Showing posts with label SiasahDaily. Show all posts
Showing posts with label SiasahDaily. Show all posts

Tuesday, June 5, 2012

Antara Himpunan UMNO di Bkt Jalil , Belia di Putrajaya & Hijau di Alor Setar.. nampaknya PAS no 1..!!

Himpunan Hijau lagi bukti kuasa mobilisasi PAS
Oleh Siasahdaily

Tiga perhimpunan besar dengan matlamat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini; perhimpunan ulang tahun Umno ke-66, perhimpunan belia di Putrajaya anjuran kerajaan Barisan Nasional dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya oleh PAS.

Selepas beberapa hari berakhir Himpunan Hijau di Alor Setar, Kedah oleh PAS, perhimpunan ini menunjukkan kesan paling positif kepada penganjurnya, berbanding perhimpunan belia dan ulang tahun Umno.

Selain perbandingan mudah dan terpilih seperti yang tersebar di laman jaringan sosial Facebook, satu kelebihan yang masih dimiliki PAS ialah kemampuan menggerakkan jumlah ahli yang besar, dan digerakkan secara keseluruhannya dengan inisiatif ahli dan parti.
Perhimpunan di Alor Setar minggu lalu telah membuktikan lagi kemampuan mobolisasi PAS ini, yang menyebabkan PAS terus menjadi aset penting dalam gabungan Pakatan Rakyat dan kempen Bersih.

Kemampuan mobilisasi ini menjadikan PAS tunjang kepada segala aktiviti menggerakkan massa, satu senjata terhadap pemerintah yang masih belum digunakan sepenuhnya oleh pembangkang dan gerakan antirejim.

Sejak perhimpunan Bersih pertama pada hujung 2007 hingga yang terbaharu April lalu, PAS menjadi penentu yang memastikan kehadiran besar peserta.

Kejayaan perhimpunan di Alor Setar Jumaat lalu paling utama melibatkan jumlah ahli yang hadir, yakni sekitar 100,000 orang, pada hari bekerja sebahagian besar negeri lain, dan di negeri Kedah yang agak jauh ke utara semenanjung.

Selain itu, kejayaan perhimpunan itu (tanpa kes yang memalukan seperti kemalangan kereta lumba) sedikit memulihkan persaingan dalaman melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS, yang mencetuskan berita panas penggantian menteri besar dan persengketaan seorang exco dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.  

Kritikan-kritikan pemerintah termasuk pemimpin Umno terhadap perhimpunan itu juga kelihatan lemah dan sekadar menyuarakan kritikan tanpa sebarang isu yang substantif.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Himpunan Hijau menyumbang kepada pembinaan dan pengekalan momentum untuk menghadapi pilihan raya.

Ucapan presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kelihatan memberi fokus sepenuhnya kepada usaha memenangi kerajaan persekutuan, dengan menyifatkan masa kini merupakan masa terbaik untuk PAS mencapai kejayaan itu.

"Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut, justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu," kata Abdul Hadi.

Momentum menuju pilihan raya - dan bukan kaitan terus atau ukuran jumlah yang hadir dengan jumlah undi dalam pilihan raya nanti - menjadi kejayaan terbesar Himpunan Hijau, yang boleh dijadikan pembakar semangat kepada parti.

Walau bagaimanapun, selain isu persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 dan menuju Putrajaya, isu setelah sampai di Putrajaya juga perlu mula difikirkan dengan serius, melibatkan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan baharu sekiranya berjaya dibentuk nanti.

Sunday, April 29, 2012

Orang UMNO Bocorkan Rahsia Polis... Sapa Yang Bocorkan??

Sila Pastikan SIAPAKAH MANUSIA-MANUSIA yang mengalihkan kon dan pagar tersebut.. jika mereka bersalah sila dakwa mereka

Gambar yang disiarkan oleh Jeebond dari Blogpolitik mempersoalkan sipakah lelaki-lelaki yang tidak memakai ‘T’ Shirt BERSIH tetapi mengenakan jacket yang membuka halangan yang telah didirikan oleh pihak DBKL di sekitar Dataran Merdeka.

Tindakan mereka yang mengalihkan atau membuka halangan tersebut telah menyebabkan para Peserta BERSIH 3.0 memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Akibatnya tindakan dari Pihak Polis bermula maka berbagai berita yang buruk tentang Himpunan BERSIH 3.0 disiarkan oleh Media yang dikawal pihak UMNO/BN.
Antaranya adalah berita seperti di bawah..

KUALA LUMPUR 28 April - Seperti mana dijangka, perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara hari ini berakhir dengan keganasan.

Ia berikutan tindakan peserta perhimpunan itu yang bertindak ganas dan biadab bukan sahaja dengan merempuh sekatan polis malahan turut menyerang serta memukul sehingga menyebabkan 11 anggota pasukan keselamatan cedera.

Tidak cukup dengan itu, peserta-peserta demonstrasi juga bertindak liar apabila mereka menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta polis yang terbabas.

Mereka juga turut memusnahkan kawat besi dan penghalang yang dipasang di laluan masuk ke Dataran Merdeka, penyokong Bersih sanggup melakukan apa sahaja keganasan termasuk mencederakan petugas media sehingga parah.

