Showing posts with label Tahfiz Sains. Show all posts
Showing posts with label Tahfiz Sains. Show all posts

Thursday, May 24, 2012

Hanya 50 dari 400 permohonan ke MTSD diterima

KULIM - Seramai 400 permohonan telah diterima oleh Maahad Tahfiz Sains Darul Aman hanya 50 orang yang terdiri daripada 25 lelaki dan 25 perempuan telah berjaya diterima untuk sesi pengajian tahun 2012.

Jelas terbayang keseronokan di wajah mereka walau pun terikat dengan peraturan dan jadual pembelajaran yang agak padat, namun kerana minat yang mendalam dalam bidang tahfiz Al-Quran menjadikan mereka selesa dan beryakinan.

Adik Nor Hazirah Irfan, merupakan penghafal terbanyak setakat ini, 3 juzuk setengah, melahirkan rasa bertuah kerana terpilih dalam ratusan yang memohon.

"Saya rasa amat bertuah kerana berjaya diterima belajar di sini kerana saya terpilih dari 400 pemohon," ujarnya sambil tersenyum.

Beliau yang ramah dan petah bercakap, berkata, beliau belajar di MTSD atas dorongan keluarga dan minat yang mendalam dalam tahfiz Al-Quran. Apabila ditanya apakah formula yang membolehkan beliau menghafal hampir 4 juzuk dalam tempoh tidak sampai 5 bulan pengajian, beliau memaklumkan beliau mempunyai jadual pembelajaran sendiri serta banyak mengulang bacaan sebelum menghafalnya.


"Mula-mula saya baca dulu, berulang-ulang, bila lancar baru saya hafal," jelasnya.

Anak kelahiran Tawau, Sabah yang kini menetap di Kuala Nerang, bercita-cita ingin menjadi seorang ahli falak, di samping menjadi idola kepada adiknya.

"Cita-cita saya nak jadi ahli falak dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita saya. Selain itu saya nak jadikan diri saya idola kepada adik saya," tambahnya sambil tersenyum.

Sementara itu, Adik Mohd Suhail Ahmad Sharuddin, berasal dari Alor Setar ketika ditemui berkata, beliau berasa seronok dan sesuai dengan persekitaran MTSD. Guru-guru dan kawan-kawan semuanya baik dan sentiasa menjadi pendorong antara satu sama lain.

"Walau pun tinggal di asrama, tetapi dengan sokongan dari guru-guru dan kawan-kawan, saya berasa seronok dan selesa di sini.

"Lagi pun keadaan yang tenang dan damai menimbulkan minat belajar dan mudah untuk saya menghafal Al-Quran," maklum beliau.

Selain dari minat sendiri, ibubapanya memberi sokongan penuh untuk beliau meneruskan pengajian di MTSD. Setakat ini, beliau telah berjaya menghafal 2 juzuk setengah dan berazam lebihkan usaha untuk masa akan datang.

Bercita-cita ingin menjadi seorang doktor Al-Hafiz, Adik mohd Anaqair Ibrahim, berasal dari Sungai Petani, juga melahirkan rasa gembira dan bertuah kerana dipilih untuk belajar di MTSD. Bagi beliau, walau pun jadual atau peraturan nampak akan ketat dan padat namun beliau rasa gembira kerana dengan cara demikian, mereka dapat dididik dan matlamat MTSD akan tercapai.

"Dulu saya bersekolah di sekolah kebangsaan, sistem yang di MTSD agak berbeza di sekolah sebelum ini, namun saya boleh ikut dan rasa seronok.

"Dan bagi saya, menghafal A-Quran ini boleh membantu saya mengusai pelajaran-pelajaran yang lain," jelasnya.

Beliau berharap, dapat menyelesaikan hafalannya sebanyak 30 juzuk sebelum tamat belajar di MTSD walau pun kadang kala terasa rindu pada ibunya kerana tinggal di asrama.

Berlain pula dengan Adik Nor Wahida Azizan, beliau bertekad akan menghabiskan hafalan 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun. Anak ke dua dari lima orang adik beradik ini juga melahirkan rasa bertuah kerana terpilih untuk belajar di MTSD.

"Seronok sangat-sangat bila berjaya masuk belajar di sini.Walau pun saya mendapat tawaran belajar di Sekolah Agama Kedah dan Sekolan Agama Yan, namun saya tetap pilih MTSD sebab di sini berlain dari sekolah-sekolah agama yang lain-lain," luah beliau.

Seperti yang lain, dia juga mempunyai jadual pembelajarannya sendiri, lebih-lebih lagi di waktu cuti. Menurutnya, di rumah juga beliau belajar seperti jadual di sekolah.

"Saya akan gunakan peluang ini sebaik-baiknya dan saya berharap target saya 30 juzuk dalam tempoh 3 tahun akan tercapai dan menjadi kebanggaan keluarga.

