah dan Yang DiPetuan Agong! Lagipun, beliau menyentuh bidang yang bukan beliau sebagai seorang ahli. Tidak salah untuk beliau meminta maaf dan ianya tidak menjatuhkan maruah beliau jika beliau telah mempelajari sesuatu mengenai isu ini.

Wallahualam. 

Naruto

Friday, June 8, 2012

Hamid Albar punca orang kampung mengangur..!!!

Sekali cuti sekolah, sekali nampak kampung berubah….


Kali ni saya balik kampung ke Kedah dengan anak-anak sempena cuti sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Naik keretapi Ekspress Langkawi. Walaupun saya biasa berulang-alik dari KL ke kampung dengan keretapi, tetapi biasanya saya hanya bersendirian. Kalau balik ke kampung dengan keluarga, kami akan menaiki kereta sendiri. Pengalaman pertama kali ini banyak mengajar saya tentang realiti kehidupan di kampung yang saya terlepas pandang sebelum ini.

Sebelum sampai ke stesen yang dituju, pegawai KTM bertugas datang beritahu yang tempat kami akan turun akan sampai dalam masa 20 minit. Katanya lagi, “platfom stesen tu pendek sikit. Cik kena jaga-jaga bawa anak-anak turut sat lagi. La ni pun gelap lagi. Baru pukul 6 pagi.”

“La.. macam mana tu? Saya bawa anak kecil ni. Kalau dah cerah tak pa la”, jawab saya. “Kalau turun di Alor Setaq, dah cerah la”, jawabnya. Sayapun terus meminta untuk turun di Alor Setar kerana memikirkan keselamatan anak-anak saya. Walaupun saya meminta untuk membeli tiket tambahan, tapi pegawai tersebut berkata tidak perlu kalau tiada penumpang yang naik dan duduk di kerusi kami di stesen yang sepatutnya kami turun.

Tiba masanya, keretapipun sampai ke stesen yang sepatutnya saya turun. Isteri saya bertanya berbagai soalan kenapa kami tidak turun. Soalan tersebut lenyap dengan deruan injin keretapi yang hendak berhenti. Saya melihat ke luar, stesen tersebut adalah stesen sementara yang terbaru. Stesen sementara kedua setelah stesen asal dan stesen sementara sebelumnya lenyap ditelan pembangunan. Tapi saya agak pelik kerana walaupun penumpang agak banyak turun disitu, saya dapati hanya sebiji sahaja teksi yang menunggu. Mungkin ada banyak kereta sapu, saya mengagak.

Di kampung saya bertanyakan hal tersebut kepada kakak saya. “Bas masuk pekan ni pun dah tak dak. Hang nak pelik apa,” katanya. “Dulu boleh jugak budak-budak sini berulang-alik pi bekerja di sana atau Sungai Petani. Bas dah tak dak, tak payah la. Sebab tu anak dara aku dok di rumah saja.”

Perkhidmatan bas di kawasan luar bandar memang nadi kepada kehidupan masyarakat di kampung. Semasa perkhidmatan bas mini Kuala Lumpur hendak ditamatkan oleh Konsortium Intrakota, ada beberapa suara mengingatkan kerajaan bahawa perkhidmatan bas bukanlah boleh memberi keuntungan kepada perniagaan. Tetapi perkhidmatan bas masih perlu diadakan kerana ianya adalah khidmat sosial kerajaan kepada masyarakat. Kalau ada orang berfikir mereka akan beroleh keuntungan dengan membolot perniagaan bas, mereka silap!

Sekarang itulah kenyataannya. Di Kuala Lumpur, saya memang tidak percayakan perkhidmatan bas awam jika masa saya suntuk untuk ke satu-satu acara. Tetapi sekurang-kurangnya perkhidmatan tersebut masih ada. Di kampung, ianya langsung pupus!

Satu per satu konsortium bas yang dulunya megah berjanji yang mereka akan meningkatkan perkhidmatan bas yang lembab pada masa itu, sekarang terpaksa menghadapi tindakan protes atau mogok oleh pekerja mereka disebabakan lambat atau tidak membayar gaji.

Soalan saya, apa yang kerajaan buat? Setakat adakan suruhanjaya baru dan bagi jawatan itu dan ini kepada bekas menteri yang kalah dalam pilihanraya dan sebagainya, anak saudara saya di kampung tetap terpaksa menjadi penganggur kerana perkhidmatan bas dari kampungnya ke bandar Sungai Petani dah ditamatkan.