Tindakan ganas kumpulan itu bermula apabila mereka merempuh benteng pasukan polis yang berbaris di depan pusat beli-belah KLCC kira-kira pukul 10.30 pagi sehingga mengakibatkan beberapa anggota polis mengalami kecederaan – Lidah Rasmi UMNO

Dalam ramai dari kita yang tertanya-tanya.. tiba-tiba muncul Zaharin Mohd Yasin, Setiausaha UMNO Bandar Tun Razak membuka cerita..

Bacalah apa yang di tulisnya dalam wall FB miliknya ini…


Dalam mengatakan orang lain bodoh.. dia sendiri mempamirkan kebodohannya kerana terlalu bangga untuk menceritakan rahsia yang sepatutnya dirahsiakan beliau mendedahkannya kepada umum..

Patutlah Mahathir kata hanya orang bodoh kini bersama UMNO... benar rupanya..ASD
 

Thursday, April 19, 2012

PRU 13, Umno terus bimbang sabotaj ahli

Oleh SiasahDaily

Satu kebimbangan utama Umno yang memimpin Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti ialah sabotaj ahli-ahli yang tidak berpuas hati.

Pemimpin-pemimpin Umno sejak sekurang-kurangnya setahun lalu telah berkali-kali mengingatkan ahli agar tidak mensabotaj calon parti dalam pilihan raya akan datang, yang kritikal kepada penerusan kedudukan Umno dan BN sebagai parti pemerintah.

Terbaharu, dilaporkan dalam Utusan Malaysia , ahli lembaga disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memberi amaran kepada ahli Umno di 60 kawasan agar tidak mensabotaj calon yang dipilih.

Menurut Megat Najmuddin, 60 kawasan terbabit ialah kawasan yang Umno tewas atau menang tipis dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, rasa tidak puas hati yang berleluasa dalam kalangan ahli Umno dilihat sebagai menjadi salah satu punca sabotaj terhadap calon-calon pilihan parti, termasuk di Selangor yang menyaksikan Umno tewas dan kehilangan kepimpinan kerajaan negeri.
Tempoh menuju pilihan raya kini menampakkan lagi kebimbangan pemimpin parti pemerintah itu terhadap sabotaj.

Satu kenyataan paling jelas pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak diberikan pada Oktober tahun lalu, ketika mengulas mengenai rancangan memilih calon-calon boleh menang di Konvensyen Barisan Nasional 2011.

''Saya ingatkan sekali lagi jangan sabotaj calon kita. Beri mereka sokongan yang padu. Kerja bersungguh-sungguh, buat aku janji di dalam hati masing-masing bagi memastikan parti kita menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Umno kini merancang untuk meletakkan calon-calon muka baharu dan lebih bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, satu perubahan yang dijangka berdepan tentangan kepimpinan yang telah lama menguasai parti di peringkat bahagian dan akar umbi.

Kebimbangan ini turut disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah beberapa kali melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti ahli dan politik cantas-mencantas dalam Umno.

Hujung Mac lalu, Mahathir mencadangkan calon-calon berkelayakan dan bersih dari luar parti sebagai wakil BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Hujah beliau menampakkan kebimbangan terhadap calon yang terpalit rasuah dan imej yang buruk yang dibimbangi tidak akan diterima pengundi.

''Apa salahnya ambil orang luar yang ada bakat yang tidak tercemar dengan rasuah dan sebagainya seperti doktor atau guru-guru sekolah, ia sepatutnya dialu-alukan.

''Dulu guru-guru menjadi barisan hadapan Umno, tetapi sekarang ini terlalu ramai ahli perniagaan yang hendak menjadi calon kerana atas kepentingan diri," tegas Mahathir.

Isu sabotaj kini menjadi isu besar yang menghantui Umno di bawah pimpinan Najib dalam menghadapi pilihan raya akan datang, ketika kawasan selamat untuk parti itu kini semakin berkurangan.

Antara yang paling dibimbangi ialah Selangor, negeri yang mempunyai kepentingan besar kepada Umno dan BN yang ingin dirampas kembali daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Pemilihan calon yang tidak disenangi pemimpin-pemimpin tertentu dijangka bakal mencetuskan sabotaj daripada kalangan ahli, terutama golongan lama yang berasa dipinggirkan.
http://siasahdaily.blogspot.com

Friday, January 6, 2012

Bagaimana keputusan kes Anwar akan gugat Najib

Oleh SiasahDaily

http://1.bp.blogspot.com/-1GMuGLdvIb0/TaI3KD9v88I/AAAAAAAAAhY/24k8rq4O6-Q/s1600/najib+pening.jpgNegara kini sedang menunggu tarikh 9 Januari, 2012, hari yang dijangka mencetus satu lagi berita besar dalam sejarah politik negara.Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dituduh mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan, iaitu seks luar tabie secara sukarela.

Undang-undang ini melibatkan perlakuan homoseksual secara konsensual, sesuatu yang di banyak negara diterima sebagai sebahagian hak asasi manusia.

Kempen media pihak pro-Anwar dan pembangkang telah menimbulkan isu kredibiliti sistem kehakiman dalam usaha membela Anwar di mahkamah pendapat awam.

Gerakan dinamakan 901 dengan tujuan "membebaskan Anwar" juga digerakkan dengan dakwaan ketidakadilan sistem kehakiman negara, dengan sejak awal telah meletakkan Anwar sebagai tidak bersalah dan menjadi mangsa tindakan bermotif politik.