"Bagi saya duduk di MTSD lebih kurang sama macam di rumah juga. Asrama selesa, makan sedap, kawan-kawan dan guru-guru semuanya baik, jadi semuanya ini membolehkan saya belajar dengan selesa," ujar beliau yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor bedah.

Wednesday, May 23, 2012

Maahad Tahfiz pertama di Kedah gabungkan sains dan Al-Quran

KULIM - Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) merupakan maahad tahfiz pertama di Kedah yang menggabungkan pelajaran Sains dan Al-Quran dalam usaha melahirkan generasi saintis dan profesional yang menguasai ilmu akademik, memahami hukum hakam serta menghayati A-Quran dalam setiap aspek kehidupan.

MTSD adalah cetusan idea dari Menteri Besar, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang kini telah memulakan sesi pengajian pada 2 Jan 2012 yang lalu. Seramai 50 pelajar yang terdiri dari 25 pelajar perempuan dan 25 pelajar lelaki telah dipilih untuk sesi pengajian tahun ini.

Pelajar yang diterima masuk belajar di MTSD selain memiliki 5A dalam UPSR dan boleh membaca Al-Quran dengan baik, mereka terlebih dahulu perlu menduduki temuduga yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Hanya pelajar yang lulus temuduga berkenaan sahaja yang akan diterima belajar di MTSD.

Sekolah yang ditabbir sepenuhnya oleh JHEAIK, kini beroperasi di kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim sementara kampus tetap di Pulau Tuba siap dibina pada tahun 2015. Di kampus sementara ini, kelengkapan seperti blok pentadbiran, blok akademik, blok makmal, bengkel, perpustakaan, dewan makan, asrama puteri dan putera, surau dan rumah warden disediakan.

Kurikulum MTSD terbahagi kepada tiga iaitu Kurikulum Tahfiz Al-Quran, Agama dan Bahasa Arab serta Akademik (KBSM). Sementara itu Ko-Kurikulum MTSD juga dibahagikan kepada tiga, melibatkan sukan dan permainan, badan berunifom serta kelab dan persatuan.

Selain itu, pelajar-pelajar MTSD dikehendaki menghabiskan hafazan mereka mengikut kadar yang ditetapkan. Untuk tingkatan satu sebanyak 6 juzuk, tingkatan dua 7 juzuk, tingkatan tiga 6 juzuk, tingkatan empat 7 juzuk dan 4 juzuk di tingkatan lima. MTSD mensasarkan 30 juzuk Al-Quran lengkap dihafal oleh pelajar selama lima tahun persekolahan mereka di situ.


Walau pun MTSD baru berusia kurang dari setahun, namun melalui aktiviti kemasyarakatan di kawasan berhampiran menjadikan ianya cepat dikenali serta akhlak baik yang diperlihatkan oleh pelajar-pelajar MTSD mendapat pujian dan menarik minat masyarakat untuk mengenali MTSD dengan lebih dekat lagi. Selain itu MTSD juga turut mengambil bahagian dalam acara sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Agama Kedah (MASSAK).

Sementara itu, guru-guru di MTSD merupakan guru-guru berpengalaman serta memiliki kelulusan setaraf dengan guru-guru di sekolah-sekolah kementerian pendidikan. Mereka juga dibayar gaji bulanan sama seperti guru-guru kementerian.

Sasaran MTSD hanya 50 pelajar setiap pengambilan dan dijangkakan hanya sekitar 250 pelajar sehingga 300 pelajar termasuk yang menduduki STAM dan STPM akan diterima masuk ke MTSD. Dengan jumlah sedemikian memberi ruang yang selesa kepada tenaga pengajar untuk merealisasikan matlamat, visi dan missi MTSD.

Lepasan MTSD berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara samada untuk bidang agama, tahfiz, kedoktoran, kejuruteraan, saintis atau lain-lain yang berkaitan. Mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 untuk menduduki STAM, STPM atau mengikuti kursus Diploma Tahfiz.

Semoga usaha murni kerajaan negeri diberkati Allah dan MTSD akan muncul sebagai institusi pengajian yang terunggul di Kedah khasnya dan di Malaysia amnya.

Tuesday, April 10, 2012

Tahfiz sains lahirkan professional memahami Islam

ALOR SETAR – Maahad Tahfiz Sains Darul Aman merupakan cetusan idea Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang inginkan satu pusat pengajian menggabungkan hafazan Al-Quran dan sains.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul, matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Sains berkenaan adalah untuk mewujudkan integrasi pengajian profesional dan Islam.

“Kita ingin lahirkan lepasan Maahad ini sebagai insan yang merujuk Al-Quran apabila timbul apa jua masalah.

