Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts
Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts

Sunday, January 20, 2013

Jika begini Ucapan TUANKU..nampaknya pembangkang KEDAH kuburkanlah hajat dihati tuu...!!

Sultan Kedah minta rakyat bersabar


Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru agar seluruh rakyat negeri ini supaya bersabar dan memberi kerjasama dalam menjayakan pelbagai rancangan pembangunan demi faedah mereka.

Dalam titah ucapan yang dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, baginda bertitah kerajaan negeri berusaha sedaya upaya mencari peluang dan menggembleng sumber yang ada demi faedah rakyat negeri ini.

"Segala perancangan yang dibuat memerlukan masa untuk dilaksanakan dan beta berharap seluruh rakyat negeri ini dapat memberi kerjasama dan bersabar," titah Sultan sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-85 di Istana Anak Bukit, di Alor Setar hari ini.


Tuanku bertitah kerajaan pusat meluluskan peruntukan projek Tebatan Banjir Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit di sini bagi mengatasi masalah banjir besar yang pernah melanda negeri ini beberapa tahun lalu.

Baginda bertitah pembinaan projek itu bermula tahun ini dan akan menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang mendiami kawasan berhampiran tapak projek.

"Beta berharap jabatan pelaksana projek ini akan mendapatkan input daripada semua pihak berkaitan, agar isu-isu yang menjejaskan kehidupan penduduk terbabit dapat diminimumkan.

"Kepada penduduk yang terlibat, beta berharap agar mereka dapat bersabar dan memberi kerjasama penuh bagi menjayakan projek ini," titah Tuanku Abdul Halim.

Sementara itu, Tunku Annuar turut berpesan agar tidak ada pihak mengambil tindakan provokasi sehingga menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen kaum serta berusaha menyelesaikannya secara muafakat.

Tunku Annuar berkata beliau sangat bersyukur dengan keadaan aman di negeri Kedah dengan rakyat pelbagai kaum hidup dalam suasana harmoni.

"Oleh itu saya menyeru agar seluruh rakyat di dalam negeri ini terus berusaha memelihara keamanan yang dinikmati supaya terus berkekalan," katanya.

Beliau berkata semua pihak harus mengutamakan kepentingan negeri dan berusaha memelihara keamanan sepanjang masa kerana ia merupakan prasyarat utama meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan negeri.

- Bernama

Saturday, January 19, 2013

Antara pihak yang menerima darjah kebesaran dan pingat kehormat sempena hari keputeraan ke-85 Sultan Kedah


ALOR SETAR, 20 Jan – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan sempena hari keputeraan ke-85 Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Mukhriz menerima Darjah Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (DHMS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Turut menerima (DHMS) ialah Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Seri Rodzali Daud.

Lima orang menerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Mereka ialah Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hussin, Ahli Lembaga Kolej Universiti Insaniah Prof Datuk Ismail Ibrahim, Datuk Lim Teong Kiat dari Taman Pumpong di sini dan Datuk Tan Hong Eng dari Langkawi.


Tiga orang dikurnia Darjah Paduka Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Ketua Staf Markas Tentera Darat Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud, Panglima MK 2 Divisyen Mej Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Sebanyak 60 orang menerima Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DSDK ialah Yang Teramat Mulia (YTM) Datin Tunku Marina Tan Sri Tunku Annuar; Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh; Anggota Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kasim; Anggota Dewan Negara Muhamad Yusof Husin; Pegawai Daerah Langkawi Harun Jasin; Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim; YTM Tunku Muzafar Shah Datuk Tunku Jaafar Laksamana dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia Prof Dr Asma Ismail.

Turut menerima DSDK ialah Ketua Provos Marsyal Darat Brig Jen Mohd Nasser Murad; Panglima MK 21 Grup Gerak Khas Brig Jen Effendi Ab Karim; Pengarah Kesihatan (Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera) Brig Jen Zakaria Awang; Ketua Penolong Pengarah D7 SAC Datuk Abd Jalil Hassan; Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am SAC Datuk Mohd Rodzi Ismail; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Ahmad Ishak; dan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Kedah Medical Centre (KMC) Dr Kamaruzaman Ali.