Hakikat bahawa Anwar didakwa menurut seksyen tersebut juga menjadi hujah oleh penyokong Anwar untuk mendakwa kesalahan di pihak mahkamah, dan juga pemerintah.

Tarikh 9 Januari nanti bakal menjadi penentu kepada politik Anwar tetapi mungkin lebih menjadi faktor penting kepada pemerintah di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Sama ada disabitkan atau tidak - atau sebarang keputusan lain - kempen kepada rakyat yang telah lama digerakkan bakal membawa kesan besar kepada pemerintah.

Anwar yang bebas berkempen sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal diangkat sebagai wira yang terlepas daripada usaha memfitnah dirinya buat kali kedua oleh musuh politik yang jahat.

Anwar yang terpenjara juga akan diangkat, sebagai mangsa satu tindakan bermotif politik oleh kerajaan Najib.

Anwar yang terpenjara bakal menjadi modal kempen parti-parti pembangkang, walaupun sokongan sebenar dan kepercayaan terhadap Anwar telah banyak terhakis.

Pada masa sama, iklim politik yang liberal kebelakangan ini yang melanda seluruh dunia menjadikan keputusan memenjarakan Anwar sebagai sesuatu yang tidak popular di peringkat global, medan yang masih menyebelahi Anwar dan kelompok liberal.

Sekiranya Anwar disabitkan kesalahan, Najib memerlukan usaha berganda untuk bersaing di mahkamah pendapat awam sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Disember lalu, pemerintah Amerika Syarikat sendiri menyatakan satu pendirian tegas menyokong hak gay sebagai hak asasi manusia yang turut perlu dihormati dan diperjuangkan.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, implikasi politiknya ialah Malaysia bakal menjadi perhatian sebagai negara yang menghukum pelaku homoseksual, dan dilakukan tidak lama selepas pentadbiran Obama - yang turut ingin dirapati oleh Najib - menyatakan sokongan kepada hak tersebut.

Tidak lama selepas kenyataan sokongan AS itu, badan hak asasi Human Rights Watch pula menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual secara suka sama suka.

Anwar turut menyatakan pendirian serupa dengan pertubuhan hak asasi itu dalam satu kenyataan kepada sebuah agensi berita Barat baru-baru ini.

Hal ini menjadi satu tekanan antarabangsa yang kuat terhadap pentadbiran Najib. Selain AS, negara-negara Eropah turut dijangka bersuara dalam hal ini.

Perhatian yang boleh menjejaskan imej Najib ini, dan menyukarkan hubungan dengan negara Barat, sesuatu yang menambah masalah menjelang pilihan raya umum.

Selain faktor politik dalam negara, Malaysia turut akan menjadi topik hangat di peringkat global ekoran keputusan kes liwat Anwar nanti.
http://siasahdaily.blogspot.com

Friday, December 30, 2011

Politik Malaysia 2011: 10 pemain dan isu utama

Oleh SiasahDaily.

Tahun 2011 mencatat sejarah sebagai tahun yang penuh drama, disebabkan sebahagian besarnya oleh Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir. Medan politik negara tidak pernah sunyi dengan peristiwa panas dan kontroversi. Berikut 10 pemain dan isu utama politik Malaysia sepanjang 2011 berdasarkan penilaian SiasahDaily.

1. Bersih 2.0
Gerakan yang paling mendapat perhatian di dalam dan luar negara selepas perhimpunan pada 9 Julai berjaya diadakan walaupun berdepan tekanan pemerintah. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dapat dilihat tertekan ekoran kejayaan Bersih kedua, walaupun jauh sedikit berbanding penyertaan Bersih pertama pada 2007.

2. NFC dan Shahrizat
Datuk Seri Shahrizat Jalil ditekan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri ekoran terdedahnya kaitan suami beliau dengan National Feedlot Corporation. NFC mencetuskan kebimbangan Umno disebabkan tekanan kuat dicetuskan oleh skandal itu. Shahrizat berpotensi tersingkir daripada kedudukannya akibat terpalit skandal itu, ketika Najib mula bercakap dan menekankan keperluan Umno meletakkan winnable candidates dalam pilihan raya akan datang.

3. Penyebaran Kristian
Kontroversi tercetus ekoran siasatan pihak berkuasa agama Selangor ke atas sebuah gereja Metodis di Petaling Jaya, dan menemui bukti-bukti jelas penyebaran agama Kristian ke atas orang Muslim. Kejadian di negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat memberi implikasi negatif kepada gabungan itu terutama PAS. Tindakan Datuk Dr Hasan Ali, exco kerajaan daripada PAS mempertahankan tindakan siasatan itu mencetuskan reaksi negatif terhadapnya.

4. Bob Lokman
Bob Lokman menyertai PAS di Kedah semasa perhimpunan pemuda parti itu, dan terus aktif berkempen untuk PAS. Terbaharu, beliau muncul dalam video pendek Oley! bersama beberapa pemimpin Pemuda PAS termasuk Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. Turut mencetus kontroversi dengan pihak berkuasa agama Selangor kerana ceramah tanpa tauliah. Mengatasi Lisa Surihani yang menerima anugerah Pergerakan Puteri Umno dari segi liputan dan perhatian ramai.

5. Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi ahli politik paling berjaya memulihkan imej sepanjang 2011. Najib berusaha kelihatan cool dengan aktif dengan media sosial Facebook dan Twitter, bergambar dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, mengumumkan pemansuhan ISA dan membentangkan belanjawan yang memberi keyakinan kepada pemerintah untuk memenangi semula hati rakyat.

6. Pena, Interlok dan bahasa Melayu
Isu novel Interlok yang ditolak oleh penentangnya kerana dianggap rasis menjadi senjata menyerang pemerintah dikuasai parti Melayu, Umno. Terbaharu, novel tersebut diganti dengan novel lain, pada masa sama Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyambut ulang tahun ke-50 dan diberi habuan RM1 juta oleh kerajaan. PPSMI yang diperjuangkan Pena juga masih dikekalkan.

7. Himpun
Gerakan masyarakat Muslim Himpun bergerak lebih aktif ekoran aktiviti penyebaran Kristian yang dilihat berleluasa, terutama ekoran peristiwa gereja Metodis di Selangor. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, PAS menjauhkan diri daripada gerakan itu, walaupun menerima sokongan moral beberapa pemimpin pemuda parti itu. Himpun dilihat berkemampuan untuk menjejaskan sokongan orang Melayu Muslim kepada PR yang kelihatan tidak membela kepentingan Islam.

8. Anwar
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berjuang untuk mengetuai Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya - yang gagal dilaksanakan pada 2008 - sepanjang 2011, tahun yang menyaksikan keyakinan terhadapnya semakin terhakis sehingga ada kalangan pemimpin PR menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertindak sebagai pelan B. Anwar walau bagaimanapun tidak membenarkan perhatian beralih daripada dirinya, dan terus mendapat perhatian sepanjang 2011, tahun video seks dikaitkan dengannya disebarkan.

9. Seksualiti Merdeka
Seksualiti Merdeka, gerakan perjuangan hak gay mengejutkan negara apabila secara terbuka mempromosikan aktiviti tahunan pada November lalu. Penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan menarik perhatian musuh politik pembangkang yang segera mengaitkan PAS dengan gaya hidup yang dilarang agama Islam itu. Perkembangan melibatkan gerakan ini menandakan peningkatan pengaruh dan kuasa politik golongan gay di negara ini, dibantu oleh iklim politik yang semakin liberal.

10. Papa Gomo
Blog paling dikunjungi ini ialah blog pro-Umno yang mendepani usaha serangan ke atas pembangkang ekoran kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008. Antara blog terawal menyiarkan video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dengan berani menegaskan bahawa pelakunya ialah Anwar. Papa Gomo menjadi pemblog paling dibenci oleh Pakatan Rakyat.

http://siasahdaily.blogspot.com

Saturday, September 3, 2011

Implikasi besar isu ganti Azizan

Oleh SiasahDaily

Isu melibatkan dakwaan PAS berhasrat menggantikan menteri besar Kedah mehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh5cWojHQR3rca_SqswNAmaUJAac8r2gkIkSXD_tviVxDp9mwMg6Z6pPGsrGfgCcwlD6zzyTlSxiH7Yp05pZThzJ7KuODnQU0upZyOnZ-rcjpp1aZ8NmSyQDMrzb1JbeP9p5SSxFkwV2-w/s1600/azizan.jpgnjadi berita hangat dalam politik Malaysia pada masa ini, ketika semua pihak sedang membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.



Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telahpun menafikan kewujudan perancangan menggantikan Azizan itu, selepas satu tempoh yang cukup panjang untuk pelbagai spekulasi tersebar.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan cuba diganti oleh kepimpinan PAS ekoran kesihatannya, sebab yang ditolak oleh Azizan yang mendakwa dirinya kini sihat dan mampu menjalankan tugas selepas menghadapi serangan jantung.



Azizan walau bagaimanapun dilapor berkata bersedia berundur sekiranya diarahkan oleh parti, pendirian yang selari dengan amalan penguasaan parti ke atas kerajaan negeri ditadbir PAS.



Sekiranya laporan hasrat PAS itu benar, isu kesihatan Azizan wajar menjadi satu faktor disebabkan isu berkaitan kemampuan wakil parti menjalankan tugas besar mentadbir negeri merupakan hal yang penting.



Malah, hal kesihatan dan kemampuan melaksanakan tugas perlu lebih ditekankan sejak pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihan raya, untuk mengelakkan kerumitan pada masa depan.



Tetapi isu kesihatan hanya satu isu dalam konteks mempertahankan Kedah di bawah penguasaan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, yang dilihat sesetengah pihak sebagai memerlukan pemimpin lain yang dianggap lebih memenuhi keperluan semasa.



Walau bagaimanapun, masa isu ini timbul memberi persepsi negatif berhubung beberapa hal, sekiranya perancangan ini bersumber daripada parti.



Musuh parti seperti Umno mudah mengaitkan usaha ini sebagai satu tindakan yang didorong tekanan pihak tertentu ekoran hasrat menghadkan operasi pusat hiburan pada Ramadhan lalu dan beberapa isu lain yang mempunyai elemen kaum dan agama.



Dakwaan PAS mengubah kepimpinan negeri untuk memuaskan hati rakan Pakatan Rakyat sebelum ini tercetus selepas pelantikan kepimpinan baharu di Selangor, negeri yang PAS menjadi sebahagian kerajaan.