“Mereka ini akan menjadi golongan profesional dalam bidang kedoktoran dan kejuruteraan tetapi dalam masa yang sama mereka juga memiliki ilmu Al-Quran di dada, menjadi tempat rujukan serta boleh memberi sesuatu yang baik kepada agama, masyarakat dan negara,” jelasnya ketika ditemubual di pejabatnya.

Seramai 50 pelajar , terdiri dari 25 lelaki dan 25 perempuan yang memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR diambil sebagai pengambilan pertama untuk pengajian di Maahad berkenaan. Sementara bangunan Maahad tersebut yang terletak di Pulau Tuba siap dibina, pelajar-pelajar berkenaan ditempatkan di sekolah sementara di Kulim, Kedah.

“Seluas 30 ekar tanah telah disediakan bersama penyediaan pelan bangunan di Pulau Tuba dan ianya dijangkakan siap dan boleh memulakan sesi pengajian pada tahun 2015, iaitu 3 tahun dari sekarang.
“Kita mensasarkan antara 250 hingga 300 pelajar sepenuhnya dan setiap tahun kita menghadkan pengambilan seramai 50 orang sahaja.

“Urusan pengambilan dan temuduga kemasukan, kita serahkan kepada Majlis Agama Islam tetapi yang penting pelajar yang ingin masuk ke sini mestilah memperolehi 5A dalam UPSR serta minat pelajaran Sains dan fasih membaca Al-Quran.

“Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, cuma, para pelajar dikehendaki membayar RM1 sehari sepertimana di sekolah-sekolah asrama yang lain,” sambungnya lagi.

Apabila menyentuh mengenai tenaga pengajar, beliau berkata, guru-guru diambil dikalangan lepasan universiti melalui proses temuduga oleh Majlis Agama Islam. Mereka juga dihantar menjalani kursus Diploma Pendidikan untuk mengetahui teknik-teknik atau sistem-sistem pendidikan terkini dan sebagai persediaan menjadi tenaga pengajar yang berkualiti. Gaji yang diperolehi sama dengan guru-guru kementerian pendidikan yang lain.

“Buat masa sekarang, kita ada sepuluh orang tenaga pengajar serta kakitangan yang lain seperti tukang masak, tukang kebun, pengawal, kakitangan pejabat dan lain-lain mengikut keperluan.

“Sementara itu, pengetuanya merupakan bekas pengetua sekolah agama dan mempunyai kelulusan yang setaraf dengan jawatannya,” terang beliau.

Harapan kerajaan negeri terhadap lepasan Maahad Tahfiz Sains ini sangat tinggi, selain mereka boleh melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara, mereka juga boleh menjadi generasi yang berpendidikan tinggi dan mempunyai moral yang hebat.

“Harapan kita agar mereka ini menjadi generasi yang berakhlak Islam, bermoral tinggi, berpendidikan di samping Al-Quran di dada. Menjadi insan kamil yang boleh diketengahkan dalam masyarakat sebagai pakar rujuk dalam semua perkara,” katanya lagi.

Saturday, February 18, 2012

Maahad Tahfiz Sains: Lagi Kedah di bidang pendidikan

PULAU TUBA – Selepas Kolej Universiti Insaniah dinaiktarafkan, kerajaan negeri mengembangkan pembangunan pendidikan dengan membina satu lagi pusat pendidikan, iaitu Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, di sini.

Pembinaan Maahad Tahfiz ini adalah bukti bahawa sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab kepada rakyat, kerajaan amat serius dalam pengajian yang menjurus kepada agama dan sains.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, projek bernilai RM15 juta ini dicetuskan setelah beliau mengadakan dialog bersama penduduk Pulau Tuba.

“Tak sampai setahun yang lepas, saya telah melawat pulau ini, bersama kakitangan kerajaan dan Exco, kita telah adakan dialog dengan rakyat, seorang dari pulau ini minta kerajaan buat sekolah agama, jadi saya berjanji, InsyaAllah saya akan usahakan.

“Setelah dibincang bersama mereka yang terlibat, ianya pun jadi, tapi saya tak mau lambat, bila siap baru belajar, maka saya suruh cari tempat sementara dulu, iaitu di Kulim.

“Permintaan daripada ibu bapa untuk masuk sekolah amat menggalakkan, ini kerana ibu bapa telah sedar betapa penting penndidikan agama kepada anak-anak, selain akademik,” jelas beliau pada majlis pecah tanah Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, di sini.

Sekolah berasrama penuh ini dilengkapi dengan 20 bilik darjah, empat makmal sains yang dilengkapi makmal fizik, kimia, biologi dan makmal biasa, surau, pusat sumber, kantin dan kuarters untuk guru dan kakitangan sekolah.

Projek ini dijangka siap dalam masa tiga tahun yang mampu menempatkan 300 pelajar.