Pernah satu ketika saya menghadiri satu perjumpaan di Putrajaya; seorang cendiakawan bercerita dengan bersemangat tentang cadangannya kepada kerajaan mengenai isu ini. Saya bertanya akan asalnya semasa bersapa khabar. Jawapannya, Kampung Baru Kuala Lumpur! Saya hanya mampu diam selepas itu.....

Sebelum ini, ada kawan saya dari Langkawi memberi tahu Pengerusi SPAD pernah turun ke pulau tersebut dan memberi amaran kepada kereta-kereta sapu yang beroperasi di pulau itu. Semasa itu, saya berfikiran beliau menjalankan tugasnya dengan baik. Tetapi sekarang ini saya berfikir semula, kenapa keadaan tersebut berlaku. Hukum ekonomi; bila ada permintaan, sudah tentu akan ada tawaran! Jika SPAD tidak pandai membuat tawaran, peluang tersebut sudah tentu akan disalurkan kepada kereta-kereta sapu.

Nampak gayanya dengan trend kerajaan sekarang yang berada di Putrajaya bekerja, mungkin anak saudara akan terus menganggur sehingga beliau menjawat jawatan suri rumah sepenuh masa kemudiannya.

(Terima kasih kepada tuan-tuan punya gambar yang saya jumpa dalam net dan gunakan di sini....)

Naruto

Tuesday, June 5, 2012

Kesetiaan kepada Raja dan Negara... Apa Hebatnya..??

oleh Naruto


Masa saya bersekolah rendah dahulu, tiap-tiap minggu bila ada perhimpunan di sekolah, kami kena baca ikrar Rukun Negara. Rasanya ramai lagi set-set sekolah rendah tahun-tahun 1970an dan 1980an yang merasa pengalaman ini.

Bab kena taat kepada negara ni siapapun akan marah kalau dia dituduh tidak berbuat demikian. Terutamanya yang lahir di Malaysia ini samada dia warganegara ataupun belum lagi. Kata orang dulu-dulu, “tempat jatuh lagikan dikenang ....”

Bila dah masuk sekolah menengah, saya diajar bahawa negara kita mengamalkan prinsip ‘demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.’ Sistem kerajaan kita ada 3 peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tu semua orang tahu. Tapi masa saya kecil dulu-dulu, Kerajaan Tempatan yang saya tahu hanyalah signboard ataupun tulisan di lori-lori milik Majlis Daerah Kerajaan Tempatan (MDKT) Kuala Muda.

Bila dah berakai sikit, baru tahu sebabnya arwan Tok Wan saya dipanggil Tok Usop Sentrabot. Rupa-rupanya beliau dulu adalah ahli majlis (town board) bagi Kedah Tengah iaitu Sungai Petani. Memanglah dulu arwah orang kuat UMNO. Jadi tak hairanlah kalau dia duduk dalam town board.

Apa yang saya cuba nak sampaikan ialah sistem kerajaan kita, walaupun pada peringkat kerajaan tempatan, ianya memang dah established sejak dari dulu lagi. Bila sistem pengundian bagi menduduki ahli majlis kerajaan tempatan dimansuhkan, maka orang-orang tertentu akan dipilih oleh pemerintah negeri sebagai ahli majlis. Istilah ‘pembangkang’ kemudiannya menjadi seperti satu perkataan yang lebih kurang sama ertinya dengan menderhaka ataupun berdosa kerana tidak mengikuti arus perdana.

Bila PR menjadi signifikan semenjak PRU 2008, istilah pembangkang tetap terus digunakan walaupun pada hakikatnya Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor diperintah oleh kerajaan yang diterajui oleh PR. Termasuklah negeri Perak walaupun sekejap! Agak lama untuk UMNO dan BN menerima hakikat bahawa mereka adalah pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. 

Pada peringkat pusat, sistem kerajaan Malaysia dibahagikan kepada 3 cabang iaitu Eksekutif, Legislatif dan Perundangan. Bagi ahli-ahli parlimen daripada PR, mereka juga adalah sebahagian daripada anggota-anggota kerajaan daripada cabang Legislatif. 

Persoalannya, siapa yang pembangkang? Bila KPN kata Polis kena taat kepada kerajaan, kerajaan tu siapa? Hanya orang UMNO dan BN sajakah yang layak dikategorikan sebagai kerajaan? Adakah orang-orang PR tu pembangkang? Bila himpunan BERSIH 3.0 dahulu, bukankah salah satu daripada tanggungjawab Polis adalah untuk melindungi Ketua Pembangkang di Parlimen iaitu DSAI kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota kerajaan dan pegawai serta anggota Polis pula adalah kakitangan kerajaan?