Kes lain seperti pertembungan kerajaan negeri dengan sebuah institusi pengajian tinggi, sehingga mencetuskan debat hangat melibatkan presiden PAS sendiri pula boleh menimbulkan tanda tanya sama ada pergeseran dalaman parti mendorong usaha menggantikan Azizan sebagai menteri besar.



Implikasi besar yang lain melibatkan menteri besar PAS di Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mempunyai isu berhubung kesihatan dan kemampuan memenuhi tuntutan tugas sebagai menteri besar.



Secara tidak langsung, isu kesihatan dan kemampuan menjalankan tugas oleh Azizan melibatkan sekali Nik Abdul Aziz yang bukan sahaja dipertikaikan kesihatannya oleh sesetengah pihak tetapi juga telah memegang jawatan menteri besar melebihi 20 tahun.



Persoalan tentang kesihatan Azizan telah membawa isu kemampuan bertugas ke depan, dan tidak dapat dielakkan daripada kriteria ini menjadi satu ukuran wakil-wakil rakyat PAS keseluruhannya.
http://siasahdaily.blogspot.com

Wednesday, August 17, 2011

PAS Bersama UMNO @ PAS Ganti UMNO..???

Oleh SiasahDaily

Dua tulisan terkini oleh dua pemerhati politik tempatan berhubung kedudukan politik PAS dan Umno, amat menarik untuk dinilai.



Apapun kecenderungan politik parti yang boleh dikaitkan dengan dua penulis tersebut, beberapa persoalan realistik yang dikemukakan - isu yang agak diabaikan oleh pembangkang yang berbilang kaum itu - wajar diberi perhatian.

A Kadir Jasin, dalam tulisannya membincangkan tentang kemampuan PAS memimpin sebuah kerajaan masa depan mengupas realiti kedudukan PAS dan potensi serta cabaran yang dihadapi dalam politik pakatan.



Kadir menegaskan keperluan PAS bekerjasama dalam sebuah pakatan, dan memimpin pakatan itu, sama ada Pakatan Rakyat atau "mana-mana pakatan lain."



"Tetapi sebelum ia boleh berharap (memimpin sebuah pakatan), ia perlu terlebih dahulu mengambil alih peranan Umno sebagai parti utama orang Melayu," tegas Kadir.



"PAS perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi dan memiliki kemampuan kewangan, organisasi dan intelektual menyamai Umno."

Wartawan berpengalaman itu juga menimbulkan beberapa persoalan tentang perbezaan ideologi antara dengan parti-parti PR lain, sehingga berpotensi menjejaskannya.



Menurutnya, tindakan PAS yang dilihat berkompromi boleh menjejaskan sokongan tetapnya, yang berada di luar bandar. PAS didakwa berpotensi menjadi pihak yang menangung kos politik terbesar.



"Lama kelamaan, penyokong sebenarnya di luar bandar yang percaya pada ideal Islam parti ini, boleh hilang kepercayaan terhadapnya. Mereka mungkin memutuskan bahawa agenda Islam parti hanya dijadikan bidak catur oleh pemimpin mereka."

Amaran paling dramatik Kadir ialah "PAS berdepan risiko kehilangan Kedah dan malah kubu kuatnya, Kelantan."



Isu utama yang perlu diberi perhatian ialah ideologi dan politik berasas kaum tetap akan menjadi faktor dalam politik negara.



Apapun, Kadir menyimpulkan mana-mana parti yang mendapat sokongan majoriti boleh memimpin negara. PAS, sebagai sebuah parti yang kuat, turut berpotensi memenuhi tuntutan ini.



Tulisan penganalisis politik Norizan Sharif, tentang permuafakatan dan kerjasama politik Melayu Muslim mengulangi pandangannya tentang politik bipartisan yang dilihat sebagai satu pilihan yang wajar untuk menangani pelbagai isu, seperti yang sering diamalkan di Kongres Amerika Syarikat.



Beliau menilai kerjasama politik dipandang dengan negatif sekali di negara kita, dan menimbulkan beberapa isu yang telah memanaskan politik negara sejak beberapa tahun lalu, sejak pilihan raya umum 2008.



"Malangnya, di Malaysia politik muafakat dilihat sebagai sesuatu yang asing. Penyokong parti-parti politik disemai dengan kepercayaan bahawa bermuafakat itu tidak baik, terutama sekali bermuafakat dengan parti politik lawan."



Menurutnya lagi, kerana inilah, dakwaan pertemuan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz dengan Tengku Razaleigh Hamzah, peranan Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa dengan pemimpin-pemimpin Umno dinilai dengan negatif sekali.



Norisan memberi cadangan supaya pemimpin-pemimpin politik Melayu diseru "beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Politik muafakat bukan bermaksud harus bersatu dalam wadah yang sama."



Jelasnya lagi, persaingan melibatkan kumpulan berbeza perlu diteruskan, tetapi "itu tidak bermaksud mereka tidak boleh membentuk muafakat, terutama sekali dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu."



Isu seperti ini mudah dibaca oleh sesetengah pihak dalam pembangkang sebagai agenda Umno untuk menimbulkan semula isu kerjasama politik Umno dengan PAS, yang digelar sebagai UG (unity government) atau kerajaan perpaduan.