Seramai 17 orang menerima pingat Jaksa Pendamai (JP).

Istiadat penganugerahan berlangsung di Istana Anak Bukit di sini, hari ini. – Bernama

Saturday, April 7, 2012

Pertabalan Agong dirakam National Geographic

http://dinmerican.files.wordpress.com/2011/12/dymm-yang-pertuan-agong.jpg
KUALA LUMPUR - Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu ini menarik minat National Geographic Channel (NatGeo) untuk merakamkannya dalam bentuk filem dokumentari dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk siaran ke seluruh dunia.

Pengarah Produksi Finas, Subaidah Md. Top berkata ini kali kedua NatGeo membuat liputan seumpama itu. Kali pertama, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2007.

Dalam liputan kali ini, NatGeo akan menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.

Subaidah berkata, belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan itu di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim, pertama kali dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong (yang kelima) pada 1970 semasa berumur 42 tahun, dan kini dilantik semula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.
"Dokumentari tersebut bakal menyingkap dengan lebih dekat mengenai kisah hidup Tuanku Abdul Halim itu sendiri," tambahnya.

Pihak produksi akan juga merakamkan aktiviti Tuanku selepas istiadat pertabalan, serta menemubual anggota kerabat serta kenalan rapat Seri Paduka.

"Seperti yang kita sedia maklum semasa Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima, Perdana Menteri pada ketika itu ialah Tun Abdul Razak dan pada pertabalan kali ini pula anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak pula yang memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif negara.

"Keunikan ini akan turut dipaparkan dalam filem dokumentari itu," katanya.

Subaidah berkata, semasa Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima, negara baru saja melalui Tragedi 13 Mei 1969, dan berikutan itu negara diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran melahirkan beberapa dasar penting Malaysia, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

"Seri Paduka kini bakal memimpin negara dalam satu era yang sangat penting di mana kerajaan sedang berusaha keras bagi mencapai status negara maju menjelang 2020. Itu yang kita mahu kongsikan dengan dunia," katanya.

Subaidah berkata penggambaran dokumentari ini telah bermula seawal Disember lepas lagi, semasa Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Tuanku.

"Namun selepas istiadat pertabalan pada Rabu depan, sesi penggambaran akan lebih agresif berikutan pelbagai acara telah disusun yang perlu dihadiri baginda dalam tempoh 10 hari dan dijangkakan tempoh penggambaran akan mengambil masa sekitar tujuh ke lapan bulan," katanya.

Beliau berkata, dokumentari ini juga akan menampilkan kepada dunia Istana Negara yang baru.

Subaidah berkata, Finas bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan pergerakan produksi sehingga penerbitan dokumentari siap sepenuhnya.

"Ini termasuk hal berkaitan pre-procedure seperti menentukan lokasi penggambaran, bajet, skrip, pemilihan krew dan sebagainya," kata beliau.

Mengenai bajet, beliau berkata peruntukan bagi penghasilan dokumentari kali ini ialah sekitar RM700,000, sama seperti ketika Finas dan NatGeo menerbitkan dokumentari pertama berjudul 'Becoming A King' mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan.

Dokumentari 2007 itu yang disiarkan pada 29 Ogos tahun berkenaan, berjaya menarik penonton di kira-kira 250 juta kediaman di lebih 160 negara. - Bernama

Monday, March 26, 2012

Agung Dukacita sebab Hospital Pendang & Bandar Baharu masih belum di bina...


Minit Ke 12 di mana TUANKU KESAL sebab hospital untuk rakyatnya masih belum di bina walaupun dah berjanji sudah lama...

Monday, January 16, 2012

Tuanku berharap Kolej Insaniah di Kuala Ketil dapat membuka lebih banyak peluang dan cabang ilmu kepada rakyat Kedah.

Wartawan Sinar Harian
January 15, 2012
Tunku Annuar menganugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK), membawa gelaran Datuk Seri kepad

ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru agar Kerajaan Negeri terus menyalurkan bantuan kepada 17,000 keluarga miskin yang didaftar di Kedah setakat 31 Oktober lalu.

Baginda bertitah, bantuan boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan am dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Zakat atau penglibatan syarikat korporat.

“Golongan miskin dan tidak bernasib baik akan terus dibela oleh kerajaan. Beta harap taraf hidup rakyat akan bertambah baik dan hidup dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera dalam persekitaran yang selamat,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga mahu Kerajaan Negeri memantapkan pembangunan modal insan yang berpegang teguh kepada ajaran agama, dan dengan adanya kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, diharap dapat membuka lebih banyak peluang dan cabang ilmu kepada rakyat Kedah.

“Kerajaan beta juga memperuntukkan sejumlah peruntukan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan Maktab Mahmud, antaranya membina asrama putera Maktab Mahmud Pokok Sena dan bangunan akademik Maktab Mahmud Kulim,” titah baginda.

Baginda juga menyeru kepada pengurusan masjid dan surau supaya berfungsi dengan lebih baik untuk membimbing ummah ke arah masa depan cemerlang.

“Beta juga berharap semua pihak memandang ke hadapan dan optimis demi mencapai kejayaan dan kemajuan. Semua pihak hendaklah berusaha mencipta lebih banyak kejayaan supaya dapat memajukan negeri Kedah,” titah baginda.

Monday, December 12, 2011

Sultan Kedah harap Malaysia terus aman

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
Sultan Kedah

KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berharap Malaysia akan terus aman damai dan semua kaum hidup dengan persefahaman dan bertoleransi.

Baginda gembira kerana secara keseluruhannya perpaduan rakyat adalah baik serta boleh ditingkatkan jika semua pihak meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kaum atau politik.

Sultan Abdul Halim yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Jan 1970 hingga 20 September 1975, mengimbau kembali peristiwa pahit pada 13 Mei 1969 dan berharap ia tidak harus dibiarkan berlaku lagi.

“Kadangkala orang politik mengambil jalan mudah untuk mengekalkan populariti dengan memainkan isu agama dan perkauman. Inilah yang membuatkan keresahan dan kucar-kacir dalam masyarakat,” titah baginda.

Sultan Abdul Halim, 84, yang berkelulusan dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam dari Wadham College, Oxford, United Kingdom bersyukur kerana pertama kali baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan Perdana Menteri pada masa itu dan kali ini anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib pula menjadi Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai kemajuan dan pencapaian negara sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan, baginda bertitah, Malaysia telah mencapai usia yang matang.

“Jadi pemimpin dan rakyat haruslah juga matang membuat sesuatu tindakan.

“Kekuatan negara kita terletak kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam serta untuk kemajuan masa hadapan, dua perkara ini haruslah dipertahankan,” titah baginda yang pernah menyertai perkhidmatan awam negeri Kedah pada 1950an sebelum dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah pada Mac 1957 apabila ayahandanya, Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid, berangkat ke luarnegara.

Baginda menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan Sultan Badlishah dan ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959.

Pelantikan Yang DiPertuan Agong kali kedua adalah penghormatan bersejarah

http://www.wartakedah.net/images/kenangan%20tuanku.jpg

ALOR SETAR, 12 Disember – Pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke-14 merupakan satu penghormatan bersejarah bagi kali kedua dan menjadi satu kebanggaan kepada Kerajaan Negeri dan juga rakyat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah yang tercinta, beliau dan juga kepimpinan negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta rakyat berikrar dengan penuh taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri ini terus terjamin.

“Patik serta rakyat berdoa agar KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah sentiasa dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta memerintah dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan keamanan di atas takhta singgahsana Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.

Menurutnya, agenda Kerajaan Negeri ialah bagi menjamin kebajikan rakyat terus didokong, hubungan baik Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dijaga serta mengekalkan perpaduan antara pelbagai kaum di kalangan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar memberitahu, pastinya, pesanan serta pandangan KDYMM Tuanku Sultan Kedah selama ini yang sentiasa memberi pandangan yang konstruktif, memberi galakan dan tunjuk ajar kepada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat sekalian serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan di negeri Kedah yang dicintai, menjadi suntikan serta panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri.

“Patik sekali lagi dengan penuh hormat dan takzimnya melafazkan persembahan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah atas pelantikan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke-14,” tambahnya.

4 dilantik anggota jemaah pemangku Sultan Kedah

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melantik satu jemaah pemangku Sultan Kedah bagi memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna selepas keberangkatan baginda ke Istana Negara esok.

azlanAnggota jemaah yang dilantik terdiri daripada adinda baginda Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Tunku Annuar dilantik sebagai pengerusi Jemaah Pemangku Sultan.

Istiadat pemasyhuran Jemaah Pemangku Sultan berkenaan diadakan di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, hari ini.

Upacara mengangkat sumpah semua anggota jemaah diadakan di depan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Haminah Hamidun.

Tuanku Mizan berangkat pulang

Sultan Abdul Halim akan berangkat ke Istana Negara hari ini bagi melaksanakan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun.

NONESementara itu, keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya, Datin Seri Che Sharifah Ismail.

NONETuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai ”muskat” turut menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.

- Bernama

Saturday, October 15, 2011

Yang Dipetuan Agong ke 14

oleh Roslan SMS

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah,83, diputuskan oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke 14 menggantikan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh penggalnya pada 13 Disember ini.

Penggiliran Yang Dipertuan Agong seperti ini unik kerana ia hanya berlaku di Malaysia. Jawatan tertinggi Negara ini digilir-gilirkan antara lapan Raja-raja Melayu yang memilih antara mereka untuk jawatan berkenaan setiap penggal lima tahun. Bermula dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Agong yang pertama dan kini sudah mahu masuk yang ke 14.

Malah bagi Sultan Abdul Halim ini adalah kali kedua beliau naik sebagai Agong setelah memegang jawatan berkenaan dari Septembr 1970 sehingga September 1975 (ketika itu saya masih di sekolah rendah).

Di ketika banyak kritikan dan komentar dibuat berkenaan institusi Raja-raja Melayu ini, proses pemilihan dan penggiliran Agong berjalan dengan sempurna menepati peraturan Perlembagaan Negara.

Sesungguhnya sebagaimana pemimpin-pemimpin politik, Raja-raja Melayu juga tidak terlepas dari kritikan dan kata pelbagai dari rakyat kebanyakkan. Yang baik dan berjiwa rakyat pantas dihormati dan dikenangi serta disebut-sebut, begitu juga yang sebaliknya.

Ada yang kuat berpegang pada agama dan beramal dengannya contohnya Almarhun ninda Sultan Selangor yang pernah menghadiahkan istana Baginda untuk menjadi kolej Islam, iaitu Kolej Islam Kelang sekarang. Tidak silap Baginda juga pernah naik mimbar menyampaikan khutbah. Almarhum Raja Perempuan juga jika dilihat pada gambar-gambar awal 50an dahulu antara kerabat di Raja yang pertama menutup aurat.

Ada yang begitu prihatin tentang nasib dan penderitaan rakyat. Saya teringat membaca di dalam tulisan Allahyarham Ahmad Boestama di dalam “Tujuh tahun malam memanjang” yang menyebut (Almarhum) Tuanku Sultan Pahang merupakan satu-satunya Raja Melayu yang melawat kem tahanan politik apabila beliau menulis:

Di dalam banyak-banyak Sultan hanya Sultan Pahang seorang sahajalah yang pernah melawat ke khemah-khemah tahanan sepanjang ingatan saya.

Semasa kunjungan Tuanku ke kem dimana beliau ditahan Boestamam mencatatkan bahawa Tuanku Sultan pernah bertitah:

Kalau sekiranya Encik Boestamam ini ditahan di Pahang, sudah lama saya membebaskannya.

Dalam Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah menulis berkenaan Sultan Mahmud, Sultan Melaka terkahir:

(Abdullah mengisahkan darihal kemewahan perniagaan buah-buahan tempatan di Melaka yang kebanyakkannya di bawa masuk dari tanah seberang Padang)..........Apabila musim durian berbuah, kerja orang Padang ialah menebas sahaja, dan memungutnya apabila durian gugur. Beberapa orang saudagar di Melaka menjadi kaya kerana berniaga dagangan yang keluar dari Padang. Hasilnya beribu-ribu ringgit dalam setahun. Demikianlah kesenangan yang mereka peroleh hasil kemakmuran zaman Sultan Mahmud menjadi Raja di Lingga, Riau dan Pahang, Padang, Muar dan Batu Pahat di bawah perintahnya (selain Melaka). Dipelihara kesenangan itu kerana keadilan dan kebaikannya.

Walaubagaimanapun dalam karangan yang sama Munsyi banyak juga mengkritik Sultan-sultan Melayu yang lain termasuk Sultan Husin Syah Singapura, angkara kezaliman mereka.

Raja-raja dan Sultan juga manusia sudah pasti mereka tidak terlepas dari ujian. Cabaran, kelemahan dan kelonggaran sebagaimana juga pemimpin politik.

Yang pastinya Agong yang ke 13 Tuanku Mizan amat disenangi rakyat.

Kita dapat membaca karekter dan perwatakan Raja-raja Melayu semasa jika membaca tulisan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas: “Mayday for justice”. Dalam karangannya itu Tun menggariskan saat cemas ekoran peristiwa pemecatan beliau oleh Almarhum Sultan Johor, Agong ketika itu (dizaman Tun Dr M sebagai PM). Bagaimana atas inisiatif seorang Sultan beliau berkesempatan menyembahkan masalahnya kepada Raja-raja Melayu dan bagaimana beliau dipermain dan dibelit hasil bikinan orang politik.

Yang pastinya juga institusi Raja-raja Melayu kini telah sebati dalam hidup kita. Rakyat Malaysia semakin terdedah dan faham kepentingan dan peranan mereka. Oleh itu pengharapan rakyat terhadap institusi ini sangat tinggi demi untuk emmbela mereka dan memelihara Negara. Diharapkan Negara akan terus melahirkan Yang Dipertuan Agong berjiwa rakyat yang berani kerana Allah membela dan mempertahankan rakyat dan Negara Nya.

Biarlah kita bangkit bersama di akhirat nanti sebagai rakyat dan Raja untuk diadili dan dibalas oleh Raja Yang Maha Besar.

Daulat Tuanku.

Monday, September 12, 2011

Sultan Kedah bangga

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah bangga dengan pencapaian Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) kerana berjaya melahirkan dua Perdana Menteri terulung, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir Mohamad.

Baginda menyifatkan dalam sejarah negara, kemungkinan perkara itu tidak akan berlaku bagi mana-mana sekolah pada masa akan datang.

“Sejak penubuhannya pada 1908, KSAH telah melalui rentetan sejarah perkembangan yang panjang dan banyak perubahan berlaku. Banyak jasa telah ditabur oleh pelajar KSAH kepada negeri dan negara,” titah baginda ketika merasmikan majlis pecah tanah Dewan Centennial KSAH, anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca), semalam.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Tuanku Abdul Halim bertitah, peluang yang diberikan kepada anak-anak Melayu untuk belajar dalam bahasa Inggeris telah membuka ruang dan melahirkan ribuan pelajar yang telah mengharumkan nama mereka di persada antarabangsa mahupun dalam negara.

“KSAH turut mencatat sejarah apabila meraikan ulang tahun ke-100 pada 2008 dan sambutannya telah diadakan sebagai satu acara rasmi Perayaan Jubli Emas pemerintahan beta sebagai Sultan Kedah pada tahun yang sama,” titah baginda.

Baginda berharap Dewan Centennial KSAH akan menjadi mercu tanda baru kebanggaan warga KSAH masa kini dan akan datang.

Presiden Sahoca, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, dewan berkenaan kelak bakal dijadikan dewan serbaguna untuk menganjurkan pelbagai aktiviti KSAH dan Sahoca serta mampu memuatkan lebih 1,000 orang.

“Kos keseluruhan berjumlah RM6.5 juta dan dijangka siap dalam masa tiga tahun akan datang. Dalam tempoh itu, Sahoca akan menganjurkan pelbagai program untuk menambah dana. Dana terkumpul setakat ini mencecah RM2.5 juta,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan dana tambahan bagi melancarkan projek ini.

Syed Unan Mashri berkata, idea awal pembinaan dewan ini timbul sejak 2002 memandangkan Dewan Iskandar sedia ada tidak mampu menampung jumlah pelajar.

Thursday, July 28, 2011

Sultan mahu rakyat bersatu & menggunakan kematangan berfikir untuk menghadapi situasi masa kini

ALOR SETAR - Umat Islam disaran menggunakan kematangan berfikir untuk menghadapi situasi masa kini untuk mengelak unsur-unsur negatif yang boleh memecah-belahkan perpaduan.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah, walaupun agak sukar untuk memperoleh pemikiran dan pendapat yang sama, namun pastinya tiada halangan untuk umat Islam bersatu hati.

“Semua pihak perlu jujur pada diri sendiri dan menghormati hak orang lain, khususnya dalam hubungan sesama manusia. Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, selain memantapkan perpaduan ummah,” titah baginda, ketika berucap pada Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar, semalam.

Hadir sama, Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun serta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Tuanku Abdul Halim bertitah, apabila umat Islam bersatu, adalah lebih mudah untuk menangani permasalahan sama ada yang wujud dalam kalangan ummah itu sendiri, mahupun daripada pihak luar.

“Kepentingan perpaduan itu juga dinyatakan dalam al-Quran, justeru tiada alasan bagi umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan cepat menghukum orang lain hanya kerana berbeza ideologi atau fahaman,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan supaya umat Islam sedunia memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian antara pihak yang bermusuhan supaya golongan itu tidak berada pada jalan perpecahan.

“Dalam mengecapi kemakmuran yang ada di bumi Malaysia ini, kita telah diuar-uarkan dengan berita peperangan, perbalahan dan permusuhan di negara-negara luar. Banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah. Ini sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya mengekalkan keamanan negara,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk mencapai matlamat itu, semua pihak perlu menggembleng tenaga mempertingkat perpaduan untuk mencapai kekuatan ummah kerana hanya dengan bersatu padu sahaja, dapat menangkis dugaan dan cabaran.

Thursday, April 21, 2011

Awasi anak terima maklumat - Tuanku Sultan

KUALA KEDAH - Ibu bapa perlu memainkan peranan penting pada era globalisasi untuk mengelak anak-anak mereka daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat yang melibatkan maklumat menerusi internet.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, walaupun maklumat yang diterima memberi petanda positif, namun masyarakat tidak boleh mengetepikan kenyataan maklumat dan hiburan yang bertentangan dengan budaya serta nilai ketimuran.

Titah baginda, gejala yang tidak sihat dalam kalangan remaja menerusi pencarian maklumat melalui internet seperti perjudian dan gejala pornografi mampu menggugat kerohanian serta minda remaja.

“Peranan ibu bapa sangat besar dan mereka seharusnya mendisiplinkan anak-anak untuk mendapatkan saluran maklumat yang betul daripada teknologi maklumat dan komunikasi ini.

“Ibu bapa perlu memantau anak-anak secara berterusan supaya anak mereka tidak menyimpang daripada landasan yang sepatutnya,” titah baginda ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) (SMJKC) Keat Hwa kali ke-41.

Berangkat sama, Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Baginda turut menasihatkan pelajar supaya kembali kepada pendidikan dan keagamaan serta menerapkan nilai murni dalam jiwa untuk menghadapi kesan negatif.

Baginda bertitah, institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan dan mantap dengan menerapkan nilai-nilai murni serta keagamaan dalam diri anak-anak.

Selain itu, titah baginda, guru sebagai tenaga utama dalam sektor pendidikan diberi tanggungjawab besar dalam menyediakan tenaga manusia untuk keperluan masa kini dan masa depan.

Titah baginda, impian negara untuk membina generasi muda yang cemerlang melalui transformasi jiwa sepenuhnya akan dapat dicapai apabila guru bersikap dedikasi dan komited terhadap kerjayanya.

“Kerjasama erat ibu bapa dan masyarakat dengan pihak sekolah haruslah ditingkatkan menerusi pelbagai program di sekolah untuk kemajuan pendidikan dan sahsiah anak-anak mereka.

“Permuafakatan positif antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat merupakan kunci kecemerlangan di sekolah,” titah baginda.

Baginda bertitah, usaha perlu dipertingkatkan dan jangan cepat berpuas hati demi kejayaan seterusnya.

Sunday, April 17, 2011

Sultan Kedah, rakyat terpukau

ALOR SETAR - Orang ramai cemas apabila melihat beberapa bot pasukan tentera mengejar bot pengganas di Tanjung Chali pagi semalam, yang turut mendapat bantuan sokongan kenderaan tempur dan kereta perisai kondor yang melepaskan tembakan dari atas jambatan.

Pada masa sama, beberapa penerjun membuat terjunan daripada ketinggian 8,000 kaki dengan membawa bendera Malaysia, Kedah, Angkatan Tentera Darat Malaysia, 10 briged para dan Majlis Sukan Negeri (MSN), diikuti bunyi letupan kuat.

Itulah sebahagian gimik pelancaran hampir 20 minit pasukan elit 10 briged para, Kem Terendak Melaka yang memukau hadirin, bagaikan pertempuran ala tentera sebagai kejutan pelancaran Temasya Sukan Sungai, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah ke-83.

Inilah gimik pelancaran terbaik setakat ini yang menyaksikan bot pasukan briged mengejar bot kumpulan pengganas yang membawa replika dayung pelancaran yang amat dikehendaki untuk disimpan di kubu pertahanan berupa bangunan putih.

Di atas jambatan, kenderaan tempur (Vamtac) menurunkan anggota menggunakan teknik ‘fast roping’ ke dalam bot sambil dibantu kereta perisai kondor yang memberi tembakan dari atas jambatan.

Serangan demi serangan menggempur kubu disertai letupan bom berangkai akhirnya berjaya merampas dayung untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim.

Prebet Khairul Hizuan Kamil dari pasukan 17 RAMD Para, anak jati Kedah diberi penghormatan melakukan ‘flying fox’ dari atas menara menyeberangi sungai membawa dayung untuk diserahkan kepada Panglima 10 Briged Para, Brigadier Jeneral Datuk Ismet Nayan Ismail, sebelum dipersembahkan kepada Tuanku oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Temasya Sukan Sungai, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib.

Pada temasya kali ke-80 ini, 10 kategori dipertandingkan pada pertandingan akhir, menyaksikan pasukan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) muncul juara antara Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juara pasukan beruniform, Pokok Sena bagi kategori antara daerah manakala Pejabat Zakat juara antara Jabatan Agama Islam /pejabat zakat.

Perak muncul juara antara negeri bagi perahu naga, Wisma Darul Aman kategori Istana Anak Bukit/Wisma Darul Aman/Yayasan Sultanah Bahiyah manakala Pegawai Tadbir Persekutuan menjuarai kategori pegawai tadbir, diikuti Bina Darulaman Berhad kategori sektor korporat.

Pasukan Puspanita pula berjaya merangkul kejuaraan bagi dua kategori, iaitu kenu perseorangan wanita vip dan kenu bergu wanita vip.

Acara kemuncak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara pasukan yang mencatatkan masa terbaik dalam kategori masing-masing, iaitu Mada, ATM dan Pemuda Tanjung Besar.

Keputusan memihak pada pasukan ATM dengan catatan masa 4 minit 21.1 saat, menewaskan pencabar terdekat, Mada (4 minit 21.5 saat), dan di tempat ketiga Pemuda Tanjung Besar (4 minit 30.1 saat).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuanku Abdul Halim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengarah Majlis Sukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Dr Hamdan berkata, temasya sukan air tahun ini memperuntukkan hadiah wang tunai sebanyak RM55,600 bagi tiga kategori iaitu kenu, perahu naga dan perahu panjang membabitkan lebih seribu peserta.

“Saya dapat berasakan penonton terpaku melihat persembahan mantap pasukan ini yang dijayakan oleh 140 anggota,” katanya.

Wednesday, February 16, 2011

Sultan Kedah - Bahaya bercanggah akidah



ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memberi amaran percanggahan akidah dan ideologi yang tidak terkawal dalam masyarakat boleh menyebabkan timbulnya perpecahan dan huru-hara dan akhirnya meruntuhkan sesuatu pemerintahan.

Baginda bertitah, sejarah perlembagaan Islam juga mencatatkan bahawa punca percanggahan akidah menjadi punca kepada hilangnya perpaduan dan akhirnya matlamat utama agama Islam untuk memberi kesejahteraan ummah terhapus.

“Dengan adanya sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan setiap tahun, bolehlah kita menghitung dan menghayati pengorbanan Baginda demi kesejahteraan umat manusia dan nikmat iman dan Islam adalah merupakan nikmat yang tidak terhingga dan paling berharga yang diberikan kepada kita.

“Perhimpunan kita hari ini (semalam) yang menggabungkan pelbagai lapisan masyarakat jelas membuktikan umat Islam itu bersatu dan berpegang teguh pada konsep persaudaraan Islam sebagaimana dianjurkan Rasulullah SAW.

“Beta yakin dan percaya selagi umat Islam berpegang teguh dengan konsep itu, selagi itulah umat Islam akan bersatu padu, hormat-menghormati satu sama lain dan berganding bahu dalam usaha memajukan masyarakat,”

Titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah bertemakan ‘Kita Adalah Ummah Yang Satu’ di Dewan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultanah Hamidah Hamidun.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Exco Pelajaran, Agama dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Kharudin Zain.


Baginda bertitah, agama Islam adalah agama yang suci dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan untuk menzahirkan rasa kasih sayang kepada Baginda lebih daripada kasih sayang yang lain adalah dengan membuktikan keluhuran iman dalam hati masing-masing melalui penyempurnaan tanggungjawab terhadap suruhannya dan menjauhi larangannya.

Titahnya, sesungguhnya tertegak agama Islam adalah hasil pengorbanan Rasulullah dan sahabatnya, dengan penuh kesabaran dan mempunyai semangat yang kental untuk berjihad dalam menegakkan agama Islam kerana Baginda pembawa rahmat ke seluruh alam.

“Dengan demikian, tidak wajarlah kita mengundurkan diri dari perjuangan yang dimulakan Baginda dalam menegakkan syiar Islam di atas muka bumi Allah ini.

“Hari ini, adalah menjadi giliran kita sebagai umat Islam untuk menyambung tugasan itu yang menjadi satu kewajiban untuk ditunaikan,” titah baginda.[sinarharian]