Showing posts with label Ramadan. Show all posts
Showing posts with label Ramadan. Show all posts

Wednesday, August 15, 2012

Usah 'jadi lembu' pengakhiran Ramadan ini

Oleh Lanh

PADA hari-hari menjelang Raya ini terkenang saya akan 'seni kerja tangan unik' orang tua-tua Melayu-Melaka yang sudah pupus. Jika pembaca anak Melaka yang membesar pada tahun-tahun 70-an atau lebih awal, mungkin perasaan kerja tangan mudah ini ketika berkunjung ke rumah-rumah orang veteran.

Ketika era 1960-an, saya cukup teruja dengan susunan botol-botol berisi air berwarna yang dipamerkan di rak-rak yang orang Melaka panggil para. Ada barisan air berwarna merah, hijau, biru dan sebagainya. Apabila botol-botol air warna yang sama bentuk dan saiznya disusun sedemikian rupa (mungkin 20 atau 30 botol), ia dengan serta-merta menjadi tarikan kanak-kanak seperti saya ketika itu. Ada kalanya ketika cahaya matahari menyimbah ke dalam rumah dan mengenai botol-botol berwarna itu, ia menghasilkan cahaya berwarna yang sungguh cantik (bagi sayalah ketika itu).

"Nek, nak air sirap tu!" pinta saya, tak tahan melihat 'godaan' air berkilauan itu. Tetapi sungguh memeranjatkan apabila tuan rumah yang saya panggil 'nenek' itu dengan lembut memberitahu saya bahawa air itu bukan untuk diminum. Ia hanya sebagai perhiasan saja! Sungguh menghairankan saya, 'air secantik' itu hanya menjadi hiasan, kalaulah boleh masuk ke dalam tekak saya, tentu sedappp!


Lama kemudian barulah saya tahu, 'air cantik' itu dihasilkan daripada air yang direndam dengan kertas warna. Air itu kemudian ditapis; sisa kertas warna dibuang manakala air dimasukkan dalam botol-botol berkenaan. Botol-botol itu kemudian disusun di para-para, biasanya para di atas sekatan ruang tamu dan dapur supaya tetamu dapatlah melihat dengan jelas keindahan botol-botol berisi air berwarna itu! Ya hasil seni ini cantik tetapi awas, airnya bukan untuk diminum!

Sekarang ini tiada satu pun rumah orang Melayu yang saya kunjungi pada hari raya ada dipamerkan air berwarna. Ia hanya berada dalam memori orang seangkatan saya atau orang lebih tua. Sempena kehadiran penghujung Ramadan ini, teringat juga saya 'kerja seni' orang lama Melayu-Melaka yang bermati-matian membuat kuih tradisional untuk sambutan hari raya. Antara kuih itu adalah dodol dan wajik.

Dodol seolah-olah hidangan kemestian pada hari raya. Hampir setiap rumah, anggota keluarganya akan terbabit membuat dodol. Kerja membuat dodol terutama mengacaunya amat berat dan lama. Berdasarkan pengalaman saya, sebaik saja selepas sahur, kuali besar sudah diletakkan di atas tungku, api mulai dinyalakan dan santan dituang dan dikacau. Kerja mengacau kelihatan mudah, tetapi awas, bahan dikacau itu semakin lama semakin pekat dan likat, maklumlah selepas dimasukkan gula melaka dan sebagainya. Kerja mengacau itu tersangat lama, mungkin hanya berakhir selepas zuhur atau asar!

Pertengahan waktu sebelum dodol masak adalah saat ditunggu kanak-kanak seperti saya (belum balighlah) kerana kami akan dipanggil beramai-ramai untuk makan dodol cair yang diseduk dan diletakkan di atas daun pisang. Ya, di kalangan keluarga kami, hanya kanak-kanak yang dibenarkan makan dodol cair itu, orang dewasa tidak sama sekali.

Namun saya dimaklumkan, di sesetengah tempat, ada orang tua pun mencuba dodol yang sedap itu apatah lagi mereka sudah berlalu penat, berhempas pulas 'mendayung' (mengacau) dodol dari subuh sampai asar. Mereka tak puasa pun. Ada yang tertinggal solat subuh, zuhur dan asar kerana leka membuat dodol.

Sama seperti 'seni' membuat 'air warna', 'seni' membuat dodol pun sudah mati. Sudah puluhan tahun, saya tidak lagi 'mengacau' dodol. Kalau teringin makan dodol 'order' saja atau pergilah ke gerai-gerai di tepi jalan. Tetapi semua itu tidak dapat menyaingi 'dodol cair' yang saya nikmati puluhan tahun lalu!

Kalau ada orang boleh tak puasa kerana dodol, hari membantai (bergotong royong menyembelih lembu, kambing) menjelang Aidilfitri juga menjadi penyebab segelintir orang tak puasa. Mereka berkata nak rasa daging baru. Namun sama seperti 'seni' membuat dodol, acara membantai juga kian pupus. Kebanyakan urusan sekarang dilakukan secara komersial.

Sekarang ini akan muncullah gerai-gerai menjual daging di tepi jalan menjelang hari berbahagia itu. Namun apa yang saya perhatikan, ada orang bagaikan 'sudah jadi lembu' dalam mengendalikan perniagaan. Siang malam dengan bisnes lembunya malah tengah hari Jumaat ketika orang sibuk ke masjid, mereka tetap tekun di gerai daging lembunya.

Demikian juga orang yang terbabit dalam bisnes lain dan para pembeli. Siang malam, berniaga dan 'bershopping' sakan untuk beraya. Tidak kira waktu sembahyang ke, malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan ke, mereka tidak peduli. Yang penting hajat mereka untuk melaram raya ini tercapai.

Kesimpulannya, ingatlah wahai diri sendiri terutamanya dan semua, janganlah kita 'jadi lembu' pada hujung Ramadan ini dengan membuat perkara atau 'seni sia-sia' sebaliknya berusaha keras untuk mendapatkan tawaran istimewa Allah SWT termasuk dalam memburu Lailatulqadar-Nya!

Monday, August 13, 2012

Jika hangpa nak cari pasai puasa 2 blan berturut-turut hangpa buatlah benda nie...!!!

 HUKUM BERSETUBUH PADA BULAN RAMADHAN

Diwajibkan Kaffarah Al-Uzma – iaitu membebaskan hamba yang beriman – sekiranya tidak didapati maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, kalau sekiranya tidak mampu hendaklah memberi makan kepada 60 orang yang miskin – Sebagai hukuman kepada sesiapa yang merosakkan puasanya satu hari dibulan ramadhan dengan bersetubuh dengan sengaja.

Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, katanya: Celaka aku, wahai Rasulullah. Nabi s.a.w berkata: Apakah yang mencelakakan engkau? Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: Tidak sanggup. Rasulullah s.a.w berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?. Jawab lelaki itu: Tidak mampu. Kata Rasulullah s.a.w: Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?. Jawab lelaki itu: Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada Nabi s.a.w dengan memberi satu bakul besar berisi tamar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekahkanlah kurma ini. Kata lelaki itu: Kepada siapakah?. Kepada yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. Nabi s.a.w tertawa sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu.


(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun Kaffarah tidak kena kepada orang perempuan. Begitu juga dengan orang yang bermusafir tidak kena kaffarah baginya kalau sekiranya melakukan persetubuhan dengan niat menggunakkan Rukhsah ( kelonggaran untuk tidak berpuasa ketika musafir ) kerana berbuka harus baginya . Tidak kena kaffarah juga bagi mereka yang bersetubuh dengan sangkaan bahawa hari masih malam walaupun hari sudahpun lebih daripada waktu terbitnya fajar.

Thursday, August 9, 2012

[Seruan Wajib] Kerahan Tenaga Untuk Semua Ahli PAS...

  Kerahkan ahli-ahli PAS berqiyamullail 10 malam terakhir

Himpunan Kuning, Hijau, Merah, Oren... boleh himpun beribu2 manusia. Jom pi berhimpun kat masjid pulak 10 malam terakhir Ramadhan!!!

Oleh: ZUKIFLI YAHAYA

PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

Andaian Presiden itu ada logiknya, kerana antara cabaran utama BN ialah undi golongan menengah dan terpelajar, khususnya yang berhijrah ke Lembah Kelang. Mereka sangat terdedah dengan maklumat, justeru majoritinya tidak memihak kepada kerajaan BN yang yang sudah terlalu tua dan korup. Ketakutan BN bukan sangat kerana undi mereka, kerana setiap seorang yang pulang mengundi di kampung hanya membawa satu undi. Tetapi ketakutan BN ialah kuasa mempengaruhi yang dimiliki oleh golongan terpelajar.

Jika benar apa yang diramalkan oleh Tuan Guru bermakna PAS sebenarnya dihadiahkan dengan mesin penjana kekuatan ke arah kemenangan iaitu sebuah bulan Ramadhan. Jika PRU13 berlaku sebaik selesainya Ramadhan bermakna seluruh amilin PAS baru selesai menjalani tamrin yang lumrahnya akan mendekatkan perjuangan Islam dengan kemenangan.

Hari ini beberapa negara Arab yang tidak pernah mengecapi demokrasi tetapi apabila sekali mereka berpeluang memperolehinya kumpulan Islam yang tertindas sejak berdekad mula beroleh kuasa atau sekurang-kurangnya mempunyai suara yang lebih lantang di Parlimen, berbanding zaman mereka ditindas.


Di dunia Arab dan di Nusantara, gerakan Islam tidak pernah memiliki kekuatan logistik atau keupayaan fizikal yang lebih besar dari kumpulan sekular. Di Malaysia, PAS berbanding UMNO atau mana-mana parti kerajaan adalah ibarat semut dan gajah dari aspek kekuatan lahiriah tetapi ‘semut yang tertindas’ ini mampu mempertahankan kerajaan Kelantan selama 22 tahun berturut-turut.

Semua kita di seluruh negara nampak bagaimana Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta kepimpinan yang berteraskan ulamak di Kelantan memantapkan kerohanian ahli-ahli PAS serta mentarbiah rakyat dengan Islam. Saya teruja dengan kesungguhan kerajaan negeri membuat pengisian pengimarahan Ramadhan dengan peruntukan khas RM1 juta. Bukan pertama kali tetapi berkali-kali pemimpin-pemimpin PAS yang memahami tarbiyah menegaskan bahawa ‘kekuatan kita untuk mengalahkan musuh bukan kerana kekuatan lahiriah yang dimiliki tetapi kekuatan keimanan, manakala maksiat yang kita lakukan boleh menjadi sebab untuk musuh mengalahkan kita.’

Peristiwa Badar di bulan Ramadhan adalah iktibar terbaik untuk memenangi peperangan. 313 tentera Muslimin dengan senjata seadanya, dua ekor kuda dan 70 ekor unta mengalahkan tentera musuh dengan 1000 tentera kafir Quraisy dengan 600 pakaian perang, 100 kuda dan 700 unta. Rahsianya ialah kekuatan iman, taqwa dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Rahsia umum itu kemudiannya diguna pakai oleh semua tentera Islam (yang beriman) di semua peperangan yang membawa kemenangan. Kita diceritakan dengan sejarah masyhur para sahabat yang menang kerana bersugi dan Salahudin Al-Ayubi yang mengusir sekumpulan tenteranya pulang hanya kerana ‘kesalahan’ tidak berqiyamullail yang akhirnya membawa kemenangan.

Bertarung di medan perang atau di medan demokrasi, pertembungan antara hak dan batil sama saja bagi kumpulan Islam. Perkara paling asas ialah kekuatan iman dan taqwa. Musuh mempunyai kekuatan 3M (machinery, media, money) iaitu jentera kerajaan yang disalahgunakan, media yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Pusat dan wang untuk merasuah pengundi. Kekuatan itu tidak dimiliki oleh PAS tetapi terbukti di dunia ini kekuatan seperti itu mampu dikalahkan oleh kumpulan yang beriman dan bertaqwa.

Sepanjang separuh abad PAS telah menyampaikan penerangan melalui pelbagai kaedah, berdemonstrasi, berhimpun menunjukkan kekuatan serta memasyarakatkan PAS dengan pendekatan lunak untuk memikat masyarakat. Semuanya dibuat secara bersunguh-sungguh dan besar-besaran.

Membina kekuatan kerohanian di bulan Ramadhan pun sepatutnya begitu. Perlu digembelengkan secara bersunguh-sungguh dan besar-besaran, cuma tidak perlulah diwar-warkan untuk menang pilihanraya, tetapi untuk kemantapan kerohanian amilin PAS.