Masa saranan seperti ini ditimbulkan oleh Norizan, dan respons yang mungkin tercetus boleh mengundang debat panas dalam kalangan pembangkang yang kelihatan sangat bimbang dengan sebarang kerjasama politik yang tidak melibatkan PR, sekurang-kurangnya sejak Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri.



Perpaduan atau kerjasama politik ini, yang turut boleh membawa kepada kerajaan perpaduan jarang sekali, sekiranya ada, dibincang dengan rasional dalam kalangan pembangkang, kecuali dalam satu tempoh singkat semasa TunAbdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.



Tetapi, perubahan-perubahan yang akan terus melanda senario politik mampu mencetuskan pelbagai perkembangan yang tidak dijangka, seperti yang telah disaksikan sejak 1998 hingga kini.

Saturday, July 16, 2011

Perang media baharu, Pakatan Rakyat makin tergugat

Oleh SiasahDaily

Satu masa dulu, gerakan pembangkang menguasai dunia siber, dengan laman-laman web berita yang banyak dan sentiasa dikemaskini.

Kemudian, apabila blog menjadi popular, pemimpin-pemimpin pembangkang mendahului penggunaan alat ini dalam dunia politik negara.

Pada masa itu, selesa dengan akhbar dan saluran televisyen yang dikuasai, Umno dan Barisan Nasional kelihatan mengabaikan terus media baharu, kecuali satu atau dua saluran maklumat seperti laman Umno.

Laman-laman pembangkang walau bagaimanapun bukan semuanya kekal. Ada yang terus berkubur, ada yang muncul semula dalam bentuk lain, dengan beberapa masih kekal.

Tiba Pilihan Raya Umum ke-12, internet diraikan sebagai medan yang mencetuskan apa yang suka disebut sebagai "tsunami politik" yang mengubah wajah politik negara. Muncul kenyataan seperti "medan Pilihan Raya Umum ke-12 ialah di internet."

Selepas tiga tahun Mac 2008 berlalu, Umno dan BN semakin menyedari kepentingan media baharu. Secara tersusun dan bersungguh-sungguh, media baharu menjadi salah satu bahagian penting dalam jentera pemerintah.

Pemimpin-pemimpin Umno yang sebelum ini hanya sekadar mampu menyebut IT, kini sudah mampu menggunakan media baharu, bermula dengan blog, Twitter dan Facebook.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mula menulis blog menjadi blog politik paling diikuti, menjadi sumber berita dan pencetus perdebatan politik hingga ke hari ini, mengatasi semua pemimpin politik di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memanfaatkan sepenuhnya Facebook dan Twitter, sehingga muncul antara pemimpin paling popular dalam dunia media sosial dalam politik negara.

Media baharu mula tidak lagi menjadi asing kepada pemerintah yang sebelum ini seolah-olah memusuhi wacana politik di internet.

Di bawah Najib, blog-blog Umno semakin bercambah, dengan pembawaan isu-isu semasa yang selaras dan sistematik antara satu sama lain, menjadi satu senjata berkesan pemerintah.

Blog-blog tersebut dilihat menyokong satu sama lain dalam banyak isu, dan saling membantu dan melengkapkan blog pro-Umno lain, walaupun wujud perbezaan pada masa dan isu tertentu.

Blog-blog yang menjadi penyerang utama terhadap Pakatan Rakyat itu kini muncul menjadi blog politik paling popular di negara ini, mengatasi blog pro-PR.

Sebahagian besar menerbitkan tulisan sendiri melebihi purata satu tulisan setiap hari, dengan beberapa blog menunjukkan hasil kajian yang meyakinkan dan kredibel.

Umno kini tidak lagi perlu menunggu laporan berita Buletin Utama atau akhbar-akhbar harian, tetapi banyak isu ditangani dengan segera oleh blog pro-Umno.

Isu gambar kematian peserta demonstrasi Bersih 2.0, cincin yang didakwa dibeli oleh isteri perdana menteri dan banyak isu lain segera dijawab oleh blog Umno, yang sebahagian besarnya mengemukakan hujah yang bukan sembarangan.

Pemerintah bukan tidak terjejas oleh media baharu. Portal-portal berita propembangkang yang semakin banyak dan pelbagai kempen antipemerintah masih berjalan dengan meluas di dunia siber terutama laman sosial.

Terbaharu, Najib menerima tekanan apabila muncul kumpulan Facebook menerima sokongan ramai menuntut beliau meletak jawatan.

Walau bagaimanapun, dengan keupayaan yang besar, media baharu ialah satu wilayah bebas yang pihak pemerintah masih mampu memanfaatkan, dalam beberapa aspek, dengan lebih berkesan berbanding pembangkang.

Dalam kalangan pemblog pro-PAS, usaha-usaha menyusun gerak kerja, penyelarasan dengan parti dan sebagainya masih belum menampakkan hasil, walaupun beberapa pertemuan termasuk dengan pemimpin telah diadakan.

Banyak laman dan blog propembangkang lebih berperanan sebagai aggregator atau pengumpul berita berbanding menerbitkan tulisan sendiri.

Beberapa blog pembangkang pula lebih banyak berperanan dalam politik dalaman parti-parti tertentu, dengan sejumlah besar tulisan bertujuan menyampaikan kritikan atau kecaman kepada pihak yang tidak disenangi dalam parti sendiri.