Tapi nampaknya, perkara ini tidak berlaku kerana Polis kelihatan begitu taat kepada kehendak dan pengaruh UMNO dan BN. Tak mengapalah sebab Menteri Dalam Negeri adalah dari UMNOBN. Tapi tak kanlah kehendak semua Menteri UMNOBN yang lain pun kena ikut. Bukankah KPN pernah berkata Polis ada prosidur tetap (SOP) dalam melaksanakan apa-apa saja tugasan mereka.

Kesimpulannya, kenyataan KPN ini masih lagi dipandang sebagai retorik oleh orang-orang ‘pembangkang’. Sehinggalah mereka berupaya melakukan seperti mana sebahagian daripada mereka yang ada dalam senarai ‘tidak dikehendaki’ oleh Bukit Aman, maka pasukan Polis tetap dipandang tidak professional. Jangan sampai sejarah KCS di Kedah, sejarah JPA di Selangor dan Perak berulang apabila PR berjaya menawan Putrajaya.

Cuma kadangkala kesian lihat Tok OCS di kampung-kampung bila ada ceramah oleh PR. Nak dapatkan bantuan Unit Amal untuk jaga keselamatan takut SB report kat Bukit Aman. Nak panggil RELA, harapan amatlah tipis untuk diluluskan sebab bukan aktiviti ‘kerajaan’. Nak menjaga manusia-manusia yang turun mai tu, anggota ada dua tiga kerat saja. Nak mengadu kat ataspun, Tuan OCPD kata akupun sama macam hang. Lagu mana???

Monday, June 4, 2012

Takbir Cara PAS Bercanggah dengan Sunnah? Ya kah???



Merujuk kepada artikel di atas, saya ingin merungkaikan pemahaman hadis yang digunakan dalamnya ini:

“Dari Abi Musa radhiallahu ‘anhu ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli (pekak) dan tidak juga yang jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” (Riwayat al-Bukhori, 3/1091, hadis no: 2830. Dan Muslim, 4/2076, hadis no: 2704)

Apabila kita belajar tentang hadis, kita bukan hanya melihat kepada hadis tersebut sahaja tetapi kita juga perlu mengetahui keadaan dan persekitaran dimana hadis itu tersebut berlaku serta waktu ianya berlaku. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya salah-anggapan atau hadis tersebut digunakan bagi maksud yang lain daripada tujuan asalnya.


Seperti mana biasa, bagi setiap sesuatu hukum itu, terdapat pengecualian keatasnya bagi menjadikan hukum tersebut merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Seperti hadis di atas, Abu Musa menyatakan bahawa hadis ini disabdakan oleh Rasulullah S.A.W ketika mereka dalam suatu perjalanan. Perjalanan di mana? Apa yang ada di kiri dan kanan perjalanan itu? Waktu bilakah perjalanan tersebut berlaku? Ini kenalah kita kaji seperti mana al-Bukhori mengkajinya sebelum ini. Oleh itu barulah kita mengetahui kenapa Rasulullah bersabda supaya direndahkan suara takbir mereka. Seperti mana yang kita ketahui, jika kita berzikir di dalam masjid sekalipun, suara kita tidak boleh mengganggu orang lain yang hendak bersolat ataupun membuat amalan yang lainnya.

Kesimpulannya, kalau takbir itu tidak mengganggu orang lain, ianya tidak menjadi satu kesalahan. Lagipun, lebih baiklah bertakbir walaupun adabnya salah daripada tidak bertakbir langsung. Lagi teruk, sudahlah tidak mengingati Allah, tetapi melakukan maksiat pula. Na’uzubillah. 

Imam an-Nawawi menjelaskan hadis di atas seperti mana yang dipetik oleh artikel ini:

“Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang ia ajak berbicara berada di tempat yang jauh, agar ia mendengar ucapannya. Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli (tidak pekak) dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat… Sehingga dalam hadis ini ada anjuran untuk merendahkan suara zikir, selama tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan akan penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.” (Syarah Shahih Muslim, oleh Imam an-Nawawi 17/26)

Imam an-Nawawi sendiri setuju bahawa terdapat keperluan untuk meninggikan suara semasa bertakbir. Sebagai contoh, jika orang yang bercakap dengan kita menggunakan mikrofon dan pembesar suara, maka apabila kita menyahut apa-apa suruhannya maka perlulah kita meninggikan suara. Jika tidak, masakan orang yang bermikrofon itu akan mendengar suara kita. Itu hanya contoh di zaman moden yang dibolehkan berdasar pemahaman kepada penjelasan Imam an-Nawawi. Namun, beliau mengungkapkan, “Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.”. Maka ungkapan ini membolehkan, dalam keadaan-keadaan tertentu, suara takbir dikeraskan.

Petikan seterusnya yang digunakan dalam artikel ini bukanlah hadis. Petikan tersebut:

“Diriwayatkan dari Qais bin ‘Abbad ia berkata: Dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai untuk mengeraskan suara pada tiga keadaan, iaitu: di saat berperang, menghadiri janazah, dan pada saat berzikir.“ (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 6/143, no: 30174, Al Baihaqi 4/74, dan Al Khathib Al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh baghdad 8/91)

Saya setuju dengan petikan ini. Tetapi ianya bukanlah satu petikan yang baik untuk menguatkan hujah penulis artikel. Malah saya mampu menjelaskan kenapa petikan ini wujud:

Tidak digalakkan meninggi suara semasa berperang adalah suatu taktik perperangan. Sehingga sekarangpun taktik ini digunakan walaupun di dalam peperangan moden. Kalau kita biasa menonton cerita perang, sudah tentu kita biasa mendengan ungkapan ini, “Comm Silence!”. Ini bermaksud kena diam, ataupun ‘communication silence’ terutamanya apabila sesebuah pasukan tentera bergerak untuk menyerang kedudukan musuh atau mengambil kedudukan berlindung untuk menyerang hendap atau menyembunyikan diri daripada dikesan musuh.

Semasa kita melawat jenazah, kita tidak digalakkan meninggikan suara sebagai menghormati jenazah. Selayaknya pada masa ini kita sepatutnya lebih banyak menyebut ayat-ayat Allah. Berzikir pula telahpun saya sentuh di atas!

Jika ini sahaja yang digunakan oleh penulis artikel ini untuk mengatakan takbir orang-orang PAS itu salah, layaknya hujah ini gagal ditengah jalan. Tidak sampai langsung maksud yang hendak disampai dengan penerangan yang digunakan!

Untuk itu, maka saya pula ingin mempersoalkan bagaimana pula dengan marhaban, berzanji, nasyid serta syair-syair pujian kepada Allah dan RasulNya?? Dalam keadaan mana ia dibolehkan dan dalam keadaan mana ianya tidak dibolehkan?.

Maka seeloknya kita kenalah faham maksud perkataan ZALIM. Zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak keterlaluan saya anggap penulis artikel ini zalim. Saya tidak mahu berfikiran negatif dengan beranggapan penulisnya tidak mengetahui. Jika dia tidak mengetahui, masakan dia boleh mengulas lanjut. Ini bermaksud dia tahu tetapi, tidak mahu meletakkan pada asas yang betul.

Nasihat saya, menulislah dengan tanggungjawab, Wallahualam. 

NARUTO

Saturday, May 5, 2012

Menyangkal Pendapat Dhaif Mufti BERKENAAN ISU BERSIH..

By Naruto

Saya terpanggil untuk memberi ulasan saya terhadap kenyataan yang dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hj Wan Zahidi bin Wan Teh pada 5 Julai 2011 iaitu MENYERTAI PERARAKAN MENENTANG PEMERINTAH ADALAH DOSA BESAR YANG BOLEH MENJEJASKAN IMAN yang di’spin'kan semula bagi memberi justifikasi kepada pemerintah untuk menghalalkan perbuatan mereka semasa Bersih 3.0 yang lepas.

Saya hanya akan menghadkan skop saya kepada kenyataan Mufti ini sahaja tanpa menyentuh ulasan-ulasan lain berkaitan kejadian pada 28 April yang lepas

Tuan Mufti ini memulakan argument’nya dengan menggunakan authority Surah An-Nisa ayat 59.  Saya perturunkan terjemahan lengkap Ayat 59 ini iaitu:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.  Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Bagi pelajar undang-undang, samada sivil ataupun syariah, mereka akan diajar iaitu untuk sesuatu peruntukan itu beroperasi, ianya perlu berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan.  Ianya dinamakan undang-undang teras dan undang-undang prosidur.

Bagi Ayat 59 ini, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar taat kepadaNya, RasulNya dan Ulil-Amri.  Ini adalah teras kepada Ayat 59 ini.  Namun ayat susulan memberikan pengecualian untuk berbeza pendapat dengan syarat ianya mestilah berpandukan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. 

Persoalannya, adakah Ayat ini membenarkan kita untuk berbeza pendapat dengan Allah atau RasulNya.  Tetapi jika kita meneliti syarat yang dinyatakan dalam Ayat ini, maka sedah tentulah kebenaran untuk berbeza pendapat ini hanyalah dengan Ulil-Amri sahaja.

Berbalik kepada kenyataan Tuan Mufti kita, katanya:

“Memandangkan golongan pemerintah atau “ ulilamri “ begitu penting bagi menjaga kesucian agama dan keutuhan masyarakat Islam, nas-nas syarak meletakkan ketaatan kepada mereka selepas Allah dan Rasulnya seperti yang terdapat dalam surah Annisa’ ayat 59. Oleh kerana hubungan antara pemerintah dan rakyat begitu penting, para ulama membahaskannya dalam kitab-kitab akidah.

2.         Berasaskan dalil-dalil yang jelas daripada Quran dan Sunnah, para ulama Ahli Sunnah telah ijmak mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu ke atas setiap muslim. Al-Mawardi ketika mengulas ayat 59 Surah Annisa’ mengatakan:

“Maka Allah (melalui ayat ini) memfardhukan ke atas kita ta’at kepada para pemerintah daripada kalangan kita “

Ibnu Hajar dalam “Fathul Baari” menyatakan :

“Para ulama telah ijmak menyatakan wajib taat kepada pemerintah yang berkuasa dan berjihad bersamanya”

3.         Sehubungan dengan itu, menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar yang diletakkan sebaris dengan dosa syirik, membunuh, makan harta anak yatim, makan riba, menderhaka kepada dua ibu bapa, seperti yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Azzuwajir berasaskan hadis-hadis sahih riwayat Bukhari, Muslim Ibnu Abi Hatim dan lainnya.

Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan :

“ Adapun menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram dengan ijmak ulama “

4.         Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.”

Maaf sebab saya cut & paste panjang lebar kenyataan ini.  Ini kerana saya nak tunjukkan bahawa kenyataan Tuan Mufti ini menyembunyikan pengecualian yang diberikan oleh Allah Taala “jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu” perkara yang tertentu.  Perkara ini dibolehkan dengan syarat mestilah berpegang kepada kitab Allah dan Sunnah RasulNya.  Persoalan pada dua kejadian Bersih yang lepas, adakah syarat untuk “berbantah-bantah” ini diikuti?  Tak kiralah samada Kumpulan Bersih ataupun Pemerintah sendiri??

Apabila Tuan Mufti mengatakan “[t]ermasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara”, adakah beliau tidak membaca apa yang Bersih tuntut?

Saya tak nak kata asas kepada apa yang Bersih tuntut itu benar ataupun tidak.  Tapi apa yang nak saya nyatakan di sini kenapa begitu rendah tahap intelektual Tuan Mufti sehingga sanggup menyembunyikan sesuatu untuk menegakkan pemerintah.  Paling malang, beliau ‘bermain’ dengan ayat suci Al-Quran demi untuk menjustifikasikan hajat pemerintah.

Namun adakah apabila Tuan Mufti ini menyatakan "tanpa mengikut saluran yang sah", beliau bermaksud mengikut apa yang Allah kehendaki seperti dalam Ayat 59 ini.  Tetapi kita semua tahu bahawa Pemerintah tidak menggunakan kaedah syariah di dalam mentadbir negara ini walaupun negara ini 'beragama' Islam.  Jadi, adalah tidak salah jika saya katakan bahawa apabila Tuan Mufti menyatakan "tanpa mengikut saluran yang sah",dia sebenarnya bermaksud undang-undang negara dan bukannya apa yang termaktub dalam Ayat 59 Surah An-Nisa.

Dan apabila beliau berkata seperti mana yang dipetik di bawah, maka ternyatalah beliau memang ingin menghalalkan kehendak Pemerintah untuk ‘mengharamkan’ Bersih dengan cara mengambil separuh dan menyembunyikan separuh apa yang dinyatakan Allah di dalam Al Quran.  Saya tidak mahu mempengaruhi sesiapa, bacalah sendiri kenyataan beliau ini dan fikirkanlah:

“8.        Maka bertolak daripada kewajipan menasihati dan mengingatkan sesame muslimin, saya menyeru agar setiap umat Islam tidak melibatkan diri dengan apa juga bentuk sekalipun dalam sebarang tunjuk perasaan anti Kerajaan. Kerana perbuatan demikian adalah merupakan sebahagian daripada tindakan durhaka dan membatalkan kesetiaan dan ketaatan kepada pemerintah yang telah ijmak ulama mengharamkannya. Kesannya seperti yang dinyatakan nas-nas di atas boleh menjejas iman, memutuskan jalan ke syurga dan menyebabkan seseorang mati dalam keadaan jahiliah. Sayugia diperingatkan juga bahawa mereka yang terlibat dalam penganjurannya, bukan sahaja akan menanggung dosa perbuatan itu, tetapi juga dosa setiap orang yang mengikutnya, tanpa mengurangkan dosa para pengikut tersebut.”

Selain itu, di perenggan 8 juga beliau mengatakan sesuatu yang pada saya amat lemah dan boleh terkena batang hidung sendiri.  Contohnya, bagaimana jika anggapan SPR memang tidak jujur dalam mengadakan pilihanraya itu betul.  Tidakkah Tuan Mufti ini sekali turut berdosa kerana mempertahankan mereka.  Entahlah, Fikir-fikirkanlah.  Rumusan lemah beliau di perenggan 8 adalah seperti di bawah:

Ini diterangkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “ ...Dan sesiapa yang menganjurkan perbuatan jahat dalam Islam, maka ia akan menanggung dosa perbuatan tersebut dan dosa setiap orang yang mengikuti perbuatan tersebut selepasnya, tanpa mengurangkan sedikitpun dosa para pengikut tersebut”. Mereka juga akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah terhadap setiap kesan yang terbit daripada perbuatan tersebut, seperti pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, serta kesengsaraan dan kesusahan yang ditanggung oleh orang ramai.

Nasihat saya yang jahil ni kepada Tuan Mufti, kerana sebagai saudara seagama, bertaubatlah Tuan!

Kenyataan Tuan Mufti ni masih lagi boleh dicapai di laman web

Wallahualam.

Tuesday, December 13, 2011

Permohonan Maaf kepada Peguam Negara

Pada 13 Nov lalu saya ada post'kan artikel di blog ini mempertikaikan kenapa Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Perlembagaan Negara perlu diubah bagi membolehkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya di Malaysia. Di sini, saya ingin menyatakan bahawa saya meminta maaf terutamanya kepada Peguam Negara kerana membuat posting tersebut setelah mendapat tahu hal sebenar.

Petang tadi saya berkesempatan mendengar penerangan daripada mulut beliau sendiri dalam isu ini. Saya akui memang saya tidak membaca apakah kenyataan yang diberikan oleh beliau kepada Jawatankuasa Parlimen mengenai Penambaikan Pilihanraya di Malaysia semasa saya membuat posting tersebut. Saya hanya kutip daripada beberapa kenyataan-kenyataan akhbar samada dalam arus perdana ataupun yang alternatif di alam siber.

Beliau memberi komen bahawa orang Malaysia sekarang ini memang suka memberi komen tanpa mengetahui hal dan kedudukan yang sebenar. Juga suka mengutip fakta daripada komen orang dan membuat komen seterusnya tanpa memeriksa fakta yang sebenar.

Dalam isu ini, beliau menerangkan bahawa surat yang dihantar oleh Jabatan Peguam Negara pada tahun 2008 kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telahpun beliau declassified'kan bagi menerangkan kedudukan yang sebenar. Untuk itu, saya menghormati apa yang beliau lakukan dan menarik balik kesemua komen saya yang berbaur negetif terhadap beliau.

Semoga beliau sentiasa diberi hidayah Allah S.W.T dalam perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara Malaysia.

Sekian, wassalam.

Sunday, November 13, 2011

Bila Menteripun Tak Reti Subjek Kenegaraan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0g1-q_9CxFCMMXXVnnftTkMg_tCb-qM3grwd0RiTpe3kMc5QsMmHaqYvbq2ulW6URIFNNWHx3Uk0FfrSeu776aQ-IsHZmjUkCaAlMAS81MAPe05dp0Ojg2-qSIw4o-03jXZm7Fc05eZs/s1600/IMG0816A.jpg

Maka diberitakanlah oleh akhbar yang mengaku memperjuangkan nasib Melayu...

PULAU PINANG 12 Nov. - Rakyat di negeri ini diminta membuka mata dan membuat penilaian secara objektif terhadap segala usaha yang dilakukan Kerajaan Pusat bagi menarik pelabur ke negeri itu, meskipun ia berada di bawah pemerintahan pembangkang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Kerajaan Pusat dan agensi di bawahnya telah mempromosikan Pulau Pinang di luar negara sehingga berjaya menarik pelaburan asing sebanyak RM12.2 bilion sepanjang tahun lalu ke negeri itu.
Malangnya, kata Nor Mohamed, kejayaan itu telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk meraih publisiti dan pujian, sedangkan kerja keras dilakukan Kerajaan Pusat. "Hampir keseluruhan pelaburan RM12.2 bilion yang dicatatkan itu bukan hasil usaha kerajaan negeri seperti yang didakwa oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebaliknya, hasil inisiatif Kerajaan Pusat.

Memanglah tugas menarik pelaburan masuk ke Malaysia kerja Kerajaan Pusat. Tapi bila Pak Menteri buat statement bodoh macam budak-budak tadika nak bergaduh, rasa lekeh betul jadi rakyat Malaysia ni. Baguslah kalau kerajaan pusat dah dapat tarik masuk pelaburan berbillion-billion ringgit. Tapi bila tuan punya pelaburan tu kata depa nak masuk Pulau Pinang, nak marah kat KM Pulau Pinang buat apa? Biaq pi la kalau dia nak bermegah-megah dengan negeri dia. Bukankah Putrajaya ada kuasa macam-macam? Kenapa tak suruh pelabur tu buat kilang kat Putrajaya sana nu.. Ha.. kan dah jadi statement macam budak tadika jugak!

Sistem kerajaan negara kita memang dah dibuat macam ni. Orang-orang sezaman dengan Tunku dulu yang nak macam ni. Kita la ni kenalah terima kalau kita tak mahu ubah ciptaan orang dulu-dulu. Sistem ni kata hal-hal cari duit untuk negara adalah tanggungjawab kerajaan pusat. Dah dapat duit, kena agih kat negeri-negeri mengikut apa yang telah diperuntukan. Dah tu, kalau Pulau Pinang eksyen sebab dia dapat bawa masuk duit banyak, kerajaan pusat nak dengki buat apa. Duit tu masukpun banyak kat kerajaan Pusat. Setakat cukai pintu dan cukai tanah yang Kerajaan Negeri kutip, berapa sen sangat.

Kalau Kerajaan Kedah ka atau Kerajaan Perak ka dengki, boleh juga aku cuba-cuba nak faham. Ni menteri kerajaan pusat. Dia tak baca ka buku Kenegaraan yang budak-budak sekolah dok usung sampai koyak sebab nak belajar tentang sistem negara Malaysia?
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Selain membincangkan mengenai penjanaan ekonomi Pulau Pinang, mesyuarat itu turut menyentuh tentang persiapan menghadapi musim banjir secara berkesan.
Ni lagi satu mangkuk hayun ciptaan BN. Sepatutnya, apa-apa pasai hal ehwal negeri adalah di bawah kuasa Ketua Menteri atau Menteri Besar selaku ketua kepada parti yang menjadi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Memang dalam Perlembagaan Persekutuan tak dinyatakan duit pembangunan kepada negeri sepatutnya disalurkan kepada siapa. Tapi agak-agak la. Kalau dah kalah pilihanraya, jangan la dok tunjuk kuasa lagi. Mentang-mentang depa menang kat Parlimen dan kuasai Putrajaya, macam-macam cara depa buat. Wujudkan Jabatan Perhubungan Persekutuan la, Unit Penyelarasan Perlaksanaan la, JKKP la dan amcam-macam lagi mangkuk tingkat yang depa cipta.

Bagi negeri-negeri yang PR memerintah, rasa dah macam bukan dalam Malaysia lagi dah. Sepatutnya mengikut semangat perlembagaan, negeri yang lebih berkuasa, bukannya Kerajaan Pusat. Tapi depa kontrol duit punya pasai, depa buat ikut suka hati mak abah depa. Kalau kat negara lain, dah lama kena dakwa sebab salah guna kuasa!

Lepas tu cerita pasai banjir. Hello sedara, hal ehwal bencana untuk peringkat negeri, yang jadi ketua adalah KM ataupun MB. Bacalah buku 20 yang hampa keluarkan sendiri. Mentang-mentang kat peringkat pusat, MKN jadi ketua; hampa orang-orang BN buat macam bantuan-bantuan tu hak mak bapak hampa yang punya. Cerita banjir kat Kedah tahun lepaspun orang tak lupa lagi....

Dan satu lagi, boleh tak aku nak minta tolong sikit kat hampa, jangan dok pembohong sangat boleh tak? Orangpun sekolah jugak. Yang kerja sebagai staff gomenpun ada jugak. Penat la telinga dok dengar Pak Menteri temberang tak habis-habis.....

by: NARUTO

Saturday, November 12, 2011

Ghani Patail cuba nak kona….

Baca cerita pasai Peguam Negara kata kita kena ubah Perlembagaan kalau nak pakai dakwat kekal dalam pilihanraya, rasa nak gelakpun ada. Nak menangispun ada. Yang nak gelak dan nak menangis tu sebab tak terfikir pulak sampai ke tahap tu Ghani Patail punya nak kona....

Sayapun bukannya pandai macam Prof Azizi Bari. Tapi kalau setakat nak bersembang macam dengan MP Kulim Bandar Baru tu, rasa-rasa steady...