Terlalu banyak ibadah khusus yang muncul di bulan Ramadhan yang boleh diperkasakan dalam program tersusun. Banyak juga ibadah biasa yang boleh diperkasakan di bulan Ramadhan. Dalam banyak yang boleh dilakukan, apa kata kalau seluruh ahli PAS di seluruh negara dikerahkan untuk menghidupkan ibadah atau munajat di sepuluh malam terakhir. Memang sudah ada yang melakukan tetapi masih ‘segelintir’ berbanding beratus ribu ahli PAS.

Mereka pernah digerakkan ke himpunan kuning, hijau, merah dan oren. Kerahkan mereka keseluruh masjid dan surau untuk mengimarahkan 10 malam terakhir. InsyaAllah PAS akan lebih kuat berbanding dengan memiliki 1000 orang pemidato di pentas ceramah. Yakinlah!

Thursday, August 2, 2012

Apa khabar puasa kita?

oleh Idris Ahmad

Ramadhan sudah berlalu hampir separuh. Nampaknya masa berjalan begitu cepat sekali. Semua orang merasakan terlalu pantas masa berjalan, sehingga tidak sedar bahawa puasa sudah hampir separuh Ramadhan. Benarlah ini tanda akhir zaman sebagaimana nabi SAW peringatkan . Sabda Rasulullah SAW

“Tidak berlaku kiamat sehinggalah jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti sehari. Sehari seperti sejam. Sejam seperti api yang menyambar bahan bakar”.

Cuba kita bayangkan dulu jika kita berpuasa memang terasa begitu lama. Sekarang sebaliknya. Ini adalah petanda dunia sudah tua, ia akan menemui ajal yakni kiamat.

Bagi kita ahli Pas rebutlah peluang Ramadhan yang masih berbaki, terutama di malam sepuluh terakhir bagi merebut Lailatul Qadar. Perbanyakkan berdoa kerana ia adalah senjata mukmin yang paling kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan. Mohonlah kepada Allah agar Allah berikan kekuatan Iman dan istiqamah dan kemenangan kepada perjuangan Islam di negara ini.
Beberapa perkara yang boleh kita muhasabah diri kita apabila separuh Ramadhan berlalu. Apakah ada peningkatan amal kita di dalam amalan sunat kita di dalam bulan Ramadhan ini. Jika tidak, cepat-cepat perhebatkan, kerana masih ada peluang. Ramadhan ialah bulan ibadah. Semua amalan digandakan oleh Allah yang maha pemurah kepada kita. Sebagaimana Nabi SAW bersabda “Siapa yang melakukan satu fardhu digandakan sampai tujuh puluh fardu, siapa yang melakukan amalan sunat, maka ia menyamai satu fardu”.

Ayuh jangan lepaskan peluang ini. Perbanyakkan amalan sunat kerana ia menampung kekurangan amalan fardu yang kita lakukan selama ini.

Solat tarawih jangan diabaikan. Tidak kiralah berapa kita mahu amalkan dari segi bilangan rakaat. Tidak perlu perbesarkan soal bilangan rakaat, kerana ia hanya sunat muakkad. Kesemuanya ada hujah masing-masing. Tidak perlulah polimik bilangan ini dibawa ke dalam jamaah sehingga membawa kepada masam muka di kalangan ahli jamaah. Perkara yang sudah lama dibincang sejak dahulu lagi. Apa yang penting ialah kita buat. Bukan perkara bilangan yang hendak kita polimikkan. Tidak ada makna jika perkara ini diperbesarkan sedangkan masalah Islam dihina, hukum Allah diketepikan, penindasan dan ketidak adilan berluasa di dalam masyarakat.

Apa yang penting, biarlah ruh tarawih dihayati oleh kita semua. Tidak ada makna jika buat lapan atau dua puluh, tetapi ruhnya hilang. Biarlah buat dengan tenang dan tertib. Imamnya membaca dengan keadaan tartil dan tenang.

Janganlah kita sebagai pejuang Islam sibuk hendak mencari imam yang cepat habis solat.
Tidak elok sangatlah kita jika kita bersikap sedemikian. Tarawih hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja, tidak seperti ibadah lain setiap hari dan sepanjang bulan. Siapa boleh jamin kita mampu bertemu lagi di bulan Ramadhan akan datang. Berapa ramai kenalan, ahli keluarga, jiran kita yang tidak diberi peluang oleh Allah untuk bertemu Ramadhan pada tahun ini. Mungkin tahun depan kita juga tidak sempat bertemu Ramadhan. Oleh itu anggaplah Ramadhan ini terahir kepada kita. Azamlah terbaik untuk Ramadhan pada kali ini.

Bagaimana pula dengan al-Quran? Sudah berapa juzuk dihabiskan?. Mesti berazam supaya al-Quran dapat dikhatamkan. Amat memalukan kita sebagai ahli Pas terutama yang bertaraf pemimpin daripada pusat sehingga cawangan jika tidak mampu menghabiskan al-Quran sepanjang Ramadhan ini. Apa makna al-Quran menjadi rujukan parti, jika kita tidak membaca. Ketika masyarakat menolak kandungan al-Quran, jangan pula kita sebagai pejuang agama Allah tidak membaca al-Quran. Kerana membaca al-Quran adalah ibadah yang terbaik. Sebagaimana nabi SAW bermaksud “Sebaik-baik ibadah ialah membaca al-Quran”

Sesibuk mana sekalipun al-Quran tidak boleh disampingkan. Kita mampu habiskan al-Quran di dalam Ramadhan jika disiplinkan diri. Kebiasaan satu juzuk mempunyai 10 helai. Jika setiap waktu sebelum dan selepas solat sehelai insyaAllah, lima waktu dapat satu juzuk. Ertinya jika sebulan dapat khatam al-Quran.

Alhamdulillah kebanyakan masjid di kendalikan oleh orang yang minat dnegan Islam akan mengadakan tazkirah. Ini merupakan langkah yang bijak untuk proses pencerahan ilmu di dalam masyarakat. Kesempatan ini diambil dengan kehadiran mereka yang tidak berapa jinak dengan masjid. Selalunya akan hadir ke masjid untuk menunaikan solat tarawih. Cuma perlu ada kebijaksanaan untuk menghuraikan isi tazkirah yang membangkit kesedaran beragama dan rasa ingin kepada akhirat. Biarlah masanya jangan melebihi 30 minit, isinya tepat dan padat. Bagi ahli Pas jangan lepaskan peluang ini untuk mendapat motivasi dan maklumat yang membolehkan kita istiqamah di dalam perjuangan berlandaskan ilmu. Penuhilah dan renunglah butir-butir mutiara yang dikeluarkan oleh pentazkirah agar ia boleh menghidupkan hati supaya terus bersinar di dalam diri kita.