Dari sudut bahasa dan etika banyak blog terbabit, banyak daripada blog terbabit menggunakan bahasa kesat dan mengulas atau mengkritik tanpa maklmat yang tepat, termasuk dalam isu-isu peribadi.

Banyak isu yang dibawa blog pro-PR berbentuk serangan psikologi dan permaina media semata-mata, tanpa menyampaikan sebarang penjelasan atau ulasan yang bertanggungjawab dan berdasarkan pengetahuan yang tepat.

Perkembangan ini mencetuskan satu kebimbangan berhubung peranan media baharu propembangkang dalam menyampaikan maklumat dan menyokong politik PR.

Dalam persaingan dalam media baharu hari ini, dapat diperhatikan pemerintah telah jauh berubah daripada kebekuan yang mereka alami satu masa dulu, pada masa sama pembangkang tersekat dalam satu kemelut yang sukar.

Pilihan Raya umum ke-13 nanti bakal memberi petunjuk, siapa yang paling dapat memanfaatkan media baharu; BN atau PR.
http://siasahdaily.blogspot.com

Tuesday, July 5, 2011

Bersih demo di stadium, siapa menang, siapa kalah?

Oleh SiasahDaily

http://media1-cdn.malaysiakini.com/370/4f093d2e3babdb8fffcc6b6bbf30a50d.gifKetua Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan memberitahu media bahawa demonstrasi besar-besaran gabungan kumpulan menuntut penambahbaikan proses pilihan raya itu akan diadakan di stadium dan bukan di jalanan.

Pendirian baharu Bersih ini muncul selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong hari ini. Bersih yang digerakkan oleh parti-parti Pakatan Rakyat sebelum ini bertegas untuk mengadakan protes di tengah bandar Kuala Lumpur di beberapa lokasi tetapi ditentang hebat Umno dan penyokong.

Perkembangan ini bermakna Bersih berundur daripada pendirian asal menolak demonstrasi di stadium atas sebab tertentu, manakala pemerintah dan penyokong seperti Perkasa terpaksa menerima protes Bersih akan tetap diadakan.

Gesaan Yang Dipertuan Agong yang telah mendorong perubahan rancangan Bersih kedua kini telah mengendurkan ketegangan antara pihak-pihak terbabit, yang termasuk Bersih 2.0, kerajaan, Perkasa dan pemuda Umno.

Beberapa pihak menjangka akan tercetus kekacauan atau satu bentuk aksi ganas pada masa perhimpunan Bersih kedua Sabtu 9 Julai nanti, yang bakal memburukkan imej pemerintah kerana mengulangi tindakan keras pada Bersih 2007 dan pada masa sama menjejaskan juga pihak pembangkang.

Bagi pihak pemerintah, titah YDP Agong ini telah menyelamatkan kerajaan pimpinan Umno daripada terpaksa mengambil tindakan-tindakan berdasarkan undang-undang pencegahan yang dilihat dengan kritikal oleh pembangkang dan sebahagian rakyat dalam usaha menghalang perhimpunan Bersih kedua.

Pada masa sama, pemerintah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak juga terpaksa akur bahawa hak demokratik untuk berhimpun secara aman perlu dihormati.

Sebagai respons kepada titah YDP Agong itu, penyokong-penyokong Umno termasuk penulis-penulis blog mendakwa ia sebagai kejayaan pemerintah menghalang perhimpunan Bersih 9 Julai nanti, dan mentafsirkannya sebagai membenarkan segala dakwaan mereka terhadap gabungan itu selama ini.

Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan perhimpunan Bersih kedua masih boleh diadakan, menandakan bahawa tuntutan-tuntutan sah gabungan itu masih diteruskan.

Umno dan penyokong tidak boleh mendakwa mendapat kemenangan dalam hal ini kerana isu yang dipersoalkan ialah perhimpunan yang dilihat boleh mencetuskan perkara tidak diingini, tetapi bukan tuntutan-tuntutan Bersih berhubung pilihan raya.

Pembangkang - terutama PAS yang menjadi wajah hadapan perhimpunan kali ini melalui Mohamad Sabu - dan gabungan Bersih juga mendapat manfaat kerana dielakkan daripada dipersalahkan sekiranya perkara tidak diingini berlaku dalam perhimpunan Bersih kedua di tengah kota Kuala Lumpur.

Perhimpunan 9 Julai nanti, sekiranya berjaya diadakan di mana sahaja, masih boleh meningkatkan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

http://siasahdaily.blogspot.com

Sunday, June 19, 2011

PRU 13, Khairy sabotaj Najib?

Oleh Siasahdaily

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipersalahkan ramai pihak dalam parti pemerintah itu akibat kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008.


Khairy dipersalahkan kerana didakwa mempengaruhi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi perdana menteri membuat keputusan-keputusan yang menyumbang kepada kekalahan.

Kemunculan pemuda yang juga menantu Abdullah itu dilihat dengan kurang senang oleh banyak pihak dalam Umno, dikaitkan dengan pelbagai tanggapan termasuk mempunyai hubungan sangat baik dengan pihak negara asing.

Kini, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang kritikal untuk kelangsungan pemerintahan Umno dan BN, Khairy sekali lagi dilihat melakukan tindakan-tindakan yang boleh menjejaskan pemerintah.