Dalam isu ini, Ghani Patail kata kalau nak pakai dakwat kekal, Fasal 119 kena ubah dulu. Baru boleh. Kalau tidak, nanti orang boleh cabar keputusan pilihanraya yang SPR selia.

Seingat saya masa belajar dulu, Prof saya ada kata, “dalam setiap keputusan kerajaan, kalau ada pihak yang merasakan dirinya teraniaya dengan keputusan tersebut, dia boleh cabar keputusan kerajaan tu”. Kalau dah lagu tu, nak heran apa. Sapa nak saman, saman la. Nak kalah atau nak menang, pasanglah loyer canggih-canggih dan berhujahlah dalam mahkamah. Dalam erti kata yang lain, setiap keputusan kerajaan, mana ada yang sah-sah orang ramai boleh terima 100 peratus.

Berbalik kepada Fasal 119 ni, Fasal ini menggariskan syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang pengundi.

Perkara 119. Kelayakan pemilih.

(1) Tiap-tiap warganegara yang—

(a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan;

(b) bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan

(c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan,

berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya.

Kita kena faham elok syarat-syarat (a), (b) dan (c) yang dinyatakan dalam Fasal 119(1) ni. Syarat-syarat ni hilang apabila:

(1) dia dia melakukan sesuatu yang dinyatakan di bawah Fasal 119(3), atau

(2) melakukan sesuatu kesalahan yang berkaitan dengan undang-undang pilihanraya, dan,

(3) seseorang itu tidak boleh mengundi lebih daripada satu kawasan mengundi dalam satu pilihanraya yang sama.

Kita tengok pulak apa Fasal 119(3) kata:

(3) Seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika—

(a) pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau

(b) sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.

Maksudnya, sub-Fasal ni menyatakan kalau ada orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman, dia tak layak mengundi. Perkara ini adalah otomatik untuk seseorang itu hilang kelayakan untuk mengundi dalam sesuatu pilihanraya.

Fasal 119(2) cerita pasai orang yang sakit mental. Untuk itu, orang sebegini “disifatkan tidak bermastautin di dalam bahagian pilihan raya itu.” Fasal 119(4) pula cerita cerita pasai definisi. Kedua-dua sub-Fasal ni kita letak ketepi sat dalam cerita ni. Baru senang faham.

Oleh itu, kalau kita ambil faham maksud Fasal 119(1) dan Fasal 119(3), ianya menceritakan kelayakan seseorang untuk menjadi pengundi dan orang yang macam mana tak layak jadi pengundi. Ini adalah kehendak asas (general rules) dalam isu syarat untuk jadi pengundi dalam sesuatu pilihanraya.

Namun begitu, bagi setiap kehendak asas, ada pengecualiannya. Saya berpendapat, cerita dakwat kekal adalah cerita prosidur mengundi dan ianya adalah pengecualian kepada kehendak asas itu tadi.

Kalau guna dakwat kekal sebagai salah satu prosidur dalam pengundian dan jika didapati jari seseorang bakal pengundi itu dah ada dakwat kekal, maka dia akan dikira sebagai telahpun mengundi. Oleh itu, dia tak layak lagi untuk mengundi sebab mana boleh orang mengundi dua kali. Kat dalam Perlembagaan, perkara ini dikira jatuh dalam klausa Fasal 119(1) iaitu “di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya”.

Perkara ini bukannya cerita seseorang itu terus tak layak mengundi disebabkan kelayakannya tidak kira oleh Perlembagaan. Ini cerita seseorang tu dah dianggap mengundi sebab dia dah mempunyai tanda yang dia telah melalui prosidur pengundian. Kalau dia tak undi lagi, dia kenalah bukti perkara tersebut. Macam saya cerita awal-awal tadi, kalau seseorang itu terasa teraniaya, dia samanlah SPR. Tapi yang kena buktikan adalah orang tersebut. Bukannya SPR. Apa nak susahnya. Kalau mahkamah kata belum, belumlah. Bukan SPR nak rugi apapun. Cuma ubah jumlah undi saja kat sesuatu kawasan tu kalau mahkamah membenarkan orang tersebut untuk mengundi.

Saya rasa perkara ni bukannya complicated sangat sampai nak kena ubah Perlembagaan. Tu pun tak taulah sebab yang buat statement bahawa Perlembagaan kena ubah adalah Peguam Negara. Sama ada dia dah masuk tahap gaban sebab dah lama sangat kat kerusi tu ataupun dah lebih terlebih bodek, tak tau ler pulak saya. Tapi saya rasa dia dah terlebih kona....

naruto