Ambillah peluang untuk sama-sama bangun dan bermunajat kepada Allah terutama di waktu dini hari (sahur) kerana ia adalah waktu yang mustajab Allah perkenankan permintaan hambanya. Perjuangan kita amat kritikal kehadapan. Musuh tidak akan biarkan kita meraih kemenagan dengan permaidani merah, mereka akan buat apa sahaja asalkan cita-cita mereka tercapai. Soal moral, dosa, pahala, syurga, neraka bukan perhitungan mereka. Mereka sudah buta hati dan hilang rasioanal. Apabila dunia sudah beraja di hati, maka agama diketepikan di dalam tindakan mereka. Maka Allahlah yang mesti dijadikan tempat pengaduan kita, dan penyerahan yang bulat kepadanya. Tidak ada kuasa yang akan dapat menandingi kuasa Allah. Firaun, Namrud, Haman megah dengan kuasa akhirnya tersungkur dengan kehendak Allah SWT.

Tuesday, July 31, 2012

Ops Makan telah di Gerakkan di Alor Setar

Jual nasi dalam bonet kereta
Wartawan Sinar Harian
31 Julai 2012
Jual nasi dalam bonet kereta
Anggota penguatkuasa menunjukkan bungkusan minuman yang diletakkan di bahagian bonet kereta.
 
Jual nasi dalam bonet kereta
Sayur kacang yang siap dimasak antara barang yang dirampas.
 
ALOR SETAR- Tanpa rasa segan atau malu, peniaga makanan dan minuman sanggup melanggar syarat waktu perniagaan di bulan Ramadan semata-mata untuk memberi kemudahan kepada kaki ponteng puasa mendapatkan makanan sebelum jam 3 dan waktu berbuka.

Gerai yang berselindung di sebalik kenderaan pacuan empat roda dan ditutup menggunakan kain kanvas di Jalan Gangsa mula menjadi tumpuan kaki ponteng kira-kira dua hari lalu apabila menyediakan nasi, lauk dan minuman kepada pembeli.

Pembantu gerai ketika ditemui berkata, perniagaan yang mula dijalankan pada jam 9.30 pagi dan mula dikunjungi pengunjung sekitar jam 11 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung terutama kaki ponteng puasa.

Dia berkata, kebiasaannya pengunjung yang membeli bungkusan makanan di gerai itu akan berselindung di sebalik topi keledar yang dipakai.

“Nasi berlauk ayam gulai dan ikan kembung goreng dijual dengan harga sekitar RM4 manakala minuman seperti air sirap dijual dengan harga RM1.

“Kebiasaannya saya akan membeli ikan atau bahan lain lalu terus dibawa ke sini dan kami akan memasak sebanyak lima kilogram (kg) beras untuk satu hari,” katanya kepada pemberita pada Ops Ramadan yang dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Sinar Harian mendapati biarpun gerai yang menjual lauk seperti ayam dan ikan goreng, sayur kacang panjang dan minuman itu kotor serta dipenuhi lalat namun ia masih mendapat sambutan daripada pengunjung.

Lebih teruk apabila terdapat perangkap tikus yang diletakkan bersebelahan dengan pembakar ikan di bawah kabinet makanan.

Jual dalam kawasan semak

Operasi yang turut dijalankan di kawasan Terminal Bas Shahab Perdana juga mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang menunggu pelanggan membeli nasi dan minuman bungkus yang telah disediakan.

Lelaki yang berusia 55 tahun itu meletakkan bungkusan makanan minuman sejuk di dalam plastik hitam dan diletakkan di bahagian bonet sementara menunggu pelanggan.

Lelaki yang menjadikan kawasan tersembunyi berhampiran kawasan semak itu kelihatan tidak senang duduk apabila perniagaannya diserbu penguatkuasa.

Modus operandi bertukar

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Bahagian MBAS, Saifullizam Othman berkata, hasil dua hari operasi itu dijalankan sejak kelmarin, sebanyak sepuluh premis telah diserbu.

Saifullizam berkata, tahun ini modus operandi peniaga yang beroperasi sebelum jam 3 petang telah bertukar kepada menjual makanan dan minuman yang siap dibungkus menggunakan kenderaan seperti kereta.

“Sepanjang Ops Ramadan ini dijalankan, kita telah menyerbu 10 lokasi perniagaan yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman sebelum jam 3 petang termasuk empat perniagaan yang dijalankan menggunakan kereta.

“Empat lokasi yang menjalankan perniagaan di dalam bonet kereta yang berjaya kita kenal pasti adalah di Mergong, Alor Janggus dan Gunung Keriang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saifullizam berkata, peniaga turut memberi kemudahan kepada pelanggan mereka dengan memberikan harga pakej sekitar RM5 untuk nasi berlauk dan minuman.

Dia berkata, operasi yang membabitkan 15 anggota di bawah pasukan khas yang ditubuhkan untuk Ops Ramadan ini akan dijalankan secara berterusan sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai MBAS 2012, kompaun sebanyak RM300 dikenakan kepada mereka yang menjalankan perniagaan makanan sebelum jam 3 petang.

“Peniaga boleh mengambil barang mereka semula selepas jam 3 petang dengan membayar kompaun dan kos pengalihan yang bergantung kepada barang yang dirampas.

“Tindakan yang dilakukan ini bukan bertujuan menghukum peniaga malah ia untuk mengelakkan peniaga menjalankan perniagaan di luar waktu yang ditetapkan,” katanya.

Gempar..!! Ada kejadiah aneh berlaku pada seluruh masjid dalam negara yang tak dihebahkan..

 Gempar!! Peristiwa Aneh Berlaku Di Malaysia Malam Awal Ramadhan



Suatu perkara aneh telah mengejutkan umat Islam di sebuah negara yang diberi nama Malaysia yang telah berlaku kira-kira jam 8 hingga 10 malam tadi. Keanehan ini dijangka akan bertahan selama satu minggu atau dua minggu lagi.

“Saya terkejut!” kata seorang saksi memulakan ceritanya. “Semalam, masjid ini, besar dan luas,” sambungnya. “Tiba-tiba sahaja malam ini, masjid ini menjadi sempit dan kecil, terutamanya menjelang waktu isyak tadi.”

Perkara aneh, di mana masjid-masjid dan surau-surau di Negara ini menjadi kecil dan sempit berlaku, hampir di seluruh Negara pada malam ini.



Keanehan ini, amat dirasakan oleh umat Islam yang setiap hari atau selalu ke masjid sebelum ini. Namun bagi yang baru mengunjungi masjid atau surau pada malam ini, tidaklah dapat menyedari keanehan yang berlaku itu.

AJK kepada beberapa buah masjid dan surau dikatakan, sedang memikirkan untuk menuntut peruntukan daripada kerajaan bagi membesar serta meluaskan masjid dan surau mereka bagi menghadapi perkara aneh yang berlaku secara tiba-tiba ini.

Umat Islam, dinasihatkan supaya pergi ke masjid awal untuk mendapat tempat yang lebih selesa bagi menunaikan ibadah pada malam-malam yang akan datang. ~jomberita.com

Sunday, July 29, 2012

Mangsa Mercun Bola....

Dua cedera, mangsa pertama letupan mercun
Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun
Kanak-kanak berusia sembilan tahun, Tuan Mohd Hafiz setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup ketika bermain mercun itu di Kampung Kuala Kangkong. - Foto Bernama
 
Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun
Mohd Sohibullah, 27, dipercayai mungkin buta mata di sebelah kirinya, cedera di bahu dan tangan kiri setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup.
 
ALOR SETAR - Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, kanak-kanak terbabit Tuah Mohd Hafiz Mohd Razli, 9, cedera di dahi dan badan sementara jirannya Mohd Sohibollah Saad, 27, cedera di mata, bahu dan tangan kiri.
Mercun bola itu dibeli Mohd Sohibollah di Bazar Ramadan di Tandop dua hari lepas dan merancang untuk bermain bersama Tuah Mohd Hafiz sementara menunggu waktu berbuka puasa, petang semalam.

"Masa kejadian...saya yang pegang mercun dan dia menyalakan api sebelum sumbu mercun tersebut jatuh ke dalam bekas plastik berisi 40 biji mercun," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam semalam.

Katanya, sumbu mercun yang terjatuh dan masih menyala itu tidak sempat dibuang dari bungkusan mercun bola yang berada berdekatan.
 
Rentetan itu, satu letupan kuat berlaku dan Mohd Hafiz terpelanting dan tidak sedarkan diri, kata Mohd Sohibollah yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini.

Katanya, panik dengan keadaan yang menimpa Tuah Mohd Hafiz, dia segera mendapatkan bantuan jiran dan kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Empat sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Mohd Ghazali berkata Sohibollah telah selesai menjalani pembedahan pada matanya dan kini ditempatkan di wad mata hospital berkenaan.

"Dia ditempatkan di wad itu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan yang dialaminya," katanya ketika dihubungi.

Sementara Tuah Mohd Hafiz yang sebelum ini dirawat di wad Kanak-kanak HSB telah dibenarkan pulang.- Bernama

Friday, July 20, 2012

Demi Kemuliaan Ramadhan - Hapuskan Segala Kezaliman

As-Sunnah mendidik kita agar mempersiapkan diri menghadapi ramadhan iaitu sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Ramadhan. Ini dapat dihayati melalui doa yang sering dibaca oleh nabi SA

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”

Islam bukan agama untuk urusan rasmi seperti yang digambarkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun: iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi sahaja tanpa penghayatan mendalam.

Menghayati Islam sepenuh jiwa kita mampu menterjemahkan maksud Ramadhan iaitu kepanasan. Atau secara lebih mendalam ialah orang yang berpuasa akan diampunkan dosa dan disucikannya.


Hapuskan Segala Kezaliman

Demi kemuliaan Ramadhan, kami menyeru agar semua berganding bahu untuk menghapuskan segala kezaliman yang berlaku. Baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Hak-hak rakyat perlu dijaga dengan penuh amanah. Kerana setiap yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan nanti

Kami mendesak pihak kerajaan supaya melepaskan tahanan ISA. Dalam masa yang sama isu-isu lama yang tidak diadili dengan baik, perlu dirujuk semula contohnya isu Memali dan sebagainya

Isu Memali bukan sekadar isu agama, tetapi ia merangkumi isu keadilan dan kemanusiaan, yang sehingga kini tiada bukti yang boleh menjatuhkan kesalahan terhadap mereka (Almarhum Ustaz Ibrahim)

Jauhi Fitnah dan Mencela

Dr Mahjah Ghalib iaitu Profesor di Universiti Al-Azhar memberi saranan kepada umat Islam sebelum menghadapi Ramadhan agar menjaga lidah dari keceluparan.

Apa gunanya puasa sekadar menahan mulut dari memakan makanan, tetapi dalam masa yang sama mulut itu juga menghampurkan fitnah sesuka hati

Sewajarnya media massa perlu dipergiatkan untuk merebut ganjaran pahala sempena Ramadhan bukannya menjadi bebanan yang cukup menyeksakan di akhirat kelak

Dan jangan sesekali menafikan keistimewaan orang yang berpuasa iaitu mereka tidak dicela, seperti hadis yang direkodkan oleh al-Dailami iaitu "Tiga golongan tidak dicela sekalipun buruk rupanya: Orang yang sakit, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan pemerintah yang adil."

Kendurkan Api Kemarahan dan Kebenciaan

Sama ada parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, cuba cari ruang perbincangan sebelum melakukan apa-apa tindakan yang agak agresif.

Dr Ezzat Atiyyah, Profesor Universiti Al-Azhar, menyuruh kita membiasakan diri menahan kemarahan sebelum bermulanya Ramadhan, agar semasa Ramadhan kita mendapat bonus kerana mampu mengawal diri daripada marah.

Tidak bermaksud di sini supaya kita mendiamkan diri walaupun teruk dizalimi, tetapi yang dimaksudkan ialah kita cuba mencari kaedah pendamaian terlebih dahulu.

Pihak Barisan Nasional selaku parti yang memerintah, seharusnya membuka seluas-luasnya ruang dialog atau perdebatan bukannya mencari dalih dengan mengatakan debat bukan budaya kita.

Demi Kemuliaan Ramadhan

Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan amalan kita semasa bulan Ramadhan. Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah semasa Ramadhan. Kualiti Ramadhan boleh dipertingkatkan dengan menghayati Ramadhan dalam kehidupan kita secara holistik.


Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia

Friday, August 26, 2011

Jadi pemandu yang bertimbang rasa - Berhati-hati di Jalan Raya...




KALAU diizinkan Tuhan, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa depan. Selepas sebulan berpuasa, pastinya semua orang mahu menyambut hari penuh bahagia itu bersama mereka yang tersayang di kampung halaman.

Sudah menjadi amalan pada setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan pulang ke kampung. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, kota-kota besar terutama Kuala Lumpur akan ditinggalkan sepi untuk beberapa ketika.

Sementara bandar-bandar seperti Kota Bharu, Kuantan, Ipoh atau Seremban akan berubah wajah menjadi sangat sesak dengan kenderaan. Jumlah kenderaan bertambah berlipat kali ganda.

Sesaknya tidak ubah seperti di lebuh raya Persekutuan ketika orang ramai hendak pulang untuk berbuka puasa. Maklumlah, ramai yang hendak menayangkan kereta baharu mereka kepada orang kampung.

Baiklah, semua persiapan raya telah dibuat. Baju Melayu dan baju kurung sudah diambil dari kedai jahit. Kuih-kuih raya dan kerepek untuk hidangan tetamu di pagi Syawal pula telah siap dibeli serta diletakkan di dalam kereta.

Tetapi, adakah kenderaan anda sudah bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh dan panjang itu? Bagaimana pula dengan persediaan anda sendiri sebagai seorang pemandu? Sudah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya? Semua ini penting kerana selain masalah kenderaan, sikap pemandu merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan.

Rancang perjalanan

Sebagaimana yang biasa dibuat, kita akan sibuk pergi ke bengkel untuk membolehkan kereta diservis. Bagi mereka yang memang tidak pernah tertinggal membuat penyelenggaraan secara berkala, besar kemungkinan kenderaan berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, ambillah sedikit masa untuk membuat pemeriksaan ringkas.



PIHAK polis akan menjalankan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.



Bagi anda yang bakal berjalan jauh seperti ke negeri Utara atau Pantai Timur, pastikan perjalanan ke kampung dirancang. Ambil perhatian terhadap jadual waktu perjalanan yang diumumkan oleh pengendali lebuh raya seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Jadual waktu itu cukup kritikal dalam memastikan perjalanan di lebuh raya dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.

Anda mahu memulakan perjalanan selepas berbuka? Janganlah makan sehingga tidak ingat dunia. Ia hanya akan membuatkan mata berat ketika memegang stereng. Jika mengantuk, ambil masa untuk berehat di R&R. Setelah tubuh kembali segar, mulakan semula perjalanan.

Jangan berhenti di tepi jalan

Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa menempuh kesesakan teruk dalam tempoh yang lama di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan pada menjelang hari raya tahun lepas.

Situasi ini memang menghairankan kerana lebuh raya Karak jarang sekali menjadi terlalu sesak. Selepas melepasi azab itu, barulah tahu bahawa tiada apa yang berlaku sebenarnya.

Tiada kemalangan atau sebagainya. Tetapi kesesakan itu berlaku kerana banyak kereta berhenti di tepi jalan. Antaranya untuk merokok dan pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku! Ini sememangnya situasi yang tidak perlu ditempuh jika kita semua tidak berhenti sesuka hati di tepi jalan.

Sebagai seorang yang gemar memandu pada waktu malam, saya sentiasa berdepan dengan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa.

Memasang lampu tinggi sepanjang perjalanan memang menyakitkan hati orang yang memandu di hadapan dan bertentangan dengan anda. Sakit hati makin bertambah jika lampu itu mengalahkan lampu sorot stadium. Silap-silap, sampai rumah boleh jadi sakit kepala.

Jadi, sila peka dengan persekitaran anda. Rendahkan lampu jika ada kenderaan di hadapan dan di laluan bertentangan. Ini juga merupakan salah satu tanda anda menghormati pengguna jalan raya yang lain.

Pandu di lorong yang betul

Kita mempunyai kecenderungan yang berbeza ketika memandu. Ada yang gemar memandu laju dan ramai juga bersikap sebaliknya. Itu tidak salah jika anda berada di lorong yang betul.



MENERIMA surat saman daripada pihak berkuasa pastinya bukan pengalaman indah ketika balik beraya.

Jangan sekali-kali memandu perlahan di lorong laju. Mungkin perkara ini kedengaran remeh, tetapi tidak sedikit yang bersikap sedemikian. Memandu perlahan di lorong laju bukan sahaja melambatkan perjalanan orang lain, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu di belakang tidak tahu kelajuan sebenar kenderaan anda.

Pasti ramai antara kita yang akan melalui lebuh raya bertol. Di sini, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesesakan di tol.

Pertama, gunakan kad Touch N Go atau Smart Tag untuk melancarkan perjalanan. Pembayaran tol secara manual hanya melambatkan perjalanan.

Sila pastikan juga anda tidak memotong barisan ketika hendak membayar tol. Perbuatan sebegitu memang tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.

Lorong Kecemasan

Lorong kecemasan adalah untuk hal-hal kecemasan seperti sakit tenat dan sebagainya. Jadi, hal anda untuk bermain mercun dengan anak saudara di kampung atau hendak merasa rendang yang dibuat ibu untuk hari raya esok bukan kecemasan.

Menggunakan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kesesakan apabila kenderaan mula mencelah-celah untuk memasuki ke laluan utama kerana lorong kecemasan itu sudah tiba di penghujungnya.

Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah tahu kemampuan dan kekangan kenderaan anda. Maksudnya, pandulah kereta secara selamat. Jangan pandu Myvi mengalahkan BMW 5 Series lajunya.

Walaupun pihak berkuasa akan melaksanakan operasi sepanjang cuti hari raya ini, ia tidak akan mampu mengurangkan kadar kemalangan jika kita sebagai pemandu tidak mengambil langkah berhati-hati di jalan raya.

Akhir kata, patuhi semua undang-undang lalu lintas. Jadilah pemandu berhemah dan bertimbang rasa. Selamat menyambut hari raya dengan gembira!

Thursday, August 25, 2011

Kerajaan Negeri tidak lupa tunai tanggungjawab sosial



ALOR SETAR,– Seramai kira-kira 940 orang ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf telah diraikan dalam majlis berbuka puasa di Dewan Seri Mentaloon di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi, dalam ucapannya mewakili Menteri Besar berkata, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan peruntukan untuk golongan kurang berada dan kurang bernasib baik.

“Selain dari bantuan Kafalah yang disasarkan kepada golongan kurang berada, sumbangan-sumbangan seperti untuk menyambut hari raya, persekolahan, bina atau baiki rumah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah demi mempastikan semua rakyat mendapat hak di atas kemakmuran negeri,” katanya lagi.

Tambah beliau, golongan kurang berada sebenarnya bukan bebanan kepada negeri atau negara, malah mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya dengan adanya golongan yang kurang berada ini, memberi ruang kepada yang berada untuk membuat kebajikan.

“Allah menjadikan manusia ini dalam pelbagai golongan. Ada yang miskin, sederhana dan kaya. Ini merupakan struktur masyarakat yang telah diatur oleh Allah kerana setiap yang dijadikan ada sebab musababnya.

“Oleh sebab itu memang mustahil kita boleh hapuskan kemiskinan secara keseluruhannya,walau bagaimana pun, kerajaan sentiasa berusaha menurunkan kadar kemiskinan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian dalam bidang-bidang tertentu,” tegasnya lagi.

Phahrolrazi mengingatkan hadirin, kemulian seseorang bukan terletak kepada kekayaan harta benda yang dimilikinya tetapi mulia di sisi Allah di atas ketaqwaannya . Walau bagaimana pun, Allah mengingatkan kita, kemiskinan juga kadang kala boleh mendekatkan diri seseorang itu dengan kekufuran.

“Kadang kala kerana desakan hidup, ditambah dengan ilmu agama yang cetek, tidak mustahil pendekatan negatif akan diambil, seperti mencuri, menipu atau melakukan jenayah yang lain.

“Tetapi perlu juga diingat, golongan kurang berada ini sebenarnya mempunyai banyak peluang beribadah kepada Allah kalau hendak dibandingkan dengan orang yang berada,” celah beliau lagi.

Tambahnya lagi, setiap yang Allah anugerahkan kepada kita mempunyai cabaran tersendiri.Kalau yang kurang berada cabarannya kemiskinan, manakala yang berada cabarannya tanggungjawab, amanah dan keadilan.

Dikesempatan itu, beliau juga mengingatkan hadirin agar jangan lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah dan mengucapkan selamat hari raya serta berharap dipanjangkan usia agar dapat menyelesaikan ibadah puasa untuk tahun ini.

Majlis sumbangan dan berbuka puasa bersama ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf itu merupakan acara tahunan dan diselenggara sepenuhnya oleh pejabat Menteri Besar sendiri. Selain memberi sedikit sumbangan, mereka juga berpeluang berbuka puasa bersama-sama pimpinan kerajaan negeri.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Speaker DUN, ADUN-ADUN dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Wednesday, August 24, 2011

Perempuan Berpakaian SEKSI

http://w28.indonetwork.co.id/pdimage/82/886382_149314941496.jpg
"WALAUPUN DIBULAN RAMADHAN..... MASIH RAMAI LAGI WANITA ISLAM BERPAKAIAN SEKSI....APA REAKSI ANDA.... "

Saturday, August 20, 2011

Nota Lailatul Qadr kepada Pejuang Melayu-Islam

oleh Nik Nazmi Nik Ahmad



http://desicandra.coolpage.biz/wp-content/uploads/2010/08/ramadhan.jpg



Kita nak masuk syurga pun harapkan kasih sayang Allah. Adakah kita nak lawan Allah dengan tak tunjukkan kasih sayang pada makhluk lain sekalipun mereka zalim pada kita?



Kalau kita buat dosa besar (berlaku zalim pada sendiri) pun ada peluang masuk syurga dgn taubat & kasih sayang Allah, adakah kita nak lawan Allah?



Allah swt berfirman janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menghalang kamu berlaku adil. Berlaku adil itu paling hampir dengan taqwa.



Orang yang sibuk perjuangkan Melayu-Islam harus semak balik - tunjukkan kasih sayang kepada semua makluk dan berlaku adil.



Sebab itu Rasulullah s.a.w. perjuangkan Islam, bukan Arab-Islam!



Islam itu cantik tetapi ketaksuban kita pada kaum serta menghukum orang lain dan keyakinan pada amalan kita yg sedikit memesongkan kita.



Wallahualam.

26 & 27 Ramadhan : Munajat Perdana PRU 13 di Komp. PAS Bt 9

Monday, August 15, 2011

Ada lagi rupanya orang juai kueh sekupang..!!

Jual martabak, kuih 10 biji RM1



SHAHIDA Abdullah (kanan) melayan pelanggan yang mahu membeli martabak di gerai bapanya di bazar Ramadan Stadium Darulaman, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Kebiasaan- nya kuih-muih dijual pada harga RM1 untuk tiga biji manakala martabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.

Berbeza dengan bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darulaman di sini, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuihmuih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.

Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia menjual kuih-muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji sepertimana arwah ayahnya lakukan dahulu.

“Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja,” katanya kepada Bernama.

Nurhayati berkata, walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga RM1 itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dahulu.

“Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual,” kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0815&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

GURUN – Kaki ponteng puasa dicekup

Kaki ponteng puasa dicekup



GURUN – Sekumpulan kaki ponteng puasa sanggup melarikan diri menggunakan laluan khas yang telah ditebuk untuk masuk ke kawasan larangan tangki air sebelum memanjat pagar setinggi tiga meter bagi mengelak daripada dicekup penguat kuasa.



Namun, sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila empat daripada mereka termasuk seorang daripadanya yang bersembunyi dalam tandas berjaya ditahan.



Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, satu lokasi terletak dalam sebuah kawasan semak berhampiran tangki air dekat sebuah kawasan perusahaan yang dijadikan lokasi rahsia kaki ponteng puasa akhirnya dikesan.



Menurutnya, operasi bersepadu bersama pegawai dan kakitangan dari Pejabat Agama Islam Kuala Muda, sepasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan anggota Cawangan Penyiasatan Khas Tentera Kem Lapangan Terbang Sungai Petani melibatkan 27 anggota menjalankan operasi berkenaan sekitar Kuala Muda.



“Ketika serbuan dilakukan pada jam 12.52 tengah hari, didapati mereka yang terlibat berusia antara 19 dan 50 sedang menikmati hidangan tengah hari berdasarkan bekas berisi makanan dan minuman ditemui di kawasan terbabit.



“Didapati sekumpulan lelaki sedang asyik menikmati makanan di sebuah ‘gerai kecil’ dalam kawasan semak yang sedikit tersembunyi bertujuan mengaburi penguat kuasa,” katanya.



Beliau berkata, apabila diserbu, kesemua mereka melarikan diri melalui pagar yang telah ditebuk untuk menyeberangi kawasan tangki air sebelum memanjat semula pagar di bahagian hujung untuk melarikan diri ke kawasan rumah penduduk dan seterusnya memasuki kawasan ladang berdekatan.



“Bagaimanapun tindakan pantas penguat kuasa berjaya menahan empat daripadanya termasuk seorang lelaki yang bersembunyi dalam tandas rumah penduduk berhampiran.



“Seorang daripada mereka turut dikesan mengalami luka di tapak tangan kiri akibat terkena dawai pagar ketika cubaan melarikan diri dilakukan,” katanya.



Beliau berkata, kesemua mereka diberi surat amaran selain diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9431282.asp


Thursday, August 11, 2011

UMNO amat fobia TAZKIRAH RAMADHAN....

Umno sekat ilmu agama untuk kekal berkuasa

Aziz Muda



KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Tindakan Umno BN yang menyekat perkembangan ilmu, terutama ilmu agama yang membabitkan tasauf, dari disebarkan di masjid-masjid amat dikesali kerana ia jelas bertujuan untuk membolehkan parti itu kekal berkuasa, walaupun jelas akan merugikan rakyat.



Dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh parti itu, rakyat negara ini pasti akan kerugian berpanjangan, terutama dari segi perkembangan kerohanian, peningkatan iman serta amal, jika terus berada di bawah pemerintahan Umno BN.



Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Norazli Musa menegaskan, tindakan Umno yang menyekat perkembangan ilmu di kalangan rakyat amat jelas apabila diteliti peraturan yang dikenakan oleh mereka bagi penyampaian tazkirah di masjid-masjid.



Menurut beliau, antara peraturan yang dikenakan itu termasuklah larangan kepada para penceramah menyampaikan ceramah-ceramah yang menyentuh perkara-perkara besar terutama tasauf dan kepentingan politik Islam kepada umat Islam.



Katanya, tindakan tersebut dilakukan untuk menjadikan rakyat jahil tentang tasauf dan ilmu politik Islam kerana jika rakyat memahami ilmu-ilmu itu dibimbangi rakyat tidak akan menyokong Umno BN dalam pilihanraya.



"Dengan itu, ceramah-ceramah agama yang didakan di masjid-masjid, di surau-surau di seluruh negara terutama yang membabitkan para penceramah yang menyokong Umno BN hanyalah membicarakan perkara-perkara kecil, rendah atau asas sahaja yang sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai.



"Antara perkara yang disentuh hanyalah seperti cara mengambil wuduk, jenis-jenis air, haid, nifas, nikah, kahwin dan sebagainya yang hanyalah perkara-perkara asas sahaja yang terdapat dalam ilmu fekah.



"Perkara-perkara lain yang besar, penting seperti tauhid, tasauf, politik Islam, jihad tidak boleh disampaikan kerana dilarang oleh para pemimpin Umno BN menerusi sekatan-sekatan tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung di masjid-masjid dan surau-surau," katanya ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.



Dengan keadaan itu, menurutnya, ceramah-ceramah yang diadakan di masjid-masjid, surau- surau yang dikuasai Umno BN itu dengan sendirinya tidak memerlukan penceramah-penceramah yang hebat.



Katanya, kalaupun penceramah-penceramah itu juga tergolong dalam golongan penceramah hebat seperti mufti, mereka juga tidak perlu membaca banyak kitab untuk meneliti banyak perkara besar kerana ceramah-ceramah yang perlu disampaikan hanyalah membabitkan perkara-perkara kecil sahaja.



"Dengan itu, secara langsung, jika terdapat soal jawab dalam ceramah tersebut sekiranya ada ruang soal jawab yang dibuka oleh penceramah kepada orang ramai, soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta juga tentu sekali hanyalah perkara-perkara kecil yang tidak menimbulkan sebarang kerumitan untuk dijawab oleh penceramah-penceramah itu," katanya.



Perkara itu, tegasnya, berbeza dengan ustaz haraqi yang tentunya boleh mengajar pelbagai bidang dalam Islam termasuk tauhid, fekah, usuludin, tasauf, politik Islam, jihad dan sebagainya, sejajar dengan tahap pengajian mereka yang tinggi yang meliputi pelbagai bidang pengajian dalam Islam.



Ceramah-ceramah yang melibatkan ustaz haraqi atau guru-guru tasauf itu, tegas beliau, tentunya bukan anjuran pihak yang mempunyai kaitan dengan Umno BN, tetapi PAS dan NGO-NGO Islam.



"Walaupun para pemimpin Umno BN berusaha keras untuk terus menjahilkan rakyat dalam agama terutama yang menyentuh tentang tasauf, politik Islam dan jihad untuk mengelakkan rakyat menentang mereka balik, PAS dan NGO-NGO Islam tetap berusaha mendokong perkembangan ilmu dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu di seluruh negara.



"Kalau di Kuala Lumpur, hanya nak belajar atau tak nak belajar sahaja, majlis-majlis ilmu anjuran PAS dan NGO-NGO Islam itu berada di mana-mana. Begitulah juga di tempat-tempat lain di seluruh negara," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Ipoh Barat.



Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Taliban menegaskan, setiap umat Islam perlu bijak mengambil peluang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu itu bagi menambah ilmu kerana ia sememangnya diadakan untuk setiap umat Islam yang juga untuk setiap manusia oleh pejuang-pejuang Islam.



"Tindakan para pejuang Islam tentunya berbeza sama sekali dengan pihak Umno. Kepada pejuang-pejuang Islam, setiap ilmu yang dimiliki apatah lagi ilmu-ilmu yang membabitkan perkara besar dan penting pasti akan diusahakan disebarkan kepada orang ramai, berbanding tindakan Umno BN yang hinggakan nak bagi kuliah pun nak menyusahkan," ujar beliau.



sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4840-umno-sekat-ilmu-agama-untuk-kekal-berkuasa


Tuesday, August 9, 2011

Warung Hantu : Bersebelahan Kilang Ais Alor Setar







Lokasi : Jalan Dato Mohammad Samad, Alor Setar

(bersebelahan kilang ais)



Laporan : dibuka pada tengahari(1ptg dh beroperasi) dan menerima pembeli dr org Islam, kedai ni klau bukan bulan Ramadhan nampak mcm nak bankrap dh mai bulan ni cergas semula