Terbaharu, Khairy menerusi Twitter mengkritik Dialog Antarabangsa Langkawi yang muncul hasil inisiatif Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai program yang tidak perlu dilaksanakan lagi.

Khairy mengkritik keras kehadiran Presiden Zimbabwe Robert Mugabe, salah seorang diktator yang mahu dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa ekoran tindakannya terhadap warga berketurunan Eropah di negaranya.

Mahathir sebelum ini pernah dikritik kerana apa yang dilihat sebagai hubungan baiknya dengan Mugabe, yang berdasarkan persepakatan dalam beberapa isu dunia ketiga. Kedua-dua pemimpin disamakan sesetengah pihak ekoran sikap keras mereka, termasuk terhadap dominasi Barat.

Dialog Antarabangsa Langkawi ialah satu program penting Mahathir untuk membina dan mengekalkan imej positifnya dalam dunia ketiga, dan pemberhentian program itu akan menghapuskan satu legasi bekas perdana menteri itu.

Tindakan Khairy meningkatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang berdepan pelbagai serangan daripada pembangkang Pakatan Rakyat.

Kritikan keras Khairy itu juga akan meneruskan malah meningkatkan perpecahan dalam Pemuda Umno, keseluruhan parti dan komponen BN.

Pandangan Khairy tentang diktator terbabit - yang dipersetujui masyarakat antarabangsa terutama Barat - mungkin boleh diterima beberapa pihak dalam komponen pemerintah.

Isu subsidi bahan bakar petrol dan diesel, kenaikan tarif bekalan elektrik dan kenaikan harga barang keperluan lain terus menjadi isu yang menghambat pentadbiran Najib

http://siasahdaily.blogspot.com

Monday, May 30, 2011

Timbalan presiden penentu PAS dalam Pakatan Rakyat?

Oleh SiasahDaily

Timbalan presiden selepas pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar awal Jun nanti bakal menjadi faktor penting dalam menentukan hubungan parti itu dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Mohamad Sabu yang mendapat sokongan meluas merentasi kem pada masa ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai ahli gabungan PR.

Mohamad merupakan penyokong kuat PAS terus bersama PR, walaupun berdepan pelbagai kritikan berhubung PAS yang dilihat dikuasai dan tidak menunjukkan kepimpinan dalam gabungan itu.

Bekas naib presiden PAS itu juga berpendirian teguh menolak sebarang urusan dengan Umno, yang dianggap usaha menyelamatkan parti Melayu ketika parti itu sedang tergugat ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Pengkritik melihat PR terlalu didominasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, dan menggesa PAS membebaskan diri daripada pakatan yang didakwa menjadi liabiliti kepadanya itu.

Mohamad mempunyai hubungan sangat baik dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Aktivis popular PAS itu sebelum ini dilihat sebagai pengkritik kuat Anwar dalam PAS, tetapi mula kelihatan berkompromi selepas penubuhan PR.

Pada masa ini, Mohamad menerima sokongan kuat semua golongan dalam PAS terutama kem yang dikenali “Erdogan,” dipercayai disebabkan pendiriannya berhubung PR dan penyandang timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mohamad bersaing dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan timbalan presiden bersama Datuk Husam Musa yang juga bekas naib presiden dan Nasharudin pada pemilihan yang lalu tahun 2009.

Husam telah menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada tahun ini.

Nasharudin dikritik sebagai tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memegang jawatan timbalan presiden, tetapi masih mendapat sokongan kuat banyak pihak.

Beliau turut dikaitkan dengan usaha berbaik dan menjalin hubungan politik dengan Umno, dakwaan yang turut dikaitkan dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh pihak tertentu.

Mohamad dalam kempennya untuk merebut jawatan timbalan presiden mengemukakan agenda membantu presiden untuk mengukuhkan PAS.

Pendirian Mohamad walau bagaimanapun tidak sepenuhnya selari dengan sikap Abdul Hadi berhubung haluan PAS dan PR.

Presiden PAS itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung peranan PAS dalam PR, dan pernah mencadangkan kerajaan perpaduan nasional melibatkan semua parti politik di negara ini.

Ide beliau itu walau bagaimanapun dikecam sebagai usaha mengadakan pakatan PAS dengan Umno, mewujudkan perdebatan sengit antara dua kumpulan besar dalam parti itu.

Abdul Hadi masih berdepan tekanan dan kritikan ekoran dikaitkan dengan kegagalan rancangan perubahan kerajaan pusat 16 September, 2008 diketuai Anwar.

Tekanan terhadap beliau muncul lagi menjelang muktamar tahun ini apabila isu kelayakan beliau menjadi presiden PAS muncul lagi di media.

Prof Dr Abdul Aziz Bari mengulangi kritikan terhadap Abdul Hadi tidak lama dulu, dan pemikir libertarian Wan Saiful Wan Jan menulis ulasan yang diterbitkan di beberapa media menggesa presiden PAS itu melepaskan jawatan.

Kritikan terhadap Abdul Hadi kali ini walau bagaimanapun ditolak oleh ramai pihak termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sunday, May 29, 2011

Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah

Oleh ZOMBI KG PISANG@SIASAH

Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan berbunyi, “Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut.

Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini.

Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah.

Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak?

Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi?

Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan.

Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya.

Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan.

Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan.

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan."